K
|
artina selesai mengerjakan solat isyak ketika mendengar
namanya dipanggil. Dia segera melucutkan
telekong. Kemudian segera pula bergegas menuju ke bilik sebelah.
“Ada apa bang?” tanya Kartina separuh panik.
“Dinda sedang buat apa? Kenapa hilang di mata kanda?” Ahmad Adham
menyengih sebagai mengiringi gurauannya.
Kartina menarik nafas lega. Dia mula ketawa
kecil.
“Dinda tadi sedang bertemu kekasih. Dinda
sedang melepas rindu.”
“Oh... maafkan
kanda kerana mengganggu adinda berkhalwat dengan kekasih hati. Dinda memang
kekasih yang setia.”
“Bersedialah. Dinda akan persiapkan tubuh
badan kanda sekarang.”
“Untuk apa?”
“Agar kanda juga dapat berkhalwat dengan DIA.
Agar kanda dapat rasakan kemanisan kasih-Nya. Agar kanda terlepas
dari siksa rindu pada-Nya.”
Ahmad Adham senyum. Dia mendepang kedua-dua
tangannya. Dengan lenggok manja, Kartina mendekati dan merebahkan dirinya dalam
pelukan Ahmad Adham. Sungguh manis. Sungguh mesra.
“Dinda memang isteri yang hebat. Sepanjang
menjadi suami dinda, tidak pernah sekalipun kanda rasa kosong tanpa cinta.
Dalam hati kanda, tidak pernah kering dengan rindu pada dinda,” bisik Ahmad
Adham di telinga Kartina. Babak asmara mereka bermula, indah.
Kartina melepaskan dirinya dari pelukan Ahmad
Adham. Dia menarik tangan lelaki itu dan mengucupnya.
“Dinda juga begitu. Sejak diri ini menjadi
isteri kanda, belum sekali dinda rasa bosan dengan hidup ini. Kasih sayang
kanda telah menyuburkan jiwa raga adinda. Terima kasih kerana tidak jemu-jemu
mengasihi adinda,”
Ahmad Adham tersenyum senang. Dia mengucup dahi Kartina, tulus dan
penuh kasih sayang. Dalam hatinya berbuai bangga. Dia rasa sungguh beruntung
menjadi lelaki.
“Abang, dah lambat ni. Melambat-lambatkan
solat itu tidak baik.” Kartina segera melepaskan dirinya dari pelukan Ahmad
Adham. Dia menepuk-nepuk lengan Ahmad Adham dengan senyum. Seperti biasa dia
menukarkan pakaian Ahmad Adham dan membersihkan semua kekotoran serta
menukarkan lampin pakai buangnya.
“Sampai bila abang nak menyusahkan Tina macam
ni?” tanya Ahmad Adham sambil memegang tangan Kartina dan merenung ke dalam
matanya.
“Menyusahkan apa pula. Ini tugas Tina. Ini
tugas seorang isteri. Tina rasa beruntung kerana diberi peluang melakukan semua
ini. Abang dah berikan Tina peluang mendapat pahala ALLAH.”
“Tina, terima kasih.” Ahmad Adham mula sebak.
Dia tahu Kartina ikhlas dengan kata-katanya. Namun dia rasa belas melihat susah
payah isterinya itu. Kadang-kadang ketika Kartina tidur, dia akan meneliti
wajah isterinya yang keletihan.
“Tak payah nak buat drama ya bang. Abang tak
puas hati dengan Tina, abang mengadu dengan DIA sebentar lagi. Atau esok abang
mengadu dengan anak kesayangan abang tu,” kata Kartina berpura-pura marah.
“Kenapa esok?” Ahmad Adham terpinga-pinga
hairan.
“Abang lupa?”
Ahmad Adham merenung wajah Kartina. Dia cuba
mengingati sesuatu. Namun, dia tidak ingat apa-apa. Langsung terlupa akan esok
yang dikatakan oleh Kartina itu.
“Esok Muhayat balik. Esok abang akan jumpa
buah hati abang. Esok, abang akan lupa segala-galanya!” Kartina ketawa
perlahan dan memperli.
Ahmad Adham menepuk dahi. Dia beristighfar.
“Abang rasa abang muda lagi. Tapi, kenapa
abang dah lupa? Sedangkan ini saat yang paling abang tunggu. Dah tiga tahun tak
jumpa dia. Kenapa abang lupa? Abang ni dah tua ya?” Ahmad Adham mendongak lagi
dan merenung Kartina.
“Abang belum tua. Abang masih bayi. Tengok, abang masih pakai
lampin,” balas Kartina sambil menunjukkan lampin yang baru ditukar.
Ahmad Adham mengulum senyum. Namun fikirannya masih berkerawang
dengan bayangan wajah Muhayat yang segak.
“Mari ambil wuduk bang,” kata Kartina. Seperti biasa Kartina akan
menadah sebuah besen dan menuangkan air. Dia akan berwuduk. Selesai semuanya,
Kartina menghulurkan kopiah dan membetulkan bajunya.
“Abang solatlah dulu. Tina ke dapur sekejap. Nak siapkan susu panas
kegemaran abang.”
Ahmad Adham pejamkan mata. Dia melafaz niat dan
mengangkat takbir. Empat rakaat dilakukan sambil duduk. Dia sudah tidak sasa.
Kegagahan yang ALLAH berikan sudah ditarik balik melalui satu kemalangan.
Dia terjatuh di bilik air. Dia lumpuh
sementara. Kata doktor, ia hanya kecacatan sementara. Masih ada peluang untuk
dia berdiri dan berjalan seperti biasa kalau dia berusaha.
Apapun,
dia tetap bersyukur kerana dia masih diberi peluang untuk duduk.
Selesai solat, dia berwirid panjang. Selepas
wirid, seperti biasa dia berdoa untuk kesejahteraan diri dan keluarganya. Dia rasa tenang dan
bersyukur dengan apa yang ALLAH berikan kepadanya selama ini. Kekayaaan dan
kebahagiaan hidup bersama Kartina dan anak-anaknya.
“Kekandaku, ini dinda bawakan kekanda segelas
susu panas sebagai penutup malam. Mari, kita minum bersama.” Kartina bersuara
selepas Ahmad Adham mengaminkan doa.
Dia tersenyum dan rasa senang dengan layanan
Kartina yang tidak pernah berubah sejak muda sampai kini.
“Terima kasih adinda. Adinda sungguh budiman.
Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang mampu menandingi kebaikan budi adinda,”
ucap Ahmad Adham dengan tulus.
Kartina ketawa manja. Kemudian gelas susu
disuakan ke mulut Ahmad Adham.
“Berjuta kali kanda memuji adinda. Apakah
kekanda tidak jemu?” tanya Kartina sambil tangannya mengesat susu yang tersisa
di bibir Ahmad Adham.
“Seperti adinda yang tak pernah jemu mengasihi
kanda, begitulah kanda tidak akan jemu memuji adinda. Kanda tulus. Kanda tidak
berpura-pura. Memang adinda layak dipuji. Kalau ada pingat untuk isteri yang
setia dan pengasih, adindalah yang paling layak,”
Sekali lagi Kartina mengekek.
“Sudahlah. Adinda tahu kekanda jujur. Hari
sudah malam. Tidurlah dulu kanda.”
“Tapi kanda belum puas bercekengkerama dengan
dinda. Ada banyak kata cinta yang kanda nak luahkan. Jangan padamkan lampu
dulu. Mari dengar bisikan cinta kanda ini.” Ahmad Adham menarik tangan Kartina
dan meletakkan di dadanya.
“Tapi kanda jangan lupa pesan tuan doktor
bahawa selepas makan ubat, kanda perlu segera beradu agar kesihatan kanda tidak
terjejas. Esok saja kita sambung kata-kata cinta kanda tu ya!” kata Kartina
dengan senyuman. Tangannya segera menarik selimut dan menutup kaki Ahmad Adham.
Kemudian dia memeluk Ahmad Adham, erat dan
penuh kasih sayang seperti pelukan seorang ibu.
Ahmad Adham rasa aman dengan pelukan itu.
Jiwanya rasa segar. Dia membalas pelukan itu dengan sebuah kucupan di dahi dan
pipi.
“Terima kasih dinda. Cinta dinda menyegarkan
jiwa kanda,” bisik Ahmad Adham ke telinga Kartina.
“Abang tidurlah dulu. Esok kita sambung lagi
bangsawan cinta kita ni.”
“Tina nak ke mana?”
“Abang lupa, esok Muhayat balik. Tina nak
masak makanan kegemarannya. Dah sepuluh kali dia mengirim mesej suruh
masak.”
“Laksa Johor?”
Kartina kerdipkan mata dengan lirikan senyum. Kemudian
dia berlalu pergi dengan lengguk manja. Ahmad Adham berbaring. Bayangan lirikan
mata Kartina masih menikam hatinya dengan rasa kasih yang tetap bersemarak.
Memang sejak awal bertemu hingga kini, kasihnya tidak pernah surut kepada
isterinya itu.
Kartina isteri yang sangat setia dan tabah.
Sudah bermacam dugaan dilalui bersama. Dia sudah merasai kasih sayang Kartina
sejak muda hingga kini. Senyum dan air mata wanita itu sudah sebati dengan
jiwanya. Dia tidak pernah putus mengucap syukur kerana ALLAH menetapkan takdir
yang baik untuknya.
Pertemuan jodoh dengan Kartina memang amat
tidak dijangka. Ketika itu dia sudah menduda hampir dua tahun selepas Norkiah
meninggalkannya untuk mengikut lelaki lain. Dia merana. Dia kecewa. Namun, dia
gagahi semangat untuk meneruskan hidup yang sepi.
Kartina pula bekerja di kantin syarikatnya.
Setiap hari dia makan dan minum di kantin itu. Masakan yang paling disukainya
ialah laksa Johor. Yang memasaknya ialah Kartina. Laksa Johor masakan Kartina
memang sangat sedap dan tiada bandingannya.
Lama kelamaan hatinya mula terpikat kepada
Kartina.
Dia tidak mahu menunggu lama. Dia melihat ada
cahaya kasih dalam mata Kartina. Tanpa menunggu lama, dia terus melamar.
“Encik, rasanya kita tak sesuai. Saya ni janda anak
satu. Encik carilah orang lain. Saya tak nak nanti encik menyesal.” Itu jawapan
awal Kartina.
“Janda bukan manusia? Saya sukakan awak dan
saya berjanji untuk mengasihi anak awak juga.” Dia terus memujuk dan berharap.
Lama juga dia menunggu. Alasan Kartina
dirasakan amat tidak logik, namun dia begitu menghormati keputusan Kartina. Dia
tidak mahu memaksa.
“Sebenarnya saya serik untuk berkahwin lagi.
Selepas apa yang berlaku, saya rasa amat kecewa dengan perangai lelaki. Sebelum
dapat, semuanya berjanji manis. Biarlah saya terus hidup dengan anak saya.”
“Tapi, anak itu perlukan kasih seorang ayah. Awak tak kesian dengan dia?”
“Belum tahu kalau saya kahwin, anak saya mendapat kasih itu. Saya
bimbang kalau kasih dan cinta lelaki hanya kepada saya, bukan kepada anak
saya,” kata Kartina dengan curiga.
“Saya tak nak paksa awak dan berjanji yang bukan-bukan. Kalau awak
percayakan saya, saya akan laksanakan tanggungjawab saya dengan penuh kasih
sayang. Kalau sekarang awak menolak saya, tak apa. Saya tetap akan tunggu
hingga awak sudi.”
Memang dia sanggup menunggu. Namun mungkin ALLAH sudah tetapkan
jodohnya memang dengan Kartina, akhirnya Kartina menerima lamarannya dan mereka
berkahwin. Muhayat ketika itu berusia enam bulan. Baru pandai merangkak. Baru
pandai ketawa.
“Kita pindah ke Ipoh. Abang nak Tina lupakan semua yang ada di
sini. Kita mulakan hidup baru dengan suasana baru.”
“Kerja abang?”
“Abang akan minta tukar ke cawangan di sana. Muhayat mesti
membesar dalam suasana yang baik. Abang tak nak dia rasa rendah diri.”
Kartina akur. Sebenarnya dia bukan sahaja
ingin Kartina melupakan kisah sedihnya. Dia juga ingin melupakan apa yang
berlaku padanya. Norkiah telah bahagia dengan lelaki pilihannya. Dia tidak mahu
ada mendengar apa-apa lagi mengenai wanita itu.
Selepas setahun, lahirlah Siti Marsyila. Diikuti
Ahmad Mursyid tiga tahun kemudian. Kehidupan mereka bertambah bahagia. Setiap
hari cintanya kepada Kartina juga semakin mendalam.
“Abang cintakan Tina dengan sepenuh jiwa
abang. Harap
Tina tak tinggalkan abang. Kalau Tina tak ada di sisi abang, entah apa akan
jadi pada abang.” Itu yang sering diminta dari Kartina. Dia amat bimbang pada
perpisahan. Dia takut untuk hidup tanpa Kartina.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan