D
|
ebar di dada Kamaruzaman semakin tidak teratur. Dia
meneliti wajah Ahmad Adham dan Kartina. Dia mencari kepastian yang benar.
Jantungnya berdenyut-denyut.
“Kami tidak berbohong. Muhayat adalah darah daging awak. Saya
berkahwin dengan Tina ketika Muhayat berusia enam bulan. Saya menjaganya
seperti anak sendiri. Namun saya tak merampas dia dari awak. Muhayat tahu dia
anak tiri saya. Saya selalu beritahu dia begitu. Sebab itu saya selalu berdoa
kepada ALLAH agar saya diketemukan dengan awak. Saya nak serahkan Muhayat
sebelum saya menutup mata,” kata Ahmad Adham, menjawab keraguan yang tergambar
di wajah Kamaruzaman.
“Ya ALLAH! Kenapa selama ini saya tak
diberitahu? Tina, kenapa buat abang macam ni?” tanya Kamaruzaman berpaling kepada
Kartina.
“Semasa Tina di hospital, Tina ada telefon
abang beberapa kali. Namun sekali pun abang tak jawab. Tidak lama, ada seorang
perempuan menjawab panggilan Tina. Tina sampaikan pesan suruh beritahu abang
yang Tina dah selamat melahirkan seorang anak lelaki. Tina tunggu abang datang.
Namun ...” Kartina sebak. Seperti baharu semalam peristiwa itu berlaku, walhal
Muhayat sudah berusia 30 tahun sekarang.
Kamaruzaman menepuk dahi. Perempuan yang
dikatakan oleh Kartina itu memang dia kenal. Sangat kenal zahir dan batin.
Angkara wanita itulah semuanya berlaku. Namun tidak lama, Kamaruzaman mengeluh
perlahan.
“Maafkanlah dia. Dia dah tak ada lagi di dunia
ini,” kata Kamaruzaman separuh berbisik.
“Dia dah meninggal? Bila?” Kartina segera
menoleh.
“Dah lama.”
Giliran Kartina pula tunduk diam. Dia membisikkan al-fatihah sebagai
sedekah. Semua kejahatan wanita itu sudah lama dilupakannya. Dia tidak pernah
meletakkan rasa dendam dan marah.
BALIK dari Ipoh, fikiran
Kamaruzaman amat terganggu. Tidak tidak menjangka selama ini ada rahsia besar
yang dia tidak tahu. Dia teringat akan semua kata-kata Ahmad Adham dan Kartina.
Dia terbayang akan wajah Muhayat.
Walaupun dia tidak bertemu anaknya itu. Namun
dia melihat gambar Muhayat yang berdiri segak dalam sebuah bingkai gambar yang
cantik.
Kemudian ada sekeping gambar Muhayat diapit
Ahmad Adham dan Kartina. Sangat mesra dan penuh kasih sayang.
“Muhayat ada di luar negeri. Bulan depan dia akan balik,” beritahu
Ahmad Adham.
“Dia masih belajar?”
“Ya. Sambung belajar. Dia ambil jurusan
ekonomi. Cita-citanya besar. Ingin meluaskan empayar perniagaan kami ke seluruh
dunia. Dan pengajiannya dah tamat. Dia akan segera pulang dengan segulung
ijazah,” jawab Ahmad Adham.
Ketika itu dia melihat wajah Ahmad Adham dan
Kartina dibuai bangga. Ketika menyebut nama anak itu, wajah mereka ceria.
“Dia tahu mengenai saya?” Kamaruzaman mencari
kepastian. Walaupun memang dia sudah mendengarnya dari mulut Ahmad Adham.
“Kami tak pernah mematikan watak seorang ayah
kandung. Dia tahu dia bukan anak kandung saya, tapi kasih sayang kami tetap
erat. Muhayat anak yang baik. Sebaik ibunya,” kata Ahmad Adham sambil menarik
tangan Kartina. Tanpa silu, dia mengucupnya.
“Sebab itu kami berusaha cari abang. Kami nak
dia kenal abang sebelum kami menutup mata. Kami tak nak terhutang apa-apa
dengan dia,” celah Kartina pula.
“Cari abang?” Mata Kamaruzaman merenung
Kartina. Sudah berpuluh tahun berpisah, baru hari ini dia tahu Kartina
mencarinya.
“Kami bertanya ke sana sini. Pernah kami ke
Johor, ke rumah lama kita. Namun tak ada yang tahu abang di mana. Kami juga ke
pejabat abang. Tapi mereka kata abang dah berhenti kerja dan berpindah.”
Kamaruzaman mengeluh perlahan. Terlalu banyak
yang berlaku dalam hidupnya selepas Kartina tiada. Keputusannya menceraikan
Kartina telah menjadi petaka untuk dirinya. Dia hampir kehilangan pekerjaan. Dan
dia hampir kehilangan hidupnya sendiri. Dia benar-benar tertekan dengan
perangai dan sikap Naimah.
Kalau boleh dia tidak mahu mengingati lagi semua
yang telah berlalu itu. Naimah pun sudah
tiada. Kenangan bersama wanita itu juga sudah lama berkubur. Malah dia jarang
mengingati wanita itu lagi sehingga Kartina menyebutnya.
“Abah, kenapa ni? Kami tengok abah tak ceria
sejak balik dari Ipoh. Apa sebenarnya yang berlaku di sana?” tegur Firdaus yang
sering terdengar keluhan Kamaruzaman yang amat berat dan mendesah.
Firdaus anak Naimah. Firdaus bukan sahaja sebagai
anak, malah seperti seorang kawan. Semua masalah akan diluahkan kepada Firdaus.
Sejak kecil, anak itu memang amat mengerti.
“Kalau abah ada masalah, ceritakanlah dengan
Fir. Mana tahu Fir dapat tolong.”
“Memang abah nak cerita. Memang abah nak kongsi.
Tapi, abah tak tahu nak mulakan dari mana.”
“Abah mulakan dari awal. Fir tak kisah kalau
terpaksa menunggu lama. Fir sedia mendengarnya.” Firdaus menggenggam tangan
Kamaruzaman.
Dengan sedikit kekuatan yang ada, Kamaruzaman
membetulkan duduknya. Hanya kepada Firdaus dia mampu bercerita akan kisah itu.
“Fir ingat pada cerita abah mengenai isteri
pertama abah, Kartina?”
“Isteri abah sebelum mama? Kenapa dengan dia?”
Mata Firdaus terbuka luas. Ada kecurigaan yang menusuk hatinya.
“Fir ingat pada orang yang kita jumpa di
lapangan terbang tempoh hari?”
Firdaus mengangguk.
“Kalau Fir nak tahu, itulah orangnya.”
Firdaus mengangguk lagi. Dia langsung tidak
terkejut. Sebaliknya dia termenung sejenak. Dia cuba memahami susur galur
kejadian. Abahnya bertemu bekas isterinya di lapangan terbang. Kemudian abahnya
dijemput ke Ipoh.
Kononnya ada urusan mustahak. Balik dari Ipoh,
abahnya nampak begitu gusar dan murung. Asyik termenung dan mengeluh. Mesti ada
yang tidak kena.
“Apa hal yang mustahak di Ipoh tu, abah?”
Akhirnya Firdaus mula mengesyaki bahawa urusan itulah yang sedang mengganggu
fikiran Kamaruzaman ketika itu.
Kamaruzaman tidak mahu berselindung apa-apa
dengan Firdaus.
Lalu seperti air di sungai, dia menceritakan
semua yang didengarnya mengenai Muhayat. Usai berkisah, kedua-duanya terdiam. Mereka
seperti kehilangan ayat untuk bersambung kata.
Kamaruzaman hanyut dengan rasa kesalnya.
Firdaus pula tenggelam dengan rasa pilunya.
Dia membayangkan kalau dia menjadi Muhayat yang terpisah dari ayah kandung
begitu lama. Setelah dewasa, baharu ALLAH pertemukan mereka. Alangkah sedihnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan