“Sikit-sikit nangis, sikit-sikit nangis… nangis! Nangis kuat-kuat! Mak
takde ni! Siapa nak dengar?! Kau nangis lagi kuat-kuat!” jerit Khalid sambil
menampar-nampar muka Adik.
Makin kuat tamparan Khalid, makin kuat suara Adik menangis. Semakin
lama, semakin kuat jeritan Adik meraung yang menerima tamparan abang sulungnya.
“Khalid! Khalidddd! Kenapa adik
menangis tu?” wajah Kak Nora terpacul di muka tingkap tempat Salimah selalu
menjahit.
Terkejut bukan main Khalid melihatkan
Kak Nora yang tiba-tiba tersembul di muka tingkap rumahnya. Merah padam wajah
Adik kerana tamparan si Khalid. Air mata dan hingusnya tidak berhenti mengalir.
Ayah dan ibu telah keluar untuk memberi barang-barang dapur dan bahan-bahan
mentah untuk dimasak di Pasar Jalan Ibrahim. Memang sudah menjadi kebiasaan,
dua minggu sekali, pada hari Sabtu, Abdul Ghani akan membawa Salimah ke pasar
besar. Mereka bukan sahaja membeli barang-barang pasar untuk keluarga mereka,
malah mereka membeli barang-barang keperluan untuk Pak Bidin, ayah Abdul Ghani
juga.
Salimah akan berpesan kepada Nora untuk melihat-lihatkan
anak-anaknya yang akan ditinggalkan sahaja di rumah. Sewaktu Adik masih kecil,
Abdul Ghani akan membawa sahaja anak bongsunya dibonceng bersama Salimah.
Namun, bila Adik sudah berumur lima tahun, dia juga ditinggalkan bersama
abang-abangnya. Adik yang sudah agak tinggi, sudah tidak muat lagi hendak
diletak di dalam bakul motor. Tubuhnya yang semakin membesar juga, sudah tidak
sesuai untuk mereka membonceng bertiga.
“Kenapa muka adik kau ni merah macam
kena tampar aje ni, Khalid?” tanya Kak Nora yang perasankan wajah Adik yang
merah padam.
“Alah…dia tersembam kat lantai,”
Khalid memberi alasan sambil menjeling Adik.
“Iyalah kau tu. Ini muka macam kena
tempeleng aje Adik kau ni? Ni, angah mana?” tanya Kak Nora yang tidak
perasankan Kamaruddin yang baru keluar dari bilik mandi. Kamaruddin kalau mandi, hampir
setengah jam baru selesai. ‘Badak berendam’ kata ayah. Memang tubuh Kamaruddin
agak gempal jika dibandingkan dengan Khalid yang kurus tinggi. Adik juga mempunyai
susuk tubuh yang kurus tinggi.
“Kau pukul adik kau ya,
Khalid? Kak Nora tahu. Kak Nora tengah sidai baju kat sebelah rumah tadi,”
tanya Kak Nora yang memang dapat mengagak Khalid membuli adik bongsunya.
“Mana ada Kak Nora,”
anak sulung Salimah membela diri.
“Sudah, kau memang
pandai menipu, Khalid. Nanti,
nanti kau! Nanti Kak Nora cakap dengan mak!” Kak Nora memberi amaran.
“Adik…Adik meh sini turun, ikut Kak
Nora. Duduk aje kat rumah Kak Nora, tunggu mak balik. Nanti, abang-abang kau
buli kau lagi,” pujuk Kak Nora kepada Adik yang terjelepok dan masih menangis tersedu-sedan
di lantai rumahnya.
“Bukak pintu rumah kau,
Khalid!” jerit Kak Nora dari luar sambil bercekak pinggang di hadapan pintu
rumah Salimah.
Khalid membuka pintu
kayu rumahnya yang berkunci. Dia akhirnya memberi laluan untuk Adik untuk
keluar. Dia menjeling tajam kepada Adiknya.
“Kau cakap dengan mak,
jaga kau!” bisik Khalid kepada Adik ketika budak itu menuruni tangga rumah. Adik
membalas bisikan abangnya dengan jelingan tajam. Kak Nora yang menanti Adik di
tangga rumah, segera memimpin tangan Adik untuk ke rumahnya.
“Ya ALLAH, entah apalah
yang abang kau buat pada kau, Dik?” rungut Kak Nora sambil memimpin tangan anak
kecil itu menaiki rumahnya yang lebih besar dari rumah Salimah. Pipi Adik merah
padam kerana tamparan Khalid. Anak itu masih tersedu-sedan ketika Kak Nora
memanjat tangga rumahnya.
“Ab…ab…abang ambil duit
dalam tabung Adik…,” adu Adik kepada Kak Nora sambil tersekat-sekat suaranya
menahan tangis. Dilap hingusnya yang meleleh dengan lengan baju kemeja ‘T’.
“Laa hau laa wala…nak
jadik toyol ke apa abang long kau tu? Pandai ambil duit dalam tabung orang!”
rungut Kak Nora. Anak Salimah yang sulung itu memang agak nakal. Mungkin masa
kecilnya, dia amat dimanjakan oleh datuknya, Pak Bidin, kopral pencen itu. Apa
yang Khalid mahu, tidak pernah dikecewakan oleh datuk dan neneknya. Kini,
ketika dalam peliharaan ayah dan ibu, Nora perasan yang Khalid selalu
memberontak jika kemahuannya tidak dituruti.
“Tak apa, Adik tinggal
sekejap dekat rumah Kak Nora, tunggu emak dengan ayah balik, ya. Nanti Kak Nora
cakap dengan emak, tau,” pujuk Kak Nora sambil terus memimpin tangan kurus Adik
memasuki rumah pusaka ayah dan ibunya.
Rumah Kak Nora memang kemas dan
teratur. Maklumlah, Kak Nora tinggal seorang diri. Adik pernah dengar cakap-cakap
orang kampung yang Kak Nora ini, janda berhias. Apa maksudnya, Adik pun tidak
tahu. Leher dan pergelangan Kak Nora pun macam Mak Piah, ada dua tiga utas rantai
dan gelang emas. Kak Nora memang orang senang. Bekas suaminya dahulu, yang
telah meninggal dunia meninggalkan beberapa rumah sewa dan tanah untuk Kak
Nora. Kak Nora juga tidak mempunyai zuriat sendiri. Dia cuma ada anak tiri yang
sudah besar. Mereka juga jarang-jarang datang menjenguk Kak Nora. Adik-beradik
Kak Nora juga tidak ada yang tinggal di Batu Pahat. Semuanya berhijrah ke
daerah lain. Untuk mengisi masa lapang, Kak Nora menjadi tukang andam, mengubah
bunga dan barang-barang hantaran untuk majlis pertunangan juga perkahwinan.
Adik memang suka masuk
ke rumah Kak Nora. Kata Abang Khalid, rumah Kak Nora macam Muzium Negara kerana
ada banyak dulang-dulang hantaran. Dalam rumah itu juga ada banyak tempat letak
bunga pahar yang berwarna emas dan perak. Abang Khalid tahu keadaan dalam
muzium ketika dia mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Khalid bercerita
yang dia melawat Muzium Negara. Bila Adik tanya, macam mana rupa muzium,
“Macam rumah Kak Nora,” jawab Abang Khalid.
Di dalam kabinet kaca tinggi yang terletak di
ruang tamu rumah Kak Nora yang luas itu pula, terdapat beberapa warna baju
pengantin dari jenis kain songket yang ditenun. Ada tengkolok, keris olok-olok,
tiara dan kerongsang pelbagai rupa bentuk. Kak Nora juga ada banyak pasu-pasu
kaca yang dibeli dari pusat tembikar Air Hitam, Kluang. Boleh dikatakan selang
beberapa bulan sekali, Kak Nora akan ke Air Hitam membeli bunga-bunga plastik
baharu untuk dijadikan set perhiasan terkini untuk tempahan pelaminnya.
“Adik dah sarapan belum?”
tanya Kak Nora sambil menghulurkan sehelai sapu tangan kecil kepada Adik yang sedang
duduk memeluk lutut di atas kusyen kerusi rotan rumah Nora.
“Dah…mak masak nasi
goreng tadi,” jawab Adik perlahan. Tangisnya sudah reda namun matanya masih
bengkak. Pipi gebunya pula masih merah.
“Tadi, berapa banyak
duit tabung Adik yang abang Long ambil?” tanya Kak Nora persis penyiasat
persendirian.
“Dia dah ambil
separuh,” jawab anak itu sambil mencebik. Kolam matanya mula bergenang.
Kak Nora
menggeleng-gelengkan kepala.
“Kenapa abang Long kamu tu macam
itu? Hairanlah kak Nora. Nakal semacam aje. Itulah, bila berkawan dengan
budak-budak dari kuala tu, macam itulah jadiknya,” rungut Kak Nora. “Dah, Adik
jangan nangis, ya. Kak Nora nak buat gubahan ni, Adik duduk diam-diam aje eh.
Kalau Adik nak air, pergi dapur sana, ambil sendiri eh,” ujar Kak Nora sambil
mula mengeluarkan bunga-bunga, dedaun, ranting-ranting kayu yang baru semalam
dibeli dari Air Hitam.
“Adik nak tengok Kak
Nora, boleh?” tanya anak itu dengan mata bulat bersinar yang masih kemerahan
akibat menangis tadi.
Kak Nora melemparkan
senyuman manisnya. “Boleh sayang…meh sini duduk dekat Kak Nora.”
Sungguh asyik Adik
memerhatikan tangan tangkas Kak Nora menggubah bunga-bunga plastiknya. Ada
bunga ros, bunga orkid, bungka kekwa, bunga lily, bunga tulip, bunga-bunga
kecil pelbagai jenis dan pelbagai jenis dedaun. Kak Nora menggabungkan
bunga-bungaan itu dan disusun indah di dalam pasu kaca. Kak Nora memang
kreatif. Adik teruja melihat gubahan bunga Kak Nora. Ada perasaan ceria yang
meresap di dalam hatinya apabila melihat Kak Nora menggubah bunga-bungaan itu.
“Adik, adik rasa,
cantik tak kalau Kak Nora campurkan bunga ros warna merah dengan bunga tulip
warna putih ni?” tanya Kak Nora. Selalunya dia seorang diri sahaja tanpa ada
teman untuk diminta pendapat.
“Cantik,” jawab anak kecil itu. Matanya bersinar melihat gubahan Kak
Nora yang hampir siap.
“Nanti, bila Adik dah besar, Adik
nak jadi macam Kak Nora,” ujar Adik sambil memandang wajah yang Kak Nora yang
sentiasa berseri. Bibir
Kak Nora sentiasa merah. Mata Kak Nora sentiasa bercelak. Kening Kak Nora
terbentuk rapi.
“Hah? Adik nak jadik
macam Kak Nora? Jadik apa? Jadik mak andam?” tanya Nora, pelik dengan hasrat
anak kecil itu.
“Haah,” jawab anak itu
pendek.
“Hahaha…mana
boleh, Adik. Adik budak lelaki. Mana boleh jadi mak andam,” terang Kak Nora
sambil ketawa panjang memandang anak Salimah yang bongsu itu.
“Kenapa tak boleh?
Nanti Kak Nora ajarlah Adik. Macam Kak Siti ajar Adik bungkus kerepek hari tu,”
ujar anak itu. “Adik dah pandai dah bungkus kerepek banyak-banyak,” terang Adik
bersungguh-sungguh.
Nora tersenyum lagi
memandang anak itu. Anak Salimah yang bongsu ini memang lain perangai dan
tingkah lakunya. Khalid itu tinggi lampai, perengus dan bengis. Kamaruddin itu
pula pendiam, tubuhnya tegap sasa dan berkulit agak gelap seperti Pak Usunya -
anak kedua Pak Bidin yang menjadi askar di Melaka. Adik pula, kulitnya putih
cerah. Alis matanya lentik dan pipinya gebu persis seorang anak gadis sunti.
Perwatakan Adik juga lemah-lembut. Mungkin sewaktu Salimah mengandungkan Adik,
dia terlalu inginkan anak perempuan. Memang itulah yang diharapkan dan selalu
dinyatakan harapannya kepada Nora ketika mereka duduk-duduk di pangkin sambil
memamah buah mempelam muda.
“Kalau Adik suka,
boleh. Kak Nora boleh ajar Adik gubah bunga. Nanti, mesti emak Adik suka kalau
Adik pandai susun bunga,” Nora melayan sahaja anak kecil yang sudah reda sendu
tangisnya.
Adik tersenyum lebar.
Salimah dan Abdul Ghani
pulang ketika jam hampir menunjukkan ke pukul 11.00 pagi. Nora tahu, selepas
selesai membeli-belah, mereka pasti singgah di rumah Pak Bidin untuk menghantar
barang-barang yang dipesan. Abdul Ghani itu memang seorang anak lelaki yang
amat bertanggungjawab menjaga kebajikan ayah dan ibunya.
“Assalamualaikum, Abang
Long…buka pintu, nak. Long…Along !” laung Salimah dari luar sambil
mengeluarkan barang-barang dari bakul motor suaminya.
Akhirnya Kamaruddin
yang membuka pintu dan menyambut kepulangan ayah dan ibunya.
“Senyap aje, Din. Abang
dengan Adik kamu, mana?” tanya Ayah yang sedang menjinjing plastik berisi ayam
dan ikan. Abdul Ghani segera naik ke rumah lalu terus menuju ke dapur untuk
meletakkan barang-barang itu di dalam peti sejuk.
“Abang dalam bilik, baca
buku. Adik…hmmm…Adik kat rumah Kak Nora,” jawab Kamaruddin takut-takut.
“Kenapa Adik pergi
rumah Kak Nora?” tanya Salimah risau. “ Bukankah mak pesan, duduk diam-diam
dalam rumah, jangan keluar,” tajam pandangan Salimah kepada Kamaruddin.
“Hmmm…aaaa…mmm, Adik…aaaa…,”
Kamaruddin kehilangan kata-kata. Dia juga telah diberi amaran oleh Khalid
supaya tidak mengadu kepada emak apa yang berlaku pagi tadi.
“Kalau kau beritahu
mak, Din…aku debik kau!” itulah amaran Khalid tadi setelah Adik dibawa pergi
oleh Kak Nora.
“Kenapa kau uuuu,
aaaa,uuuu aaaa ni, Din? Dah gagap?” wajah emak sudah mula berubah. Kamaruddin
terus membisu.
“Pergilah awak ke rumah
Nora, Mah. Tengok si Adik tu,” cadang Ayah sambil membuka baju kemeja ‘T’ cap
Pagoda yang basah dek peluh. Abdul Ghani lantas duduk di hadapan kipas yang
terletak di atas meja sisi di ruang tama. Dia cuba menyejukkan tubuhnya yang
kepanasan. Salimah pula pantas berlalu keluar dan menuju ke rumah Nora.
“Assalamualaikum,
Nora,” Salimah memberi salam dan terus naik ke rumah jirannya yang lebih besar
dari rumahnya. Begitulah kebiasaannya orang-orang kampung, beri salam dan terus
masuk sahaja ke dalam rumah. Pintu rumah Nora dan rumah-rumah penduduk kampung
memang sentiasa terbuka luas.
“Eh…Kak Uda dah balik.
Nora tak dengar bunyi motor Abang Ghani tadi,” jawab Nora yang masih lagi
dengan gubahannya. Adik setia duduk di hadapan kak Nora.
Salimah datang
menghampiri Nora dan Adik.
“Akak balik, tengok
Adik tak ada,” jelas Salimah sambil duduk bersila di hadapan Nora dan
jambangannya yang hampir siap.
“Nora ambil Adik tadi, kak. Akak
tengoklah muka Adik tu,” Nora menjuihkan bibirnya ke arah Adik.
“Eh…kenapa pipi Adik
ni?” tanya Salimah sambil memegang pipi anaknya yang merah birat.
“Apa lagi? Kena tampar
dengan si Khalid!” Nora mengadu.
“Ya ALLAH! Bertuah
punya anak! Kita suruh jaga Adik dia, dia pulak yang membalun budak ni!” rengus
Salimah sambil mengusap-usap pipi Adik. Panas hatinya dengan Khalid.
“Kak, Nora rasa, Khalid
ni jadi macam tu sejak berkawan dengan budak-budak dari kampung sebelah tu kak.
Kasar sangat dia orang kalau bermain.”
“Kenapa Abang Long
pukul Adik?” tanya Salimah tidak puas hati dengan sikap anak sulungnya.
Adik sudah mula
mencebik. Air matanya bergenang lagi.
“Abang Long ambil duit
Adik dalam tabung,” jelas Adik sambil air matanya mengalir lagi.
“Hish! Abang kau ni!
Mak nak cakap dengan ayah, biar ayah kau bantai dia! Melampau laaa si Khalid
ni!” Gerutu Salimah. Jantungnya berdegup kencang menahan marah.
“Adalah benda dia nak
beli tu agaknya,” Nora memberi komen.
“Dia memang merengek nak beli raket badminton. Kalau nak beli, mana boleh beli
satu, Nora. Kena beli dua. Kalau beli satu, kau nak main dengan siapa kalau kau
seorang saja yang ada raket. Abang Ghani kata, tunggu dia dapat gaji.
Hish…Khalid ni, memang melampau tau,” keluh Salimah sambil membaringkan kepala Adik
di pangkuannya lalu diusap-usap rambut anak bongsunya itu.
“Nora rasa, Khalid tu
manja sangatlah Kak Uda. Dulu, masa duduk dengan Pak Bidin, semua yang dia
hendak, semua Pak Bidin turutkan,” Nora memberi pandangan.
“Memang Nora. Kak Uda
pun perasan semua tu. Kalau kita tak belikan apa yang dia mahu, dia
memberontak. Ini baru sepuluh tahun, Nora. Kalau dah besar nanti, macam manalah
agaknya,” Salimah mengeluh sambil masih lagi mengusap-usap rambut Adik yang
sedang berbaring di pangkuan peha kanannya.
“ Kak Uda kalau nak ke
pasar ke atau nak kemana-mana dengan Abang Ghani, tinggalkan saja Adik dengan
saya. Dia budak baik. Dia tak mengacau Nora buat kerja,” Nora memberi cadangannya
kepada Salimah.
“ Terima kasihlah,
Nora,” angguk Salimah.
“ Bukan apa, kak. Kalau Din tu, dia
dah besar, badan pun besar. Dia dah boleh jaga diri. Kalau Adik ni…sudahlah
halus, kena bantai dengan Khalid, kasihan Nora tengokkan.”
Salimah mengangguk
lagi.
“ Tertidur dah budak ni,
Kak Uda,” jelas Nora sambil mengangkat keningnya ke arah Salimah yang masih lagi
mengusap-usap rambut lurus anaknya.
“ Laa, tidur pulak budak ni.
Dik…dik…,” Salimah menggoncang lembut tubuh anaknya.
“ Kak Uda…biarlah Kak…biar
dia tidur kat sini saja. Nanti Nora ambilkan bantal,” bingkas Nora bangun dan
mengambil sebiji bantal kekabu dan diberinya kepada Salimah untuk mengalas
kepala Adik.
“ Nanti Adik bangun,
Nora hantar dia balik rumah,” janji Nora.
Salimah mengangguk. “
Akak balik dulu, Nora. Aku nak cakap dengan Abang Ghani kau pasal si Khalid.”
Khalid sedang bermain
dengan askar-askar kecil berwarna hijau tua ketika Salimah membuka pintu bilik
yang ditutup. Kamaruddin pula sedang menonton televisyen. Pada hari Sabtu,
kebiasaannya, RTM 2 akan menyiarkan cerita-cerita kartun. Kebanyakkan
kanak-kanak akan duduk menghadap televisyen sahaja dan menanti waktu petang
untuk keluar bermain. Suaminya pula sedang melelapkan mata dan berbaring di
bahagian tengah rumah mereka.
“Abang! Kau buat apa
dengan Adik tadi?!” sergah
Salimah dengan nada marah. Dia mahu mendengar penjelasan Khalid pula.
“Mana ada buat apa-apa,
mak,” anak itu membela diri. Anak matanya memandang wajah Salimah yang
menyinga.
“Kalau tak ada buat
apa-apa, kenapa muka Adik kau lebam birat? Kau tampar muka dia eh?”
“Adik tu memang selalu
membohong!” Makin meninggi suara Khalid membela
dirinya.
“Eh…Abang, kau jangan nak tipu mak tau! Adik
tak cakap apa-apa pun, Kak Nora yang beritahu,” nafas Salimah turun naik. Jika
diikutkan hati amarahnya, hendak sahaja dia mencubit Khalid sekuat hati kerana
dia tahu anak itu berbohong.
“Kak Nora pun sama jugak! Suka buat cerita!” Nafas Khalid turun naik, anak itu memang panas
baran.
“Apa pulak Kak Nora suka buat cerita? Dia yang dengar Adik kau menangis
macam kena dera. Kau patutnya sebagai Abang Long, jaga adik kau, ini…kau pulak
yang pukul bantai dia!”
“Mah…kenapa ni?”
tersembul muka Abdul Ghani di muka pintu bilik Khalid yang berkongsi dengan
Kamaruddin.
“Awak tanyalah anak awak ni. Apa dia dah buat dengan Adik dia. Dahlah dia ambil duit tabung budak
tu, dia tampar muka si Adik naik lebam. Itu yang Nora datang dan ambil Adik,”
adu Salimah kepada Abdul Ghani yang hanya memakai singlet pagoda.
“Kau mencuri, Abang?”
tanya Abdul Ghani pada anak sulungnya.
“Mana ada, ayah,” bergetar suara Khalid dengan pertanyaan ayahnya.
Kecut perutnya walau suara ayah tidak seperti suara emak.
“Habis? Takkan Kak Nora dengan Adik
nak menipu mak kau? Apa sebab dia orang nak menipu?” tanya Abdul Ghani yang
juga menahan marah dengan sikap Khalid yang suka membuli adik bongsunya.
Kamaruddin yang tadinya sedang
menonton cerita Ultraman juga akhirnya datang menghampiri ayahnya yang berdiri
di muka pintu.
“Kenapa kau curi duit tabung Adik kau,
Khalid?” tanya Ayah.
Khalid hanya diam.
“Cakap Abang! Bagitahu mak, kenapa
kau curi duit tabung Adik? Budak tu, ikut mak pergi kerja, kumpul duit
hari-hari, kau senang-senang saja ambil duit dia! Apa nak jadi dengan kau ni,
Abang?! Apa lagi yang mak dengan ayah tak beri pada kau?”
Khalid hanya diam membatu.
“Kau nak buat beli raket ke, Abang?”
Salimah menukar nada suaranya, cuba berlembut dengan Khalid. Seingatnya, sudah
hampir dua minggu Khalid merengek hendakkan raket badminton.
“Ayahkan dah janji, lepas ayah dapat
gaji, ayah belikan Abang dengan angah raket badminton tu,” Abdul Ghani juga
cuba berlembut. Cuba bermain psikologi dengan anak sulungnya yang meningkat
remaja.
“Alah, kalau Adik tu, minta hari
ini, hari ini dapat. Minta apapun, sekejap saja dah dapat. Mak dengan ayah
memang lebihkan Adik saja,” Khalid membalas sambil tangannya menguis-nguis
askar kerdilnya.
“Eh Abang, kenapa kau busuk hati sangat dengan
Adik kau? Adik kau tu,
dia beli pensel, buku kaler tu, guna duit dia, tahu tak! Mak Piah bagi dia duit
sebab tolong mak bungkus kerepek. Dia tak minta benda mahal-mahal,” Salimah
membela anak bongsunya.
“Alah, mak memang
selalu menangkan Adik! Sikit-sikit Adik, sikit-sikit Adik,” suara Khalid
meninggi.
“Kurang ajar punya anak!”
Abdul Ghani serta-merta hilang sabar dan tangan kanannya pantas menampar muka
anak sulungnya yang keterlaluan.
“Bertuah betul kau ni,
Abang! Mak dengan ayah tak pernah bezakan kau, angah dengan Adik,” Salimah
menjelaskan tanpa menghalang tindakan suaminya. Salimah ingat pesan arwah
ibunya, jika ayah memarah anak, ibu jangan sekali-kali membela si anak.
Suara tangisan Khalid
semakin lama semakin meninggi.
“Kalau kau buat lagi
adik-adik kau macam tadi, Abang, ini…kau rasalah tali pinggang ayah pulak,”
Abdul Ghani memberi amaran. “Kau pun sama Din!” Kamaruddin yang tadinya hanya
memerhatikan sahaja abang sulungnya dimarahi, tersentak dengan amaran ayahnya.
“ Kau pun patutnya tengokkan Adik kau, ini…kau ke mana tadi?” tanya ayah kepada
Kamaruddin yang terkebil-kebil.
“Din mandi, yah,” jawab Kamaruddin.
Salimah
menggeleng-gelengkan kepalanya. “Berapa jam agaknya kau mandi, Din? Sampai Adik
kau kena dera dengan Abang pun, kau tak keluar-keluar bilik air,” keluh
Salimah, sedikit kesal.
“Kau berdua kena jaga
Adik kau tu. Kau berdua abang dia. Kalau Abang sendiri yang pukul Adik, macam
mana?” Salimah
menasihati kedua-dua anak lelakinya.
“Ingat pesan emak tu,
Abang Long. Din, ingat…jaga Adik, ” Abdul Ghani turut memberi peringatan.
Kamaruddin dan Khalid
yang teresak-esak mengangguk-anggukkan kepalanya. Pipinya terasa pedih dengan
tamparan ayah. Ayah memang jarang memukul anak-anak. Namun bila sekali tangan
Ayah naik ke muka, makan dua hari pedihnya. Walaupun Khalid mengangguk,
nafasnya turun-naik menahan marah dan dendam…kepada Adik dan Kak Nora.
“Ini, mana duit Adik
tadi, pulangkan pada dia,” tanya Salimah kepada Khalid.
“Abang dah belanja…,”
jawab anak itu dengan air mata yang membasahi pipinya. Nafasnya masih turun
naik.
“Hish! Kau buat beli
apa?” kening Salimah berkerut.
“Beli gasing dengan layang-layang.”
“Hee, memang anak bertuah tau!”
getus Salimah sambil mencubit lengan Khalid.
* * * * * *
“Mak, nanti Adik nak tolong mak
bungkus kerepek lagi eh, mak,” Adik menyuarakan hasratnya kepada Salimah yang
sedang menyapu pipinya dengan minyak gamat.
“Iyalah, bukan ke Adik ikut emak
hari-hari?” lembut suara Salimah ketika berbual dengan anaknya. Pipi Adik
sedikit bengkak. Tangan Khalid sama seperti suaminya, jika menampar, memang
pedih.
“Iyalah…tapi, kalau Adik ikut, Adik
nak tolong mak bungkus kerepek. Nanti Mak Piah bagi adik gaji,” terang anak itu
bersungguh-sungguh.
Salimah mengangguk-angguk. Mengiakan
sahaja kehendak anak yang dikasihinya. Anaknya yang bongsu itu memang suka menabung
dan ringan tulang.
“Adik nak kumpul duit
lagi, mak” Adik menyambung kata-katanya sambil matanya terpejam celik kerana
merasa pedih apabila emak menyapu minyak gamat hitam ke pipinya.
“Adik nak beli apa
kumpul duit banyak-banyak?”
“Hmmm…Adik nak beli
anak patung yang mata besar, yang ada tocang tu, mak. Adik nampak ada jual kat
kedai cina Jalan Penggaram masa Adik ikut ayah. Nanti, kalau Adik main
pondok-pondok, Adik nak ajak kawan-kawan mengaji main sama-sama,” jelas Adik
sambil matanya memandang ke siling rumah mereka. Sudah terbayang di matanya,
bermain bersama anak patung perempuan kecil yang bermata biru dan rambut
berwarna perang bertocang dua.
Setiap insan ada rahsianya
sendiri.
Aku juga punya rahsia.
Sepertimana aku menyimpan
rahsiamu,
kau simpanlah rahsiaku.
Rahsiamu itu, sama seperti
rahsiaku.
Adik
JUN
1994
Tiada ulasan:
Catat Ulasan