S
|
ejak keluar dari hospital, Kamaruzaman lebih banyak menghabiskan
masa di bilik bacaan. Dia hanya keluar untuk makan, solat dan tidur. Selebihnya
dia berterusan membaca.
“Abah,
boleh Fir masuk?” tanya Firdaus di luar pintu.
“Masuklah
Fir. Pintu tak berkunci pun,” jawab Kamaruzaman dari dalam. Firdaus menolak
daun pintu yang cantik berukir kuntuman bunga matahari.
“Baguslah
Fir datang. Abah pun memang nak jumpa Fir.”
“Ada
apa abah? Abah sakit ke?” Firdaus mendekati Kamaruzaman dan duduk di
hadapannya. Matanya meneliti wajah abahnya yang masih cengkung dan muram.
“Abah
sihat Fir. Cuma abah nak minta sesuatu dari Fir.”
“Mintalah
apa sahaja abah. Kalau Fir tak mampu, Fir akan usahakan. Fir hanya nak abah
gembira dan ceria macam dulu, ” kata Firdaus dengan jujur.
Kamaruzaman
tersenyum senang. Hatinya berbuai rasa kagum dan bangga dengan kebaikan budi
Firdaus.
“Boleh tak Fir hantarkan abah ke rumah
kita di Benut tu esok?”
“Abah nak buat apa
ke sana?”
“Abah rasa nak
tinggal di sana untuk sementara waktu ini. Abah nak tenangkan hati. Lagipun,
dah lama abah tak melihat rumah dan kebun
tu.”
Firdaus
merenung wajah Kamaruzaman. Dia dapat merasakan ada sebuah rasa yang cuba
dibuang dari hatinya.
“Sampai
bila abah nak larikan diri dari masalah macam ni? Abah tak kesian ke dengan
Abah Adham dan Ibu Tina yang begitu sayangkan abah. Jangan hanya kerana
Muhayat, abah membuang semua kasih sayang orang lain. Mereka tu benar-benar ikhlas dengan abah,”
balas Firdaus pula.
“Abah
bukan lari, Fir. Abah cuba
nak damaikan keadaan. Abah mesti putuskan hubungan dengan mereka, baru keadaan
kembali aman. Abah nak perasaan Muhayat pulih seperti sebelum ini. Abah nak dia
rasa bahawa abah ni tak pernah wujud dalam hidupnya,” kata Kamaruzaman, tenang.
Dia menutup buku yang ada di tangannya. Matanya merenung wajah Firdaus. Dia
terkenangkan arwah Naimah. Kalaulah Naimah masih hidup, tentu dia gembira
kerana Firdaus adalah anak yang sangat-sangat baik dan berbudi.
Namun, dalam masa
yang sama dia juga bersyukur kerana ALLAH mentakdirkan Naimah mati awal. Jika
tidak, tentu Firdaus membesar dalam keadaan yang kurang sihat. Naimah yang
sentiasa kasar dan bengis. Naimah yang sentiasa ingin menang dalam serba hal.
Naimah yang selalu celupar dalam berkata-kata.
‘SubhanaAllah! Kenapa
aku masih nak ungkit perangai buruknya sedangkan dia sudah lama tiada. Ya
ALLAH, berikan dia ketenangan di alam barzakh. Lindungi dia dari azab-MU.’ Dia
tunduk berdoa dalam hati.
“Abah?” Firdaus
menepuk lengan Kamaruzaman dengan perlahan. Kamaruzaman
tersentak. Ingatannya kepada Naimah hilang. Dia beristighfar. Matanya digenangi
air. Dia cuba menahannya. Janganlah Firdaus melihat air matanya. Janganlah
Firdaus tahu ingatan jahatnya terhadap arwah ibunya, Naimah.
“Hah? Apa yang Fir
cakap tadi?”
“Abah mengelamun
rupanya. Abah ingat siapa? Ingat Muhayat atau ingat Ibu Kartina?” tanya
Firdaus, cuba mengusik. Namun usikannya itu tidak membuat Kamaruzaman
tersenyum.
“Abah
ingat mama kamu,” jawab Kamaruzaman dengan suara yang sudah ditenggelami sebak.
Hasrat menyembunyikan rasa dan perasaannya tidak terlaksana. Dia tidak mahu
berbohong kepada Firdaus.
Firdaus terus memeluk tubuh abahnya. Dia
cuba menyelami kerinduan yang ada jauh di sudut hati abahnya.
“Fir juga
kadang-kadang rindukan mama. Sangat singkat masa untuk Fir menerima kasih
sayangnya.”
“Abah harap ALLAH
berikan dia rahmat yang baik. Abah memang sayangkan dia, tapi ALLAH lebih menyayanginya.
DIA Maha Mengetahui..” jawab Kamaruzaman sambil teresak kecil.
Firdaus
membiarkan. Lama.
“Abah, Fir tak nak
abah menyeksa diri sendiri. Kalau abah rindukan Muhayat, abah pergilah ke sana
sekali lagi.”
“Tidak Fir. Abah
akan lebih terseksa kalau Abah Adham dan Ibu Tina kamu terpaksa berpisah dengan
Muhayat kerana abah. Sepatutnya mereka hidup bahagia. Tapi kerana abah ...”
“Muhayat yang tak
ada hati perut. Muhayat yang celupar. Dia tak sepatutnya berprasangka buruk
kepada ibunya. Dia yang... ”
“Fir, sudahlah.
Jangan diumpat dia lagi. Kelak akan semakin bertambah dosa kita. Berdoalah agar
ALLAH tenangkan jiwanya. Biar datang
rasa kasih sayangnya kepada ibu yang melahirkannya dan abah yang
membesarkannya.”
“Habis abah
kandungnya ini?”
“Abah
ada Fir. Ada Zurie. Ada Dayana dan Haziq. Kita dah bahagia dengan hidup kita
selama ni. Kita jangan minta perkara yang bukan hak kita,” jawab Kamaruzaman
sambil tersenyum. Dia menepuk-nepuk bahu Firdaus dengan penuh kasih sayang
seorang ayah.
Firdaus
membalas dengan menarik tangan Kamaruzaman dan mengucupnya, hormat. Hatinya
tidak lagi bergalang duka ketika melihat dan mendengar kata-kata Kamaruzaman
itu.
“Abah
baca buku apa?” Firdaus mengalihkan suasana. Dia tahu, lebih baik bertukar topik
untuk mengubah suasana.
Kamaruzaman
tersenyum dan menunjukkan buku yang ada di tangannya.
“Novel
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck?” Mata Firdaus terbeliak. Dia tahu novel itu
adalah novel klasik tulisan Prof. Dr. Hamka. Ia dicetak untuk
kali pertama pada tahun 1938. Namun ia lebih terkenal pada tahun 60-an.
“Inilah
novel pertama yang abah baca. Kisah cinta Zainuddin dan Hayati amat meruntun
hati. Dah berpuluh kali abah baca, namun tetap juga tidak jemu.”
Firdaus membelek kulit novel itu yang
agak lusuh. Helaian kertasnya mula kekuningan dan ada helaian yang hujungnya
mula terkoyak. Pada kulit bahagian dalam, ada catatan tahun novel itu dibeli
: 1975
Madani Book Store, Johor Bahru.
“1975? Dah 43
tahun abah simpan novel ini. Patutlah kertasnya dah lusuh dan kekuningan. Masa
tu abah umur berapa?”
“Dua puluh tahun.
Ketika itu abah masih menuntut di universiti. Sedang memburu cinta sejati,”
kata Kamaruzaman tersenyum-senyum.
“Dengan Ibu
Kartina?” Firdaus cuba mengorek rahsia.
Diam.
Kamaruzaman tunduk. Dengan perlahan dia menggelengkan kepala. Ketika itu dia
memang belum mengenali Kartina. Masih belum bekerja. Namun, sudah dikelilingi
ramai gadis. Lalu selepas mula bekerja, dia hanyut dengan perbuatan yang
berdosa! Kalau boleh masa silamnya yang penuh noda tidak mahu diimbau lagi.
‘Ampuni hamba-Mu yang
berdosa ini ya ALLAH..’ bisik nuraninya.
Ketika
itu mata Firdaus leka meneliti tulisan yang ada dalam novel itu. Selepas
beberapa helaian, dia menghulurkan novel itu kepada Kamaruzaman.
“Sungguh
sengsara nasib Zainuddin,” keluh Firdaus perlahan. Dia menatap wajah
Kamaruzaman yang muram. Tiba-tiba dia seperti melihat roh Zainuddin ada dalam
diri abahnya. Hatinya sayu. Dia menarik tangan Kamaruzaman dan menggenggamnya
erat.
“Dalam
novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wicjk, Zainuddin meninggal kerana sengsara
rindunya terhadap Hayati. Fir tak nak abah jadi begitu. Abah kena kuat menghadapi semuanya. Fir sayang
abah. Fir tak ada orang lain selain abah.” Dengan cepat Firdaus memeluk
Kamaruzaman dengan erat. Rasa kasihnya membuak. Rasa sayangnya memuncak.
Air
mata Kamaruzaman menitik laju. Dia rasa amat terharu dengan ketulusan kasih
sayang Firdaus.
“Insya-ALLAH Fir. Abah akan kuat dengan sokongan kasih
sayang Fir, Zurie dan cucu-cucu abah. Zainuddin kehilangan Hayati dalam
hidupnya, tapi abah tidak. Cinta dan hidup abah ada bersama anak cucu.”
Parit Ibrahim, Benut.
Sudah dua hari Kamaruzaman berada di rumah pusaka arwah
ibunya, Hajah Rahidah. Rumah itu memang rumah kampung, tetapi sudah diubah suai
dengan berbagai kemudahan. Malah Firdaus telah mengupah Amin dan isterinya
Rukiyah untuk menjaga rumah itu. Jadi, rumah itu sentiasa bersih dan kemas
seperti berpenghuni.
“Abang Min, Kak Ru, tolong jaga makan minum abah saya
selama dia tinggal di sini. Ini duit lauk dan
ini duit gaji abang dan kakak. Kalau ada apa-apa, tolong telefon saya segera.
Pastikan abah makan ubat mengikut masa, ya kak,” kata Firdaus semasa akan
meninggalkan halaman rumah itu.
Kamaruzaman tersenyum. Dalam usianya 64 tahun, Firdaus
melayannya seperti melayan seorang budak.
“Min, kau tengoklah Firdaus tu. Risau sungguh dia kalau abang
kelaparan di sini. Sampaikan duit belanja pun dia beri,” kata Kamaruzaman
dengan ketawa kecil.
“Dia tu sayang sangat kat abang,” kata Rukiyah, ikut
menyengih.
Kamaruzaman duduk di tangga sambil merenung awan. Sungguh
damai hatinya melihat langit yang membiru dengan awan yang berarak tenang. Burung-burung pula berterbangan dengan bebas.
“Abang Zaman nak makan apa hari ni?” tanya Amin.
“Min, janganlah nak susah-susah sangat pasal makan abang.
Abang juga besar di sini. Apa yang orang kampung ni makan, itulah juga makanan abang.
Jangan ikut sangat arahan Firdaus itu.”
Mata Kamaruzaman tertumpu kepada sebondong sayur yang
dikelek oleh Rukiyah.
“Ru, sayur apa yang awak bawa tu?”
“Oh, ini pucuk meranti
bang. Saya petik di belakang rumah tu tadi,” jawab Rukiyah.
“Sedap tu. Saya teringat arwah mak saya suka masak lemak
dengan tempe.”
“Kalau macam tu, saya akan masak untuk hidangan abang
tengah hari nanti. Tempe pun dah ada dalam peti sejuk tu.” Rukiyah tersenyum
senang.
Kamaruzaman juga angguk senang. Tiba-tiba seleranya terbuka.
“Min, boleh temankan saya ke kebun getah tu. Dah lama tak
tengok kebun tu. Siapa yang menoreh sekarang, Min?” tanya Kamaruzaman selepas
Rukiyah berlalu ke dapur.
“Dulu Pak Tahir. Sekarang Mak Jah dan anaknya Siti
Solehah. Pak Tahir dah tak boleh kerja berat. Semputnya tu semakin teruk
sekarang,” jawab Amin. Tanpa berlengah dia berjalan ke arah motorsikal yang ada
di belakang.
Kamaruzaman pula segera turun dan menyarungkan selipar.
“Naiklah bang,” suruh Amin ketika enjin motor sudah
menderum.
“Wah, seronok ni. Lama saya tak naik motor. Kalau Firdaus
nampak, mahu dia menjerit sampai terkeluar anak tekak!” Kamaruzaman menyeringai.
Amin ikut ketawa. Kamaruzaman rasa segar. Angin kampung
yang menerpa mukanya dirasakan sangat sejuk dan nyaman. Jiwanya terasa kembali
kuat dan bersemangat.
Matahari sudah hampir tegak
di langit. Namun nyanyian agas dan
nyamuk masih berkeriau menyentuh kuping telinga.
Siti Solehah dan ibunya sedang
memungut susu getah. Sekali-sekala dia berhenti untuk mengesat peluh dan kadang-kadang
termengah-mengah menahan penat. Sekali-sekala pula menepuk nyamuk dan agas yang
menggigit menghisap darah.
“Kalau Siti penat, berehatlah. Biar
mak yang habiskan,” kata Mak Jah sambil menyeka peluh.
“Apa pula? Maklah yang berehat, biar
Siti habiskan. Orang muda tenaganya lebih kuat dan staminanya lebih baik,”
tingkah Siti Solehah pula.
Mak Jah
terkulat-kulat. “Stamina? Apa binatang pula tu?”
Siti
Solehah ketawa melihat wajah Mak Jah yang terkulat-kulat cuba memahami
perkataan itu.
“Stamina tu ialah daya ketahanan dan kekuatan diri kita.
Kalau kita cepat rasa letih, maknanya stamina kita tak kuat.”
Mak Jah angguk perlahan. Kemudian
dia mengekek ketawa. Tidak lama dia kembali meneruskan kerjanya. Siti Solehah juga kembali menyambung kutipan
susu getah dari dalam tempurung yang ada. Dia melakukan dengan hati yang
jujur. Sedikitpun dia tidak menyesal walaupun dia tahu, ketika itu dia
sepatutnya berada dalam kelas.
Bunyi
deruman enjin motor membuatkan mereka berhenti.
“Assalamualaikum
Mak Jah! Belum siap lagi?” sapa Amin selepas sambil menongkat motornya.
Kamaruzaman
turun dari motor.
“Sikit
lagi Min. Bila Abang Zaman balik?” tanya Mak Jah kepada Kamaruzaman.
“Dah dua hari. Banyak ke susu getah hari ni Jah?”
“Sejak lepas membaja ni, boleh tahan bang. Kalau ditoreh
semua, banyak juga. Tapi, kami berdua ni tak larat sangat nak habiskan semua.
Terpaksa toreh separuh sahaja. Minta maaflah,
bang.”
“Kenapa pula nak minta maaf?”
“Mungkin kalau abang pawahkan pada orang lain,
pendapatannya lebih banyak. Tapi kami ni…” jawab Mak Jah, perlahan.
“Jah, saya bukan datang nak periksa kerja awak. Saya
datang kerana dah lama saya tak tengok kebun ni. Saya teringat masa kecil saya
bermain-main di kebun ni,” kata Kamaruzaman sambil melilau ke sekeliling kebun.
Walaupun kebun itu sudah beberapa kali ditanam semula, ia
tetap sama.
Ketika matanya memerhati ke sekeliling, dia terpandang
kepada Siti Solehah yang berdiri tidak jauh dari situ. Dia senyum. Siti Solehah
membalas senyumannya.
Tidak lama, Kamaruzaman dan Amin meninggalkan Mak Jah dan
Siti Solehah. Mereka menghala ke hujung kebun getah itu, di mana terdapat dusun
buah-buahan. Durian, rambutan dan langsat memang tengah lebat berbunga dan
berputik.
Balik dari menoreh, Siti Solehah terus ke bilik mandi di
belakang rumah. Masih banyak kerja yang menanti. Dia tidak boleh berlengah-lengah.
Kain baju perlu dicuci. Rumah mesti dikemas. Nasi pula perlu ditanak sebab
sekejap lagi adik-adiknya akan pulang dari sekolah.
Mak Jah pula berhenti di tangga untuk melepaskan lelah
sambil menyeka peluh yang berjuntaian di wajahnya.
Pak Tahir keluar mendapatkan isterinya ketika terdengar
suara Mak Jah dan Siti Solehah.
“Penat Jah?” tanya Pak Tahir sambil duduk di
bendul rumah.
Mak Jah menoleh ke belakang. “Bolehlah tahan
bang.”
“Kasihan awak dengan Siti,
Jah.”
“Kenapa bang?” Sambil menyeka peluh, Mak Jah menoleh.
“Sepatutnya tugas mencari nafkah ini tugas saya. Tapi, tengoklah.
Awak dan Siti yang jadi korbannya.”
“Abang janganlah cakap macam tu. Dulu, abang dah lama bekerja untuk
kami. Sekarang abang sakit. Apa salahnya saya dan Siti membantu,” jawab Mak Jah
sambil menepuk-nepuk lengan Pak Tahir.
“Tapi Siti terpaksa berhenti belajar. Dia terpaksa lupakan
cita-citanya kerana saya. Kasihan dia, Jah. Bagaimanakah nasib masa depannya
nanti?” Mata Pak Tahir mula berkaca. Hatinya berubah pilu. Dia terbayangkan
nasib masa depan Siti Solehah yang kelam. Begitu juga nasib Siti Mukminah dan
Muhamad Hafiz.
“Dah nasib dia bang. Kita berserah sajalah kepada ALLAH.”
Sebuah keluhan terlepas dari bibir kering Pak Tahir. Sungguh sedih
hatinya bila teringatkan cita-cita Siti Solehah untuk menjadi guru terpaksa
dilupakan. Dia sekarang terpaksa bertungkus lumus mencari rezeki di kebun getah milik Kamaruzaman
itu.
“Kalau Siti dah jadi cikgu, Siti akan hantar mak dan ayah ke Mekah.
Siti nak ayah jadi Haji Tahir dan mak digelar Hajah Hadijah. Doakan Siti
berjaya ya ayah.”
Kata-kata itu terngiang. Seperti baru semalam ia diucapkan oleh Siti
Solehah.
“Tadi, Abang Zaman ada datang ke kebun bang,” kata Mak Jah, sengaja
menukar cerita.
“Apa dia nak?” Pak Tahir bertanya bimbang.
“Tak ada apa-apa. Dia saja melawat. Katanya
nak ingat kenangan masa kecil dulu.”
“Abang bimbang kalau dia tak bagi kita menoreh
lagi di kebun dia tu. Yalah, kalau dia
beri pada orang lain mungkin dia boleh dapat hasil yang lebih banyak.”
“Tak bang. Dia tadi dah kata, dia takkan tarik
kebun tu dari kita.”
“Bolehkah kita yakin dengan cakap dia tu,
Jah?”
“Saya yakin dia ikhlas bang. Muka Abang Zaman
tu tak nampak muka orang zalim. Lagipun, kita dah lama menoreh di kebun dia.
Dah lama kita jaga harta benda dia,” jawab Mak Jah dengan penuh yakin.
Pak Tahir mengeluh perlahan. Kerisauannya beransur hilang. Namun tiba-tiba kekesalannya pula
muncul. Dia masih teringatkan nasib dan masa depan Siti Solehah.
“Apa lagi yang abang menungkan?”
“Entahlah Jah. Saya kesian dengan Siti. Kalaulah saya masih sihat...”
Mak Jah terdiam. Hati seorang ibu juga bimbang tetapi dia tidak
mahu terlalu memikirkan hal itu. Dia pasrah kepada ALLAH. Dia berserah kepada
takdir. Lalu dia berdoa dalam hati agar Siti Solehah diberikan masa depan yang
lebih baik dari sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan