P
|
enerbangan
ke Sydney dengan pesawat Air Asia D7220 berlepas dengan selamat. Ahmad Adham
begitu ceria duduk di tengah-tengah antara Kartina dan Kamaruzaman. Memang dia
sangat gembira. Sudah lama dia tidak makan angin. Betul kata Muhayat. Dia perlu
keluar dari bilik untuk memberi kesegaran kepada jantung.
“Kenapa awak berdua pilih Australia?” tanya Kamaruzaman.
“Panjang kisahnya. Dulu, semasa muda adinda manis ni pernah
mengidam nak makan kanggaroo. Ish! Saya masa tu sangat sibuk kerana perniagaan
tengah naik. Tak sempat nak bawa dia. Nasib baik anak kami tak meleleh air
liur,” jawab Ahmad Adham dengan ketawa.
Kamaruzaman dan Kartina ikut ketawa.
“Jadi, sekarang kita nak ke kandang kanggaroo
tu?”
“Taklah. Cukup kita ronda di kawasan bandar
saja. Kata Muhayat, tempat tu jauh lagi dari Sydney. Kaki saya ni baru nak
baik. Bimbang pula nak bawa berjalan jauh-jauh.”
“Terima kasih kerana ajak saya ikut serta
makan angin sejauh ni.”
“Ini idea anak awak juga. Muhayat yang minta
kami bawa awak, Man.” Ahmad Adham sengaja berbohong. Dia berpaling kepada Kartina,
minta persetujuan untuk cerita bohongnya itu. Dia berniat baik. Dia mahu
hubungan anak dan ayah itu menjadi lebih akrab.
Kamaruzaman tunduk. Hatinya bergetar ketika
mendengar nama Muhayat. Namun, hatinya cuak dengan cerita Ahmad Adham. Kalau
benar Muhayat yang syorkan idea itu, dia tentu senyum gembira ketika di KLIA
tadi. Tetapi wajah Muhayat masam. Dia bersalam dan memeluknya dengan hambar.
Langsung tidak senyum.
Sepanjang perjalanan mereka berdua begitu
gembira berbual dan bercerita mengenai masa muda. Bermacam pengalaman dan kisah
dikeluarkan. Kartina hanya menjadi pendengar. Sekali sekala dia
tersenggut-senggut, mengantuk.
Mereka menginap di Aspire Hotel di tengah-tengah bandar Sydney.
Muhayat menempah dua bilik yang agak eksklusif dan mewah. Jadual perjalanan ke
destinasi-destinasi tertentu juga diatur rapi.
“Nah, ini bilik awak. Selesa kan? Anak kita memang teliti orangnya.
Saya bangga jadi ayah dia,” kata Ahmad Adham ketika menghantar Kamaruzaman ke
biliknya. Matanya bercahaya girang.
Kamaruzaman tumpang bangga. Dia hanya tersenyum nipis.
“Awak pun patut bangga. Dia menjadi anak yang baik,” kata Ahmad
Adham kepada Kamaruzaman.
“Terima kasih atas jasa awak membesarkan dia.
Ternyata awak berjaya mendidik dia menjadi insan mulia. Semulia ibunya,” balas
Kamaruzaman sambil menjeling ke arah Kartina.
“Sebenarnya benih yang baik, jatuh ke laut
menjadi pulau. Jatuh ke darat menjadi
bukit,” balas Ahmad Adham, tersenyum dan menepuk-nepuk belakang tangan
Kamaruzaman.
Awalnya Kamaruzaman terbuai bangga dengan
kata-kata itu. Namun, hanya sebentar. Lepas itu dia teringat siapa dirinya yang
sebenarnya. Dia bukan dari baka yang baik. Kerana dia, hidup Kartina pernah
menderita. Kerana dia, Muhayat dibesarkan oleh orang lain. Banyak kejadian
sedih berlaku kerana dia.
“Tina masuk bilik dulu ya.” Kartina berjalan
ke arah bilik sebelah. Dia tahu apa yang sedang berlegar dalam fikiran
Kamaruzaman ketika itu. Namun dalam hatinya dia tidak menyalahkan Kamaruzaman
untuk apa yang terjadi. Semuanya ketentuan Illahi.
“Apa yang mengganggu fikiran awak ni?” Ahmad
Adham menepuk bahu Kamaruzaman selepas Kartina tiada.
“Tak ada apa. Saya cuma rasa Muhayat sangat
beruntung kerana ada ayah macam awak dan ada ibu macam Tina. Terima kasih
sekali lagi, Adham. Saya terhutang budi pada awak,” balas Kamaruzaman, jujur.
Ahmad Adham hanya membalas kata-kata itu
dengan senyuman.
“Awak berehatlah dulu. Malam nanti kita keluar
makan malam,” kata Ahmad Adham.
