ALEEYA
mencebik. Wajah suaminya tidak segirang dahulu. Dia perasan sangat-sangat.
Bukan sehari dua, dia jadi isteri kepada lelaki bernama Ikmal Hakim. Bingung
dia seketika melihat suaminya tidak banyak bercakap dan bergurau senda seperti
selalu. Hendak bertanya, takut pula suaminya tidak mahu diganggu. Tidak
bertanya, dia sendiri yang dalam penasaran. Ah! Susahnya hidup berdua. Kalau
bertiga ada juga teman mengubat duka. Anaklah, jangan fikir yang bukan-bukan
pula.
“Kenapa kak, buat muka poyo pulak
ni?” tegur Lin.
“Poyo ke?” tanya Aleeya.
“Poyolah kalau mulut diherot kiri
kanan. Mata sekejap besar, sekejap kecil, mengeluh tak berhenti. Menung sana,
menung sini,” bebel Lin lagi.
“Aduh, peningnya kepala!” luah
Aleeya sambil memegang kepalanya.
“Apa halnya lagi ni? Tak
selesai-selesai ke?” Lin duduk menghadap Aleeya.
“Mana nak selesai, selagi anak-anak
suami akak tu bernyawa. Erk… akak bukan minta mereka mati tau.” Aleeya
beristighfar. Tak baik mengeluh dan minta yang bukan-bukan untuk orang lain.
Berdosa.
“Akak ni!” Lin menampar lengan
Aleeya. Sudah macam muka ayam berak kapurlah pula. Buat muka tak sudah, sedih
sahaja. Tengok temannya itu buat dia sendiri takut nak berumah tangga. Mungkin,
kalau berkahwin dengan orang bujang tak banyak masalahlah kot, detik hati
kecilnya.
“Kak… kenalah banyak bersabar dan
berdoa. Semoga ALLAH permudahkan segala urusan akak dan keluarga. Janganlah
fikirkan sangat. Nanti terabai tanggungjawab akak di pejabat ini,” nasihat Lin,
sudah seperti pakar motivasi pula.
“Mana akak boleh tahan, Lin. Nadia tak
henti-henti ganggu suami akak. Anak-anak pulak macam benci sangat kat akak. Akak
pulak sampai sekarang tak ada tanda-tanda nak mengandung. Seram akak fikirkan,
Lin. Tengok cerita hantu pun tak seseram ni,” luah Aleeya tentang masalahnya.
“Si jerung masih ganggu suami
akaklah ya?”
“Jerung?” Aleeya memandang wajah Lin
minta kepastian. Jerung mana pula? Setahu dia, di laut negara ini belum pernah
ada jerung menyerang. Kalau di luar negara adalah.
“Hisy! Lambat tangkap betullah akak
ni. Si Nadialah, kak… tengok dia dengan pendakap gigi tu, dah macam jerunglah,”
gurau Lin.
“Hoi! Sakan bersembang! Tak tengok
jam ke? Dah waktu rehat ni.” Ina menjongketkan keningnya sebelah ala-ala Ziana
Zin.
“Asyik ingat makan aje minah tembam
ni,” usik Lin.
Ina menampar bahu Lin. Memang
badannya sedikit berisi berbanding rakan sekerjanya yang lain. Makan ikut tekak
dan sedap. Balun sahajalah, labu…
“Jomlah, keluar makan. Sambil tu
bolehlah kita sembang lagi. Nanti akak sambung kat restoran. Akak nak bercakap
tanpa henti selama sejam setengah pun kami tak larang. Yang penting ini penuh,”
kata Ina sambil menunjukkan perutnya.
“Leya, jomlah keluar makan. Kau tak
nak makan, kau beli... kau bagi kat aku.” Rozita mendekati ketiga-tiga rakan
sekerjanya. Beg duit sudah ada di tangan.
“Yalah, yalah… semua dah macam singa
kelaparan. Takut pula saya kena baham nanti.” Aleeya akur dengan kehendak
rakan-rakannya. Jangan pentingkan diri sendiri. Biarpun dia ada masalah,
janganlah sampai menyusahkan rakan-rakannya.
IKAN
kembung bakar, air asam, ulam-ulaman dan sayur pucuk manis masak lemak putih. Cukup
menyelerakan, kena dengan seleranya, tetapi tidak mampu masuk ke kerongkongnya.
Hatinya galau memikirkan masalah suami tercinta. Bercakap tidak, menung sahaja
tahunya. Hendak bertanya terasa berat pula mulut ini. Takut tersalah tanya.
“Makanlah... nasi tu tak masuk dalam
mulut akak dengan sendiri tau, kena jolok masuk,” tegur Lin dari tadi memerhatikan
Aleeya hanya memerhati nasi dan lauk di dalam pinggannya.
“Ini mesti masalah serius. Kalau tak...
muka tu taklah buruk macam tu.” Rozita menggeleng. Tidak habis-habis dengan
masalah. Sejak berkahwin, Aleeya tidak lagi seceria dahulu.
“Entahlah, Rozita... tak tahulah
serius ke tak? Tapi, memang ada masalahlah. Masalah suami aku,” luah Aleeya. Dengan
sahabat-sahabatnya itu, dia tidak kisah berkongsi cerita kerana mereka akan
menasihatinya dan jiwanya tenang semula.
“Kalau ada masalah dengan suami
sendiri, bertanyalah. Jangan simpan dan bersyak wasangka. Tak baik untuk
hubungan kau dan suami kau.” Rozita mengambil ikan kembung bakar di dalam
pinggan Aleeya. Sudah nak habis waktu makan, sah-sah tak makanlah. Membazir
sahaja.
“Nak tanya tulah yang berat, Rozita!
Kang dia kata menyibuk aje.” Aleeya mengeluh perlahan. Nasi di pinggan langsung
tidak disentuh. Perlahan-lahan kawan-kawannya ambil seorang sedikit. Habislah
juga, tidaklah membazir. Tidak baik membazir, itukan kawan syaitan. Masalah,
masalah!
“Nak skodeng suami kau ke? Kalau nak
bagitahu aje bila dan di mana, kami sedia jadi penyiasat persendirian,” kata
Rozita sambil menyengih.
“Skodeng? Boleh ke, Rozita? Aku
takut laki kau skodeng kau sebab tak balik rumah,” sindir Aleeya.
Rozita ketawa.
“Ini, ada tiga anak dara pinggiran…
kan, kan, kan!” Rozita menyeringai.
“Uh! Boleh harap ke?” Aleeya mencebik.
“Alah, kak… takkan tak percaya kat
kami. Akak bagitahu aje bila, kami sedia terjah! misi in action!” Lin mengangkat kedua-dua belah tangannya bagaikan
seorang ahli angkat berat.
“Banyak kau punya misi in action!” Pecah gelak Ina.
“Erk… bukan ya?” Lin menggaru
kepala.
“Jangan nak merapu. Nanti akak
cuba-cuba risik. Kalau tak berjaya, kita guna khidmat penyiasat persendirian.” Aleeya
menarik nafas lega.
“Mahal tu kak, guna khidmat kami
aje. Belanja makan malam atau tengah hari dah cukup,” sampuk Ina.
“Apa yang mahal?” Rozita mengerut
dahi.
“Penyiasat persendirian tulah!” Ina
menampar bahu Rozita.
“Hisy… penyiasat persendirian tu,
kau oranglah!” Rozita menunjal kepala Lin yang terpinga-pinga.
“Cakaplah nak guna perkhidmatan Tiga
Dara Pinggiran.” Lin ketawa agak kuat.
“Apa yang kelakarnya?” Aleeya
menggeleng. Memang sengallah anak dara tiga orang ini. Patutlah tidak ada
lelaki yang berani memikat mereka.
“Tak kelakar ke, kak?” Lin
menyengih.
“Tak!” jawab mereka serentak.
Lin menyengih lagi. Dia sendiri yang
berasa kelakar. Misi akan berjalan untuk menghapuskan musuh. Siapa musuh? Hmm…
Lin mengerutkan dahi. Susah juga jadi penyiasat persendirian rupanya.
Terhibur seketika hatinya. Aleeya
benar-benar rasa bahagia berada bersama keempat-empat kawannya itu. Rozita jarang
dapat bersama dengan mereka kerana dia sudah ada keluarga. Tidak manislah ajak
isteri orang keluar selalu. Tiga orang lagi masih bersendirian. Teman lelaki
pun tidak ada. Bukan tidak cantik, cuma terlalu memilih. Nak cari lelaki macam
Shukri Yahayalah, macam Aaron Azizlah. Macam Zizan pun kira bolehlah. Bukan
main lagi demandnya. Hal suaminya
akan diselesaikan dengan cara baik. Mungkin suaminya nak selesaikan sendiri
masalahnya. Tidak mahu menyusahkan dia. Tetapi, kenapa hubungan mereka dingin? Itulah
persoalannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan