KALAU
jumpa Perdana Menteri pun rasanya perasaan takut tidaklah sampai terasa hendak
keluar apa sahaja yang ada di dalam tubuhnya. Air mata pun rasanya hendak
keluar juga ini, tetapi ditahannya. Purdah telah dibuka sejak tadi lagi. Mahu
rasanya dia menyorok di sebalik tiang mahkamah di Putrajaya itu. Wajah
kawan-kawannya sudah seperti ikan pecah perut. Masing-masing kelihatan gelisah.
Apalah jawapan yang boleh mereka beri tentang cara pemakaian mereka hari ini. Macam
mana pula boleh bertembung? Aduh! Sakit kepala jadinya. Pening, pening.
“Kenapa ni, Leya? Apa yang awak buat
ni? Pakai purdah, berjubah bagai? Nak hina orang yang pakai macam ni ke?”
herdik Ikmal. Matanya membuntang memandang wajah isterinya yang seorang ini. Melihat
cara mereka berpakaian rasanya dia pernah tengok di beberapa tempat. Dahinya
berkerut. Adakah isteri dan kawan-kawannya itu mengintipnya dan Nadia? Ikmal
menyandar di kerusi. Mereka terpaksa ke Alamanda kerana hanya tempat itu sahaja
yang ada untuk bersantai atau nak marah orang. Uh!
“Taklah, mana ada! Saja nak cuba,
manalah tahu jika hati saya terbuka untuk pakai macam ni. Tentu abang suka, kan?”
Aleeya menyengih. Hatinya terasa bergoncang kuat. Seperti kena gempa bumi pula.
“Kenapa Lin? Cuba cakap?” Ikmal
memandang wajah Lin yang duduk di sebelah isterinya.
“Yalah, Encik Ikmal. Kami sedang
cuba berpakaian seperti muslimah sejati. Tak ada niat apa-apa pun,” luah Lin
dengan muka selamba. Jangan menggelabah. Bertenang, bertenang, tarik nafas
dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan.
“Yalah tu! Leya tak pernah cakap
dengan abang pun?” Ikmal kurang percaya. Hendak ke isterinya berpakaian seperti
itu? Kerja di pejabat kerajaan, mereka benarkan ke? Dia mengeluh.
“Alah, Encik Ikmal... jangan syak
wasangka. Kami tak lakukan perkara tak baiklah.” Ros menyengih. Hatinya sendiri
berdebar-debar. Kalau silap cakap boleh kantoi keempat-empat mereka.
“Ya, betul, betul, betul!” Ina
mengangguk laju. Sudah seperti burung belatuk sahaja.
Aleeya memandang wajah kawan-kawannya.
Mereka boleh buat muka selamba, macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia pula
terasa seperti nak beranak sulung pun ya juga. Takutlah oi! Kalaulah suaminya
tahu yang dia mengintip pergerakan dan segala perlakuan Ikmal dan Nadia pasti
dia akan dimarahi. Janganlah ada sesiapa yang melatah, kalau tidak habislah!
“Boleh percaya ke ni?” soal Ikmal.
“La… kenapa pula tak boleh percaya?
Ingat kami ni kaki penipu ke, apa?” Lin
mencebik. Dia memeluk tubuh. Memanglah mereka buat tidak baik, mengintip itu kan
perbuatan yang tidak baik. Tapi bukan ada niat nak mencederakan sesiapa, apatah
lagi nak membunuh, kan?
“Leya…” Ikmal memandang wajah Aleeya
yang menunduk. Entah apa yang dipandang.
“Erk… ya bang?” Aleeya membalas
pandangan suaminya. Dia tersenyum.
“Pergilah buka jubah tu…” suruh
Ikmal. Telefon bimbitnya berdering.
Aleeya mencebik. Sudah pasti bekas
isteri suaminya yang menelefon. Hendak sebut janda terasa hina diri sendirilah
pula. Biarlah dia sebut dengan cara yang lebih hormat, walaupun dia tahu, Nadia
tidak pernah menghormati haknya sebagai isteri Ikmal.
“Abang dah janji dengan anak-anak
nak tengok pameran bunga. Mereka dah sampai. Leya balik dengan kawan-kawan ya?”
kata Ikmal dengan wajah manis manja.
Aleeya mengeluh. Wajah ceria
suaminya buat hatinya tidak senang. Adakah rasa cinta yang sudah lama berkubur,
hidup semula? Uh! Nau’zubillah… minta dijauhkan.
“Abang pergi dulu. Jangan nak
intip-intip abang. Tak perlu. Abang tahu jaga diri abang,” sambung Ikmal lagi
sebelum berlalu meninggalkan Aleeya dan kawan-kawannya.
Sebak dada Aleeya. Sanggup Ikmal
meninggalkannya hanya kerana perempuan itu menelefon? Dia siapa? Perempuan itu
siapa? Hatinya tercalar luka. Remuk jiwanya. Bernanah sukmanya. Mahu sahaja dia
meraung di situ. Menjerit, memanggil dan melarang Ikmal pergi. Haknya sudah
dinafikan. Sudah lama dia tidak keluar berdua-duan dengan suaminya itu. Setiap
kali membuat perancangan pasti terpaksa dibatalkan kerana panggilan keramat
daripada anak-anak suaminya. Memang menyakitkan. Bukan dia cemburukan anak-anak
suaminya, tetapi mereka sepatutnya lebih bertolak ansur dengan dirinya! Ah!
Bercakap dengan budak-budak apa yang mereka faham? Sepatutnya Nadia yang
mengajar mereka agar bertolak-ansur! Berilah sedikit ruang kepadanya juga.
“Kak!” Lin mengurut belakang Aleeya
perlahan-lahan. Dapat dia rasakan apa yang sedang dirasai oleh sahabatnya itu. Lin
memandang Ina dan Ros yang juga berwajah muram. Mereka melihat sahaja langkah
Ikmal sehingga menghilang daripada pandangan mata.
“Jom, kita balik!” ajak Aleeya. Dia
bingkas bangun dan melangkah laju kembali ke tempat meletak kereta.
Lin membayar bayaran tempat letak
kereta. Ros dan Ina pula menemani Aleeya ke kereta. Mereka senyap sepanjang
perjalanan. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Aleeya mengetap bibir menahan rasa sebak yang menekan hatinya. Pedal
minyak ditekan laju… biar cepat sampai.
“Kak, istighfar… bertenang kak.
Ingat ALLAH,” nasihat Lin yang duduk di kerusi penumpang. Tangan Aleeya diusap
lembut.
“Kak, sabarlah. Ini semua dugaan
daripada ALLAH untuk menguji keimanan akak. Kalau akak tak sekuat ini, ALLAH
tak uji akak sejauh ini. Yakinlah, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” pujuk
Ina yang memicit lembut bahu Aleeya.
“Ya kak… sabarlah. Akak boleh
menangis dan meraung depan kami, kami rela jadi tempat akak lepaskan kemarahan
akak. Cakaplah apa aje kak, jangan sedih ya kak?” Ina terasa sebak. Dia pula
yang emosi. Kalaulah dia di tempat Aleeya sudah pasti dia menangis macam budak
kecil di dalam restoran itu tadi.
Aleeya membelok keretanya dan
berhenti di bahu jalan berdekatan Tol Puchong. Menarik brek tangan dan menangis
semahu-mahunya. Melepaskan rusuh di hati. Melepaskan rasa marah dan geram yang
sudah bersarang sejak sekian lama.
“Akak, janganlah macam ni... Sedih
pula kami tengok. Kak!” Lin mengusap bahu Aleeya. Tisu diberi kepada temannya
itu. Hatinya tersayat pilu. Dia juga perempuan.
“Okey, akak dah okey!” Aleeya
mengesat air mata yang berbaki. Dia tersenyum kembali.
Lin, Ina dan Ros saling memandang,
mereka terkedu. Terdiam.
“Jom, kita tengok wayang,” ajak
Aleeya. Dia memandu semula. Dia mula membebel dan bercerita. Cuba menceriakan
semula suasana.
Lin memandang Ros dan Ina di
belakang.
Mereka mengangkat bahu.
Ikut sahajalah labu, bisik hati
kecil Lin.
“Kita nak tengok cerita apa, kak?”
tanya Lin ceria semula.
“Apa pun tak kisah. Lepas tu, akak
belanja kau orang makan.” Aleeya menyengih.
Aduh! Lin mengangkat kening. Sengih
semacam sahajalah pula temannya itu. Buat hatinya seram sejuk jadinya. Harap-harap,
semuanya baik-baik belaka.
Aleeya memandu menuju ke destinasi
yang dapat mendamaikan seketika hatinya. Biarlah duka itu berlalu pergi bersama
angin yang sedang bertiup damai dan tenang itu. Hanya dedaun pokok yang
melambai menyatakan kehadiran angin yang tidak tampak di mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan