IKMAL
mengeluh berat. Melihat wajah muram dan suram Aleeya membuat hatinya rasa hiba.
Nadia pula tersenyum lebar, bermakna bersambung lagi tiga bulan. Bila hendak
selesai? Apa kata dia memberitahu Aleeya? Tentu Aleeya boleh memberi kerjasama
denganya dan menyelesaikan masalahnya dengan Nadia dan anak-anak. Nadia pula
bukan main baik dengan emak dan ayahnya. Waktu menjadi menantu dahulu, tak pula
sebaik itu. Kalau ajak balik kampung, ada sahaja alasannya. Sekarang, dengar saja
emaknya sakit, terus Nadia nak ikut. Hendak dilarang, syarat yang ditetapkan
oleh Nadia sudah dipersetujui.
“Nampaknya, terpaksalah awak sambung
lagi tiga bulan untuk bersama saya dan anak-anak. Kan saya dah kata, Aleeya tak
boleh ada di mana saya berada.” Nadia menyengih sambil memeluk tubuh. Dia
menyandar di tiang anjung rumah. Anak-anak sedang bermain kejar-kejaran di
laman rumah. Jiran tetangga ramai yang sudah balik. Kakak-kakak iparnya sedang
berehat di dalam agaknya. Tidak pula kelihatan bayang mereka. Ayah mertuanya berada
bersama emak mertuanya.
“Kenapa awak kejam sangat?” Ikmal
menggeleng kesal.
“Siapa yang kejam? Awak atau saya?” Nadia
menjeling.
“Kenapa saya pulak yang kejam? Bukan
awak ke yang paksa saya buat semua ni!” Ikmal mendengus kasar.
“Saya ajak awak berbalik dengan
saya, awak tolak! Awak ingat, saya buat semua ini, untuk kepentingan saya ke? Tu…
tengok anak-anak awak tu! Mereka perlukan awak, takkan tak faham-faham juga!” bentak
Nadia.
“Sayakan dah ada isteri, takkan awak
tak nampak!”
“Isteri awak tu boleh diceraikan!
Anak-anak awak tu yang paling penting.”
“Mana boleh macam tu!” Ikmal tidak
bersetuju.
“Saya bagi saranan aje, kalau awak
masih tak bersetuju, kenalah awak ikut kehendak saya, tambah lagi tiga bulan!” Nadia
tersenyum sinis.
“Janganlah pentingkan diri sendiri,
Nadia.”
“Siapa yang pentingkan diri sendiri?
Awak ke saya?” Rasa hendak tumbuk sahaja bekas suaminya itu.
“Saya juga?” Ikmal mengeluh kesal.
“Yalah, kerja senang aje. Kita pergi
pejabat kadi, nikah, selesai masalah!” ajar Nadia.
“Tak perlu ajar saya. Kenapa baru
sekarang awak nak berbalik dengan saya? Kenapa tidak dulu? Waktu saya ajak awak
kembali pada saya? Awak ingat saya tak boleh dapat perempuan yang jauh lebih
muda daripada awak? Anak dara pulak tu. Awak rasa tercabar, itu sebab
terhegeh-hegeh nak berbalik dengan saya,” kata Ikmal geram.
“Sedapnya mulut awak bercakap! Awak
ingat saya tak ada maruah diri nak terhegeh-hegeh dengan awak? Heyi, Ikmal!
Saya fikirkan lima orang anak awak tulah! Mereka nak ayah mereka! Kenapa bengap
sangat ni?” tempelak Nadia geram. Berpuluh kali dia beritahu. Masih juga Ikmal
menuduhnya yang bukan-bukan.
“Apa riuh-rendah ni? Angah nak rehat
pun tak boleh?” tegur kak ngah yang muncul dari dalam rumah.
Nadia dan Ikmal memandang wajah kak
ngah yang berkerut dahinya.
“Apa bising-bising ni, Ikmal?” Kak
ngah duduk di kerusi yang terdapat di anjung rumah itu. Dia memandang wajah
bekas ipar dan adik bongsunya itu.
“Tak ada apalah, kak ngah,” balas
Ikmal, malas hendak bertekak dengan kakak keduanya itu. Nanti banyak pula
ayat-ayat membunuh yang terbit daripada mulut kakaknya itu. Berbeza dengan kak
longnya, yang lebih lembut dan berhemah dalam menasihati. Begitu juga abang
lang dan abang chiknya, mereka tidak sekeras kak ngah. Entah ikut perangai
siapalah kak ngahnya ini.
“Kenapa si Leya datang tadi? Akak
tak sukalah dengan dia, macam sombong aje dengan kak ngah,” adu kak ngah dengan
wajah kelat.
“Mana ada sombong? Kak ngah aje yang
perasan,” kata Ikmal mempertahankan Aleeya.
“Memang sombong, kak ngah... Ikmal
aje yang kata tak sombong,” sampuk Nadia.
“Kau orang berdua, tak boleh ke berbaik
semula? Tak kesian ke kat anak-anak?” leter kak ngah.
“Itulah yang Nadia bagitahu Ikmal,
kak ngah, tapi dia tolak. Takut benar dengan bini dia tu.” Nadia menjeling
lagi.
“La… kenapa kau tak setuju, Ikmal?” herdik
kak ngah.
“Mana boleh kak ngah, Ikmal kan dah
kahwin lain.” Aduh! Tak faham-fahamlah mereka berdua ini. Ingat dia masih
bersendirian lagi agaknya. Aleeya itu dia nak campak ke mana?
“Ala… lelaki boleh kahwin empat,
setakat dua aje, bukan susah mana pun,” kata kak ngah selamba.
“Amboi, kak ngah! Kak ngah suruhlah
bang ngah kahwin lagi, kan lelaki boleh kahwin empat!” Ikmal pulang paku buah
keras pada kakak kandungnya itu.
“Hei, rumah tangga kak ngah tak ada
masalah. Yang bermasalah rumah tangga kau! Dah elok berkahwin dan beranak-pinak,
sampai cerai-berai. Lepas tu gatal kahwin baru. Kalau dah bercerai, ada anak
pula tu, tak payahlah kahwin, bela ajelah anak-anak tu. Ini tak, menyusahkan
anak-anak aje berbapa tiri dan beribu tiri. Nanti dideranya budak-budak itu,
masuk surat khabar, satu keluarga tanggung malu,” leter kak ngah.
Ikmal mendengus kasar. Sudah keluar
butir bicara yang bagaikan peluru berpandu itu. Aduh, pening kepalanya! Nasib
baiklah kak ngahnya tidak jadi peguam, kalau tidak habislah para hakim dan anak
guamnya.
“Ngah! Tak payahlah campur tangan
dalam urusan rumah tangga adik, biar dia selesaikan sendiri. Kau pun bersalah
juga Nadia, siapa suruh mintak cerai? Ikut hati sangat. Dah jadi macam ini,
terhegeh-hegeh nak berbaik semula. Kau ingat kahwin ni, ikut kehendak hati kau
aje ke? Waktu suka, berbaik, tak suka, minta cerai,” leter kak long dari muka
pintu. Sejak tadi dia mendengar adik-adiknya saling bertelagah.
“Kak long!” Ngah mengetap bibir. Dia
mengerling kakak sulungnya yang terkenal dengan ketegasan dalam menasihati
mereka adik-beradik. Nampak sahaja lembut dan tertib kata-katanya. Kalau
mengamuk, lebih laju daripada peluru berpandu.
“Apa salah Leya dengan ngah? Kenapa
tak suka kat dia? Dia tu isteri adik kita. Nadia tu bekas isteri adik kita,
tengok-tengoklah siapa yang harus kita jaga hatinya. Jangan berat sebelah,
ngah. Kenal dulu hati budinya baru nilai orangnya,” tegur kak long lagi. Dia
menghampiri adik-adiknya. Wajah mereka dipandang seorang demi seorang. Dia
tidak mahu adik-adiknya saling bergaduh hanya kerana tidak sehaluan. Boleh
tidak sependapat tetapi bukan sehingga memutuskan silaturahim antara mereka
adik-beradik. Air yang dicincang tidak akan putus.
“Mana ada tak suka?” Kak ngah
memandang ke arah lain. Sekali kena tegur, berapi sampai ke hati. Silap hari bulan
kena hukum bunuh. Baiklah dia tidak melawan hujah. Takut nanti kalah terbakar. Hangus
jadi abu. Sia-sia berdebat dengan Hakim Mahkamah Syariah itu. Uh! Kenapalah dia
tidak jadi peguam, bolehlah berlawan hujah dengan hakim yang berada di rumah
itu.
“Kak long bila balik Pahang?” tanya
Ikmal untuk mengurangkan ketegangan yang sedang berlaku. Bila Hakim bercakap,
berapi-apilah ayat yang keluar. Nanti jadi kes pula. Jenuhlah.
“Kau pulak nak tuntut apa lagi,
Nadia? Tak cukup-cukup ke apa yang dan Ikmal beri? Walaupun kak long berada di
Pahang, tapi kes di Kuala Lumpur ni, kak long boleh tahu. Apatah lagi
melibatkan adik kak long sendiri.” Wajah bekas adik iparnya dipandang lama. Tamak
juga bekas adik iparnya itu.
“Mana ada tuntut apa-apa lagi?” Nadia
menunduk. Dia paling tak suka balik kampung jika ada kakak iparnya yang seorang
ini. Berlagak sungguh. Mentang-mentanglah hakim besar. Cakap pun main ikut
sedap mulut sahaja.
“ Nadia, kau jangan nak rosakkan
rumah tangga Ikmal. Kak long takkan berdiam diri. Kau jaga anak-anak kau
baik-baik. Jangan abaikan mereka. Kalau kak long dapat tahu kau abaikan
anak-anak buah kak long, jaga kau,” kata kak long mengingatkan Nadia. Bukan dia
nak mengugut tetapi, dia tidak suka cara Nadia memaksa Ikmal berbalik semula. Melihat
wajah Aleeya pun dia tahu, ada yang tidak kena. Apatah lagi Ikmal bertindak
memarahi isterinya tadi.
Nadia mengeluh berat. Susah betullah.
Kenapalah bekas kakak iparnya ini balik waktu ini?
“Ikmal pulak, jangan sia-siakan Leya.
Nak isteri sebaik mana lagi? Apa lagi yang kurang? Perkara yang lepas jadikan
sempadan agar tak berlaku lagi kegagalan dalam rumah tangga. Ikmal ketua
keluarga, jangan jadi lembu kena cucuk hidung, walaupun oleh orang lain! Awak
tu lelaki, bukan perempuan. Kena ugut
sikit dah kecut!” nasihat kak long.
Ikmal hanya mengangguk perlahan. Kak
longnya macam tahu sahaja apa yang berlaku. Nujum Pak Belalang ke kak longnya
ini?
“Sudah, jangan nak bertekak lagi. Kau
Nadia, bila nak balik? Ikmal, jangan tinggalkan isteri lama-lama, tak baik. Kak
ngah juga, bila nak balik? Nak tunggu angah telefon, baru nak balik?” Kak long
masuk semula ke dalam rumah. Adik-adiknya kalau tidak dinasihat dan bertegas
dengan mereka, macam-macam yang boleh berlaku.
Sebagai
kakak sulong dan duduk jauh pula itu, dia perlu juga merisik khabar
adik-adiknya sekali-sekala. Walaupun mereka sudah berkeluarga, tetapi
tanggungjawab sebagai kakak yang sulung tidak pernah diabaikan. Dia tidak mahu
membiarkan hubungan kekeluargaan mereka hambar dan tidak mesra. Sudahlah jarang
berjumpa, bila berjumpa saling bercakaran. Itu bukan satu hubungan yang baik
dan diberkati ALLAH SWT.
Ikmal terdiam. Kata-kata kak longnya
terkesan di hati. Betullah, kenapa dia harus tunduk pada bekas isterinya itu? Dia
menjeling Nadia yang bermasam muka, kelat dan bibirnya panjang ke depan. Merajuklah
itu bila kena tegur. Lantaklah, tak kuasa nak pujuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan