Stadium Daerah Batu Pahat
Dari tempat duduk orang-ramai di stadium, Faezah Hanim segera berlari
mendapatkan Adik dan Johari yang sedang menerima ucap tahniah dari Cikgu Amil
dan Cikgu Fizah yang menghargai persembahan mereka sebentar tadi. Langkahnya
terhenti di luar bilik persalinan.
“Alaaa cikgu ni, takkan
puji-puji aje...belanja-belanja burger takde, ke?” pantas sahaja mulut Johari
meminta kedua orang gurunya itu membelanja mereka.
“Eh kau ni Ri! Dengan
kita orang kau minta burger, dengan cikgu kau minta burger! Berapa biji kau nak
makan ni?” Pantas pula Sis Julie menjawab bagi pihak Cikgu Amil dan Cikgu Fizah
yang tersenyum-senyum memandang gelagat pelajar-pelajar mereka yang telah mengharumkan
nama sekolah sebentar tadi.
“Alaaa sis Julie
ni...Sis kata, tadi...saya dapat benjo aje...hendak juga merasa burger daging!”
Johari mencebik dan buat muka kasihan di hadapan kedua-dua orang gurunya.
“Iyalah, iyalah...cikgu
belanja awak semua makan burger dan minum air tebu,” Cikgu Amil akhirnya
bersuara dan kesemua pelajarnya bertepuk tangan sambil mengucapkan terima
kasih.
Faezah Hanim hanya
berdiri berdekatan dengan pintu bilik persalinan ketika dia mendengar keriuhan
suara Johari dan rakan-rakan penari yang lain. Cikgu Fizah yang terperasankan
kedatangan Faezah Hanim menegur pelajar perempuan yang bertubuh kurus tinggi
itu.
“ Awak hendak cari siapa?” tanya Cikgu Fizah.
“ Maaf cikgu...boleh
saya hendak jumpa dengan Arif dan Johari?”
“Oh...boleh,” terus
sahaja Cikgu Fizah memanggil kedua orang pelajar yang sedang membuka songkok
dan samping yang dipakai. Johari dan Adik menoleh ke arah Cikgu Fizah yang
berdiri di muka pintu. Kedua-duanya tersenyum lebar memandang Faezah yang
lengkap dengan pakaian sukannya. Kedua-dua rakan itu segera mendapatkannya.
Sejujurnya, memang sudah agak lama mereka tidak bertemu walau rumah mereka
berdekatan. Masing-masing sibuk dengan hal-hal sekolah.
“Eh eh Faez! Lamanya kita tak jumpa
awak! Awak dah sombong tau!” ujar Johari sambil menolak lembut bahu Faezah.
“Ha-ah kan...dah lama
kita tak jumpa awak. Kenapa awak ada kat stadium ni? Awak ada masuk apa-apa
acara ke?” Adik pula bertanya.
“Engkau oranglah yang
tidak datang rumah kita. Bukan kita yang sombong tau. Ayah kita kata, tak
manislah datang rumah kawan lelaki. Kalau awak dua orang yang datang rumah
kita, ayah kita tak kisah,” Faezah Hanim menerangkan sambil tersenyum
menampakkan giginya yang putih bersusun.
Mereka bertiga perlu
akur bahawa mereka sudah meningkat remaja. Jika zaman kanak-kanak dahulu,
mereka sering bermain bersama. Boleh dikatakan, setiap petang mereka akan
keluar bermain bersama. Ada-ada sahaja permainan yang mereka mainkan. Main
pondok-pondok, main kahwin-kahwin, main acah galah, main masak-masak, main batu
seremban...namun itu zaman kanak-kanak. Tidak ada apa yang hendak dipandang
serong. Sekarang ini, Faezah Hanim sudah bergelar anak gadis manakala Johari
dan Kamal Arif pula digelar orang bujang. Memang tidak manis jika Faezah sering
datang ke rumah rakan lelakinya itu. Lebih-lebih lagi rumah Kamal Arif yang
punya dua orang lagi abangnya yang besar panjang. Masa dan keadaan
merenggangkan hubungan persahabatan mereka. Namun, di hari raya Aidilfitri, ketiga-tiga
sahabat itu tidak lupa ziarah-menziarahi.
“ Eh...awak masuk acara
apa ni, Faez?” tanya Adik.
“Kita masuk bola
jaring. Tapi hari ini, tak ada apa-apa perlawanan. Esok dan Ahad baru ada,
kalau sekolah kita menang, sampai petang Ahadlah kita di stadium,” jelas Faezah.
“Eh...awak main
betul-betul eh...,” Johari memberi semangat kepada rakan gadisnya yang sedari
kecil mempunyai perwatakan seperti seorang tomboy.
Seingatnya, rakannya ini tidak pernah memakai baju gaun seperti rakan-rakan
sepermainan mereka. Dia lebih gemar memakai t-shirt dan seluar trek.
“Awak dua orang
datanglah tengok kita esok. Esok, semi-final,
kalau kita menang, baru kita masuk final.”
“Alahai...Faez...minta
maaflah, esok, kita dengan Ri akan ikut Kak Nora pergi mekap di Simpang Lima,”
Adik menerangkan. Wajahnya kesal.
“Laaa, ye ke? Kalau
awak ada, semangat sikit kita nak main sampai menang,” jelas Faezah. Senyum di
wajahnya terukir memandang Adik yang lebih tinggi darinya.
“Janganlah cakap macam
tu, wak. Nanti kita jadi serba-salah. Kita dah janji dengan Kak Nora dari
minggu lepas lagi,” Adik juga merasa serba-salah. Namun, dia perlu mendahulukan
janjinya dengan Kak Nora, kakak angkat yang dikasihi.
“Ohh,mmm...takpelah...kita
faham. Awak doakan kita eh?” Faezah Hanim memegang bahu Adik – mesra.
“Mesti wak, kita mesti
doakan awak menang!” Adik menyakinkan Faezah Hanim. Anak matanya tepat
memandang wajah sahabatnya itu.
“Eh, kau ni,
kan...kalau kau doakan Faez menang, sekolah kita nanti kalahlah samdol!” Johari
mencubit bahu Adik.
Faezah Hanim dan Adik
tergelak besar dengan kenyataan Johari.
“Ha-ah ek...errrr, tapi
takpelah, kita tetap doakan Faez! Sebab budak netball sekolah kita pun eksyen-eksyen! Huh...menyampah!” Mereka
bertiga ketawa lagi.
Setelah Adik dan Johari
menyalin pakaian baju melayu kepada pakaian kemeja T dan seluar trek,
kelapan-lapan penari termasuk Faezah Hanim duduk-duduk bersantai di bawah
sepohon pohon ru yang besar di tepi stadium. Acara yang berlangsung usai majlis
pembukaan rasmi adalah acara larian 100 meter lelaki bawah 18 tahun dan bawah
16 tahun. Acara balapan ini adalah acara yang paling digemari.
Oleh kerana Cikgu Amil dan Cikgu
Fizah sudah membelanja penari-penari zapin sebiji burger seorang, Adik membeli
sebiji lagi untuk diberikan kepada Faezah Hanim. Dia tidak sampai hati hendak
makan sementara rakannya itu hanya memerhati. Adik memang seorang yang pemurah.
Dengan kawan, dia tidak pernah berkira. Lebih-lebih lagi dengan Johari dan
Faezah Hanim yang sememangnya sahabat karibnya sejak kecil. Kesembilan-sembilan
pelajar itu bergelak ketawa dengan senda gurau Johari dan Adik. Kebingitan
suara penonton di stadium yang bersorak memberi semangat kepada pelari-pelari
yang berlumba tidak diendahkan oleh mereka. Faezah Hanim pula tidak kekok untuk
bersama-sama dengan kumpulan mereka kerana Joyah dan Bedah juga berasal dari
Kampung Peserai. Rumah mereka berdekatan antara satu sama lain. Berjamulah
mereka di bawah pohon ru sambil menikmati angin petang yang berhembus.
“Arif dengan Ri balik dengan kita
sajalah eh...ayah kita ambil kita petang nanti,” Faezah Hanim memberi cadangan.
Serasa tidak puas bersama dengan kedua-dua rakannya itu.
Johari dan Adik berpandangan antara
satu sama lain.
“Eh takpelah Faez...kita kena balik
sekolah dengan cikgu kita,” ujar Johari.
“Alah jomlah, kita minta ayah kita
hantarkan awak dua orang sampai depan rumah,” Faezah Hanim memang beria-ria
memberi pertolongan.
“ Bukan kita orang tak sudi Faez.
Tapi, basikal kita orang pun di sekolah. Sebab itu kena balik ke sekolah juga.
Lagipun, mesti cikgu kita tidak benarkan sebab, kita datang sini dengan cikgu,
mesti kena balik dengan cikgu juga,” Adik memberi penerangan panjang lebar
kepada Faezah Hanim yang sudah menarik wajah masamnya.
“Ha-ah Faez, bukan kita orang tak
mahu...janganlah kecil hati eh...,” pujuk Johari pula.
“ Janganlah masam muka...nanti,
lepas-lepas ni, kalau kita orang free,
kita datang rumah awak...atau, kita keluar pergi bandar sama-sama eh,” Adik
pula cuba memujuk kerana wajah Faezah Hanim masih masam mencuka. Sahabatnya
itu, konon saja tomboy, tapi kuat
merajuk. Sedari kecil, memang kuat merajuk.
“Betul eh? Nanti awak datang rumah
kita?”
Johari dan Adik tersenyum.
“Iya, iya...kita orang akan datang
rumah awak. Awak mesti sediakan jemput-jemput bilis tau!” Adik berjanji sambil mengangkat
tangan seperti orang yang berikrar.
Faezah Hanim mula mengukir senyuman.
“Haaa...macam itulah comel...kalau
awak masam muka...tak comel langsung tau!” Dengan segera Johari memuji.
“Oklah...awak baliklah dulu. Jangan
lupa doakan kita eh...esok, kirim salam dengan Kak Nora tau,” sempat Faezah
Hanim berpesan sebelum mereka berpisah petang itu.
“Ok...nanti esok, awak main
betul-betul. Malam ni, kita doakan awak masa kita jemaah kat surau...kita suruh
Pak Hassan doakan awak sekali!” ujar Adik hingga Faezah Hanim ketawa terbahak-bahak.
Amat lucu bila Adik berkata yang dia akan meminta Pak Hassan, bekas guru
mengajinya turut sama mendoakan kejayaannya dalam perlawanan bola jaring esok
pagi.
Ketiga-tiga sahabat itu akhirnya
berpisah di pintu masuk stadium. Faezah Hanim akan menanti kehadiran ayahnya.
Adik dan Johari pula berlari-lari menuju ke kereta Cikgu Amil. Waktu sudah pun
menunjukkan ke pukul 5.00 petang. Mereka perlu segera pulang kerana mereka
perlu mengambil basikal dan berkayuh pula untuk pulang ke rumah. Esok pagi,
mereka akan menemani Kak Nora untuk mengandam.
“Dik...kau tak rasa ke apa yang aku
rasa?” tanya Johari ketika berdua mengayuh basikal melalui jalan kampung untuk
pulang ke rumah.
“Rasa apa pulak?”Adik mengangkat kening sambil menoleh ke arah
Johari yang sedang tersengih-sengih macam kerang.
“Alaaa, yang tadi tu.”
“Yang mana? Rasa burger?Adik menjeling Johari sambil mengangkat keningnya.
“ Heh kau ni! Rasa burger buat
hapa!”
“Habis? Rasa apanya? Rasa penat?”
Adik menjeling Johari yang masih tersengih-sengih macam orang yang angau
bercinta.
“Si Faez,” Johari mencuri pandang
wajah Adik yang menumpukan perhatian kepada kayuhannya. Mereka mengayuh
perlahan. Keduanya masih lagi kepenatan dengan aktiviti mereka sepanjang hari
itu.
“Ha...kenapa
dengan Faez?”
“Kau tak rasa apa-apa ke?” Johari
menggiat.
“Rasa apa, Ri? Kau ni, buat aku
pening laaa.”
“Hish kau ni...susahlah. Kata saja orang
seni...tapi, tak romantik langsung!” Johari memuncungkan bibirnya.
“Iyalah...sekejap kau tanya pasal rasa,
lepas tu, kau cakap nama Faez...pening kepala aku.”
“Itulah maksud aku. Kau tak rasa
apa-apa ke dengan Faez?” Johari tersengih semula.
Adik mengangkat bahu. Dia memang
tidak faham apa yang Johari ingin cuba katakan.
“Ya ALLAH...kau ni memang lembab laaa,
Dik!”
“Apa pulak? Memang aku tak faham
laaa...hish kau ni.”
“Dik...kau tak rasa ke Faez tu syok
dengan kau?” Johari kembali tersengih seakan dia yang dilamun cinta.
Adik mengerutkan keningnya sambil menoleh memandang
Johari.
“Apa pasal pulak kau cakap macam
itu?”
“Itulah kau. Tak sensitif langsung
laa. Kau tak perasakan ke cara dia tengok kau, cara dia jeling kat kau...aku
perhatikan aje.”
“Dia pun buat macam itu juga dengan
kau, Ri,” Adik cuba mengingatkan semula cara dan gaya Faezah Hanim.
“Hish...dengan aku biasa-biasa aje.
Dengan kau...lain...lain sangatttt,” ujar Johari bersungguh-sungguh sambil
tersengih-sengih.
“Faez kan memang macam tu. Dia
memang anak manja. Dari kecik dia memang macam itulah,” Adik cuba menafikan.
“Eh...kau ni...masa kecik dulu lain,
sekarang ni, lain, Dik. Lain sangat!”
“Takdelah, Ri. Faez memang macam
itu, Adik cuba menekankan.
“Alah, susah laaa cakap dengan kau
ni. Tak romantik langsung!” Johari menjeling dan memuncungkan bibirnya. Adik juga menjeling Johari.
“Eleh...kau nak merajuk dengan aku,
Ri? Sudahlah...kalau kau merajuk, tak comel tau tak! Kalau Faez tu, lainlah...,”
Adik menyakat setelah Johari mendiamkan diri.
“Ohhh...aku tak comel! Faez tu
comel? Iyalah kau ni...aku tahulah siapa aku,” cebik Johari.
“Hahaha...apalah kau ni, Ri?” Adik hanya menggeleng-gelengkan kepala dengan
gelagat Johari sambil tergelak kecil.
Kedua sahabat itu berpisah di
hadapan rumah Adik. Johari meneruskan kayuhannya pulang ke rumah. Janji
dimetrai yang mereka akan bertemu di rumah Kak Nora esok pagi kerana menurut
Johari dia tidak akan ke surau untuk berjemaah malam nanti. Tidak larat kerana
terlalu letih katanya.
Setiap hari Jumaat, malam Sabtu, Pak
Imam surau Kampung Peserai biasanya menjemput ustaz dari luar untuk memberi
tazkirah kepada para jemaah selepas solat isya`. Selalunya, Ustaz jemputan akan
berjemaah bersama penduduk kampung sedari solat maghrib, mengetuai bacaan surah
Yasin, solat isya` berjemaah dan kemudian memberi tazkirah selesai membaca doa
selepas solat. Adik dan Kamaruddin masing-masing duduk di saf kedua. Ayah
mereka, Abdul Ghani duduk di saf hadapan bersama-sama dengan Pak Bilal, Pak
Noja Hassan dan beberapa lagi ahli jawatankuasa surau.
“Saya amat gembira melihat surau ini
penuh dengan anak-anak muda. Umat Islam memang memerlukan generasi muda yang
beriman, bertaqwa dan berani menegakkan kebenaran. Janganlah yang tua-tua
sahaja yang berjemaah. Yang muda semuanya melepak di warong, di pasaraya, di
kedai-kedai mamak. Kita perlu ingat, ajal dan maut, tidak kira tua atau muda.
Ada yang tua, sakit-sakit, terlantar namun umur mereka masih panjang. Ada yang
muda, masih tegap, masih kuat, sakit apa pun tidak ada, tup-tup kita
dengar...sudah jadi arwah.”
`Entah manalah Abang Khalid...memang
sudah lama tidak ke surau dan dengar tazkirah.`
Tiba-tiba Adik teringatkan abang sulungnya.
Memang sudah agak lama Khalid tidak bersama-sama mereka ke surau. Solat
berjemaah bersama-sama ayah, Pak Imam dan jiran tetangga. Ayah selalu pesan,
kita perlu berjemaah supaya hubungan kita sesama muslim itu menjadi erat. Jika
kita perlukan apa-apa pertolongan, jika kita menghadapi berita-berita kematian,
jika kita mengadakan majlis walimatul-urus, jemaah suraulah antara orang-orang
pertama yang akan membantu kita.
Selesai tazkirah dalam pukul 9.30 malam,
Adik, abangnya Kamaruddin dan beberapa anak muda sebaya dengannya membantu ayah
menghidangkan air milo panas, mee hoon goreng, karipap sardin, kuih kosui dan
lepat pisang kepada para jemaah dan Ustaz jemputan mereka malam itu. Ayah, Pak
Noja Hassan, Pak Iman dan beberapa orang kuat surau beramah mesra dengan Ustaz
jemputan yang rupanya-rupanya seorang Guru Besar Sekolah Agama di sebuah
sekolah agama di Kampung Bukit Pasir, Batu Pahat.
Hampir ke pukul 10.30 malam, barulah
jamuan mereka selesai dan Adik antara orang terakhir yang keluar meninggalkan
surau. Memang sudah menjadi rutinnya, hampir setiap malam Sabtu, dia menjadi
orang yang akan membantu Pak Bilal mengemas pinggan, gelas plastik dan melipat
kembali sejadah-sejadah yang ditinggalkan. Abang Din, setelah perutnya penuh,
dia segera meminta diri untuk pulang bagi menelaah pelajaran. Bulan Oktober
nanti, Abang Din akan menduduki peperiksaan SPM.
Setelah Pak Bilal menutup suis lampu
dan kipas surau, Adik sudah pun menyarung seliparnya. Pak Imam, ayah dan Pak
Noja Hassan masih duduk berbual di tangga surau, menikmati hembusan angin malam
dan bertiup.
“ Ayah, kita balik dulu eh,” Adik memberitahu ayahnya dan menghulurkan tangan
bersalaman dengan Pak Imam dan Pak Hassan. Ayah hanya mengangguk.
“ Saya pun, minta diri dululah Pak
Iman...Ghani...” ujar Pak Hassan sambil perlahan-lahan bangun. Dia
memegang-megang lututnya.
“ Masih sakit lagi, Bang Hassan?”
tegur Abdul Ghani yang melihat Pak Hassan bersusah payah untuk bangun dan
berdiri tegak.
“ Sudah tua-tua beginilah Ghani.
Doktor kata, sudah kurang kalsium,” terang Pak Noja Hassan kepada Abdul Ghani
dan Pak Imam yang mengangguk-angguk mengiakan.
“ Dik...kau temankan Pak Hassan
sampai rumah dulu, lepas tu, baru kamu balik,” perintah ayah kepada Adik yang
memang sudah memegang lengan Pak Hassan ketika orang tua itu cuba untuk bangun.
“ Iyalah, yah.”
Setelah Pak Hassan bersalaman dengan
Pak Imam dan Abdul Ghani, berjalanlahA Adik dengan bekas guru mengajinya perlahan-lahan
menuju ke rumah yang tidak sampai 200
meter dengan surau.
“ Pak Hassan... .”
“ Hmm...”
“ Malam ini, kalau Pak Hassan bangun
sembahyang tahajjud doakan Faezah Hanim menang main bola jaring, ya...” ujar
Adik sambil berjalan lambat-lambat mengiringi Pak Hassan.
Guru mengajinya itu tersenyum
memandang Kamal Arif yang sudah lebih tinggi darinya. Dia masih teringatkan
tubuh kecil anak ini yang kurus melidi ketika mula-mula belajar mengaji
muqaddam dengannya hampir 10 tahun dahulu. Kulup saja wajahnya kerana memakai
songkok yang agak besar. Sedari kecil hinggalah sudah jadi orang bujang, anak
ini sangat taat padanya. Pak Hassan bersyukur kerana Abdul Ghani dan Salimah
kiranya sudah berjaya mendidik anak ini menjadi lelaki yang beriman.
Orang tua yang bertubuh gempal itu,
tergelak kecil, “ Kenapa kamu saja tidak doakan Faezah Hanim, Arif ?” tanya Pak
Hassan.
“ Hmm...iyalah, saya akan doakan dia
juga. Tapi, saya rasa, doa Pak Hassan lagi makbul dan diterima ALLAH,” jawab
Adik jujur.
“ Arif...doa dari orang muda yang
masih belum banyak dosa macam kamu ini, lagilah ALLAH terima. Kalau Pak Hassan
ini, sudah tua, sudah lama hidup, sudah bermacam-macam dosa...mungkin ALLAH
lambat hendak terima, nak.”
Adik mengangguk. Insaf dengan keterangan Pak
Hassan. Seingatnya, Pak Hassan ini adalah antara insan yang paling baik dan
murni hatinya. Namun begitu, Pak Hassan tetap mengatakan dia banyak melakukan
dosa. Pak Hassan ini rasanya, bunuh seekor semut pun tidak pernah. Dahulu,
semasa kecilnya, pernah dia dan Johari memijak-mijak semut yang berderet di
tangga surau. Pantas Pak Hassan melarang, kata Pak Hassan “ jangan dibunuh tentera Nabi ALLAH Sulaiman
tu.” Adik ingat sampai kini.
“ Lagi satu, sabda Rasululullah
sallallah hualaili wassalam, antara doa-doa yang tidak ditolak, selain doa
orang yang teraniaya, doa seorang ibu, doa seorang bapa kepada anaknya, doa
seorang yang bermusafir, doa di malam lailatul qadar adalah...doa seorang
sahabat, kepada sahabatnya,” sempat lagi Pak Hassan berusrah dengan Adik di
dalam perjalanan singkat mereka.
Adik mengangguk. Bekas guru
mengajinya tidak pernah jemu memberikan dia ilmu agama. Kasihnya kepada Pak
Hassan sama seperti dia mengasihi ayah dan Tok Bidin. Semoga ALLAH menjanjikan
syurga untuk Pak Hassan, bisik Adik di dalam hati.
Setelah menghantar Pak Hassan pulang
ke rumah, Adik menyegerakan langkahnya untuk pulang. Baju yang hendak dipakai
esok, masih belum bergosok. Kasut sekolah juga perlu direndam dengan clorox
biar putih melepak di pagi Isnin nanti. Esok pagi, kasut perlu dijemur. Buatnya
esok dan hari Ahad, hujan lebat, buat naya saja. Dia tidak mahu memakai kasut
kotor untuk ke sekolah. Dia bukan macam Abang Khalid yang kasut kerja bau macam
parit tengah bandar. Agaknya, kalau direndam kasut Abang Khalid dalam sungai,
mati semua ikan di dalamnya!
Sampai di rumah, ayah sudah
tersandar di hadapan televisyen menonton filem inggeris bersama emak yang
sedang melipat baju. Kasih Alia pula sudah tertidur di hadapan televisyen
sambil memeluk bantal. Abang Din sedang belajar di ruang tamu dengan segelas
air kopi disisinya. Adik menutup pintu rumahnya sambil menyelak kunci di
bahagian atas dan bawah. Dia menjengah ayah dan emak di ruang tengah lalu
segera membuka suis lampu biliknya.
“ Dik... tak mahu makan malam?”
Tegur emak. Memang dia belum makan nasi malam itu. Namun, perutnya kenyang dengan
hidangan ringan di surau selepas tazkirah tadi.
“ Takpelah mak. Kita kenyanglah,
makan mee hoon tadi,” jawabnya.
“ Huh...kalau aku tahu kau tak mahu
makan, aku habiskan lauk ayam tadi,” ujar Abang Din bersahaja. Adik tersengih
memandang abangnya yang hanya memakai baju singlet Pagoda dan berseluar track-suit.
“Sorry
lah, bang. Kita kenyang sebab petang tadi makan burger, cikgu belanja. Dah tu,
malam tadi...makan mee hoon, karipap, lepat, minum milo...kenyang rasanya.”
“Apa kau tak makan ke di surau tadi,
Din?” tanya emak kerana dia melihatkan Kamaruddin makan nasi lauk ayam masak
merah hingga dua pinggan.
“Makan juga, mak...tapi mana cukup
makan mee hoon aje,” Kamaruddin tersengih-sengih. Adik pula tersenyum.
Seingatnya tadi, semasa di surau, Abang Din mengambil mee hoon goreng sampai dua
mangkuk! Mentang-mentanglah ayah mereka AJK surau bahagian jamuan, selain
membantu ayah menyiapkan air dan makanan, kelebihan dia dan Abang Din adalah
menjamah dahulu makanan yang akan dihidangkan.
“Dik, pukul berapa kau nak ikut Kak
Nora esok?” Emak bertanya lagi.
“ Kak Nora kata, kami bertolak
pagi-pagi. Mungkin balik lepas asar, mak.”
“ Johari ikut juga, ke? ”
“ Mestilah mak. Dua orang inikan
macam belangkas!” Belum sempat Adik menjawab pertanyaan emak, Abang Din sudah
menjawab bagi pihaknya. Adik hanya tersengih. Dia segera menyelongkar baju
melayunya yang berwarna kuning cair. Dia pasti di majlis pertunangan, akan ada
kenduri doa selamat. Tidak manis pula jika dia hanya memakai kemeja T dan seluar
jeans.
Ketika Adik sedang menggosok baju,
ayah dan emak menonton televisyen, Kamaruddin menelaah pelajarannya, di Jalan
Kluang, Khalid dan geng-geng motornya pula sedang berurusniaga.
“ Dari asrama anak yatim sampai
sekolah vokasional, amacam? ”
“ Berapa orang?”
“ Satu team, 3 orang!”
“ Ok...seorang berapa?”
“ Satu team, dua ketul. Siapa menang, ambil semua. Nombor dua ke, tiga ke,
tak kira.”
“ Ok...aku ON!”
Janji dimetrai di antara kelima-lima ketua
kumpulan geng-geng motor yang akan merempit dari Asrama Anak Yatim Batu Pahat
sehingga Sekolah Menengah Vokasional di Jalan Kluang.
Khalid yakin dia akan menang malam
ini. Minggu lepas dia baru sahaja menggantikan enjin motornya supaya boleh
dipecut laju. Jika dia menang, dapatlah dia habuan seribu ringgit malam itu. Hasratnya
untuk membeli topi keledar baharu, menukar rim motor yang baharu, membeli kasut
dan membeli jaket kulit hitam di Johor Bahru. Beberapa ratus lagi mungkin
digunakan untuk membelanja ahli-ahli kumpulannya yang lain.
Ngauman enjin motor kapcai bergema
bila perlumbaan bermula. Khalid memecut di hadapan. Ada dua orang pelumba dari
kumpulan lain yang mengekori rapat dari belakang. Khalid sempat menoleh. Dia
tidak boleh memberi peluang kepada mereka. Dia perlu menjadi juara kerana tidak
akan ada habuan untuk pelumba di tempat kedua atau ketiga.
Lampu merah yang menyala di lampu isyarat
Kampung Istana, tidak mereka pedulikan. Masing-masing memecut laju. Beberapa
kereta membunyikan hon tanda tidak puas hati. Khalid tersenyum. Selepas Kampung
Istana, dia akan melepasi dua buah sekolah lagi. Ketika dia melepasi Sekolah
Menengah Tun Aminah, senyuman Khalid semakin lebar. Hanya beberapa meter lagi,
dia akan sampai di garisan penamat. Dari jauh, sudah kelihatan beberapa motor
yang menunggu untuk memastikan keputusan perlumbaan malam itu.
Khalid akhirnya berjaya menjadi
juara malam itu. Dia adalah pelumba pertama yang tiba di Sekolah Menengah
Vokasional, Batu Pahat. Ahli-ahli kumpulan BP ROCK bersorak ketika melihat
Khalid membuat aksi `superman` di
atas motornya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan