W
|
ad 3A katil nombor 8, Hospital Sultan Ismail,
Johor Bahru. Kamaruzaman terbaring dengan lesu. Demamnya kebah seketika namun
doktor menasihati Firdaus agar sering berwaspada.
“Jantungnya terlalu
lemah. Ada yang mengganggu fikirannya. Kami harap dia tidak terlalu memikirkan
hal-hal yang boleh membuat dia tertekan.”
Firdaus meneliti
wajah Kamaruzaman yang pucat lesi. Air matanya berlinangan. Sungguh belas dia
melihat kesengsaraan yang sedang ditanggung oleh lelaki berjasa itu.
“Kenapa abah jadi
macam ni. Abah dah tak sayang Fir lagi ke?”
“Fir… “ Mulut Kamaruzaman bergerak-gerak.
Dia ingin berkata sesuatu. Namun dia sangat lemah dan tidak berupaya.
Kamaruzaman tidak
menyangka akan melihat kedua-dua sahabatnya itu semula selepas berpisah tempoh
hari. Ketika Firdaus mengejutkannya, dia rasa seperti dalam mimpi. Dia meneliti
wajah Kartina yang tetap tenang dan manis. Dia merenung wajah Ahmad Adham yang
jujur dan pengasih. Kemudian matanya menilik wajah Mursyid, anak muda yang
sangat berbudi bahasa. Kemudian matanya mencari-cari sesaorang. Tidak ada.
Bayangnya pun tidak ada!
“Muhayat tak dapat
datang. Dia berkirim salam pada awak. Nanti selesai tugasnya dia akan datang,”
kata Ahmad Adham, cuba menjawab pencarian rindu itu.
Bibir
Kamaruzaman menguntum senyum. Walaupun dia tahu Ahmad Adham berbohong untuk
menutup kesilapan Muhayat, dia tetap senang hati. Dia bersyukur kerana Muhayat
dibesarkan oleh orang yang berjiwa mulia. Tetapi, kenapa Muhayat tidak mewarisi
sifat mulia Ahmad Adham? Oh! Dia terlupa. Muhayat bukan darah daging Ahmad
Adham.
“Abang,
Tina harap abang sabar dengan dugaan ini,” kata Kartina memegang lengannya.
Hatinya
rasa sangat bahagia. Suara Kartina seperti setitik air di tanah gersang!
“Benar
Zaman. Dalam usia emas macam kita ni, sakit adalah dugaan yang paling kerap.
Saya harap awak tak putus asa,” kata Ahmad Adham pula.
“Buat
apalah awak berdua susah-susah datang. Saya tak apa-apa. Saya
cuma kepenatan saja. Awak tu tak sihat, Adham,” kata Kamaruzaman dengan
perlahan dan lemah.
“Apalah
makna persahabatan kalau awak terlantar macam ni saya tak jengok,” balas Ahmad
Adham pula. Kamaruzaman terharu. Dia mencari-cari tangan Ahmad Adham.
Kemudian dia menggenggam erat.
“Terima kasih kerana
sudi jadi sahabat saya. Terima kasih kerana dah jaga anak saya,” kata
Kamaruzaman dengan air mata yang bergenang.
“Kami
minta maaf kerana gagal mendidik Muhayat menjadi anak yang berbudi,” kata Ahmad
Adham pula.
“Jangan cakap macam
tu Adham. Sayalah
yang tak tahu diuntung. Dia berhak membenci saya. Dia juga berhak bercakap
mengikut kata hatinya. Saya yang bersalah.” Suara Kamaruzaman hampir tidak
kedengaran. Hatinya sangat meruntun pilu. Lehernya seperti tercekik duri.
“Tolong ampuni dia
bang,” ucap Kartina, ikut sebak. Hati seorang ibu tetap tidak mahu anaknya
dimurka ALLAH.
“Apapun, dia tetap
anak abang. Abang akan tetap doakan dia. Dia khilaf seketika tetapi ALLAH akan
sedarkan dia. Tina jangan bimbang. Dia anak abang. Dia anak abang ...” Suara
Kamaruzaman semakin hilang. Dia keletihan. Dia pejamkan mata. Tidak lama, bunyi
dengkuran kecil mendesis lembut dari bibirnya.
“Tina, mari kita
tunggu di luar. Biarkan dia berehat.” Ahmad Adham menarik lengan Kartina
dengan perlahan. Mursyid memimpin Ahmad Adham keluar dari bilik itu.
Di
luar wad, mereka duduk di ruang menunggu bersama Firdaus, Zurie, Aiman Haziq
dan Dayana Puteri.
“Muhayat tak datang, ibu?” tanya Firdaus,
memecah sepi.
Kartina menoleh
kepada Ahmad Adham. Dia serba salah untuk menjawab. Pilihannya hanya dua
sahaja, berterus terang atau berbohong.
“Nanti
dia akan datang, Fir.” Ahmad Adham menjawab bagi pihak Kartina.
Firdaus tersenyum sinis. Wajah kedua-dua yang
ada di hadapannya direnung lama.
“Sampai hati Hayat buat abah macam ni. Dia darah daging abah. Saya
yang bukan darah daging abah pun tak sampai hati nak kecilkan hati dia. Dia
terlalu baik.”
Kata-kata Firdaus sangat perlahan tetapi sempat menerjah telinga
Kartina dan Ahmad Adham. Mereka tersentap dan terus mengangkat muka dan
merenung wajah Firdaus yang tenang dan polos.
“Fir? Jadi Fir bukan anak kandung dia?” Ahmad Adham memegang lengan
Firdaus, mencari kepastian.
“Saya hanya anak tiri dia.”
“Anak Naimah?” tanya Kartina pula.
Firdaus angguk perlahan. Kartina meneliti wajah Firdaus. Langsung
tidak ada tampang Naimah. Perangainya, sangat sopan dan berbudi bahasa. Jauh
panggang daria pi dari sikap Naimah.
“Saya tahu mama saya pernah melukakan hati ibu. Saya harap ibu
dapat maafkan dia dan berdoa untuk kesejahteraan rohnya di sana.”
“Mana Fir tahu?” Mata Kartina belum jemu merenung Firdaus.
“Abah selalu cerita pasal ibu dan pasal mama. Abah tu sebenarnya
hidup dalam penyesalan yang panjang.”
“Jadi, dia tak pernah kahwin lain selepas mama Fir meninggal?”
“Tidak. Alasannya, dia tak nak saya ada mak tiri. Dia tak nak saya
diseksa dan didera. Sangat besar pengorbanan dia pada saya. Dari kecil hingga
sekarang.”
“Ayah kandung Fir mana?” Ahmad Adham tidak
mahu terus keliru. Dia mahu penjelasan yang telus.
“Entahlah. Menurut abah, ketika dia berkahwin
dengan mama umur saya dua tahun. Dia tidak pernah tahu siapa dan di mana ayah
saya. Selepas mama meninggal, tidak ada yang datang menuntut saya untuk dibela.
Kalau abah tak jaga saya sudah tentu saya dihantar ke rumah anak-anak yatim.”
Ahmad Adham mengeluh berat. Dia kagum dengan
kasih sayang yang terjalin antara Firdaus dan Kamaruzaman. Kisahnya hampir sama
dengan kisah hidup Muhayat. Yang membezakannya ialah ibu Muhayat masih hidup.
Sedangkan ibu Firdaus sudah tiada. Kamaruzaman menjaga seorang anak tiri,
sendirian. Ya ALLAH!
“Hayat
akan menyesal kalau dia tahu penderitaan abah selama ini. Sejak dia tahu
dia ada anak sendiri, dia nampak sangat gembira. Saya ikut gembira. Tapi, sejak
dia balik dari Ipoh semuanya berubah. Dia merahsiakan sesuatu dari kami. Kami
tahu dia dilukai…” Suara Firdaus hampir tidak kedengaran. Dia tunduk menahan
sedih.
“Maafkan kami Fir,” kata Ahmad Adham sambil
menarik tangan Firdaus.
“Saya tak fikir dia terluka kerana abah dan
ibu. Saya rasa mesti Hayat yang menolak kasih sayangnya.”
“Fir, tolong maafkan
dia. Dia sedang keliru.” Tiba-tiba Kartina menangis teresak-esak.
Firdaus
tergamam. Juraian air mata seorang ibu membenarkan telahan yang ada di hati
Firdaus. Benarlah, Muhayat telah melukakan hati Kamaruzaman.
“Nenek,
janganlah sedih. Tok bah selalu kata, kalau boleh dia tak nak nenek menangis
lagi. Dah banyak air mata nenek yang mengalir kerana dia.” Tiba-tiba Dayana
Puteri menghampiri Kartina dan menghulurkan sehelai tisu.
Kartina
mendongak. Wajah anak gadis Firdaus ditatap dengan hati yang bertambah sebak
dan terharu. Dia segera menarik gadis
itu ke dalam pelukannya.
“Ibu, kami semua
tahu kisah penderitaan masa lalu ibu. Abah tak pernah lupa dengan apa yang
dibuatnya kepada ibu. Sejak berpuluh tahun dia selalu bercakap mengenai
kesilapannya. Sampaikan anak-anak saya kenal siapa ibu. Walaupun tak pernah
jumpa, mereka tahu kisah ibu.”
Kartina mengesat air mata.
Dia sendiri sudah
melupakan kisah lalu dan tidak pernah berdendam apa-apa.
Seminggu
Ahmad Adham dan Kartina berada di Johor Bharu. Kesihatan Kamaruzaman semakin
baik. Wajahnya sudah mula ceria. Degupan jantungnya mula kuat. Lalu dia sudah
dibenarkan pulang ke rumah.
“Awak
kalau sihat memang masih kacak. Awak ada iras-iras pelakon Hindustan, Rajesh
Khana,” gurau Ahmad Adham.
“Awak
ni kalau tak buat lawak memang tak sah,” balas Kamaruzaman dengan ketawa.
Kartina yang sedang memotong epal, ikut ketawa.
“Saya
suka tengok awak berdua ketawa. Rasa lapang dada. Rasa tenang fikiran,” kata
Ahmad Adham, jujur.
“Awak
memang baik, Adham. Saya pun tak mampu nak jadi macam awak.”
“Nak
jadi macam saya buat apa? Habis siapa pula nak jadi sahabat baik saya?”
Ketawa
mereka pecah berderai. Kartina menghulurkan epal yang sudah siap dipotong
kepada Ahmad Adham kemudian kepada Kamaruzaman.
“Man,
memandangkan awak dah sihat saya dan Tina nak balik ke Ipoh esok. Dah lama kami
tinggalkan rumah. Saya janji akan datang lagi,” kata Ahmad Adham sambil
mengunyah epal.
“Tak payah susah-susah. Saya dah baik. Awak
tu kena jaga kesihatan awak. Jangan fikir banyak sangat pasal saya. Tina, jaga
diri Adham baik-baik,” balas Kamaruzaman.
“Dia memang isteri
yang sangat sempurna. Dari muda dia jaga saya. Saya ni dilayan macam raja. Saya
bersyukur sangat kerana dia sudi jadi isteri saya.” Ahmad Adham menatap wajah
Kartina.
“Awak
memang bertuah. Dia juga bertuah kerana ada suami macam awak.”
Kamaruzaman
berkata jujur. Memang Kartina dan Ahmad Adham pasangan yang secocok. Mereka
saling menyayangi. Takdir ALLAH menentukan mereka bertemu dan hidup bersama.
Sungguh halus jalinan pertemuan yang ditetapkan ALLAH.
“Kalau
awak dah sihat nanti, datanglah ke Ipoh. Kami tunggu awak dengan rindu,” kata
Ahmad Adham.
“Betul
tu bang. Tak payah nak fikir sangat pasal Muhayat tu. Masa ni dia tengah
keliru. Mungkin bila jumpa abang kali ini, fikirannya dah berubah,” kata
Kartina pula.
Kamaruzaman
memaksa sebuah senyuman. Dengan perlahan juga dia memaksa sebuah anggukan yang
sangat berat. Kalau mampu memang dia tidak mahu meletakkan di hati semua
kata-kata Muhayat itu. Namun, semuanya tidak mampu dilupakan dengan mudah.
Keesokannya,
Kamaruzaman menghantar Ahmad Adham dan Kartina berangkat pulang dengan genangan
air mata. Ingin sekali dia berkirim salam kepada Muhayat, namun entah kenapa
pula mulutnya sangat berat. Dia menahan diri dan kerinduannya.
Selepas
kereta yang dipandu oleh Mursyid berlalu, Kamaruzaman kembali kepada keadaan
asalnya, pemurung dan penyedih. Sekali
lagi Firdaus dihurung resah.
“Abah,
kenapa kali ini abah tak boleh nak kongsi kesedihan abah dengan Fir? Apakah Fir dah bukan anak abah?”
“Fir, jangan cakap
macam tu. Abah masih sayangkan Fir. Hanya Fir yang abah ada dalam hidup ini.”
“Muhayat?”
Mendengar
nama itu, hati Kamaruzaman tiba-tiba menjadi hiba. Tanpa segan dia menangis
teresak-esak. Dari celah esakannya itu, terkeluarlah semua fitnah yang dibuat
oleh Muhayat.
“Abah tak buat apa-apa. Semuanya
fitnah belaka …”
Firdaus
terpempam lama. Sungguh tidak disangka begitu berat penanggungan jiwa Kamaruzaman. Patutlah dia begitu
berubah. Rupanya dia sangat melarat dan jiwanya sangat lara dengan perbuatan
Muhayat.
“Abah,
maafkan Fir…” Firdaus memeluk tubuh lemah Kamaruzaman. Dia ikut menangis.
Kesengsaraan Kamaruzaman cuba dikongsi.
“Fir tak salah apa-apa. Nasib abah yang
memang tak beruntung. Abah memang perosak kebahagiaan mereka.”
“Jangan cakap
macam tu, abah. Muhayat yang tak tahu menilai kasih sayang abah. Muhayat
yang… ”
“Fir, jangan
salahkan dia.” Kamaruzaman segera memotong cakap Firdaus. Kerdipan matanya
sangat mengharapkan agar Muhayat tidak dipersalahkan.
“Dia sedang
keliru. Abah tak akan salahkan dia. Cuma abah nak Fir tahu, yang abah tak buat
apa yang Muhayat tuduh itu. Kartina memang bekas isteri abah. Tapi itu kisah
lama. Tak terlintas pun di hati abah untuk mengkhianati persahabatan abah dan
Abah Adham. Dia terlalu baik,” tambah Kamaruzaman.
“Abah, Fir tak
pernah meragui kejujuran abah. Fir kenal abah sejak kecil. Walaupun Fir bukan
darah daging abah tapi Fir dah sebati dengan perasaan abah. Jangan abah bimbang
pasal perasaan Fir.”
Kamaruzaman
tersenyum senang. Air matanya dikesat.
“Abah kena kuat.
Abah tak boleh jadikan hal ini sebagai perosak kegembiraan kita selama ini.
Kalau Muhayat tak nak terima abah, biarlah. Kami masih perlukan abah. ”
“Terima kasih Fir.
Kalu Fir tak ada, entah apa akan jadi pada abah.”
“Fir
pun nak ucap terima kasih pada abah. Kalau bukan kerana abah, entah apa yang
jadi pada Fir.”
Mereka saling berpelukan. Saling pula
bertangisan. Perasaan kasih menjadi satu. Firdaus tidak tega lagi melihat
keadaan Kamaruzaman yang lemah itu. Walaupun cuba disembunyikan, Firdaus masih
nampak jelas akan luka di hati Kamaruzaman.
Muhayatlah
puncanya!
Firdaus rasa
penyelesaian harus dibuat dengan Muhayat. Dia tidak mahu
Kamaruzaman terus menderita dan Muhayat pula dibeban dosa anak derhaka.
“Tak
mengapa kalau kau tak nak sayang dia, tapi tolong jangan sakiti hati dia. Abah
dah lama hidup sepi dan rindu. Jangan kau tambah lagi dengan rasa sakit hati.”
Firdaus
memang rasa amat canggung kerana dia belum pernah bersua muka dengan Muhayat.
Cuma dia melihat gambar yang dibawa pulang oleh Kamaruzaman. Wajah mereka
seiras! Sangat mirip dan saling tidak tumpah.
“Dia
rindukan siapa?” tanya Muhayat dengan sinis seakan memperli.
“Dia
rindukan kehidupan masa lalunya yang bahagia. Dia rindukan sebuah keluarga.”
“Bahasa
apa yang awak cakap ni? Cerita apa yang kau nak beritahu aku?” Muhayat semakin kasar.
“Muhayat,
abah memang tak pernah tahu mengenai kelahiran kau selama ini. Tapi selepas dia
tahu dia ada anak yang lain selain aku, dia begitu gembira. Dia ingin menebus
masa yang terlepas itu. Dia ingin memanjakan kau sebagaimana dia manjakan aku.
Tolonglah beri dia peluang itu,” rayu Firdaus. Entah kenapa dia rasa dia perlu
berbuat begitu demi Kamaruzaman.
Muhayat
ketawa. Ketawa yang dipaksa. Ketawa yang cuba untuk menyakitkan hati Firdaus!
Firdaus langsung tidak terkesan dan sakit
hati. Sebaliknya rasa belas dan simpati terhadap Kamaruzaman semakin menggunung.
“Dia dah diberi peluang
itu, tapi dia dah sia-siakannya. Salah siapa?”
“Apa
maksud kau?” tanya Firdaus, berpura-pura tidak faham apa yang berlaku. Dia
memang ingin mendengar sendiri dari mulut Muhayat akan tuduhan fitnah yang
dilemparkan kepada Kamaruzaman.
Muhayat tidak segera menjawab. Dia membiarkan Firdaus
menunggu. Dia sengaja membolak-balikkan hati Firdaus tanpa menyedari hatinya
sedang diamuk gelora.
“Kau
tahu kau dah buat fitnah terhadap dia?” sergah Firdaus tanpa menunggu Muhayat
menjawab.
“Fitnah?
Tidak. Aku melihat dengan mataku sendiri. Aku tidak akan percaya cakap orang
kalau tak melihat sendiri.”
“Apa yang kau
lihat?”
“Ibuku
keluar dari bilik dia. Mereka berdua-duaan dalam satu bilik pada waktu malam. Apakah
itu fitnah? Apakah itu bukan sumbang dan curang?”
“Astaghfirullahhalazim!
Itukah ukuran curang dan sumbang yang kau lemparkan pada mereka?”
“Lalu
kalau bukan sumbang, nak panggil apa? Mereka bukan muhrim lagi. Kenapa mesti nak
berdua-duan macam tu?”
“Kenapa tak siasat dulu. Mungkin mereka
ada keperluan penting.”
“Nak
siasat apa? Perkara dah jelas depan mata.”
“Sebaiknya
kau bersemuka dengan ibu dan abahmu, bukan terus memusuhi mereka. Kau jadi
hakim yang tidak adil. Kau menghukum tanpa memberi mereka peluang menceritakan
hal sebenar.”
“Siapa
kau pula nak menghakimi keputusan aku!” tengking Muhayat. Bergegar telinga
Firdaus dengan tengkingan itu.
“Aku
kasihan dengan abah. Aku juga simpati dengan kau. Kau dah kecilkan hati ibu
bapa kau. Tak berkat hidup anak yang melukai hati ibu bapa,” kata Firdaus, cuba
membuat Muhayat sedar.
“Habis, bagaimana dengan hati anak?”
“Muhayat, suka hati kaulah. Aku cuma
nak kau tahu, abah memang sayangkan kau. Terserahlah kepada kau. Jangan sampai
kau menyesal nanti, sudahlah. Assalamualaikum!” Firdaus mematikan talian. Dia
mula rasa sia-sia dan membuang masa untuk menasihati Muhayat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan