Sinopsis Novel Pelayaran Kasih:
Kamaruzaman dan Kartina berkahwin kerana
cinta. Bagaimanapun ketika rumah tangga mereka sedang bahagia, muncul orang ketiga. Kamaruzaman berkahwin dengan
kekasihnya Naimah dan melupakan semua janji-janjinya kepada Kartina.
Kartina dizalimi dan tidak mendapat haknya
sebagai isteri. Lalu dia menuntut cerai.
Selepas bercerai, masing-masing membawa haluan
sendiri. Kartina tidak menyedari bahawa ketika menerima talak dari Kamaruzaman,
dia sedang mengandung. Selepas bersalin dan habis tempoh edah, dia bertemu dengan
Ahmad Adham seorang duda.
Lantaran tidak mahu anaknya membesar tanpa
ayah, Kartina menerima lamaran itu dan
mereka berkahwin.
Selepas 30 tahun, Kartina dan Kamaruzaman
bertemu secara tidak sengaja di lapangan terbang ketika pulang dari mengerjakan umrah.
Pertemuan itu telah merungkaikan semua kenangan lama dan sebuah rahsia mengenai
kelahiran Muhayat yang tidak langsung tidak pernah diketahui oleh Kamaruzaman.
Muhayat tidak dapat menerima kenyataan bahawa
Kamaruzaman adalah ayahnya kerana sudah berpuluh tahun dia menyayangi Ahmad
Adham sebagai ayahnya. Namun demi menghormati Kartina dan Ahmad Adham dia
terpaksa juga menerima kehadiran Kamaruzaman dalam hidupnya.
Hubungan Ahmad Adham, Kartina dan Kamaruzaman
menjadi bertambah erat hingga menimbulkan fitnah dan kecurigaan di kalangan
masyarakat dan jiran-jiran mereka, termasuk Muhayat sendiri.
Pada masa itu juga, Ahmad Adham semakin uzur.
Dia amat berharap kalau dia sudah tiada, Kamaruzaman sudi mengahwini Kartina
semula dan menjaganya dengan baik. Bagaimanapun, permintaan itu tidak dapat
ditunaikan oleh Kamaruzaman kerana merasakan Kartina adalah wanita yang terlalu
baik dan dia tidak mahu melukainya lagi. Sementara Kartina pula menolak
cadangan itu kerana merasakan seluruh cinta dan kasih sayangnya hanya untuk
Ahmad Adham.
Akhirnya mereka bertiga berikrar untuk hanya
menjadi sahabat baik hingga akhir hayat. Namun tiba-tiba Muhayat menuduh
Kamaruzaman cuba mengambil peluang atas keuzuran Ahmad Adham dan menuduh
berlaku hubungan sumbang antara Kamaruzaman dan Kartina.
Tuduhan Muhayat itu membuatkan hati
Kamaruzaman, Kartina dan Ahmad Adham menjadi retak. Akhirnya Ahmad Adham dan
Kartina merajuk hati lalu keluar dari rumah itu. Mereka berikrar tidak akan
kembali ke rumah itu selagi Muhayat tidak meminta maaf dari Kamaruzaman.
Kamaruzaman pula mengambil keputusan
mengasingkan dirinya dari mereka berdua. Dia memilih untuk tinggal di rumah
pusaka ibunya di kampung. Sejak itu dia tidak pernah berhubungan lagi dengan
dunia luar melainkan dengan Firdaus dan cucu-cucunya.
Di sana, dia bertemu dengan Siti Solehah anak
kepada Pak Tahir salah seorang pekerja yang menoreh di kebunnya. Pak Tahir
jatuh sakit dan tidak mampu bekerja. Tugasnya diambil alih oleh isterinya Mak
Tijah dan Siti Solehah. Siti Solehah pula terpaksa menolak tawaran ke
universiti kerana memberi peluang kepada adik-adiknya Siti Mukminah dan Mohamad
Hafiz.
Kamaruzaman begitu bersimpati kepada nasib
Siti Solehah dan cuba menawarkan bantuan pembiayaan pelajaran Siti Solehah.
Namun bantuan itu ditolak oleh mereka atas alasan tidak mahu menimbulkan fitnah
dan pandangan serong masyarakat.
Akhirnya Kamaruzaman nekad melamar Siti
Solehah untuk menjadi isterinya. Awalnya Siti Solehah menolak dan menganggap
tindakan Kamaruzaman itu menghina mereka kerana usianya yang sebaya Pak Tahir.
Namun, Siti Solehah rasa dia perlu berkorban demi adik-adiknya. Dia menerima
lamaran itu.
Pernikahan mereka berlangsung tanpa cinta. Di
hati Kamaruzaman, dia ingin menolong. Di hati Siti Solehah pula, dia ingin
berkorban.
Siti Solehah pula secara perlahan-lahan mula
jatuh cinta dengan Kamaruzaman begitu juga sebaliknya. Hubungan mereka menjadi
begitu indah dengan ikatan cinta dan iman.
Sebuah karya yang berat dan penuh dengan nilai-nilai murni.
BalasPadamSuka baca review novel daripada kak Asmah, dah baca terus tertarik nak cari novel tu. Good job kak!
Terima kasih Masitah, kalau nak pm akak ya. Kami ada jual
BalasPadam