Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 29 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 42



ALEEYA memerhati laman rumah. Pintu pagar masih tertutup rapat. Deruan kenderaan keluar masuk kawasan perumahan itu membuatkan hatinya bertambah gelisah. Satu panggilan pun dia tidak terima daripada suaminya. Ke mana perginya? Memanglah mereka sedang perang dingin, tapi takkan sampai tidak balik ke rumah? Ini sudah lebih! Terbakar hatinya. Baru sahaja nak insaf dan tidak mahu melawan, suaminya pula buat hal. Aleeya menghentak kaki. Geram bercambah di hati. Telefon bimbitnya asyik menjadi sajian mata.
            Ringan sahaja jari mahu mendail nombor telefon suaminya. Ingin benar bertanya, suaminya berada di mana. Pukul berapa mahu balik dan dengan siapa. Takkan keluar dengan Nadia lagi? Sampai bila dia harus bermusuh dengan anak-anak tirinya? Aleeya menuju ke dapur. Perutnya yang lapar pun terasa kenyang. Sikap dan gelagat suaminya semenjak dua menjak ini memang memeningkan kepala.
            Telefon ke tak, telefon ke tak! Aduh! Masalah, masalah, beban, beban. Kenapa dia harus hadapi semua ini? Aleeya mengeluh berat. Terasa sebak dadanya. Umpama hidup sendiri walaupun ada suami. Bukan mudah rupa-rupanya ‘bermadu’ dengan anak-anak tiri. Boleh makan hati. Kalau mereka boleh menerima dia dengan baik, tentu tidak ada masalah.
            Kalau dia pergi ke rumah Nadia, bagaimana? Tidak salah, kan? Bukan dia nak buat apa pun, sekadar ingin tahu, sama ada suaminya ada di sana atau tak. Tapi, kalau telefon lagi jimat belanja. Telefon hanya beberapa sen, kalau dia ke rumah Nadia, makan puluhan ringgit, minyak keretalah.
            Tidak boleh jadi, kalau asyik berteka-teki sampai ke subuh tidak akan selesai. Telefon di tangan didial nombor suaminya. Biarlah, dia merendah dan mengalah. Tidak rugi apa-apa pun. Aleeya menanti dengan sabar panggilannya dijawab.
            “Abang, ada kat mana?” tanya Aleeya sebaik sahaja taliannya disambung.
            “Hah? Kat rumah Nadia? Abang buat apa?” Aleeya mendengus kasar. Nak kena tangkap basah ke apa? Mudah sangat tidur baring di rumah Nadia, biarpun ada anak-anak, salah tetap salah. Buka pintu? Tidak ada maknanya. Uh!
            “Bila nak balik?”
            “Nadia keluar? Oh, abang jadi pengasuhlah ni?” Aleeya mencebik. Kenapa tidak bawa anak-anak itu ke rumah ini? Dia pun boleh tolong jagakan. Susah betullah!
            “Okeylah… jangan tak balik rumah pulak. Nanti tahu-tahu dah nikah semula!” sindir Aleeya. Dia mematikan talian. Ada ke patut jadi pengasuh, bekas isteri keluar bertemu janji dengan lelaki lain? Mudahnya kerja. Selesai masalah Nadia. Suaminya juga yang menjadi mangsa, samalah dengan dirinya.
            Aleeya menutup pintu depan dan terus naik ke biliknya. Tidak perlu memasak hari ini. Jimat belanja, jimat tenaga. Dia mandi dan bersolat selepas itu membaca al-Quran semuka dua. Jangan tinggal langsung, tidak mahu nyanyuk awal. Membaca al-Quran mampu menyambungkan sel-sel otak yang terdapat di kepala. Bukan minum susu sahaja. Begitu juga kalau membaca. Jadi, kepala otak itu tidaklah mudah lupa.
            Usai solat isyak, dia terus merehatkan diri. Suaminya tidak tahu pukul berapa akan pulang ke rumah. Kalau awal Nadia balik, awallah suaminya balik. Jangan fikir yang bukan-bukan, jangan ada cemburu. Dalam soal ini, dia perlu ada keyakinan dan meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap suaminya sendiri. Matanya yang kantuk, mudah sahaja terlelap, ditambah dengan badan yang letih dan otaknya yang berserabut.
            Aleeya terjaga ketika tubuhnya terasa seperti diselimutkan. Dia membuka mata. Ikmal sudah pulang. Kelibat suaminya yang masuk ke dalam bilik air dibiarkan sahaja. Dia mengerut dahi, jam di dinding menjadi sapaan mata. Sudah tengah malam. Lambat betul suaminya balik. Lama betul Nadia keluar bertemu janji. Aleeya mengeluh kesekian kali. Penghawa dingin juga sudah terpasang. Dia lebih suka menggunakan kipas, jika dia bersendirian.
            “Abang kejutkan Leya ke?” tanya Ikmal sebaik sahaja keluar dari bilik air.
            Aleeya bingkas bangun dan duduk bersila di atas katil.
            “Lewat abang balik? Dah makan?” Aleeya memandang wajah suaminya. Kata nak perang dingin 51 tahun? Rasanya tidak sangguplah. Lagipun berdosa kalau bermasam muka dengan suami sendiri. Biarlah dia mengalah, biarlah dia pujuk hatinya sendiri. Usah pening-peningkan kepala dengan sikap orang lain.
            “Dah, makan dengan anak-anak tadi. Leya dah makan?” Ikmal memakai baju tidur dan duduk di sebelah Aleeya.
            “Tak lapar,” jawab Aleeya. “Maafkan Leya ya… tak sepatutnya sikap Leya seperti semalam dan pagi tadi,” luah Aleeya. Dia menunduk malu, malu dengan diri sendiri, malu dengan suami dan malu dengan ALLAH.
            “Abang pun minta maaf sebab abaikan Leya… tapi beri abang masa ya? Nanti keadaan akan kembali normal seperti dahulu,” kata Ikmal.
            “Beri masa? Abang ada masalah dengan Nadia ke?”
            “Taklah… abang sedang pujuk anak-anak agar dapat terima Leya,” terang Ikmal. Itulah yang sedang dia lakukan sekarang. Dia tidak mahu lagi hidup dalam keadaan tertekan dengan kehendak anak-anaknya.
            “Baiknya hati abang... semoga anak-anak abang boleh terima Leya dengan baik,” kata Aleeya penuh mengharap.
            “Abang pun tak nak hidup macam ni. Kalau anak-anak termakan pujuk dan terbuka untuk menerima Leya, segala masalah akan selesai,” ujar Ikmal.
            “Abang tak rasa seperti takut dengan anak-anak abang ke?” usik Aleeya.
            “Taklah... abang cuma nak jaga hati mereka agar tidak terguris, itu aje.” Ikmal tersenyum. Dia tidak mahu menyakiti hati anak-anaknya. Merekalah nyawanya.
            “Yalah, hati anak-anak, kan? Bukan mudah dipujuk, orang tua dah merajuk pandai-pandailah pujuk sendiri.”
            “Sindir abang ke?” Ikmal mengangkat kening.
            Aleeya ketawa. Terasa agaknya?
            “Kalau dah makan cili, tentulah terasa pedasnya, kan bang?” Aleeya mengenyit mata.
            “Uh! Kalau nak menyindir dan perli abang serahkan aje pada Leya.” Ikmal mencebik.
            “Ala… merajuk pulak. Memandangkan Leya merajuk pun tak ada orang pujuk, maka dengan selambanya, abang pujuklah diri sendiri, ya? Leya nak tidur.” Aleeya menarik kain selimut dan terus memejamkan mata setelah membaca doa tidur.
            “Leya!” Ikmal menggeleng laju. Macam-macam perangai isterinya ini. Mudah merajuk, tetapi mudah juga sejuk. Itu sebab dia terlalu sayang pada Aleeya. Perangai dan sikap Aleeya berbeza sekali dengan Nadia. Walaupun ada anginnya, tetapi tidaklah selaju angin puting beliung. Ikmal menarik nafas lega. Ingatkan isterinya nak perang dingin sehingga 51 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan