Rabu, 18 Mei 2016

ADUH, PENING! - BAB 8




          PANGGILAN telefon daripada Nadia amat mengganggu rumah tangga mereka. Ada sahaja permintaan daripada perempuan itu. Terasa hendak meraung sahaja. Apa yang tidak kena dengan perempuan ini? Gila talak ke? Uh! rungut Aleeya dalam hati.
            Wajah suaminya yang mula berserabut dipandang seketika. Mesti hal berat ini. “Abang nak kongsi dengan saya ke?” Aleeya mendekati suaminya yang menyandar di sofa.
            “Nadia nak duit lagi. Dia buat pendakap gigi. Enam ribu.” Ikmal menggeleng kesal.
            “Hah? Kenapa dengan Nadia tu, bang? Mana boleh dia minta dengan abang? Gaji dia sendirikan banyak?” bebel Aleeya, kurang senang dengan perbuatan Nadia yang semakin hilang akal itu.
            “Tak apalah… abang bayarlah nanti. Kalau dibuatnya dia potong duit belanja anak-anak semata-mata nak buat pendakap giginya, macam mana?” Ikmal memandang wajah Aleeya.
            “Uh!” Aleeya memeluk tubuh dan duduk di sebelah suaminya dengan wajah mencuka.
            “Abang nak ambil duit dari mana?” Semakin sakit hati Aleeya memikirkannya.
            “Adalah… Aleeya jangan bimbang ya,” kata Ikmal tenang.
            Kalaulah perempuan itu ada di hadapannya. Memang nak kena ni! marah Aleeya dalam hati.

NADIA menyengih sehingga ke telinga bila Ikmal menyerahkan jumlah duit yang diminta. Bukan untuk anak-anak, tetapi untuk diri sendiri. Dia ibu kepada anak-anak Ikmal. Kenalah lelaki itu mengikut kehendaknya. Jika tidak, dia tidak akan benarkan Ikmal melawat anak-anaknya lagi.
            “Saya bukan ahli perniagaan. Saya pengurus biasa aje. Awak jangan minta lebih-lebih,” pesan Ikmal.
            “Duit awak banyak-banyak nak buat apa? Bukan ada anak pun dengan bini baru awak tu.” Nadia mencebik.
            “Itu bukan masalahnya. Saya pun ada kehidupan saya sendiri. Kalau semua habis dekat awak dan anak-anak, kat saya tinggal apa?” Ikmal mendengus kasar.
            “Kalau saya cantik, awak juga akan bangga nanti.” Nadia mengenyit mata.
            “Pasal apa pula? Awak bukan isteri saya lagi!”
            “Kenapa awak suka cakap macam tu?” Nadia kurang senang dengan kata-kata Ikmal. Memanglah dia bukan isteri Ikmal lagi, tapi tidak usahlah ingatkan.
            “Memang itu hakikatnya. Awak lupa agaknya.” Ikmal mengerut dahi. Semakin berserabut fikirannya dengan sikap bekas isterinya itu. Melawa dan berpakaian agak menjolok mata waktu bertemu dengannya. Hendak menggoda ke? Hisy… tak baik fikir yang bukan-bukan.
            “Kenapa kita tak cuba berbaik semula, demi anak-anak?” Nadia memandang wajah Ikmal. Wajah yang semakin hari semakin dirindui. Wajah yang masih bertakhta di hatinya.
            “Hah? Awak fkir tak apa yang awak cakap? Siapa yang nak bercerai dulu? Sebab cemburukan setiausaha saya, awak sanggup minta cerai. Lepas tu sekarang nak berbaik semula? Saya dah kahwin, Nadia. Isteri baru saya tu, saya nak letak mana?” kata Ikmal mengingatkan.
            “Siapa suruh awak kahwin?” tempelak Nadia.
            Hah? Pecah gelak Ikmal. Memang sah bekas isterinya sudah gila talak.
            “Demi anak-anak, Ikmal. Setiap hari saya dengar rengekan mereka nak tidur dengan awak, nak makan dengan awak. Saya tak sampai hati. Awak apa tahu, asyik ulit isteri baru awak tu,” adu Nadia. Air mata mula mengalir.
            “Kalau macam tu, biar saya yang jaga dia orang pulak. Awak bolehlah duduk goyang kaki. Saya yakin Leya boleh jadi mama yang baik pada mereka,” cadang Ikmal.
            “Mana boleh? Awak ingat anak-anak suka dengan isteri baru awak tu? Kalau mereka suka takkan mereka tak bagi bawa isteri awak tu ke mana-mana?” Nadia mencebik. Air mata yang berbaki dilap dengan kasar. Itu pun tak boleh fikir ke? bentaknya dalam hati.
            “Awak kenalah pujuk mereka terima Aleeya. Aleeya juga ibu kepada mereka,” pinta Ikmal.
            “Uh!” Nadia mendengus kasar. Tidak mungkin!
            “Ikmal… apa salahnya kita berbaik semula? Demi anak-anak!”
            “Saya belum bersedia untuk berbini dua, Nadia.”
            “Awak ceraikan ajelah isteri baru awak tu. Lagipun awak tak ada anak dengan dia, kan?”
            “Hisy… awak ni! Cadangan apa tu?” Ikmal tidak setuju.
            “Cadangan yang baik demi masa depan anak-anak kitalah.” Nadia tersenyum manis. Mengharapkan Ikmal memikirkan cadangannya itu.
            “Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu.” Ikmal bingkas bangun. Wajah Nadia langsung dia tidak pandang. Memanglah cadangan itu baik, tetapi mahukah Aleeya berkongsi kasih dengan Nadia dan anak-anaknya? Bukanlah dia membenci terus bekas isterinya. Tetap ada perasaan ambil berat dan sayang. Aduh, kalaulah Aleeya tahu!

2 ulasan:

  1. Perempuan mata duitan. Kalau jenis macam ni, kena file kes di mahkamah, minta hak penjagaan anak supaya dia tak guna anak untuk memeras keringat 'ex' hubby.
    Aik... over pulak saya... hihi

    BalasPadam