“Kita nak makan kat mana? Ada ke restoren halal kat sini?”
“Jangan bimbang, saya dah dapatkan senarai nama-nama restoren dan
tempat makan yang halal di Sydney ni,” balas Ahmad Adham.
“Daripada mana awak dapat senarai itu?” tanya Kamaruzaman, hairan.
“Muhayat yang buat carian di internet. Dia berikan senarai nama
restoren dan nama jalan yang ada restoren halal. Tak usah bimbang, anak kita
itu cekap!” Wajah Ahmad Adham semakin ceria dan bangga.
Kamaruzaman angguk. Dia ikut senang hati melihat keceriaan di wajah
Ahmad Adham.
Ahmad Adham berlalu.
Kamaruzaman berdiri di tepi tingkap. Dari situ dia melihat
kesibukan kota besar Sydney. Dia tidak pernah terbayang akan ke situ.
“Maafkan Fir kerana tak mampu nak hantar abah makan angin. Sekarang, abah
pergilah sementara ada peluang. Mujur ada Muhayat...”
Dia teringat kata-kata Firdaus semasa
menghantarnya di stesen bas.
“Fir, jangan cakap macam tu, Abah dah bahagia
dengan kasih sayang Fir selama ini,” ucapnya sambil memeluk Firdaus. Sebelum
ini memang Firdaus adalah nyawanya walaupun dia tahu Firdaus bukan dari
benihnya. Kini selepas dia tahu mengenai Muhayat, kasih dan perasaannya tidak
berubah terhadap Firdaus.
Malam itu, selepas solat isyak mereka ke Anzac Parade yang terkenal
dengan nama Halal Food Square. Di situ terdapat beberapa buah restoren yang
menjual makanan halal.
“Wah, tengok ada Restoren Indo Rasa Kings. Ini
mesti masakan Indonesia. Jom kita rasa. Mungkin ada masakan Padang. Dah lama
saya tak rasa,” kata Ahmad Adham.
“Sejak bila pulak abang suka makan masakan
Padang. Setahu Tina, abang hanya suka masakan Johor,” balas Kartina.
“Sejak abang datang ke sini.” Ahmad Adham
ketawa. Kartina mencubit bahunya dengan manja. Hati Kamaruzaman rasa terhibur
dan tumpang bahagia melihat pasangan suami isteri yang sentiasa mesra itu.
Lepas makan malam, mereka berjalan-jalan di sekitar tempat itu. Sekadar
menghabiskan masa dan melihat-lihat kedai yang menjual beraneka barangan.
SUDAH seminggu mereka di
Sydney. Setiap hari mereka berjalan dan melihat tempat-tempat menarik di
sekitar bandar itu. Mereka sudah belayar menyelusuri Pelabuhan Sdyney. Mereka sudah merayau-rayau di
gedung-gedung membeli belah yang terkenal di Oxford Street. Juga berjalan
dengan santai di sepanjang Queen Victoria Building. Mereka juga sudah
melihat-lihat di Strand Arcade yang tersohor itu.
Kartina dan Ahmad Adham sudah membelikan bermacam-macam hadiah dan
buah tangan untuk dibawa pulang. Kamaruzaman juga begitu. Untuk Firdaus
sekeluarga semuanya sudah dibelikan ole-ole. Yang belum dibelikan hanya kepada
Muhayat.
“Tina, abang nak belikan Muhayat barang. Tapi abang tak tahu apa
yang dia suka. Tina boleh tolong belikan untuk abang?” kata Kamaruzaman sambil
menghulurkan duit.
“Abang simpan duit abang tu. Biar Tina belikan.”
“Mana boleh. Abang nak beli dengan duit abang sendiri. Sejak dia lahir, tak
pernah abang belikan apa-apa. Berilah abang peluang,” kata Kamaruzaman dengan
penuh harap.
Kartina melihat wajah Kamaruzaman dengan
belas. Lalu dia menerima wang yang dihulurkan dengan senyuman.
Akhirnya sementara menunggu hari berangkat
balik, mereka tidak mahu ke mana-mana lagi. Mereka hanya bersantai di Pantai
Sydney yang cantik dengan begitu banyak telok yang berkelok.
Pagi itu selesai mengerjakan solat subuh,
Kartina menyambung tidurnya. Kakinya rasa sakit dan lenguh.
“Tina tak nak keluar? Jom kita berjalan-jalan
di pantai,” ajak Ahmad Adham.
“Bang, Tina minta maaf. Pagi ni Tina rasa
penat sangat. Kakinya masih lenguh dan kebas,” kata Kartina dengan
lemah.
“Kalau macam tu, Tina makan ubat dan
berehatlah. Biar abang dan Zaman keluar ya.”
“Baik-baik jaga diri ya bang.”
“Jangan bimbang. Abang ada pengawal peribadi yang
setia,” jawab Ahmad Adham dengan senyum. Dia menyelimuti kaki Kartina dan
mencium dahinya sebelum mencapai kunci bilik dan melangkah keluar.
“Tina
mana?” tanya Kamaruzaman yang sudah menunggu di lobi.
“Dia penat. Katanya nak berehat. Biarlah. Kita berdua sahaja yang
berjalan-jalan setakat kaki kita ni
boleh tahan. Kalau dah tak tahan, kita berehatlah.”
Kamaruzaman angguk. Mereka berjalan menyelusuri pantai. Kemudian
ketika mereka rasa sedikit lelah, mereka duduk di atas pasir yang putih sambil
merenung ombak.
“Bolehkah saya minta sesuatu dari awak, Zaman?” tanya Ahmad Adham
selepas lama membiarkan suasana sepi. Desir angin yang menolak ombak menerjah
telinga mereka dengan gemersik.
“Katakanlah. Apa sahaja, akan saya tunaikan,” kata
Kamaruzaman dengan senyum. Ahmad Adham
menguis-nguis pasir dengan hujung kakinya. Dia mencari-cari ayat dan perkataan
yang sesuai untuk diluahkan. Sementara Kamaruzaman pula menunggu dengan sabar
dan tenang sambil matanya merenung jauh ke tengah lautan yang membiru.
Lama menyepi, tiba-tiba Ahmad Adham menarik
nafas dan membetulkan duduknya. Dia kelihatan gelisah dan teragak-agak. Dia
seperti sangsi dengan apa yang ingin diucapkannya.
“Apa yang susah sangat ni? Katakanlah.”
Kamaruzaman menepuk belakang Ahmad Adham dengan ketawa. Dia cuba mengikis
kegelisahan yang sedang ditanggung oleh sahabatnya itu.
“Zaman, kalau apa-apa terjadi kepada saya,
mahukah awak jaga Tina untuk saya. Maksud saya, mahukah awak kahwin semula
dengan dia dan berikan dia kebahagiaan,” kata Ahmad Adham dengan suara perlahan
dan hampir sahaja tidak kedengaran.
Kamaruzaman tersentak. Dia segera menoleh dan
menatap tajam akan wajah Ahmad Adham. Dia tidak menyangka akan mendengar
kata-kata itu dari rekahan bibir lelaki yang dihormatinya itu. Apa yang diminta
itu dirasakan amat tidak masuk akal.
“Adham! Awak cakap apa ni?” Kamaruzaman
meninggikan suara.
“Saya tahu awak keberatan. Tina juga mesti
tidak suka saya sebut ini. Tapi ini adalah antara kita berdua. Saya tahu
awak cinta pertama Tina. Dan saya tahu awak masih rindukan dia. Dan
saya pula semakin uzur.”
“Adham! Tolong jangan merepek dan merapu! Apa
sebenarnya yang awak nak dari saya. Adakah awak nak saya jauhkan diri dari
Tina?” Kamaruzaman berubah wajah.
“Zaman, maafkan saya. Bukan itu niat saya. Saya cuma tak nak hidup
Tina sepi selepas saya tiada. Saya nak dia terus nikmati hidup walaupun tanpa
saya.” Ahmad Adham memegang lengan Kamaruzaman.
Kamaruzaman ketawa, memperli.
“Kenapa awak ketawa ni?”
“Adakah awak yakin, awak yang mati dulu? Adakah awak rasa awak ni
handal sangat untuk membaca takdir ALLAH?”
Ahmad Adham terdiam.
“Saya tak mahu awak racuni fikiran awak dengan perkara yang
bukan-bukan. Saya juga tak suka awak nodai rasa hormat saya terhadap awak.”
“Tapi seandainya saya mati dulu, tolonglah jaga Tina untuk saya,”
kata Ahmad Adham lagi. Kali ini dia menarik tangan Kamaruzaman dan
menggenggamnya kuat.
Dada Kamaruzaman berombak kencang. Dia menutup
mata. Bibirnya diketap, menahan rasa marah yang menerpa diri.
“Zaman, hanya awak yang saya percaya sebab
awak pernah hidup dengan dia. Awak pernah menyayangi dia. Tolonglah...” rayu
Ahmad Adham.
“Tina orang yang baik. Dia ada anak-anak yang
baik. Dia akan dijaga dan ALLAH akan sentiasa melindunginya. Saya tak layak
untuk terima amanah awak. Dia pernah saya lukai dan saya tak akan ulangi lagi
kesakitannya,” jawab Kamaruzaman tanpa menoleh.
Ahmad Adham terdiam. Dia tahu Kamaruzaman
marah. Wajah lelaki itu tiba-tiba dilihat berubah rona.
“Saya amat berharap kalau awak percayakan saya. Tapi kalau ini yang
awak minta, saya rasa awak sengaja mencari jalan untuk memutuskan hubungan
kita. Awak bawa saya sejauh ini, hanya kerana nak beri amaran kepada saya agar
jauhkan diri dari awak dan Tina?”
“Zaman, jangan cakap macam tu. Saya langsung tak berniat begitu. Saya tahu awak
ikhlas. Dan saya pun ikhlas dengan awak. Awak ayah kandung Muhayat. Saya ayah
yang membelanya. Dia anak kita.”
“Itu saya tahu. Sebab itu saya hormatkan awak.
Saya tak pernah terfikir kalau awak boleh berfikir sejauh itu. Saya kesal Adham.”
Ahmad Adham rasa bersalah. Dia sedar, tanpa
sengaja dia sudah membuat Kamaruzaman berkecil hati. Dengan cepat dia menarik
tangan Kamaruzaman.
“Zaman, maafkan saya. Saya langsung tak berniat serong.
Baiklah. Lupakan semua yang saya cakap tadi. Anggap saya tak pernah cakap
apa-apa. Maafkan saya. Saya nak kita tetap jadi sahabat sampai bila-bila,” kata
Ahmad Adham, menggenggam erat tangan.
Mata Kamaruzaman basah. Dia terharu dengan genggaman ikhlas Ahmad
Adham. Biarpun baru mengenali lelaki itu, namun dia amat kagum dengan hati
budinya.
“Dah, marilah kita balik. Dah lama kita merayap di sini. Nanti
kalau lambat kita bersarapan, masuk angin pula perut kita.” Ahmad Adham cuba
melonggarkan ketegangan yang sedang mengikat diri Kamaruzaman.
Dengan langkah perlahan, mereka berjalan balik ke bilik hotel.
“Ke mana dua hero Malaya ni berkelana
pagi-pagi ni?” Kartina menegur ketika membuka pintu.
“Kami ambil udara pagi. Sebelum balik ke
Malaysia, kami nak sedut angin Sydney ni puas-puas. Lepas ni mungkin kita tak
akan sampai ke sini lagi,” jawab Kamaruzaman dengan senyum mesra.
“Benar tu Tina. Eh, kaki Tina dah okey ke?
Tadi kata sakit kaki,” kata Ahmad Adham pula.
“Dah bang. Lenguhnya dah hilang. Tina sapu minyak panas. Adui, dah
tua agaknya Tina ni. Jalan sikit saja, lenguhnya sepanjang malam,” balas
Kartina.
Ahmad Adham dan Kamaruzaman saling berpandangan. Kemudian mereka
tersenyum-senyum. Kartina semakin hairan. Dia membelek keadaan dirinya. Rasanya
tidak ada yang aneh mengenai pakaiannya.
“Kenapa ni? Kenapa abang berdua ni tersenyum ni?”
“Saja,” jawab mereka serentak.
“Mesti ada yang tak kena. Cakaplah.” Kartina
mencubit bahu Ahmad Adham. Dengan ketawa pula, Ahmad Adham menjerit.
Kamaruzaman melihat suasana mesra suami isteri itu dengan hati yang sangat
senang.
“Kami rasa kelakar bila Tina kata dah tua.
Abang tak rasa pun Tina ni dah tua. Tina tetap muda remaja di mata abang,” kata
Ahmad Adham. Kali ini giliran Kartina pula ketawa.
“Kenapa Tina ketawa? Tak percaya?” tanya Ahmad
Adham.
“Nak percaya macam mana? Dah tentu abang ni
bermimpi di siang hari. Wajah Tina yang berkedut ni dikatakan muda remaja. Nak
bohong pun agak-agaklah bang!”
Akhirnya mereka bertiga ketawa santai. Suasana
begitu mesra. Ahmad Adham dan Kamaruzaman sudah saling berjanji untuk menjadi
sahabat dunia dan akhirat. Kartina tidak akan dijadikan taruhan kasih dan cinta
mereka.
“Jom kita bersarapan. Abang laparlah,” kata
Ahmad Adham.
“Nak makan apa pagi ni?” tanya Kartina pula.
“Nasi lemak di Restoren Hah Sedap di Oxford
Street tu sedap sangat. Kita ke sana. Lepas bersarapan, kita boleh melepak
sekejap,” jawab Ahmad Adham.
“Abang nak makan apa pula?” tanya Kartina
kepada Kamaruzaman.
“Abang ikut saja. Asalkan kenyang, abang tak
kisah.”
“Kalau macam tu, marilah. Perut Tina pun dah
berkeroncong dari tadi.”
Kartina mengunci pintu dan mengekori Ahmad
Adham dan Kamaruzaman. Mereka berjalan beriringan tanpa hati curiga dan
ragu-ragu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan