Dengan berhati-hati Adik dan Johari memasukkan dulang-dulang hantaran
yang sudah siap dihias dan digubah oleh Kak Nora di belakang bonet teksi Pak
Khamis. Ada lima dulang kesemuanya. Senaskhah Al-Quran, sejadah, telekung, kain
baju kurung, kasut dan beg tangan. Cincin dan sirih junjung akan disediakan
sendiri oleh tuan rumah. Kak Nora mengenakan baju kebaya moden berwarna biru
pekat dan selendang biru muda untuk menutupi rambut ikalnya. Wajahnya disolek
rapi. Memang jelita wajah Kak Nora. Kadang-kadang wajah Kak Nora lebih jelita
dari wajah pengantin yang bersanding. Emak selalu kata, wajah yang cantik,
bukan sebab dibubuh alat solek sekilo tapi kerana kemurniaan hati.
‘ Iya, Kak Nora memang
baik hati.’ Katanya di dalam hati sambil tersenyum melihat Kak Nora mengunci
pintu rumah.
“ Ri...kamu duduk depanlah, ya. Kak
Nora dengan Adik duduk belakang,” Kak Nora memberi arahan kepada Johari dan
Adik yang sedang menantinya di tepi teksi. Mereka berdua mengangguk dan
mengambil tempat masing-masing.
“ Pukul berapa siap nanti, Nora?”
tanya Pak Khamis ketika teksinya mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah
Kak Nora.
“ Agak-agak dalam pukul lima
agaknya, Pak Khamis,” jawab Kak Nora.
“ Pakcik tak dapat ambil kamu
agaknya, Nora. Hendak ke hospital Muar petang ni, ada ayah saudara yang uzur
masuk wad malam semalam,” jelas Pak Khamis dengan nada kesal.
“ Ohh...eh tak apalah Pak Khamis.
Nora boleh balik sendiri, naik bas atau teksi. Balik nanti, sudah tidak perlu
bawa dulang-dulang ni semua.”
“ Minta maaf eh Nora,” ujar Pak
Khamis lagi sambil mengangguk dan menjeling ke cermin pandang belakangnya.
“ Tak apa Pak Khamis. Hal kecik aje
ni. Balik nanti, Nora lenggang kangkung. Bawa beg mekap dengan bawa budak-budak
ni saja,” Kak Nora tersenyum dan kelihatannya Pak Khamis lega dengan kenyataan
Kak Nora itu.
“ Kak Nora...rumah kenduri ni nanti,
masak apa agaknya ya?” tanya Johari yang duduk bersebelahan dengan pemandu.
“ Eh kau ni, Ri. Manalah Kak Nora
tahu. Kak Nora bukan tuan rumah!” Adik menempelak.
“ Haah Ri...Kak Nora tukang solek
aje...bukan tukang masak,” seloroh Kak Nora. Adik angkatnya yang seorang ini,
lain pertanyaan tidak ada...pasal makan saja yang difikirkan.
“ Manalah tahu, mak pengantin ada
beritahu Kak Nora ke, tukang masak ada telefon Kak Nora ke.”
“ Kau jangan hendak buat malu aku,
Ri! Jangan hendak makan banyak-banyak pula kat majlis orang tu nanti,” sempat
Adik berpesan.
“ Alah kau ni...tahulah aku,” Johari
mencebik.
“ Rejeki jangan ditolak, iya
Johari?” Pak Khamis menyampuk sambil tersengih memandang Johari yang memakai
baju batik lukis seperti yang selalu dipakai oleh penyanyi Sheqal, suami
pelakon Raja Ema.
“ Hah! Betullah Pak Khamis. Rejeki
jangan ditolak, musuh jangan dicari. Orang sudah jemput, kita makanlah!”
“ Haaa...hendak makan tu, tolong Kak
Nora dulu. Buatnya last minute tuan
rumah minta Kak Nora gubah bungalah, hiaskan pelaminlah ...menjajar Kak Nora
hendak mencari kamu,” pesan Kak Nora.
“ Orang macam Johari ni, Nora. Bukan
susah kamu hendak cari dia. Kalau tidak di khemah jamuan...dia mesti ada di
dapur mengecek makan dengan tukang masak!” sakat Pak Khamis.
“ Ei Pak Khamis ni...melampau aje
tau, cakap saya macam itu!” Johari mencemikkan wajahnya sambil menjeling Pak
Khamis yang tenang memandu.
Kak Nora, Adik dan Pak Khamis
tergelak besar dengan kelakuan Johari.
Majlis pertunangan dan kenduri doa
selamat berlangsung dengan lancar. Majlis bermula pukul 2.00 petang dan selesai
dalam pukul 4.30 petang. Tetamu yang hadir dijamu dengan roti jala dan kari
ayam, soto dan kuih-muih tempatan. Bagi ahli keluarga dan jiran-jiran yang
sudah ada di rumah sedari pagi, mereka dijamukan dengan nasi ambang, makanan
traditional kaum jawa. Kak Nora tidak berapa sibuk di hari pertunangan kali ini.
Tugasnya hanya menyolek gadis yang dipinang dan membuat gubahan sirih junjung
yang disediakan bahan-bahannya oleh pihak ibu bapa perempuan. Adik dan Johari
hanya duduk di dalam kamar menemani Kak Nora. Mereka asyik memerhatikan
kepakaran Kak Nora menyolek si gadis. Solekannya asli dan tidak terlalu tebal.
Adik menanam tekad hendak belajar cara-cara untuk mengenakan solekan dari Kak
Nora. Dia yakin, kakak angkatnya itu tidak akan lokek ilmu.
Ketika waktu zohor tadi, bapa kepada
pihak perempuan mengajak kaum lelaki menunaikan solat zohor berjemaah di ruang
tamu rumahnya. Kemudian barulah mereka menikmati hidangan nasi ambang yang
dibungkus di dalam daun pisang sama seperti nasi lemak. Di dalamnya terdapat
ayam masak kicap, sayur kacang, tempe, taufu dan soon yang digoreng kering,
ikan masin, telur masin dan sambal. Berselera sungguh Johari dan Adik menikmati
hidangan nasi ambang itu. Kata emak, jika kita makan berselera di rumah orang
kenduri, bermakna tuan rumah itu memang ikhlas hatinya menyediakan jamuan untuk
tetamu yang hadir.
Kak Nora meminta diri setelah
mengambil foto kenang-kenangan bersama dengan tuan rumah dan gadis yang
ditunangkan. Janji dimetrai oleh ibu si gadis yang dia akan mengambil Kak Nora
sebagai mak andam di hari perkahwinan anak perempuannya. Rezeki lagi untuk Kak
Nora. Mungkin mereka suka dengan solekan dan dandanan Kak Nora. Gubahan untuk
dulang hantaran juga cantik dipandang mata. Ramai tetamu yang memuji. Kak Nora
tersenyum simpul sepanjang majlis kerana tuan rumah berpuas hati dengan hasil kerja
tangannya.
“ Kak Nora...kita rasakan, Kak Nora
sudah kena ada business card laa.
Nanti senang Kak Nora hendak buat promosi,” Adik memberi cadangan ketika mereka
bertiga berjalan menuju ke jalan besar dari rumah kenduri. Di tangan kanannya
terdapat beg mekap Kak Nora.
“ Haah Dik, Kak Nora ada fikir juga
tu, tapi tak tahu mana hendak buatlah, Dik, ” jawab Kak Nora jujur sambil
berjalan perlahan-lahan diantara Adik dan Johari.
“ Alah Kak Nora, dekat bus stand tu, ada dua tiga kedai cina
yang boleh buatkan kad tu. Kak Nora boleh tempah, macam-macam warna ada,”
Johari memberi cadangan.
“ Ye ke, Ri? Eh...nanti Kak Nora
hendak tempahlah. Nanti kita pergi sama-sama eh?”
“ Boleh aje Kak Nora...asalkan Kak
Nora belanja kita makan ayam KFC!” ujar Johari tersengih.
“ Ya ALLAH, Ri. Kamu ni tak tahu
kenyang agaknya eh? Tadi makan nasi ambang, lepas tu makan roti jala...ini
cakap pasal makan lagi?” tanya Kak Nora yang pelik dengan Johari. Walau apapun
topik perbualannnya, mesti akan bercakap pasal makan. Namun badannya tidak
gemuk manapun.
“ Haah...dia ni memang macam ini,
Kak Nora. Dua puluh empat jam...makannnn aje dia ingat. Saya hendak fikir pasal
makanan pun sudah naik loya sebab kenyang sangat ni,” Adik menokok.
“Iyalah...habis? Kita kan kena makan
untuk hidup?” jelas Johari sambil tersengih.
“ Iyalah, iyalah...jangan bertekak.
Nanti, minggu yang kamu berdua free,
Kak Nora pun takde apa-apa kerja, kita ke bandar eh?”
“ Untuk Kak Nora dan KFC, saya cancel semua date-date saya!” tegas Johari siap dengan mengangkat tangannya
menyakinkan Kak Nora.
Adik dan Kak Nora tergelak-gelak
dengan gelagat Johari yang memang kelakar.
“ Dik...kau hari ini banyak diam saja Kak Nora
tengok? Kenapa?” tanya Kak Nora kerana hari ini, dia perasan yang Adik memang
banyak berdiam diri. Selalunya, dia juga kecoh bersenda-gurau dengan Johari.
Kerana itulah Nora gemar membawa dua orang adik angkatnya ini. Selain dapat
membantu dia membawa beg mekapnya dan dulang-dulang hantaran, budak-budak ini
dapat menghilangkan kesunyiannya.
“ Tak ada apalah, Kak Nora.”
“ Khalid buli kau lagi, kah?”
Geleng.“ Tak adalah, kak. Saya
mengantuk agaknya. Semalam tak boleh tidur,” jujur Adik mengakui.
“ Eleh...dia rindu mata air dia tu,
Kak Nora!” Johari menyakat.
“ Hah? Kau ada mata air, dik?” Kak
Nora memegang bahu Adik sambil tersengih-sengih. Sungguh Nora tidak menyangka,
perwatakan Adik yang lembut itu rupa-rupanya ada juga dia menyimpan hati untuk
seorang gadis.
“ Heh! Mana ada! Merapek aje dia ni!
Tulah, makan banyak sangat! Cakap pun merapu!” Adik membidas kata-kata Johari.
“ Eleh...cakap ajelah, Dik, kau
teringatkan si dia, tu kan?” Johari tersengih-sengih menyakat. Suka benar dia
hendak mencungkil perasaan temannya yang sudah pun menarik muka masam.
“ Iya ke, Ri? Siapa?” Kak Nora pula
tersenyum lebar dan berasa teruja hendak mengetahui siapakah gerangan gadis yang
bertakhta di hati Adik.
“ Ya ALLAH, mana ada, kak. Ri ni,
suka-suka hati dia aje,” Adik mengerling Johari.
“ Eleh Kak Nora, dia memang pandai
hendak mengelak. Pantang orang cakap pasal hal ni, dia main corner sini, corner sana!”
“ Beritahulah Kak Nora, Dik. Kak
Nora janji tak beritahu siapa-siapa. Mak pun Kak Nora tak beritahu,” beria-ria Kak
Nora juga cuba mencungkil. Entah kenapa, dia yang berasa teruja. Mungkin Kak
Nora teringat zaman dia bercinta monyet dahulu.
“ Tak ada siapalah Kak Nora. Si Ri
ni pandai-pandai saja.”
“ Eleh Dik...dengan orang lain,
bolehlah kau goreng. Dengan aku, kau tak boleh goreng laaa, Dik,” Johari
mencebik seolah-olah dia amat mengenali hati rakannya ketika itu.
“ Okey, kalau Adik tak mahu
beritahu, engkaulah beritahu Kak Nora, Ri. Siapa orangnya?”
“ Bolehhhh Kak Nora...takde hal
punya. Tapi Kak Nora belanja minum air Pepsi
eh?” sekali lagi Johari minta dibelanja.
“ Subhanallah...budak ni tak
kenyang-kenyang agaknya? Iyalah, yalah...nanti kita singgah di kedai Pak Mail.”
Adik mengeleng-gelengkan kepala. Dia
hanya tersenyum dengan gelagat Kak Nora dan Johari. Entah apa yang akan
diberitahu oleh Johari kepada Kak Nora, Adik pun tidak tahu.
“ Haaa, kalau Kak Nora hendak
tahu...adik kesayangan Kak Nora ni, bakal jadi menantu Cikgu Amir!” Johari
berseloroh. Adik memberikan jelingan tajam kepada rakannya itu.
“ Menantu Cikgu Amir?” Kak Nora
mengerutkan kening, “ Siapa eh? Eh...Faezah Hanim ke?” Kak Nora tersenyum
lebar.
“ Iyalah, siapa lagi? Mana Cikgu Amir ada anak
lain?” Bersungguh-sungguh Johari bergossip seakan-akan Adik tiada di situ.
“ Laa hawla wala...ye ke, Dik?!” Kak
Nora teruja. Dia memandang Adik tersengih-sengih. Memang Kak Nora akui, semakin
remaja, Faezah Hanim itu semakin ayu. Walau dia berpewatakan lincah, namun
keayuan wajahnya terserlah. Bertubuh tinggi lampai seperti ayahnya, Cikgu Amir,
seorang guru sukan . Keayuan wajahnya pula diambil dari kecantikan wajah ibunya
Cikgu Zakiah yang mempunyai darah campuran melayu tiong-hua.
Segera Kak Nora terbayangkan wajah
comel anak itu yang dimekapkan beberapa tahun dahulu ketika mereka semua
berkhatam al-Quran. Faezah Hanim memakai baju kurung berwarna putih dari kain
lace yang ditempah khas oleh ibunya, Cikgu Zakiah. Anak kecil itu juga
dipakaikan selendang yang dijahit dengan manik-manik kecil berlabuci bersama tiara
kecil yang diletakkan di atas kepalanya sempena meraikan hari khatamul-quran
yang disambut beramai-ramai. Memang amat padan jika Adik bergandingan dengan
Faezah Hanim.
“ Kak Nora dengar laa cakap Ri tu,
kak. Kaki temberang!”
“ Eh...kalau iya pun, apa salahnya, Dik? Kak
Nora suka kalau Adik dengan Faezah,” Kak Nora dengan tidak semena-mena memberi
restu dan membuatkan Johari menepuk tangan sementara Adik hanya tersenyum dan
menggeleng-gelengkan kepalanya.
Mereka bertiga yang berjalan
perlahan-lahan, akhirnya sampai juga ke jalanraya utama yang menghubungkan
daerah Batu Pahat dan daerah Muar. Terdapat sebuah perhentian bas di jalan
masuk rumah kenduri tadi dan mereka bertiga duduk menanti bas atau teksi yang
hendak ke bandar Batu Pahat. Kak Nora amat berharap mereka dapat menahan sebuah
teksi kerana jika mereka menaiki bas, bas hanya akan berhenti di jalan masuk
Kampung Peserai. Ini bermakna mereka perlu berjalan kaki lagi untuk sampai ke
rumah. Jika menaiki teksi, dapatlah teksi berhenti betul-betul di hadapan
rumahnya. Kak Nora tidak kisah jika perlu membayar lebih kerana kakinya sudah
tidak tahan dengan kesan melecet akibat memakai kasut tumit tinggi.
Sedang mereka berbual-bual,
kedengaran dari jauh bunyi beberapa buah motorsikal yang ditunggang laju.
Enjinnya bagai sengaja dipulas-pulas untuk menambah kelajuan dan membingitkan
telinga yang mendengar. Ketiga-tiga mereka menoleh ke arah kanan...dari
kejauhan, di dalam 500 meter kelihatan beberapa buah motorsikal melalui jalan
Batu Pahat- Muar ini dengan kelajuan yang amat. Ada yang membuat aksi willy di tengah-tengah jalanraya. Kak
Nora menggeleng-gelengkan kepala. Sekarang ini, mat-mat rempit bukan sahaja
merempit di waktu malam, waktu petang sebegini pun mereka sudah memulakan
perlumbaan haram mereka. Mereka berlumba di jalan-jalan kampung seperti ini
kerana tidak ada polis trafik yang akan memantau lebih-lebih lagi di hari-hari
minggu.
Johari dan Adik masih memerhati ke
arah mat-mat rempit yang bila-bila masa sahaja akan melintas di hadapan mereka.
Rasa meluat dan benci dengan perangai mat-mat rempit yang tidak ada otak kerana
merempit di waktu-waktu petang sebegini. Waktu-waktu petang sebegini, ramai
kanak-kanak yang kadang-kadang bermain basikal atau bola di halaman rumah.
Buatnya mereka terbabas melanggar kanak-kanak itu, bagaimana? Bukankah mendatangkan
kecederaan yang parah kepada anak-anak yang tidak berdosa? Waktu petang di hari
minggu ini juga, ramai ayah-ayah atau datuk-datuk yang menebas lalang atau
rumput di parit-parit hadapan rumah. Buatnya mereka menyondol pakcik-pakcik tua
itu ketika membuat aksi willy atau superman mereka, bukankah patah riuk
tulang-temulang pakcik tadi? Memang Adik sangat meluat dengan grup-grup motor
lumba haram ini.
Semakin lama, motor-motor yang
merempit itu, semakin menghampiri mereka. Secara tiba-tiba, ada sebuah motor
yang sedang membuat aksi willy
terbabas masuk ke arah yang bertentangan. Mat rempit itu memasuki jalan yang
menuju ke arah Muar. Dalam masa yang sama, terdapat sebuah van yang keluar dari
sebuah simpang. Van itu pula membelok ke kanan – juga arah ke Muar. Pemuda yang
membawa motor Honda itu hilang kawalan lalu merempuh van yang keluar dari
simpang itu. Berlakulah perlanggaran yang kuat dan motor itu melambung ke
udara.
Kak Nora, Johari dan Adik sama-sama
menjerit dan serta-merta bangun berdiri tegak dari bangku tempat duduk mereka
dihentian bas. Mereka menyaksikan dengan mata kepala mereka tubuh pemuda itu
melambung ke udara. Tubuh itu kemudian jatuh semula ke jalanraya dan motor yang
melambung juga jatuh bedebuk ke atas jalanraya yang berturap. Bunyi motor dan
tubuh pemuda malang itu menggetarkan jantung dan dada.Tubuh pemuda yang
terpelanting itu menggelupur seketika ketika ia jatuh menghempap jalanraya.
Darah merah pekat mengalir dan tubuh yang mengelupur itu akhirnya terbujur
kaku. Topi keledar yang tidak diikat juga tercampak ke parit yang berdekatan.
Kejadian itu berlaku tidak sampai 20
meter dari perhentian bas tempat dimana Adik, Kak Nora dan Johari menanti teksi
atau bas. Rakan-rakan rempitnya yang lain berpatah balik menuju ke tempat kejadian.
Pemandu van yang terselamat juga turut keluar dan berlari menuju ke arah pemuda
yang mungkin sudah pun menemui ajal. Mujurlah motor itu merempuh di bahagian
pintu bahagian penumpang. Pemandu van itu langsung tidak tercedera dan dia
tidak membawa sesiapa pun di dalam vannya. Penduduk-penduduk di situ yang
mendengar kesan perlanggaran yang amat kuat sudah mulai keluar dari rumah masing-masing
dan menuju ke arah van, motor dan pemuda yang terbujur kaku. Kereta-kereta yang
lalu-lalang juga berhenti untuk menyaksikan kemalangan maut itu.
Jantung Kak Nora berdegup kencang.
Kedua belah tangannya menutup mulut. Lidahnya segera beristigfar- mengingati
ALLAH kerana menyaksikan sesuatu yang dahsyat. Ketika menyaksikan tubuh pemuda malang itu
menggelupur dan darah merah pekat membanjiri jalan, Johari terus pitam dan
terjelepuk jatuh ke tanah. Adik yang memerhati juga, terus berdiri kaku. Matanya
terbeliak. Wajahnya pucat, sepucat warna baju melayu kuning cair yang
dipakainya.
“ Ya ALLAH! Dik...dik...,” Kak Nora
menggoncang tubuh Adik yang masih berdiri kaku.Tubuh adik angkatnya itu tegak
terpacak dan matanya tidak berkedip-kedip memerhatikan tubuh pemuda malang yang
sudah mulai dikerumuni oleh orang-ramai.
“ Telefonkan ambulan! Lekas!”
Kedengaran salah seorang penduduk lelaki memberi arahan.
“ Panggilkan polis juga!” Seorang
lagi memberi arahan seterusnya.
Dalam kekecohan itu, Kak Nora
menoleh pula ke arah Johari yang sudah terbaring di lantai hentian bas yang
bersimen, “ Eh...astagfirullah hal azim! Ri! Ri!” Kak Nora panik. “ Ri! Bangun
Ri...Ri!” Kak Nora tunduk dan memangku kepala Johari yang terkulai di lantai
berdebu itu. Dia menepuk-nepuk wajah Johari yang pucat lesi. Kak Nora menoleh
pula ke arah Adik yang masih berdiri tegak seperti nampak mayat hidup.
“ TOLONG!!!” Jerit Kak Nora kerana
dia tidak tahu apa lagi yang harus dilakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan