ALEEYA
bernyanyi gembira sambil mengemas rumah. Jiwanya tenang, lapang dan terbuka. Malas
hendak bertegang urat dengan suaminya lagi. Biarlah dia mengikut arus dan
rentak tari suaminya itu. Hendak tengok lenggok yang bagaimana, lagu apa? Dia
akan ikut selagi mampu, selagi peluh tidak menitik membasahi seluruh tubuhnya. Kalau
sudah penat menari, rentaknya masih tidak berubah. Terpaksalah dia mencari
jalan lain, menari lagu moden pula, kalau tidak sesuai, lebih baik berhenti dan
cari jalan sendiri. Mungkin dia tidak sesuai menari, mungkin dia sesuai menyanyi
ke? Aleeya menyengih sendiri, jauh benar fikirannya menerawang.
Ikmal masih belum pulang, ke mana
sahajalah suaminya itu pergi hujung minggu begini. Tinggalkan dia sendirian di
rumah. Ikut suka hati dia sahaja. Nasib baik dia seorang yang positif. Bersabar
dengan apa yang berlaku. Baginya, semua ini adalah ujian untuknya, menguji
kesabaran diri. Buat apa marah-marah, akan mengeruhkan lagi rumah tangganya. Jika
api sedang menyala, jangan sesekali siram dengan minyak, itu sebab terbakarnya
semakin marak, takut-takut tidak boleh dipadamkan biarpun panggil bomba di
merata tempat. Nanti sendiri juga yang rugi, macam Nadia itu. Sekarang baru nak
sedar.
Bosan juga tinggal di rumah seorang
diri, dia mula berfkir. Kalau keluar dengan teman sepejabatnya yang gila-gila
itu bagus juga, ceria juga hujung minggunya yang suram dan muram itu. Aleeya
tersenyum sendiri.
KE
MANA lagi kalau tidak ke panggung wayang. Apa sahaja cerita semuanya ditonton
asalkan mampu melegakan hati dan perasaan. Mulut ketiga-tiga gadis yang
sentiasa sudi menemannya membuatkan dia tidak kering gusi. Ada sahaja cerita
ceria mereka. Kadangkala terasa muda dan sebaya mereka yang berotak gila-gila
itu.
“Kak… kak,” panggil Lin macam orang
tengok hantu.
Aleeya pula sibuk membelek blaus
yang menarik hatinya di sebuah butik berhampiran panggung wayang tempat mereka
menonton tadi.
Lin menarik tangan Aleeya dan
menolak kepalanya agar melihat ke arah restoran makanan ringan yang terdapat di
Mall tersebut.
“Apanya? Main tolak-tolak kepala
pula! Ada apa?” Aleeya mengetap bibir dan menjegilkan mata.
“Tuuu…” kata Lin sambil menunjukkan
jarinya ke arah sepasang teruna dara yang sedang berbual mesra.
Macam kenal sahaja. Aleeya
mengerutkan dahi, matanya tepat memandang pasangan itu. Jika Nadia ada di sini,
suaminya di mana pula? Wah… apa sudah jadi? Dia sahaja yang fikir yang
bukan-bukan. Itulah kena positif. Dia ingatkan Ikmal keluar bersama Nadia, rupa-rupanya
bukan. Aleeya menarik nafas lega. Apa yang penting, suaminya tidak bersama
Nadia, jika Nadia keluar dengan lelaki lain, dia peduli apa. Sesuailah. Lagipun
Nadia masih bersendirian. Kalau sudah bertemu dengan lelaki yang baik, apa
salahnya berkahwin sahaja. Tidaklah mengganggu suaminya. Anak-anak pula, pandai-pandailah
Ikmal memujuk untuk menerima dirinya sebagai ibu tiri. Hei! Ini bukan zaman ibu
tiri jahat tahu, ada juga ibu tiri yang baik hati, malah jauh lebih baik
daripada ibu kandung.
“Kak… jom makan KFC,” ajak Ina. Sudah
lama juga tidak menjamah ayam goreng berperisa itu. Sedap sehingga menjilat
jari.
“Ha’ahlah, kak… jomlah!” ajak Ros
pula.
Ala… Nadia ada di situ, lecehlah! Aleeya
serba salah.
“Kita pergi tempat lainlah… banyak
lagi KFC di Kuala Lumpur ni,” cadang Aleeya.
“Alah, kejap lagi nak masuk panggung
lagi… kita makan sini ajelah…” kata Lin pula.
Aleeya mengeluh. Budak-budak ini
memang. Kalau menonton wayang, sehari dua kali. Habislah duit dia.
“Jomlah, kak…” Lin menarik tangan
Aleeya. Ina dan Ros mengikut dari belakang.
Berdebar-debar juga hati Aleeya
ketika terpandangkan wajah Nadia yang tajam memandangnya. Macam hendak telan
dia hidup-hidup. Macamlah dia musuh ketatnya. Dia ingat matanya sahaja ada, dia
pun ada mata. Aleeya membuntangkan biji matanya. Biar terkeluar, bagus juga. Aleeya
tersenyum dalam hati. Melayan perangai orang tua yang macam budak-budak boleh
buat dia ketawa sendiri. Keluar dengan lelaki lain, nak main jegil-jegil, nanti
dia cungkil biji mata itu keluar, baru Nadia tahu. Ingat dia sahaja yang
brutal? Ini Aleeya Aneesalah… seantero dunia tahu, garang macam singa. Ya ke? Aleeya
tersenyum dalam hati.
“Kak… sini! Sini!” jerit Lin
terlambai-lambai.
Aleeya membungkam. Ait! Dia
terlambat ke? Tadi bukan rakan-rakannya ada di sisinya. Cepatnya mereka jalan. Mungkin
dia leka tengok Nadia sampai tidak perasan, rakan-rakannya sudah menghilangkan
diri mencari tempat duduk. Aleeya menapak mendekati mereka.
“Cepatnya kau orang berjalan,” kata
Aleeya dan duduk menghadap Nadia yang membelakangkannya. Hendak juga dia
tengok, siapa lelaki yang bersama dengan Nadia. Bolehlah dipanjangkan cerita
kepada suaminya nanti. Pasti menjadi cerita hangat. Aleeya tersenyum lagi.
Sebaik sahaja dia terpandangkan
lelaki itu, rasanya benar-benar matanya akan terjojol keluar. Hisy… siapa kata cempedak
takkan jadi nangka? Hmm… tak kisahlah boleh ke tidak. Asalkan tetap nama buah. Cepat-cepat
dia mengambil beg tangannya dan menutup mukanya. Memang tak patut! Apa hubungan
mereka? Macam mana mereka boleh kenal? Uh! Apa ilmu si Nadia ini pakai agaknya
ya! Kali ini bukan senyuman lagi yang terlahir di hatinya, tetapi rasa sebal
pula.
“Kak… bawa turunlah beg tu… kenapa
tutup muka? Abang Ikmal ada kat sini ke?” kata Ros separuh berbisik. Matanya
berlegar memandang sekeliling. Tidak pula dia ternampak kelibat suami rakannya
itu.
“Kak, kenapa pula ni?” tanya Ros
sekali lagi.
“Syyy…” Aleeya meletak jari telunjuk
di bibirnya, menyuruh Ros mendiamkan
diri. Lin dan Ina sedang memesan makanan dan minuman.
“Aleeya Aneesa,” sapa seorang lelaki
sambil menarik beg tangan Aleeya.
Aleeya mengerut dahi dan menyengih
memandang lelaki itu yang sudah pun berdiri di hadapannya bersama-sama dengan
Nadia. Aduh! Kecilnya dunia.
“Kenapa main sorok-sorok ni?” tanya
Amran, tanpa dipelawa, terus duduk di kerusi. Nadia masih berdiri macam kayu di
sebelah lelaki itu.
“La… Amran, awak ke? Tak perasan
saya… kenalkan kawan saya, Ros… Lin dan Ina sedang membeli makanan. Erk… siapa
ni?” Aleeya tersenyum lebar sambil tanganya menunjuk kepada Nadia. Matanya
terbuka besar, terkejut pun ya.
“Kenalkan ini kawasan satu
universiti saya dulu, kami terjumpa, tanpa sengaja,” cerita Amran tentang
Nadia.
“Oo… kawan sekolejlah kira ni ya?” Aleeya
menyengih lagi.
“Macam mana awak kenal dengan
perempuan ni? Dia siapa dengan awak, Amran?” tanya Nadia pula.
“Oo… Aleeya ni kawan sekampung saya.
Dulu, sahabat baik sayalah kiranya. Pembakar semangat saya dan juga yang suka
buli saya,” kata Amran memperkenalkan Aleeya kepada Nadia.
“Kawan lama? Baguslah…” Nadia
mencebik.
Ros menjeling. Tidak suka dengan
sikap Nadia yang ternampak kesombongan dan keangkuhannya.
“Hey, ramainya… Nadia pun ada,” sapa
Lin yang baharu sampai dengan makanan dan minuman yang baharu dibelinya bersama
Ina tadi.
“Kenal Nadia ke?” tanya Amran
kehairanan.
“Erk… kenal-kenal gitu aje,” sampuk
Ina. Dia terus menarik Lin duduk di kerusi. Terus memberi air minuman kepada
rakannya itu. Biar tidak banyak mulut. Tengok mata Aleeya yang membesar macam
ikan Uji Rashid, dia pasti ada yang tidak kena.
“Ooo… okeylah Leya, tak mahu kacau
awak. Nanti kita berhubung lagi ya,” kata Amran sebelum berlalu meninggalkan
empat sahabat itu bersama Nadia. Berkali-kali Nadia memandang Aleeya.
Sempat pula Aleeya menunjukkan
penumbuk. Geram betul dia. Nanti panjanglah cerita Nadia pada Ikmal. Uh! Dia
tidak sempat memberitahu Ikmal tentang Amran yang baharu ditemui semula. Kalau
cerita versi Nadia pasti tidak ada yang baiknya. Uh! Tak guna betullah.
Positif, positif… detik hati kecil Aleeya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan