NADIA
menarik tangan anak-anaknya masuk ke dalam rumah. Dia menolak anak sulungnya
dengan kasar. Tak boleh harap! bisiknya sendiri. Dia memandang kelima-lima
anaknya dengan hati yang panas. Penat sahaja dia menerjah rumah bekas
mertuanya. Penat juga dia berhenti kerja dengan notis 24 jam. Semuanya jadi
sia-sia! Hancur semuanya! Tangannya cepat meraup wajahnya yang berpeluh. Kepanasan
di hati membakar seluruh tubuhnya.
“Kau tunggulah Ikmal! Aku takkan
berdiam diri!” kata Nadia sendiri. Penat lelahnya tidak berbalas. Memang
benar-benar menyakitkan.
PAGI itu setelah menghantar
anak-anaknya ke tempat pengasuh, dia ke tempat kerja lamanya. Terpaksalah dia
merayu untuk masuk bekerja semula. Memang memalukan. Tetapi apakan dayanya.
“Kau dah kenapa, Nadia? Minggu lepas
kau mintak berhenti 24 jam, hari ini kau tiba-tiba datang nak masuk semula.
Nasib baik Dr. Harsat benarkan kau bekerja semula.” Hanida kawan baiknya
sewaktu di universiti, kebetulan mereka mengajar di universiti yang sama.
“Nak buat macam mana? Dah bekas
suami aku tak nak juga nikah dengan aku semula. Terpaksalah aku bekerja semula.
Ingatkan bila aku berhenti, dia simpati. Dan dia bersetujulah berkahwin dengan
aku,” jelas Nadia.
Hanida ketawa perlahan.
“Kau ni memang gila talaklah! Dah
setahun kau bercerai dengan Ikmal. Lagipun bekas suami kau tu dah kahwin lain,
kan?” Hanida menggeleng kesal. Sikap degil dan keras hati Nadia yang tidak mahu
mendengar nasihat orang masih tertanam kukuh di hatinya.
“Kau ingat senang nak cari lelaki
sebaik Ikmal? Kau fikir ada ke orang nak kahwin dengan aku janda beranak lima
ni? Silap hari bulan lelaki tu nak kat aku aje, budak-budak tu dihantarnya ke
rumah anak yatim. Masa tu, haru-biru hidup aku,” luah Nadia. Itulah hakikatnya.
Bukan mudah menjadi janda anak lima. Tidak termasuk lagi pakej mulut jiran
tetangga yang mengata dirinya. Penat betul, letih telinganya menapis
cakap-cakap mereka. Macamlah mereka akan terus berlaki sampai mati.
“Kalau dah tahu... yang kau gatal
minta cerai tu, kenapa? Ikutkan sangat rasa cemburu kau tu. Sepatutnya dah
dapat suami yang baik, belajar menghargai. Jangan bodoh sombong. Kan sekarang
sendiri yang susah!” tempelak Hanida.
“Kau nak kutuk aku ni, kenapa?” marah
Nadia. Minuman yang berbaki dihabiskan segera. Lebih lama dia duduk di situ,
makin panjang leteran sahabat dan rakan sekerjanya itu. Boleh panas seluruh
tubuhnya. Takut tak tahan, terbakar nanti.
“Aku kawan kau, Nadia. Sebagai kawan
kalau aku tak nasihatkan kau, siapa lagi? Kau tak boleh ikutkan sangat kata
hati. Kena fikirkan orang lain sama,” nasihat Hanida. Bukan dia tidak simpati
dengan nasib sahabatnya itu, tetapi itulah, degil sangat. Akhirnya, diri
sendiri yang menyesal.
“Kau tahu tak kat mana boleh dapat
minyak senyonyong atau ada ayat-ayat yang boleh menundukkan Ikmal?” tanya Nadia
tanpa berselindung. Kalau cara baik tak dapat, apa salahnya guna cara tak baik?
Siapa suruh Ikmal menolak dirinya?
“Hah? Minyak senyonyong?
Kau nak buat apa? Guna-gunakan Ikmal? Berapa lama minyak itu mampu bertahan? Kalau
kasih yang datang bukan dari hati, tak lama mana, Nadia... Berdosa pula tu. Kau
kena ingat perbuatan kau ni kesannya pada anak-anak kau juga. Jangan main
gilalah!” larang Hanida.
“Habis tu, kau nak suruh aku buat
apa? Biarkan Ikmal bahagia dengan isteri baru dia tu? Aku pulak merana makan
hati dengan anak-anak!”
“Makan hati apanya? Ikmal selalu melawat
anak-anak kau, kan? Duit belanja pun lebih daripada cukup. Tengok tu, kau siap
pakai pendakap gigi lagi. Gaji kau sebagai pensyarah bukannya sikit. Kau nak
apa lagi? Belajarlah bersyukur. Bukan susah mana pun hidup sendiri,” ujar
Hanida terus menasihati.
“Aku nak dia jadi laki aku balik,
kau faham tak?” lengking Nadia. Kenapa tiada orang yang faham kehendaknya? Dia
ingin berkahwin semula dengan bekas suaminya. Apa susah sangat? Bukan dia minta
duit belanja atau mas kahwin yang mahal. Apa yang penting, Ikmal sudi
mengambilnya sebagai isteri semula. Itu saja. Paling penting, dia tidak mahu
bermadu.
“Macam mana dia nak balik dengan kau?
Dia dah ada isterilah! Cubalah faham!”
“Isteri dia tu pengacau aje. Ini semua
kerja bekas mertua akulah. Bukan main lagi carikan jodoh untuk anak lelaki
mereka. Kononnya kasihan tinggal sendiri. Aku ni yang terpaksa jaga lima orang
cucu mereka ni, tak pula mereka kasihan? Kenapa tak pujuk aje Ikmal tu berbalik
dengan aku? Kenapa carikan perempuan lain?” marah Nadia.
“Manalah dia orang tahu kau nak
berbalik dengan Ikmal? Kalau kau cepat-cepat kejar Ikmal dulu, taklah sekarang
terkejar-kejar. Ini jual mahal sangat. Konon nak suruh Ikmal merayu. Bila bekas
suami kau merayu, kau terus buat keras hati sampailah dia kahwin lain. Baru kau
nak menyesal.”
“Huh! Bercakap dengan kau, makin
sakit kepala aku!” Nadia menjeling.
“Kau sepatutnya bersyukur dapat
kawan macam aku, tak suruh kau jatuh ke lembah hina. Perbaikilah diri. Sujud
pada ALLAH SWT. Minta petunjuk dan berdoa agar lembutkan hati Ikmal menerima
kau. Bukan tak boleh? Kau ingat dengan cari ubat senyonyong tu mampu
mengembalikan Ikmal pada kau?”
“Dahlah! Sakit hati aku. Kalau kau
tak nak tolong, biar aku cari sendiri!” Nadia mencebik.
“Jangan buat kerja gila tu, Nadia. Berdosa!”
larang Hanida.
“Yalah!” Nadia mencebik. Susah betul
kalau berterus terang dengan Hanida yang terlalu baik dan alim itu. Nampaknya
tak adalah cara untuk dia menawan hati Ikmal. Dia mesti dapatkan Ikmal. Ikmal
haknya. Nadia memandang wajah Hanida yang sudah mengecilkan matanya. Marahlah
itu. Nadia menjelirkan lidah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan