Rabu, 25 Mei 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 2 - karya ROHANI DERAMAN.



D
ia tidak segera membuat keputusan. Dia masih berfikir dan berfikir. Walaupun dia semakin renggang dengan isterinya, namun setiap kali melihat mata wanita itu hatinya sering berdebar.
Naimah semakin mendesak. Dia pula semakin terdesak. Lalu, dalam satu majlis yang meriah dia melafazkan akad dengan sekali sebut sahaja. Isterinya tidak tahu. Keluarganya juga tidak tahu. Lepas seminggu, dia memberitahu isterinya bahawa dia ada kerja di Kuantan selama dua minggu.
        “Abang jaga diri baik-baik. Ini beg pakaian abang. Saya dah susun semua keperluan abang selama abang di sana,” kata isterinya, tulus dan polos. 

       “Terima kasih,” ucapnya dengan nada bergetar. Dia tidak berani bertentang wajah. Ada rasa bersalah di celah hatinya. Namun dia kuatkan semangat, tidak mahu perubahan wajahnya dapat dikesan oleh isterinya.
Dia berbohong. Dia pergi bukan atas urusan kerja. Yang sebenarnya, dia mengikut kehendak Naimah untuk berbulan madu di Pantai Telok Cempedak.
Pulang dari berbulan madu, dunianya berubah sepenuhnya. Dia tidak lagi melihat isterinya sebagai wanita yang sempurna. Naimah dilihat seperti bulan purnama di tengah malam gelita, penuh gemilang. Sementara isterinya dilihat seperti rumput kering yang hanya layak diinjak-injak.
“Buat apa abang nak simpan dia lagi. Saya ni ada untuk jaga abang seperti seorang raja,” kata Naimah. Perasaan dibuai bangga. Dia semakin terlupa dan lalai.
“Lagipun, dia tu tak sesuai untuk abang. Perempuan kampung macam tu, yang abang nak simpan sebagai bini. Abang tak malu ke? Kalau bawa pergi majlis, abang akan diketawakan orang. Jangan jadi bodohlah, bang.” Naimah semakin mencabarnya.
Dia tetap diam. Namun, dadanya mula ditembusi jarum hasut yang tajam itu. Dia kesakitan. Namun dia tidak menyuarakannya.
Dalam diam tidak bersuara, dia bertindak dengan perbuatannya. Dia semakin jarang balik. Rumah hanya menjadi tempat menukar pakaian. Dia jarang bermalam dan bermanja dengan anak isterinya. Anak yang menjadi pengikat cinta semakin diabaikan.  
“Abang, abang semakin berubah. Cuba berterus-terang pada saya, apa yang sedang berlaku sebenarnya?” tanya isterinya pada satu hari ketika dia singgah sebentar untuk mengambil pakaiannya.
 

“Heh! Kalau kau tak masuk campur dalam urusan hidup aku boleh tak?” Dia menengking tanpa sebab.
“Saya ni siapa pada abang? Bukankah saya ni isteri abang? Isteri mana yang boleh sabar kalau perangai abang semakin hari semakin liar. Kalau abang tak suka saya, abang boleh lepaskan saya. Jangan tipu saya macam ni?”
“Tipu apa?”
“Abang tu dah kahwin. Dah ada isteri baru. Kenapa berani buat tak berani nak berdepan dengan kenyataan?” sergah isterinya. Ketika itu dia kehilangan kata-kata. Dia merenung tajam ke arah isterinya. Niatnya hendak mengamuk dan menyangkal semua kata-kata isterinya sebagai tuduhan yang tidak berasas.
Namun tiba-tiba dia jatuh belas ketika melihat mata isterinya yang mula basah. Lalu dia tidak berani berbohong lagi. Lebih baik berterus-terang dan berdepan dengan kenyataan.  
Dia menyerah diri untuk dihakimi. Semuanya diceritakan tanpa silu. Selepas usai dia berkisah, kedengaran tangisan yang mendayu dan sangat menyentuh hati dari isterinya. Dia dihambat rasa bersalah. Namun semuanya telah berlaku. Dia tidak boleh berpatah balik lagi. 
“Abang harap awak terima semua ini dengan sabar. Abang terdesak.”
“Siapa yang mendesak? Nafsu abang?” serang isterinya.
“Abang mengaku salah. Abang dah lukakan hati awak. Abang minta maaf. Abang tahu awak terseksa,” katanya perlahan, cuba memujuk.
Tangisan isterinya semakin mendodoi. Hati seorang isteri sedang kesakitan. Dia rasa tidak tertahan mendengarnya. Namun dia tidak ada penawar untuk mengubati kesakitan yang sedang ditanggung isterinya.

“Janganlah menangis macam ni. Sabarlah. Abang tahu abang salah. Abang  mengaku.” Dia mengulangi pengakuannya.
“ALLAH  akan bersama orang yang teraniaya. Abang buatlah sekehendak hati abang. Saya akan hidup untuk anak saya. Saya akan hadapi semuanya demi dia. Saya akan berserah kepada DIA. Cuma, tolong izinkan saya keluar mencari rezeki,” kata isterinya di celah tangisan.
Dia diam. Dia membiarkan air mata itu mengalir namun dia tidak mengesatnya! 
Selepas itu segala belas kasihan tidak pernah bercambah lagi di hatinya. Dia seperti tidak ingat langsung untuk balik ke rumah melihat anak yang masih kecil itu.
Malah dia juga semakin garang dan kasar dengan wanita itu. Semua yang dilakukan isterinya tidak kena. Semuanya menyakitkan hati dan mata. Itulah sebabnya dia tidak mahu pulang lagi ke rumah itu. 
Dia menjadi suami yang begitu zalim. Dia juga menjadi ayah yang sangat kejam.
“Perlukah setiap hari saya cakap dan rayu suruh abang balik. Kalau abang tak mampu nak berlaku adil, jangan tambahkan dosa abang,” kata isterinya pada satu malam. 
“Apa lagi masalah kau ni? Aku dah beri kau duit. Aku dah siapkan tempat tinggal. Apa lagi yang kau nak?” tengkingnya dengan keras. Kering dan langsung tidak berperasaan
 
“Anak abang perlukan kasih sayang seorang ayah. Saya juga bukan janda. Abang dah kahwin lain. Saya boleh terima. Tapi abang tak jalankan tanggungjawab abang kepada saya. Abang tak adil sebagai ketua keluarga!”
“Kau jangan nak ajar aku! Kau tengok dalam diri kau tu. Kau tu hanya menyusahkan aku!”
Ketika itu yang didengarnya hanya esakan. Tangisan itu entah yang kali ke berapa.  Namun, tangisan itu tidak lagi menagih belas kasihannya. Setiap kali balik ke rumah dan melihat wanita itu, di hatinya tiada langsung rasa sayang. Yang bercambah dari hari ke hari ialah rasa benci dan meluat.
Segala rayuan dan rintihan isterinya itu langsung tidak dipedulikan. Dia lalai. Dia engkar pada amanah ALLAH. Banyak kali dia menzalimi anak isterinya. Kerana isteri kedua, dia melupakan cintanya kepada isteri pertama. Sungguh zalim.
Penamat kepada semua kezaliman itu pun berlaku.
Pada satu malam ketika dia sedang berehat di rumah Naimah, telefon di atas meja berdering. Dia mengangkat kerana Naimah berada dalam bilik.
“Assalamualaikum bang. Saya minta maaf kerana mengganggu abang. Saya tak tahu nak hubungi siapa selain abang.”  Suara isteri pertamanya bergema di hujung talian. Hatinya mendidih panas.
“Apa hal ni? Tak boleh tunggu esok ke?” Dia menyergah sebelum sempat wanita itu menghabiskan kata-katanya.
“Anak kita demam. Panas sangat. Saya rayu abang. Pulanglah sekejap. Tolong saya hantar anak ke hospital.”
“Kau tak boleh nak uruskan sendiri?" 

“Dah malam macam ni, saya nak naik apa. Kalau siang, memang saya tak akan ganggu abang. Tolonglah bang …”
“Tengoklah nanti.”
“Abang, ini bukan masanya nak tunggu dan tengok. Anak kita sedang demam. Badannya sangat panas bang. Saya tak bohong. Tolonglah bang,” rayu isterinya di hujung talian.
Hatinya bergetar resah mendengar rayuan itu. Denyut kasih seorang ayah masih terasa. Namun, dia memang lelaki yang tidak berdaya ketika itu. Sangat tidak berdaya. Naimah merampas telefon dari tangannya.
“Hei perempuan! Tak reti bahasa ke? Kalau dah suami tak nak balik rumah kau tu, tak payahlah nak merayu-rayu. Muka tak malu ya? Kalau anak sakit, usahalah sendiri bawa ke hospital. Jangan pula sikit-sikit nak telefon laki. Kau pun dah tahu, dia sekarang ada dengan aku. Aku tak suka kau ganggu kami. Faham? Hei! Helo! Helo!” Naimah separuh menjerit. Rona wajah Naimah berubah, merah dek marah.
“Kenapa?” Dia bertanya selepas melihat wajah Naimah berubah.
“Kurang ajar! Saya belum habis cakap dia dah letak telefon. Tak sekolah ke bini abang tu?” Naimah menyerangnya dengan suara lantang.
Dia termenung. Hatinya berbaur gundah. Benarkah anaknya demam? Benarkah isteri pertamanya itu tidak berbohong? Tiba-tiba ada sedikit rasa bersalah dan kesal dengan sikapnya tadi. Dia tahu isterinya bukan jenis orang yang suka mereka-reka cerita. Mungkinkah benar anaknya sedang sakit?
“Yang abang termenung ni kenapa pula?” Naimah menyergah. Dia tersasar panik seketika.

“Mungkin benar anak abang demam,” katanya cuba membuatkan Naimah memahami apa yang ada dalam hatinya.
“Alah, tak mananya. Dia saja buat alasan nak kacau kita tu. Cemburulah tu! Pedulikan dia. Cepat bersiap bang!” arah Naimah.
“Tapi, dia tak pandai bohong. Abang kenal dia,” katanya cuba menolak tohmahan Naimah.
“Jadi, abang nak kata sayalah yang mulut jahat. Sayalah yang bohong?”
“Bukan begitu …”
“Sudah. Saya tak nak dengar rungutan abang. Cepat bersiap!” potong Naimah dengan kasar.
“Kita nak ke mana?”
“Abang lupa lagi? Malam ni kan kita dah janji nak ke majlis hari lahir kawan saya di Tropical Inn. Cepatlah. Saya tak nak terlambat. Ramai teman-teman sekolah saya yang akan datang malam ni. Kami akan raikan dengan meriah.”
Dia masih gelisah. Tidak mahu berganjak dari memikirkan hal itu.
“Abang! Cepatlah. Saya tak nak terlambat!” Kali ini Naimah memekik sekuat hati. Hatinya tersentak. Namun, dia tidak mahu melayan rasa marah di hatinya.
Dengan longlai dia mengikut. Arahan Naimah langsung tidak boleh dibantah. Ia adalah satu perintah. Rasa  belas kepada anak isterinya yang baru muncul di celah hatinya, berkecai. Suara Naimah menguburkan semua rasa itu. Itulah titik awal perpisahan dengan isterinya itu. Dari detik itu bermula titik akhir pada hubungan suami isteri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan