Bahagian 2
Kerana
kau, aku pergi.
Bukan
kerana aku membenci,
tetapi
kerana aku tidak mahu
kau
menyakiti hati ini.
Kuala
Lumpur,
terimalah
aku...
Kay,
2006
Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir, salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini, tak dirancang
Air matanya berlinangan
dan kemudian gugur satu persatu. Lagu Salam Terakhir dari Allahyarham Datuk
Sudirman Haji Arshad amat-amat memilukan hatinya. Deejay di radio seakan-akan
tahu perasaan hatinya ketika itu. Sedih. Pilu. Rindu. Pasrah...semuanya
bercampur baur. Baru beberapa jam meninggalkan rumah dan kampung halaman, dia
sudah rindu pada emak. Bas ekspress baru sahaja bergerak meninggalkan ayah yang
berdiri di tepi restoren, air matanya sudah merembes keluar. Hiba benar rasanya
melihatkan ayah yang setia menanti hingga bas bergerak hilang dari pandangan
mata. Perasaan kali ini berbeza sekali. Dia bukan tidak pernah meninggalkan
emak, ayah, Kasih Alia, Kak Nora dan kampung. Ketika dia mula-mula meninggalkan
kampung adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Seni Reka
Dalaman, di UiTM, Perak.
‘Mungkin kerana, masa itu,
aku tahu aku akan kembali. Tetapi...kali ini...’
Ketika bas ekspess memasuki Jalan
Pagoh, Muar...dia sudah merasa rindu dengan pancaran sinar mentari di sungai
Simpang Kanan. Sungai itu tidak pernah berhenti mengalir. Ketika menghadapi
tekanan peperiksaan SRP, SPM dan ketika di UiTM, di tepi sungai itulah dia
duduk. Memandang langit dan sungai. Memandang pancaran matahari yang menyimbahi
permukaan sungai hingga airnya kelihatan berkilau-kilau berseri. Walaupun
sebenarnya, air sungai itu coklat dan di tepi-tepi tebing kadang-kadang banyak sampah
sarap yang terapung.
Wajah emak dan Kak Nora bersilih
ganti bermain di wayang fikirannya. Masih terbayang wajah emak dan Kak Nora
melambai-lambaikan tangan ketika dia memeluk beg membonceng motor dengan ayah. Masih
terbayang-bayang dia tubuh emak yang terbongkok-bongkok menumbuk lada dan
bawang malam tadi untuk membuatkan dia sarapan nasi lemak pada pagi sebelum dia
bertolak. Bekalan nasi lemak diletakkan di tempat letak beg di atas kepala.
“Jangan lupa kirim salam dengan
Johari. Tanya dengan dia, kenapa dia lama tak balik kampung? Dia tak rindu nasi
lemak emak, ke?” sempat emak berpesan ketika memberikan dia bekalan untuk
diberi kepada Johari.
‘Maafkan Adik, mak.
Adik perlu tinggalkan emak. Satu hari, Adik akan berterus-terang dengan mak.’
Kemudian wajah cantik Kak Nora pula
menerjah dalam ingatan.
“Kenapa kau nak pergi, Dik? Kalau
kau tak ada, Kak Nora tak ada kawan hendak berbual, hendak mengandam...hendak
pergi mekapkan pengantin. Kalau kau sudah sibuk di KL, susahlah kau hendak
balik sini lagi. Nanti Kak Nora sunyi kalau kau tak ada.” Suara sayuKak Nora
tergiang-giang di halwa telinga ketika dia menyampaikan berita pada Kak Nora
yang dia berjaya mendapat kerja di ibu kota.
“Kak Nora hairanlah...bila yang
engkau pergi KL interview di KL tu?”
Dia tersentak. ‘ Kak Nora ni, memang
tak boleh nak tipu.’
“Saya tengok suratkhabar laa Kak
Nora. Lepas tu, saya hantar resume...lepas
tu, dia orang suruh saya datang kerja,” ringkas penjelasannya. Dia tidak mahu
Kak Nora mengesyaki apa-apa. Dengan Kak Nora, dia memang tidak boleh berbohong.
Seakan-akan Kak Nora itu tahu segala apa yang ada di dalam isi hatinya. Kak
Nora itu macam emak...sedikit riak wajahnya berubah...emak dan Kak Nora sudah
tahu kenapa.
“ Ohhh...Tapi...mmm... iya ke kau
dapat kerja atau kau nak lari dari Abang Long kau?” Kak Nora meneka. Anak
matanya dikecilkan seolah-olah sedang menyoal-siasat Adik.
Sekali lagi degup jantungnya seakan terhenti
sebentar.
“ Tak adalah kak. Mana ada. Memang
ALLAH dah susun agaknya, Abang Long dan Kak Long datang tinggal sini, saya
pulak dapat kerja. Alia pun dah dapat masuk matriks. Jadi ayah dan emak ada
teman di rumah.” Dia amat berharap dengan penjelasan lojik itu, Kak Nora akan
berhenti menelah. Dia amat takut telahan Kak Nora benar belaka dan wajahnya tidak
boleh menipu Kak Nora. Kak Nora amat mengenali dirinya.
Dia tersedu-sedan menahan sebak di
dalam kesejukan dari penghawa dingin bas ekpress yang meluncur laju. Bas
ekspres Batu Pahat- Kuala Lumpur membelah lebuhraya utara selatan yang masih
lengang dari kesibukan lalulintas pada pagi hari Jumaat itu. Dia memilih tempat duduk yang agak ke belakang.
Dia memang mahu mengasingkan diri. Dia mahu bersendirian melayan perasaan
syahdunya. Dia mahu terasing. Biarlah dia bersendiri. Dia tidak mahu orang lain
nampak kesedihannya. Tidak ramai penumpang yang menaiki bas pada pagi itu. Para
penumpang boleh memilih tempat duduk yang dikehendaki walau nombor tempat duduk
telah dicetak di tiket bas.
Subuh tadi, subuh terakhir dia bersolat di surau
kampungnya. Surau yang banyak menyimpan memorinya bersama Johari, Faezah Hanim
dan Pak Hassan. Sama seperti subuh-subuh yang lain, pagi itu dia berdiri sama
saf dengan ayah dan Pak Hassan. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, Pak
Hassan tidak dapat lagi bersolat seperti biasa. Sakit-sakit lututnya memaksa
Pak Hassan duduk di kerusi untuk mendirikan solat. Semasa dia bersalaman dengan
Pak Hassan, sempat dia meminta guru mengajinya mendoakan keselamatan dan
kesejahteraannya sepanjang dia berada di kota.
“ Jaga diri, Arif. Di kota tu,
banyak cabaran...banyak dugaan. Jangan kau hanyut dengan semua godaan hawa
nafsu dan syaitan. Jangan lupa ALLAH. Kalau kau sentiasa solat dan ingat
ALLAH...insya-Allah...kau akan selamat.” Itulah kiranya nasihat Pak Hassan yang
terakhir untuk dirinya. Dia memeluk orang tua itu. Jika masa kecilnya, Pak
Hassan berbadan gempal, kini sudah agak susut tubuh badan guru mengajinya itu.
Semasa dia kecil, terasa Pak Hassan itu besar tinggi orangnya, kini Pak Hassan
sudah semakin mengecut. Dia menahan sebak. Lain benar perasaannya pagi itu
seakan-akan dia tidak akan bertemu lagi dengan Pak Hassan.
Bas ekspres yang dinaiki berhenti
sebentar di kawasan Rawat dan Rehat Ayer Keroh. Kebanyakan penumpang dan
pemandu bas juga turun untuk membeli sarapan ataupun mungkin melepaskan hajat
masing-masing. Dia tidak turun dari bas. Dia masih kenyang dengan nasi lemak
yang emak masak. Air teh ‘O’ yang dibubuh daun pandan, masih lagi bersisa,
tidak disentuhnya. Telefon bimbit Nokia siri 3310 nya berbunyi.
Dik...dah sampai mana?
Satu pesanan ringkas dari sahabat
karibnya Johari.
Berhenti kejap di RNR Ayer Keroh. Dia membalas pesanan itu.
Ok...aku tunggu kau di Pudu. Call aku kalau kau dah sampai Nilai. Tak
sabar nak jumpa!
Dia tersenyum dan menekan kekunci Reply.
Aku pun tak sabar nak jumpa kau. Mak aku ada bekalkan nasi lemak. Nanti
kita boleh makan sama-sama eh.
Selepas dua minit menghantar pesanan
itu, telefon bimbitnya berbunyi kembali.
What?! Eh...kau suruh pakcik drebar tu drive cepat sikit, boleh tak?
Dia tersengih membaca pesanan akhir
dari Johari.
‘ Ri...Ri...dari dulu sampai
sekarang, kau tak pernah berubah.’
Benarlah. Benarlah bahawa kawan
ketawa, mudah dicari. Kawan menangis bersama? Bukan semua kawan yang mampu
menangis bersama jika manusia di dalam kesusahan.
Johari.
Johari adalah teman zaman
kanak-kanak.
Teman di sekolah rendah.
Teman zaman remaja.
Teman zaman persekolahan dan kini...zaman
dewasa.
Walau terpisah oleh masa dan
keadaan, mereka tidak pernah terpisah. Walau mereka tidak bertemu hampir enam
tahun, mereka saling berhubung melalui emel dan telefon. Walau berjauhan, dia
tidak pernah terasa walau dia akui, dia rindukan Johari.
Johari telah berhijrah ke kota sejak
tahun 2000 lagi. Ketika itu, dia masih lagi di UiTM. Ketika dia bercuti
semester, Johari tidak ada di kampung. Malah seingatnya, Johari jarang sekali
pulang ke kampung sewaktu hari lebaran. Kata Mak Bedah, Johari selalunya tidak
dapat cuti raya. Mulanya, dia merasakan yang Johari sudah berubah. Sudah
sombong bila bergelar orang KL. Namun, sewaktu berbual dengan Johari di
telefon, sahabatnya itu masih lagi seperti dulu. Sentiasa meriah. Sentiasa suka
berjenaka dan suka berseloroh.
Berkawan dengan Johari membuatkan
dia merasakan, masalahnya cuma masalah kecil dan mengikut kata Johari, “ Dik,
kalau kita tidak boleh selesaikan masalah itu, kita keluar dari masalah itu.
Jangan biarkan masalah itu menganggu diri kau. Nanti kau yang stress, kau yang pening dan kau yang
susah. Orang lain tahu apa? Mereka tahu tengok saja.” Itulah kata-kata Johari
yang membuatkan dia nekad pergi ke Kuala Lumpur.
“ Jangan takut, Dik. Aku ada.”
Kata-kata terakhir Johari ketika dia mengadu nasibnya dua minggu lalu sebelum
dia membuat keputusan, membuatkan hatinya lapang dan bersedia menghadapi apa
jua keadaan ketika di Kuala Lumpur nanti.
Johari adalah insan pertama dan
mungkin terakhir yang tahu sebab musabab dia meninggalkan kampung halaman.
Dengan emak, ayah, Kak Nora, Kasih Alia, Pak Hassan dan semua orang
lain...setahu mereka, dia mendapat kerja di Kuala Lumpur.
‘ Bohong sunat.’ Fikirnya.
Walau emak mahu dia menetap sahaja
di rumah menemankan emak, dia tetap dengan pendiriannya. Dia tahu, emak dan Kak
Nora akan sunyi jika dia berhijrah. Lebih-lebih lagi emak kerana adiknya Kasih
Alia baru sahaja meninggalkan mereka untuk melanjutkan pelajaran di Matrikulasi
Universiti Islam Antarabangsa. Dia menyakinkan emak yang dia akan kembali.
“ Mak...biar Adik tolong mak sponsor Alia kat U,” janjinya pada emak.
“ Alia, kan dah ada duit sendiri,”
emak menyanggah lembut.
“ Mak...duit PTPTN tu, buat bayar
yuran saja, mak. Duit hendak beli buku, hendak fotostat macam-macam. Hendak
buat makan lagi, tambang bas...tak cukup, mak. Adik tak nak Alia rasa susah kat
KL, tu. Bidang yang Alia ambil tu mak...mahal. Macam-macam buku dia perlu beli.
Kalau Adik kerja, Adik boleh tolong Alia. Adik nak tengok Alia jadik lawyer, mak.”
Emak mengeluh. Emak memandang
wajahnya. Sayu sahaja emak walau sekarang rumah emak sudah bising dengan rengek
anak abang Khalid. Tetapi, dia juga tahu emak berat hati untuk melepaskannya.
Dan dia pula, seboleh mungkin mahukan restu emak. Dia takut hendak berbuat
apa-apa tanpa restu emak dan ayah. Pesan Pak Hassan, restu emak ayah itu
penting. Jika emak dan ayah restu atas apa perbuatan kita, maka senanglah dan
berkatlah hidup kita. Pergilah ke hujung dunia sekalipun, selagi kita tidak
menduakan ALLAH dan doa ayah juga emak mengiringi setiap langkah perjalanan,
insya-ALLAH...selamat hidup kita dimana-mana. Lebih-lebih lagi untuk anak
lelaki sepertinya. Syurganya adalah di bawah telapak kaki emak.
Walau dia tahu, emak bukan mahukan
duitnya. Tiap-tiap bulan, Abang Din tidak pernah lupa mengirimkan duit pada
emak dan ayah. Sebenarnya, emak dan ayah sudah dapat hidup selesa dengan duit
kiriman Abang Din. Wang pencen ayah pula sudah cukup untuk menyara hidup mereka
suami isteri. Tetapi Adik tahu, emak dan ayah banyak membantu Abang Khalid.
Ada-ada sahaja yang diperlukan abang
sulungnya itu. Hendak bayar sewa rumahlah. Hendak bayar bil air yang hendak
kena potonglah. Hendak buat bayar sambung elektrik yang sudah dipotonglah. Hendak
betulkan enjin motorlah.Tayar motor pancitlah. Macam-macamlah keperluan Abang
Khalid. Lebih-lebih lagi sekarang ini setelah isteri Khalid melahirkan anak
sulung mereka. Khalid mahu emak yang menjaga isterinya yang dalam pantang
bersalin di rumah pusaka mereka. Khalid juga akan kembali tinggal di rumah itu.
Sebenarnya, Adik dan Kak Nora tahu, Khalid tidak mampu hendak menyewa rumah
untuk isteri dan anaknya. Hendak tinggal di rumah mentuanya di Parit Raja, Adik
pasti Khalid malu. Bukan malu sebenarnya, tetapi ego.
Segalanya bermula saat itu. Saat
Khalid dan isterinya menjejakkan kaki semula ke rumah ayah dan emak. Umur
isteri Khalid itu sebenarnya sebaya dengan Adik. Gadis kampung yang bekerja di
kilang yang sama dengan Khalid. Adik dan Kak Nora tahu, Khalid dan isterinya sudah
terlanjur sebelum mereka menikah. Khalid sendiri yang memberitahu emak kerana
takut abang kepada Fidah- (nama isteri Khalid ) akan memukulnya di hadapan
orang-orang kampung jika Khalid tidak bernikah dengan adik perempuannya secepat
mungkin.
Sebelum emak memberitahu ayah, emak
mengadu dengan Kak Nora terlebih dahulu. Emak mengurut dada sambil menangis
teresak-esak di hadapan Kak Nora. Bengkak mata emak mengadu hal yang memalukan
di hadapan Kak Nora. Syukurlah Kak Nora itu seorang yang amanah untuk menyimpan
rahsia yang memalukan keluarga Abdul Ghani dan Tok Bidin. Untuk mengelakkan
Khalid dan Fidah bergelumang dengan dosa, emak cepat-cepat memberitahu Pak
Ngah, adik ayah di Melaka untuk menghantar rombongan merisik Fidah. Seterusnya,
di hantar pula rombongan meminang. Walau apa pun berlaku, emak tidak mahu
membelakangkan adat.
“ Abang kau tu, kan...memang gila
tau, dik! Heeee! Memang gila dari kecik tau! Aku memang bencilah dengan dia!
Menyampah tengok muka dia!” Itulah kata-kata Johari di saat dia mengadu nasib
dengan sahabatnya di telefon.
“ Kalau aku ni bukan kawan kau dari
kecik, bukan jiran kau dari kau lahir...aku mesti ingat kau ni anak angkat
dengan mak ayah kau. Sebab kau asyik kena buli aje dengan Abang kau tu. Tapi
sebab muka kau tu sebijik muka mak kau...jadik aku tahu, kau bukan anak angkat
Pak Ghani tau! Entah-entah, Abang Long kau tu yang anak angkat mak ayah kau
tak? Mak ayah kau jumpa dia kat estet
kelapa sawit Simpang Renggam tu. Anak siapa entah. Dia jahat sangatlah,” Johari
mengomel di hujung talian.
“ Biarlah dia, Ri. Aku dah tak kuasa
nak fikir-fikir pasal dia. Aku cuma fikirkan emak ayah aku aje. Kak Nora kata,
emak aku nangis sampai macam hendak sesak nafas.”
Walaupun emak meminta Kak Nora
merahsiakan hal Khalid kepada Adik dan anak-anaknya yang lain tetapi Kak Nora
dengan Adik, tidak ada rahsia. Begitu juga halnya antara Adik dan Johari. Semua
rahsia Johari di dalam tangan Adik dan rahsia cerita Adik di dalam kocek
johari. Sebab itulah, dia faham kesusahan dan penderitaan emak. Adik syahdu
kerana Khalid bukan ada satu sen pun masa hendak berkahwin. Semuanya duit ayah,
emak, Tok Bidin, Abang Din dan Kak Nora.
Walau Khalid selalu pandang serong dengan
Kak Nora, selalu mengumpat Kak Nora, selalu mengata Kak Nora janda gatal, janda
berhias yang ‘makan suami’, baharu kahwin enam bulan, suaminya meninggal dunia.
Tetapi jiran sebelah rumah itulah yang menanggung pembiayaan baju-baju
pengantin, pelamin dan semua hiasan barang hantaran Khalid kepada Fidah. Itupun
Khalid hendak buruk-burukkan nama Kak Nora. Itupun Khalid tidak pandai hendak
bersyukur. Tahu hendak berlagak sahaja. Adik tidak dengar sepatah perkataan
Terima Kasih pun dari mulut Khalid kepada Kak Nora. Sedangkan Kak Nora beri
pinjam percuma sahaja baju pengantin, bunga pahar, dulang-dulang hantaran siap
dengan hiasan. Adik pula yang berkali-kali mengucapkan rasa syukur kepada ALLAH
dan terima kasih kepada Kak Nora yang bersusah-payah.
“ Terima kasih Kak Nora. Macam mana
kami hendak balas budi baik Kak Nora ni?” tepat anak matanya memandang wajah
Kak Nora yang sudah semakin berusia.
“ Dik...kau, mak dan ayah kau tu,
macam saudara Kak Nora sendiri. Saudara-mara Kak Nora sendiri pun jauh dari Kak
Nora. Abang Long tu, Kak Nora anggap macam adik Kak Nora sendiri.”
Yang menyedihkan Adik sangat-sangat,
setelah budi Kak Nora yang menggunung kepada Khalid, abangnya itu telah
memfitnah Kak Nora dengan fitnah yang cukup pahit.
“ Memfitnah saudara sesama muslim
itu, sama seperti memakan daging saudara kita.” Adik pernah mendengar ceramah
seorang Ustaz tentang dosa besar dalam fitnah-memfitnah ini.
“Biarlah aku yang pergi, Ri” sayu
suaranya.
“ Balik-balik kau yang mengalah.
Balik-balik kau yang surrender. Kita
dah besarlah, Dik. Kau nak takut apa lagi dengan Abang kau tu?”
“ Aku tak kuasa nak panjang-panjang,
Ri. Aku kasihan dengan mak aku. Pening kepala dia bila tahu aku asyik bergaduh
dengan Abang Long. Dia hendak jaga kakak ipar aku yang dalam pantang lagi.
Hendak jaga cucu lagi. Hendak ambil tahu makan minum atok dan nenek aku lagi.”
“ Aku takut, kalau kau pergi...lagi
kuatlah dia mencanang dengan orang yang kau buat benda tu, Dik!”
“ Takpelah Ri...biarlah dia nak
cakap apa. Aku kasihan dengan kaum keluarga aku.”
“ Kau aje yang fikir pasal dia
orang? Orang lain, buat tak tahu saja!”
“ Orang lain siapa, Ri? Abang aku
aje yang mengong! Yang paling kasihan, mak aku...dan...mmm...Kak Nora...dia
orang tak tahu apa-apa pun,” sayu suaranya ketika menyebut nama Kak Nora. Malam
itu, dia mengadu habis-habisan dengan Johari, “Takpelah, Ri...biarlah aku yang
mengalah.”
Satu keluhan berat kedengaran di
hujung talian.
Johari tahu, amat berat dugaan yang
ditanggung sahabat karibnya itu.
“ Eh, Abang kau dengan bini dia tu,
hendak duduk selama-lamanya kat rumah mak ayah kau ke?” tanya Johari, musykil.
“ Entah...mungkin.” Dia juga tidak
pasti samada Khalid dan Fidah akan menetap selama-lamanya di rumah emak dan
ayah. Pada pandangannya, dengan masalah kewangan Khalid, memang haruslah dia
akan tinggal terus di kampung. Sedangkan masa bujang pun Khalid selalu pokai.
Inikan pula sudah beristeri dan mempunyai anak. Silap-silap, anak dan bini
Khalid pun, emak ayah akan tanggung makan pakai.
“ Hmm...kalau macam itu, memang patutlah
kau yang pindah, Dik. Datanglah duduk dengan aku kat sini. Cari kerja kat KL
ni. Mungkin, inilah masanya kau kena berhijrah.”
Perancangan teliti dia lakukan
bersama Johari. Setibanya di Kuala Lumpur nanti, dia akan menetap dengan Johari
di kawasan Subang Jaya. Di Kuala Lumpur, Johari bekerja di sebuah bank pusat
khidmat pelanggan di kawasan Sunway. Menurut Johari, tempat kerjanya memang
memerlukan ramai pekerja baharu kerana bank pusat telah mengembangkan
perniagaan ke peringkat global. Adik teruja dengan khabar itu.
Saban hari dia berdoa agar dia
diterima bekerja bersama-sama dengan Johari. Semoga tercapai hajat mereka
berdua hendak bersahabat hingga akhir hayat mereka. Dari belajar mengaji dengan
Pak Hasan, bersekolah rendah bersama-sama di Sekolah Kebangsaan Bandar,
kemudian bersekolah menengah di Sekolah Menengah Dato` Onn dan kini, insya-ALLAH,
mungkin akan bekerja bersama-sama satu pejabat di Kuala Lumpur. Dia dan Johari
sememangnya seperti sepasang belangkas.
Semuanya sudah ditentukan ALLAH. Rezeki,
ajal, maut dan jodoh pertemuan adalah percaturan ALLAH yang tidak boleh
disangkal oleh sesiapa pun. Siapa sangka, dengan kejadian yang berlaku, dia
akhirnya meninggalkan daerah yang dikasihi dan merantau ke kota. Dia tidak
pernah menyangka dia akan meninggalkan kampung halamannya. Pada fikirannya,
biarlah dia yang menjaga emak dan ayah hingga mereka tua. Biarlah dia yang
menjaga emak dan ayah hingga ke akhir hayatnya. Abang Khalid memang tidak boleh
dibawa bincang. Masa emak dan ayah sakit pun, batang hidung Abang Khalid tidak
pernah nampak. Khalid cuma pulang jika poketnya kosong. Adik amat berharap dan
berdoa agar Khalid berubah setelah berumahtangga dan mempunyai anak.
Abang Din pula sekarang adalah
seorang jurutera elektrik yang bekerja dengan Syarikat Tenaga Nasional Berhad di
Kuantan, Pahang. Abang Din masih lagi belum berkahwin. Mungkin kerana terlalu
sibuk bekerja, Abang Din terlupa yang umurnya sudah masuk ke era tiga puluhan.
Setiap kali pulang bercuti, soalan ayah, emak, nenek dan Tok Bidin adalah sama
sahaja, “ Din, bila kami hendak makan nasi minyak?” Acapkali soalan itu
diajukan kepadanya, Abang Din hanya senyum sahaja.
Kasih Alia pula katanya hendak menjadi
seorang peguam syariah kerana itulah dia memohon untuk memasuki matrikulasi Universiti
Islam Antarabangsa. Adiknya itu memang petah berkata-kata. Pingat-pingat johan
pidato, johan perbahasan, johan syarahan dan pingat pembahas terbaik semuanya
milik Kasih Alia. Jika Abang Din dan Adik jenis yang pendiam, Kasih Alia adalah
versi Khalid. Pantang ditegur, jika dia yang betul, habislah telinga rasa
hendak pekak dengar Alia membebel. Alia dan Khalid memang tidak sebulu. ‘
Panas’ kata Kak Nora. Cuma dia tahu, Kasih Alia amat menyanyangi dirinya. Dia
juga begitu. Kasih Alia adalah adiknya yang amat dimanjakan. Kerana itulah, dia
tidak mahu Kasih Alia susah di Kuala Lumpur. Biarlah abang dan adik yang
dikasihi itu mengejar cita-cita mereka. Biarlah mereka mengharumkan nama emak,
ayah dan Tok Bidin.
Dia?
Dia bahagia di sisi emak dan ayah.
Dia bahagia duduk di kampung menolong Kak Nora menghias pelamin dan mengandam.
Dia bahagia bergelumang dengan bunga-bunga telur, bunga pahar, kain songket,lace,
manik dan labuci. Dia bahagia turun naik tangga memasang pelamin untuk raja
sehari. Dia bahagia tinggal dekat dengan Sungai Simpang Kanan yang tidak pernah
berhenti mengalir. Dia bahagia saban hari dapat solat berjemaah di surau
kampungnya yang telah merakam beribu memori manis saat dia membesar.
Tetapi, semuanya adalah percaturan
ALLAH, dia akhirnya pergi jua meninggalkan kampung halaman. Dan pemergian itu
bukan kehendak hatinya namun...pemergian itu adalah kerana terpaksa. Kerana dia
perlu menjaga maruahnya dan maruah insan-insan yang dikasihinya. Adakah dia
akan kembali? Dia sendiri tidak tahu. Dia hanya menyerahkan segala-galanya
kepada ALLAH yang satu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan