ALEEYA
memerhati laman rumah. Pintu pagar masih tertutup rapat. Deruan kenderaan
keluar masuk kawasan perumahan itu membuatkan hatinya bertambah gelisah. Satu
panggilan pun dia tidak terima daripada suaminya. Ke mana perginya? Memanglah
mereka sedang perang dingin, tapi takkan sampai tidak balik ke rumah? Ini sudah
lebih! Terbakar hatinya. Baru sahaja nak insaf dan tidak mahu melawan, suaminya
pula buat hal. Aleeya menghentak kaki. Geram bercambah di hati. Telefon bimbitnya
asyik menjadi sajian mata.
Ringan sahaja jari mahu mendail
nombor telefon suaminya. Ingin benar bertanya, suaminya berada di mana. Pukul
berapa mahu balik dan dengan siapa. Takkan keluar dengan Nadia lagi? Sampai
bila dia harus bermusuh dengan anak-anak tirinya? Aleeya menuju ke dapur. Perutnya
yang lapar pun terasa kenyang. Sikap dan gelagat suaminya semenjak dua menjak
ini memang memeningkan kepala.
Telefon ke tak, telefon ke tak!
Aduh! Masalah, masalah, beban, beban. Kenapa dia harus hadapi semua ini? Aleeya
mengeluh berat. Terasa sebak dadanya. Umpama hidup sendiri walaupun ada suami. Bukan
mudah rupa-rupanya ‘bermadu’ dengan anak-anak tiri. Boleh makan hati. Kalau
mereka boleh menerima dia dengan baik, tentu tidak ada masalah.
Kalau dia pergi ke rumah Nadia,
bagaimana? Tidak salah, kan? Bukan dia nak buat apa pun, sekadar ingin tahu, sama
ada suaminya ada di sana atau tak. Tapi, kalau telefon lagi jimat belanja. Telefon
hanya beberapa sen, kalau dia ke rumah Nadia, makan puluhan ringgit, minyak
keretalah.
Tidak boleh jadi, kalau asyik
berteka-teki sampai ke subuh tidak akan selesai. Telefon di tangan didial
nombor suaminya. Biarlah, dia merendah dan mengalah. Tidak rugi apa-apa pun. Aleeya
menanti dengan sabar panggilannya dijawab.
“Abang, ada kat mana?” tanya Aleeya
sebaik sahaja taliannya disambung.
“Hah? Kat rumah Nadia? Abang buat
apa?” Aleeya mendengus kasar. Nak kena tangkap basah ke apa? Mudah sangat tidur
baring di rumah Nadia, biarpun ada anak-anak, salah tetap salah. Buka pintu? Tidak
ada maknanya. Uh!
“Bila nak balik?”
“Nadia keluar? Oh, abang jadi
pengasuhlah ni?” Aleeya mencebik. Kenapa tidak bawa anak-anak itu ke rumah ini?
Dia pun boleh tolong jagakan. Susah betullah!
“Okeylah… jangan tak balik rumah pulak.
Nanti tahu-tahu dah nikah semula!” sindir Aleeya. Dia mematikan talian. Ada ke
patut jadi pengasuh, bekas isteri keluar bertemu janji dengan lelaki lain? Mudahnya
kerja. Selesai masalah Nadia. Suaminya juga yang menjadi mangsa, samalah dengan
dirinya.
Aleeya menutup pintu depan dan terus
naik ke biliknya. Tidak perlu memasak hari ini. Jimat belanja, jimat tenaga. Dia
mandi dan bersolat selepas itu membaca al-Quran semuka dua. Jangan tinggal
langsung, tidak mahu nyanyuk awal. Membaca al-Quran mampu menyambungkan sel-sel
otak yang terdapat di kepala. Bukan minum susu sahaja. Begitu juga kalau
membaca. Jadi, kepala otak itu tidaklah mudah lupa.
Usai solat isyak, dia terus
merehatkan diri. Suaminya tidak tahu pukul berapa akan pulang ke rumah. Kalau
awal Nadia balik, awallah suaminya balik. Jangan fikir yang bukan-bukan, jangan
ada cemburu. Dalam soal ini, dia perlu ada keyakinan dan meletakkan kepercayaan
yang tinggi terhadap suaminya sendiri. Matanya yang kantuk, mudah sahaja
terlelap, ditambah dengan badan yang letih dan otaknya yang berserabut.
Aleeya terjaga ketika tubuhnya
terasa seperti diselimutkan. Dia membuka mata. Ikmal sudah pulang. Kelibat
suaminya yang masuk ke dalam bilik air dibiarkan sahaja. Dia mengerut dahi, jam
di dinding menjadi sapaan mata. Sudah tengah malam. Lambat betul suaminya
balik. Lama betul Nadia keluar bertemu janji. Aleeya mengeluh kesekian kali. Penghawa
dingin juga sudah terpasang. Dia lebih suka menggunakan kipas, jika dia
bersendirian.
“Abang kejutkan Leya ke?” tanya
Ikmal sebaik sahaja keluar dari bilik air.
Aleeya bingkas bangun dan duduk
bersila di atas katil.
“Lewat abang balik? Dah makan?”
Aleeya memandang wajah suaminya. Kata nak perang dingin 51 tahun? Rasanya tidak
sangguplah. Lagipun berdosa kalau bermasam muka dengan suami sendiri. Biarlah
dia mengalah, biarlah dia pujuk hatinya sendiri. Usah pening-peningkan kepala
dengan sikap orang lain.
“Dah, makan dengan anak-anak tadi. Leya
dah makan?” Ikmal memakai baju tidur dan duduk di sebelah Aleeya.
“Tak lapar,” jawab Aleeya. “Maafkan
Leya ya… tak sepatutnya sikap Leya seperti semalam dan pagi tadi,” luah Aleeya.
Dia menunduk malu, malu dengan diri sendiri, malu dengan suami dan malu dengan
ALLAH.
“Abang pun minta maaf sebab abaikan
Leya… tapi beri abang masa ya? Nanti keadaan akan kembali normal seperti
dahulu,” kata Ikmal.
“Beri masa? Abang ada masalah dengan
Nadia ke?”
“Taklah… abang sedang pujuk
anak-anak agar dapat terima Leya,” terang Ikmal. Itulah yang sedang dia lakukan
sekarang. Dia tidak mahu lagi hidup dalam keadaan tertekan dengan kehendak
anak-anaknya.
“Baiknya hati abang... semoga
anak-anak abang boleh terima Leya dengan baik,” kata Aleeya penuh mengharap.
“Abang pun tak nak hidup macam ni. Kalau
anak-anak termakan pujuk dan terbuka untuk menerima Leya, segala masalah akan
selesai,” ujar Ikmal.
“Abang tak rasa seperti takut dengan
anak-anak abang ke?” usik Aleeya.
“Taklah... abang cuma nak jaga hati
mereka agar tidak terguris, itu aje.” Ikmal tersenyum. Dia tidak mahu menyakiti
hati anak-anaknya. Merekalah nyawanya.
“Yalah, hati anak-anak, kan? Bukan
mudah dipujuk, orang tua dah merajuk pandai-pandailah pujuk sendiri.”
“Sindir abang ke?” Ikmal mengangkat
kening.
Aleeya ketawa. Terasa agaknya?
“Kalau dah makan cili, tentulah
terasa pedasnya, kan bang?” Aleeya mengenyit mata.
“Uh! Kalau nak menyindir dan perli
abang serahkan aje pada Leya.” Ikmal mencebik.
“Ala… merajuk pulak. Memandangkan
Leya merajuk pun tak ada orang pujuk, maka dengan selambanya, abang pujuklah
diri sendiri, ya? Leya nak tidur.” Aleeya menarik kain selimut dan terus
memejamkan mata setelah membaca doa tidur.
“Leya!” Ikmal menggeleng laju.
Macam-macam perangai isterinya ini. Mudah merajuk, tetapi mudah juga sejuk. Itu
sebab dia terlalu sayang pada Aleeya. Perangai dan sikap Aleeya berbeza sekali
dengan Nadia. Walaupun ada anginnya, tetapi tidaklah selaju angin puting
beliung. Ikmal menarik nafas lega. Ingatkan isterinya nak perang dingin
sehingga 51 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan