DUDUK
di ruang tamu menghadap kedua orang tuanya bagaikan orang bersalah menunggu
dijatuhkan hukuman gantung sahaja. Ikmal memandang wajah kedua orang tuanya. Nadia
duduk dengan anak-anak dengan muka sedih seperti menjadi mangsa pula. Orang
tuanya pula memandang macam hendak telan dia hidup-hidup. Aleeya awal-awal lagi
terus ke dapur menyibukkan diri. Malas agaknya hendak campur tangan masalah
kekeluargaan yang tidak pernah ada penghujungnya.
“Apa dah jadi ni, Ikmal?” tanya Haji
Raub. Wajah anak lelakinya ditenung lama. Masalah betullah anak-anak sekarang. Sudah
bercerai pun masalah tidak selesai.
“Jadi apa pula, ayah?” Ikmal kurang
senang dengan nada suara ayahnya.
“Nadia mengadu kau tak pedulikan
anak-anak, tak ambil tahu hal mereka, tak bagi duit yang cukup untuk belanja
mereka,” susun Haji Raub.
“Mana ada ayah? Tiap-tiap minggu
saya bawa budak-budak ni bercuti. Sampai saya abaikan Leya. Nadia pulak bagi syarat
tak boleh bawa Leya bersama. Kami dah cukup bersabar dengan sikap Nadia.
Sekarang ni, dia buat cerita nak burukkan saya!” luah Ikmal. Matanya merenung
tajam ke arah Nadia yang menunduk bagaikan orang teraniaya.
“Habis tu Nadia cakap, Ikmal jarang
menjenguk mereka?” Hajah Hanizahh memandang wajah anak lelakinya tidak beralih.
“Kenapa awak cakap macam tu, Nadia?”
tegur Ikmal.
“Memang pun, seminggu berapa hari
aje awak datang jenguk anak-anak?” Nadia mencebik.
“Cukuplah tu! Takkan saya nak datang
hari-hari?” marah Ikmal.
“Kenalah! Inikan anak-anak awak? Takkan
saya seorang nak jaga mereka. Mana saya mampu?” Nadia tidak mahu kalah. Dia
akan terus bermain sandiwara selagi Ikmal masih berpegang dengan keputusannya.
“Hisy…” Ikmal mengeluh. Ini sudah lebih.
Aleeya yang berada di dapur hanya
mampu mengeluh mendengar butir bicara mereka yang berada di ruang tamu. Nadia
sudah menggunakan kedua orang tua mertuanya pula agar segala rancangannya
berjalan lancar. Memang berani perempuan itu! Pandai pula menggunakan anak-anak
lagi. Hebat! Hebat!
“Ikmal jangan abaikan anak-anak, ini
tanggungjawab Ikmal. Ayah tak mahu orang tuduh jadi ayah yang tak
bertanggungjawab. Hanya tahu buat anak, tapi tak pandai nak jaga!” lengking
Haji Raub. Sakit juga hatinya mendengar bebelan Nadia sejak semalam mengatakan
Ikmal langsung tidak menghiraukan anak-anak.
“Bila masa pula Ikmal abaikan
mereka? Cuba tanya along, setiap minggu Ikmal bawa mereka berjalan.” Ikmal
memandang wajah anak sulungnya yang langsung tidak berani memandangnya.
“Along! Betul tak, ayah selalu bawa
along dan adik-adik keluar, kan?” Ikmal mengerut dahi. Anaknya tidak menjawab
dan hanya mendiamkan diri.
Wajah
cemberut Nadia yang memandang along dengan jegilan mata membuatkan dia syak
sesuatu. Nampaknya, Nadia telah mempengaruh anak-anak agar melawannya.
“Mak minta maaf, Nadia. Mungkin
Ikmal terlepas pandang dan terlupa. Nadia jangan bimbang, mak akan pastikan
Ikmal tak abaikan cucu-cucu mak ni,” kata Hajah Hanizah.
“Saya dah tak bekerja mak. Siapa nak
tanggung makan minum saya dan anak-anak?” terang Nadia.
“Hah? Awak berhenti kerja? Tapi,
kenapa?” Ikmal terkejut. Biar betul bekas isterinya. Sanggup berhenti kerja?
Bunyi cawan jatuh membuatkan mereka
yang berada di ruang tamu menoleh.
Aleeya cepat-cepat mengangkat cawan
yang jatuh ke lantai. Sejak dari tadi buat air masih tidak siap-siap. Dia
mencuri dengar sebenarnya. Aduh! Sakit jantungnya. Perempuan itu berhenti
kerja? Pensyarah pula tu, aduhai… apa pula permainan Nadia. Aleeya meletak
tangan di kepala. Sakitnya kepala dia. Pening, pening!
“Siapa nak jaga budak-budak ni,
kalau saya bekerja? Mana cukup duit nak hantar ke pusat jagaan, mak, ayah.
Semuanya dah mahal sekarang ini. Mahu tak mahu, terpaksalah Nadia berkorban,”
jelas Nadia.
“Awak memang gila, Nadia!” Ikmal
menggeleng kesal.
“Saya kena bayar duit pengasuh tau
tak?” Nadia menjeling, dia mula menangis.
“Ikmal kena selesaikan masalah ini,
mak tak nak cucu-cucu mak terabai,” pesan Hajah Hanizah. Dia mendekati bekas
menantunya dan memujuknya.
Ikmal mendengus kasar. Pandai
sungguh bekas isterinya berlakon. Boleh tahan juga. Tapi bab berhenti kerja itu
memanglah sangat hebatnya. Dia menahan rasa marah di hati. Nasib baik depan
orang tuanya. Kalau hanya ada dia dan Nadia, dia tidak akan peduli. Ikut suka
kaulah, siapa suruh berhenti. Wajah anak-anak dipandang. Semua menunduk, takut
benar dengan mama mereka.
“Ikmal, sebagai lelaki, kita harus
bertanggungjawab. Ayah tak suka anak ayah lepas tangan dan lari daripada
tanggungjawab. Cucu-cucu ayah ni masih kecil, perlukan kalian berdua, jangan
jadikan mereka mangsa hanya kerana kalian dah bercerai,” nasihat Haji Raub.
“Ya, ayah. Ikmal tahu. Ikmal akan
cuba yang terbaik. Ikmal akan pastikan anak-anak mendapat cukup semuanya,” luah
Ikmal.
“Along nak ayah kahwin balik dengan
mama!” kata Along kuat.
Aleeya yang berada di dapur, urut
dada mendengarnya. Hampir jatuh sekali lagi cawan yang berada di tangannya.
Ikmal menjegilkan mata. Pasti Nadia
sudah ajar along bercakap seperti itu.
“Along!” Ikmal hampir menjerit.
“Hah!” Haji Raub terkejut
mendengarnya.
“Kami nak ayah kami semula,” sambung
along tersekat-sekat.
Ikmal mengeluh, macam baca skrip
pula. Tidak lancar langsung mengucapkannya.
“Mana boleh along! Ayah dah kahwin
dengan Mak Cik Leya,” terang Ikmal.
“Kami tak suka Mak Cik Leya! Kami
nak mama.” Along mula menangis.
“Angah pun nak mama kahwin semula
dengan ayah.” Angah tersenyum. Baru berumur enam tahun.
Wah! Habis anak-anak semua pandai
berlakon. Habislah dia, dengus Ikmal dalam
hati.
“Kahwin semula?” Haji Raub mengeluh.
Susah juga ini. Ikmal sudah pun berkahwin. Takkan nak berpoligami pula? Haji
Raub memandang wajah bekas menantu dan anak lelakinya. Dia merenung pula
cucu-cucunya. Kalau demi kebaikan cucu-cucunya tidak ada salahnya. Tetapi
mengenangkan Aleeya anak kawannya sendiri buat hatinya resah. Apa pula kata
besannya nanti. Haji Raub menyandar di kerusi
kayu jati yang menjadi perabot pilihan di ruang tamunya.
“Kahwin semula?” Hajah Hanizah
terkedu seketika. Dia memandang wajah Nadia yang masih lagi menangis di
bahunya. Biar betul? Aduh!
“Tak mungkin ayah, mak!” Ikmal
menolak. Aleeya dia nak campak ke mana?
Aleeya sudah tersandar di kerusi. Hilang
rasa nyawanya seketika. Terasa jantungnya berhenti berdegup. Mahu sahaja dia
menangis di situ juga. Nadia memang bijak. Sanggup dia mempergunakan anak-anak
demi merealisasikan impiannya. Apa yang harus dia lakukan?
“Kalau cadangan itu mampu membantu
Nadia dan merapatkan semula hubungan Ikmal dan anak-anak, apa salahnya,” kata
Haji Raub.
“Ayah! Ikmal tak setuju. Ikmal tak
mampu nak ada dua orang isteri. Cubalah faham! Anak-anak mana faham masalah
orang tua. Nadia, tolonglah. Jangan buat saya macam ni!”
“Siapa nak tanggung saya? Kalau saya
tak berkahwin dengan awak, anak-anak macam mana?” Nadia memandang wajah Ikmal.
Langsung tiada rasa simpati dengannya. Dia terpaksa berhenti kerja demi
mendapatkan simpati kedua orang tua Ikmal dan Ikmal sendiri. Alih-alih lelaki
itu tetap tidak setuju. Habislah rancangannya, asyik tidak menjadi. Pendakap
gigi yang dipakainya memang sakit dan bertambah sakit ketika hatinya sedang
membakar api kemarahan itu.
“Awak kembalilah bekerja. Saya bayar
duit pengasuh anak-anak nanti. Tolong jangan menyusahkan saya!” pinta Ikmal.
“Awak kejam!” Nadia menangis lagi.
“Ikmal!” Haji Raub mengharap Ikmal
mempertimbangkan permintaan anak-anaknya.
Ikmal menggeleng laju.
Haji Raub dan Hajah Hanizah hanya
mampu mengeluh berat.
Nadia mengetap bibir. Rancangannya
gagal lagi. Sia-sia dia berhenti kerja! Dia mengetap bibir. Anak-anak dipandang
dengan perasaan sebal di hati. Tak guna! detik hati kecilnya.
Aleeya menarik nafas lega. Suaminya
masih bertegas dengan keputusannya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan