M
|
ursyid memandu sambil bersiul-siul kecil. Irama lagu ‘Getaran
Jiwa’ berkumandang perlahan tanpa lirik.
Hati Kamaruzaman ikut terbuai senang dengan siulan itu.
Sekurang-kurangnya dapat juga menghiburkan hatinya yang sedang berkecamuk
akibat renungan tajam dan kata-kata celupar
adik ipar Kartina tadi.
“Abah tengah fikir
apa?” tanya Mursyid.
“Tak ada apa-apa.
Siulan Syid begitu mengasyikkan. Lagu lama ni tetap segar didengar biarpun
sudah berpuluh tahun usianya,” jawab Kamaruzaman, cuba menyenangkan hati
Mursyid.
“Ini cuma iramanya.
Kalau disertakan dengan liriknya, akan lebih indah lagi kan?”
Kamaruzaman
mengiakan dalam hati. Memang lirik lagu itu terkesan dalam hati sesiapa sahaja
yang mendengarnya.
Mursyid bersiul lagi dan Kamaruzaman
menikmatinya dengan penuh asyik. “Abah,
boleh Syid tanya sikit?” Tiba-tiba Mursyid berhenti bersiul. Dia menoleh lagi
ke arah Kamaruzaman.
“Tanyalah.”
“Abah berkahwin dengan ibu atas dasar cinta
atau kahwin paksa?”
Kamaruzaman tersentak. Dia tidak menduga
soalan itu yang akan ditanyakan oleh Mursyid.
“Kenapa Syid tanya macam tu?” Dia menoleh
kepada Mursyid. Wajah Mursyid yang seiras Ahmad Adham itu membuatkan dia rasa
seperti sedang berhadapan dengan lelaki itu.
“Sebab kata abah saya, ibu adalah mangsa
keadaan. Dia isteri yang terlalu baik sebab itu ALLAH menduganya dengan sebuah
penderitaan.”
Darah Kamaruzaman berderau.
“Apa lagi yang abah Syid cerita?”
“Tak banyak. Cuma abah kata, Syid beruntung
kerana mendapat seorang ibu yang baik dan penyayang. Dia pula beruntung kerana
mendapat seorang isteri yang taat dan beriman. Benarkah ibu saya seorang isteri
yang baik dan taat, abah?” Mursyid bertanya lagi. Kali ini dia tidak menoleh.
Matanya ditumpukan ke jalan raya.
Kamaruzaman rasa lehernya tercekik. Sungguh
santun anak muda itu bertanya. Sungguh hebat Kartina mendewasakan anaknya
dengan budi yang sopan.
“Memang dia adalah isteri yang hebat dan
terbaik di dunia ini. Memang amat beruntung orang yang menjadi teman hidupnya,”
kata Kamaruzaman, perlahan dan bergetar.
“Kalau dia terbaik, kenapa abah ceraikan dia
dulu?”
Soalan Mursyid tiba-tiba menjadi panah yang
memanah tepat ke jantung Kamaruzaman. Dia rasa nafasnya sukar untuk ditarik dan
dilepaskan. Sebuah penyesalan yang tidak pernah berakhir mula merayap kembali
di dalam nubarinya yang kudus.
Kamaruzaman tercungap.
“Abah tak apa-apa? Maafkan Syid, abah. Syid
tak sepatutnya mengorek kisah lama yang abah dah lupakan itu.”
“T… t... tak apa. Abah tak apa-apa,” kata
Kamaruzaman sambil menepuk-nepuk lengan Mursyid. Ketika itu dia tidak berani
untuk bertentang mata dan mengadap muka Mursyid.
“Syid, abah memang orang yang bersalah.”
“Kenapa abah cakap macam tu?”
“Kerana
abah dah seksa dan lukakan hati seorang wanita yang sangat baik, jujur dan
beriman. Ibu Syid adalah yang terbaik. Hanya abah yang tak tahu menilai intan
dan kaca. Abah yang salah,” jawab Kamaruzaman dengan nada sendu.
Mursyid diam. Matanya masih tertumpu ke jalan
raya. Fikirannya pula menerawang entah ke mana.
“Sebenarnya, semua yang berlaku ada hikmahnya.
Ada untungnya kepada ibumu,” tambah
Kamaruzaman lagi.
“Untung? Apa maksud abah?”
“Kalau dia tak bercerai dengan abah dulu, Syid
tak akan ada di dunia ini. Dia tak akan dapat merasai hidup gembira dan bahagia
dengan suami yang baik seperti abahmu dan anak-anak yang berbudi seperti kamu
dan Syila.”
“Dan Abang Hayat pun tak akan jadi abang kami,
kan abah?” Mursyid ketawa. Kamaruzaman hanya tersenyum. Dalam hatinya dia tetap
mengucap syukur. Muhayat telah mendapat kehidupan yang lebih baik kerana
perceraiannya dengan Kartina. Kalaulah mereka tidak bercerai, mungkin ia
senasib dengan arwah kakaknya Natasya.
Natasya?
Ya ALLAH! Alangkah berdosanya dia dengan
anak itu.
“Kita dah sampai
abah,” kata Mursyid sambil memberhentikan kereta di hadapan sebuah kedai emas.
“Syid nak beli emas?
Nak bertunang ke?” tanya Kamaruzaman.
Mursyid tidak
menjawab. Dengan senyum dia menarik tangan Kamaruzaman masuk ke dalam kedai
itu. Matanya melilau mencari.
“Encik nak beli
apa?” tanya seorang jurujual dengan senyum ramah.
“Saya nak cari
sebentuk cincin untuk dijadikan hadiah. Boleh tunjuk yang mana sesuai?”
“Untuk siapa?
Kekasih, tunang atau isteri?”
“Ibu.”
Gadis itu meneliti
ratusan cincin yang tersusun rapi.
Kemudian dia mengambil sebentuk cincin berbatu nilam. Ia berbentuk sekuntum
bunga tanjung.
“Saya rasa yang ini
sesuai,” kata jurujual itu sambil menghulurkannya kepada Mursyid.
Mursyid meneliti
cincin itu. Dia tersenyum senang dan hatinya mula berkenan dengan reka cipta
cincin itu.
“Cantik tak abah?” tanya Mursyid kepada Kamaruzaman.
“Hmm… cantik,” jawab
Kamaruzaman. Dia berkata jujur. Memang cincin itu begitu cantik pada pandangan
matanya. Jauh di sudut hatinya, dia mengimbau kenangan lama. Sebentuk cincin
yang dipulangkan oleh Kartina ketika perceaian mereka dahulu masih disimpannya
dengan baik.
Mursyid segera membeli
cincin itu dengan permintaan agar ianya dibungkus dengan cantik.
“Syid sengaja nak
beri kejutan kepada ibu,” kata Mursyid dalam perjalanan pulang.
“Kejutan?” tanya
Kamaruzaman. Sejak tadi dia memang ingin bertanya, tetapi dia rasa segan dan
bimbang dikatakan menyibuk.
“Esok adalah hari
ulangtahun perkahwinan abah dan ibu,” jawab Mursyid.
“Alhamdulillah. Semoga
mereka akan terus kekal bahagia hingga ke akhir hayat,” kata Kamaruzaman sambil
menadah tangan dan mengaminkannya. Hatinya jujur. Dia berkata tulus.
“Kalau macam tu,
abah pun nak berikan hadiah untuk ibu Syid.”
“Abah nak beri apa?”
Mursyid menoleh. Kamaruzaman termenung berfikir. Sudah lama dia tidak
memberikan hadiah untuk seorang wanita. Hadiah apakah yang paling sesuai untuk
Kartina?
“Apa pendapat Syid?”
Giliran Mursyid pula
bermenung sambil matanya tertumpu ke arah jalan raya.
“Apa kata kalau abah
berikan dia bunga. Romantik
gitu!” kata Mursyid dengan ketawa.
“Syid!
abah bukan muda lagi. Lagipun, itu bukan huluran yang baik. Sebaliknya
ia hanya akan menimbulkan fitnah dan syak wasangka.”
“Fitnah? Siapa pula yang nak buat
begitu?” Mursyid mula keliru.
“Iblis dan gerombolannya. Bukankah mereka
itu ejen perosak. Mereka akan merosakkan
hubungan baik antara kami bertiga. Abah tak nak keruhkan keadaan. Jadi
lebih baik kita tutup peluang untuk iblis menghasut dan menyelinap dalam hati
kita.”
Mursyid segera
memahami apa yang tersirat di sebalik kata-kata Kamaruzaman itu. Benar, iblis adalah musuh manusia yang
paling jahat dan keji. Sebagaimana sumpah laknatnya di hadapan ALLAH untuk
memperdaya manusia hingga ke hari kiamat, ia akan mengotakannya.
“Jom kita berhenti
kat kedai buku tu!” Tiba-tiba Kamaruzaman menuding jari ke arah deretan kedai
di tepi sebelah kanan jalan.
Mursyid tidak
berlengah dan bertanya apa-apa. Kakinya segera menekan brek dan kereta berhenti
di tepi jalan. Mereka turun dan berjalan masuk ke dalam kedai itu.
“Abah nak belikan
senaskah Al-Quran. Boleh Syid tengokkan mana yang sesuai dan cantik untuk
diberikan kepada ibu Syid,” kata Kamaruzaman ketika mereka sudah berada di
hadapan rak yang penuh dengan susunan kitab-kitab suci Al-Quran dalam berbagai
versi penerbitan.
Mursyid akur. Dia mula
membelek beberapa naskah yang ada.
“Syid rasa yang ini
sesuai. Hurufnya besar dan jelas siap dengan terjemahannya
sekali. Ia akan menyenangkan ibu membacanya,” kata Mursyid, menghulurkan sebuah
Al-Quran.
Kamaruzaman ikut
membelek. Kemudian dia memeluk naskah itu dengan harapan Kartina akan
menerimanya dengan senang hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan