IKMAL
tersenyum bahagia melihat wajah anak keduanya yang tersenyum gembira. Kek
chiffon berbentuk padang bola, siap dengan para pemain dan tiang golnya
terhidang indah di atas meja. Malam yang sungguh bermakna buat anaknya itu. Berkali-kali
Ikmal mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran buat angah.
“Angah nak hadiah apa?” tanya Ikmal.
Dia belum membeli apa-apa hadiah untuk anak lelakinya itu.
“Ha’ahlah… ayah tak beli lagi hadiah
untuk angah,” kata Nadia sambil mengerling Ikmal yang duduk menghadapnya. Semakin
hari semakin kacak di pandangan mata. Menyesal pula minta cerai daripada bekas
suaminya itu. Itulah, nasihat orang tua-tua, menyesal dahulu pendapatan,
menyesal kemudian tiada gunanya. Tidak berguna ke? Masih boleh diajak untuk
bersama semulalah. Kenalah tahu caranya. Dia tersenyum sendiri.
“Angah nak hadiah apa? Jangan
mahal-mahal pulak?” Ikmal menanti jawapan dari mulut mungil anaknya itu.
“Hadiah angah tak mahal, angah cuma
nak, mama dan ayah berbalik semula. Itu hadiah yang angah nak, boleh tak?” Angah
memandang wajah Ikmal dan Nadia silih berganti.
Ikmal terkedu. Baru enam tahun,
takkan sudah pandai minta hadiah seperti itu? Ikmal menjegilkan mata, memandang
Nadia yang tersengih memandang anak kedua mereka.
“Apa?” Nadia angkat tangan separa
dada dan bahu tanda tidak tahu.
“Ini mesti awak yang ajar,” tempelak
Ikmal.
“Apa pulak saya?” Nafi Nadia.
“Kalau tak ada orang yang cakap, tak
adalah angah pandai mintak macam tu!” kata Ikmal geram.
“Jadi? Awak ingat saya yang ajar?”
“Siapa lagi kalau bukan awak? Dalam
perjanjian kita tak ada itu semua, faham!” Ikmal kurang senang dengan hadiah
yang diminta oleh anaknya itu. Mana mungkin dia menunaikannya. Kenapa Nadia
masih tidak faham-faham? Kenapa masih mengharapkan dirinya?
“Ikmal… pernah tak awak terfikir,
jika saya berkahwin lagi, anak-anak awak akan dapat ayah tiri? Kalau suami baru
saya tak sayangkan anak-anak awak, macam mana?”
“Saya akan ambil mereka! Itu awak
jangan bimbang.”
“Saya tak suka anak-anak saya ada
ibu tiri!” Nadia mencebik. Tidak sesekali membiarkan anak-anaknya beribu tiri.
“Habis tu? Awak nak saya buat apa?
Siapa yang mintak cerai? Bukan awak ke? pernah awak fikirkan anak-anak ketika
tu? Awak fikirkan diri awak aje. Dah jadi macam ni, pandai pula awak gunakan
anak-anak. Hei, Nadia… awak jangan pentingkan diri sendiri aje. Fikirkan orang
lain sama,” bebel Ikmal. Hilang rasa sabar di hati.
“Apa awak cakapkan ni, Ikmal? Awak
salahkan saya pula? Kalau awak tak menggatal dengan bekas setiausaha awak tu,
taklah jadi macam ni!”
“Siapa yang menggatal? Awak tu yang
cemburu buta! Tuduh saya yang bukan-bukan, akhirnya apa yang awak dapat?
Gelaran Jandalah!” kata Ikmal tegas.
“Mama… ayah! Kenapa bergaduh?” Along
memandang wajah kedua orang tuanya.
“Jumpa aje bergaduh, jumpa aje bergaduh.
Tak boleh ke berbaik-baik?” sampuk angah pula.
Merah padam wajah Ikmal yang cerah
itu.
Nadia memandang ke arah lain. Matanya
berkaca. Hiba tiba-tiba datang menyuntik di hati. Terasa kesannya menjalar di
seluruh tubuh. Kenapa keras sangat hati Ikmal? Kenapa mereka tidak boleh
berdamai semula demi anak-anak?
“Maafkan ayah!” ucap Ikmal sambil
memeluk bahu angah yang duduk di sebelahnya.
“Jom, kita makan kek,” ajak Ikmal,
mengubah topik cerita. Tidak mahu mengganggu saat-saat gembira mereka bersama. Dia
mengerling Nadia yang tidak memandangnya lagi.
“Mama!” panggil along sambil
menyentuh tangan Nadia.
“Ya, sayang…” Nadia tersenyum manis.
Cuba melupakan apa yang berlaku sebentar tadi.
“Jom makan kek,” ajak along. Senyuman
manis terukir di bibirnya.
Nadia mengusap lembut kepala anak
sulungnya. Dia mengambil piring dan mula memotong kek yang ada. Anak-anak riuh-rendah
meminta kek kegemaran mereka itu. Kek chiffon berlapis pandan, memang sedap.
“Mama… kami main kat taman permainan
tu boleh tak?” tanya along mengharap. Angah sudah ada di sisinya turut ingin ke
sana. Alang juga begitu. Tinggal yang kedua bongsu dan bongsu yang masih kecil.
Taman permainan itu hanya beberapa meter dari tempat mereka duduk.
“Boleh, tapi jangan panjat-panjat,” pesan
Nadia pada anak-anaknya.
Setelah anak-anaknya berlalu, Nadia
memandang Ikmal.
“Benci sangat awak pada saya,ya? Saya
ajak awak berbalik semula pun awak tak nak. Saya tahu salah dan silap saya.
Izinkan saya perbetulkannya. Lagipun kasihan dengan anak-anak. Mereka perlukan
awak di sisi mereka, bukan hanya di hujung minggu. Tetapi setiap saat dan
selagi nafas mereka berdetik.”
“Saya dah berkahwin lain, Nadia. Tak
mungkin saya menduakan dia,” tolak Ikmal. Bukan dia tidak simpati atau kasihan
dengan anak-anak, tetapi dia tidak mahu melukakan hati Aleeya. Sekarang ini pun,
dia telah melukakan hati isterinya itu. Dia tidak berdaya menerangkan apa yang
sedang berlaku. Itulah syarat yang telah dijanjikan dengan Nadia.
“Dia tak ada anak lagi dengan awak, kalau
awak ceraikan dia… saya rasa ada lelaki yang akan ambil dia jadi isteri, dia
masih cantik. Saya janda anak lima, siapa yang nak?” ujar Nadia. Dia
benar-benar mengharap.
“Awak ingat, senang ya? Kalau suka,
kahwin. Tak suka, cerai. Bagi awak, nikah kahwin ni macam tukar baju ya?” Ikmal
menggeleng kesal. Perkataan cerai mudah sahaja bermain di bibir Nadia. Matanya
memandang ke arah anak-anak yang sedang bermain. Hati siapa yang tidak simpati,
hati siapa yang tidak kecewa. Anak-anak menjadi mangsa bila kedua orang tua
bercerai dan berpisah. Aleeya bagaimana? Adakah wajar dia menceraikan isterinya
itu semata-mata memenuhi kehendak anak-anaknya? Kebahagiaan yang begitukah yang
dia kejarkan? Tidak tergamak rasanya menyakiti hati Aleeya.
“Fikirkanlah masa depan anak-anak,
Ikmal!”
“Awak bagi aje anak-anak tu kat
saya, biar saya dan Aleeya jaga mereka. Awak carilah suami lain,” cadang Ikmal.
“Mana boleh? Itu anak-anak saya!” Nadia
menolak keras.
“Kita tak ada jalan penyelesaian,
Nadia. Saya takkan menceraikan Aleeya. Atas alasan apa saya nak bagi tahu pihak
mahkamah sebab-sebab saya menceraikan Aleeya?”
“Cakap ajelah awak tak hidup
bahagia, dia pulak tak mengandung lagi.”
“Rapuhnya alasan. Awak ingat
mahkamah bodoh ke? Banyak sesi lagi yang terpaksa dilalui untuk membolehkan
pasangan itu bercerai.”
“Awak sengaja cari alasan ya,
Ikmal?” Nadia tidak berpuas hati. Alasan, alasan, alasan. Bekas suaminya pandai
mencipta alasan.
“Ikut sukat awaklah! Kalau anak-anak
persoal satu hari nanti, pandai-pandailah awak menjawabnya!” Nadia mencempung
anak bongsunya dan berjalan ke taman permainan. Malas hendak menghadap wajah
Ikmal. Dipujuk, dirayu, keputusan masih tidak diperoleh. Memang keras hati
betullah!
Ikmal mengeluh. Dia sendiri pening
memikirkan masalah yang ada. Kalaulah dia masih solo rasanya tidak susah untuk
dia berbalik semula dengan Nadia. Tapi, dia sudah ada Aleeya yang baik, setia
dan bertanggungjawab itu. Mana mungkin dia tinggalkan isteri sebaik Aleeya. Entah
bagaimana keadaan isterinya tadi. Ditinggalkan dalam keadaan marah. Ikmal
mengeluh kesal. Maafkan abang, Leya, bisik hati kecil Ikmal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan