Ketika kebanyakan penduduk kampung mengambil kesempatan untuk tidur di
waktu tengahari, Nora menggunakan waktunya untuk menyiapkan dulang-dulang
hantaran yang ditempah. Dia perlu menyiapkan lima dulang hantaran untuk majlis
pertunangan hujung minggu ini. Oleh kerana Nora diminta membuatkan dulang
hantaran bagi pihak perempuan, tuan rumah meminta Nora memilih bunga warna
kuning. Segala barang hadiah untuk majlis seperti sejadah, Al-Quran, tuala,
sepasang baju melayu dan kain songket semuanya diserahkan kepada Nora untuk
dibagaikan. Tangkas sahaja tangan Kak Nora menggubah hiasan pada dulang
hantaran ketika Adik dan Johari melalui hadapan rumahnya. Dua orang sahabat
yang mengayuh basikal itu juga terperasankan Kak Nora yang sedang duduk bersila
di ambin rumahnya sambil di kelilingnya terdapat bunga-bunga plastik,
daun-daun, gam, gunting dan dulang-dulang hantaran.
“ Oiiii Kak Nora, buat
apa tu?” tegur Johari sambil memperlahankan kayuhan basikalnya.
“ Eh Adik...Ri, baru
balik sekolah ke? Dah pukul berapa dah ni?” tanya Kak Nora sambil menjeling jam
dinding di dalam rumahnya.
“ Kita orang ada
latihan zapin tiap-tiap hari, kak. Itu yang balik lambat ni,” jawab Adik seraya
memberhentikan basikalnya di bawah pohon mempelam hadapan rumah Kak Nora.
Johari juga berbuat demikian.
“ Meh la singgap
sekejap. Kak Nora tengah siapkan dulang hantaran untuk majlis tunang orang
kampung Simpang Lima sana,” pelawa Nora kepada kedua-dua orang sahabat itu.
Johari dan Adik
sama-sama bersetuju untuk singgah sebentar di rumah Kak Nora. Setelah
meletakkan kedua-dua basikal, kedua-dua sahabat itu menaiki tangga rumah mak
andam muda itu. Angin panas yang berhembus membuatkan kedua-dua sahabat itu
mengelap keringat yang mengalir di dahi. Matahari terik memancar air sungai
yang tenang mengalir.
“ Dik, kalau haus,
pergi buat air di dapur. Kau macam tidak biasa kat rumah akak. Kasihan Ri,
kepanasan tu,” ujar Kak Nora. Adik dan Johari tersengih. Adik segera menuju ke
dapur rumah Kak Nora. Dibukanya pintu peti ais. Kelihatan air jus oren di dalam
sebuah kotak. Peti ais Kak Nora boleh
dikatakan penuh dengan buah epal, oren, air jus oren atau anggur dan susu
segar. Kak Nora adalah seorang yang amat menjaga kecantikan dan pemakanan.
Kalau tidak, manakan mungkin orang kampung menggelar Kak Nora dengan gelaran
Nora Si Janda Cantik!
“ Kak Nora! kita ambil
air jus oren ni, boleh?” laung Adik dari dapur.
“ Haah, ambillah, Dik,”
sahut Kak Nora dari depan.“Kalau Kak Nora seorang, seminggu pun belum boleh
tentu habis. Tahu-tahu sudah expired,”
Adik mengambil dua biji
gelas dan menuang jus oren di dalam gelas tersebut. Dia segera bergerak ke
depan.
“ Banyakkah dulang yang kena buat,
kak?” tanya Johari.
“ Ada lima. Mak pengantin
minta Kak Nora gubah sejadah, tuala dan kain songket. Barang-barang lain yang
mahal macam jam, minyak wangi semuanya Kak Nora bubuh di rumah mereka. Kak Nora
siapkan hiasan dulangnya aje,” jelas Kak Nora panjang lebar sambil Johari dan
Adik menikmati kesejukan air jus oren segar.
“ Berapa Kak Nora ambil
upah untuk satu dulang ni, kak?” tanya Johari berminat.
“ Kalau pengantin sediakan semua
bahan, Kak Nora ambil upah sepuluh ringgit atau lima belas ringgit saja satu
dulang, Ri. Haa, tapi kalau macam ini, semua Kak Nora yang belikan...bunganya,
daun-daunnya, manik-manik semua barang Kak Nora, mahal sikitlah harganya. Dalam
30 ke 40 ringgit. Sebab, dulang ni bukan boleh guna lagi. Orang lain nanti, nak
gubahan yang lain pulak. ”
“ Ohhh...untung juga eh
Kak Nora,” Johari mengangguk-anggukkan kepalanya. Di dalam kepalanya terbayang
keuntungan yang Kak Nora perolehi.
“ Tapi ini semua kena
ada minat, Ri. Kalau tidak minat, mana jadi. Kerja ini cerewet juga. Kita kena
buat betul-betul, baru cantik, menarik untuk orang tengok. Kalau buat
cincai-bocai aje, mana boleh.”
Adik yang memerhati Kak
Nora, tiba-tiba menjadi sayu.
“ Kalau Kak Nora tidak
ada lagi, nanti, siapa agaknya yang akan jadik mak andam kampung kita eh?” sayu
suaranya sambil memerhati wajah Kak Nora.
“ Eh , kau ni, Dik.
Cakap yang bukan-bukan pulak!” Marah Johari sambil menjeling kepada Adik.
“ Alah, ramai aje mak
andam lain, dik. Kalau Kak Nora dah tak ada lagi, nanti, Kak Nora bagi semua ni
pada Adik! Adik sambung kerja-kerja Kak Nora eh?”
“ Ehhh, Kak Nora, kita
tak sukalah cakap-cakap macam ni! Nanti kita nangis tau,” ujar Johari sambil
mencebik.
“Kita kena fikir
benda-benda tu semua, Ri. Lagilah Kak Nora ni...tak ada anak. Adik-beradik yang
lain, sudah berkahwin, semuanya buat hal masing-masing. Kak Nora ni sebenarnya
sebatang kara tau. Yang paling rapat dengan Kak Nora di kampung ni... kau, Adik
dengan Kak Uda. Kak Nora fikir, kalau Kak Nora tak ada, siapa nak duduk di
rumah ni? Barang-barang pengantin dalam rumah ni pun banyak, Kak Nora hendak
bagi pada siapa? Anak-anak tiri Kak Nora semua dah besar, dah kahwin, dah ada
kerja sendiri. Dia orang pun tak minat kerja-kerja macam ini. Kak Nora selalu
fikir, siapa yang hendak sambung kerja Kak Nora,” Kak Nora akhirnya melepaskan
apa yang terbuku dalam hatinya. Panjang lebar keluhan Kak Nora petang itu.
“Kak Nora, janganlah cakap macam itu,” Adik
merasa sayu dengan kenyataan kakak angkatnya itu. Kak Nora tidak pernah
cakap-cakap begini. Macam buang tabiat pula Kak Nora di waktu-waktu tengahari panas
terik ini.
Bagi Nora pula, sememangnya
saban malam, sewaktu bersendirian di kamarnya, dia akan mengelamun memikirkan
nasibnya. Adik memerhati wajah Kak Nora dalam-dalam. Dia sememangnya amat kasih
dengan Kak Nora. Walau Kak Nora ini cuma jirannya, sejak Adik lahir ke dunia,
Kak Nora adalah antara insan yang penting dalam hidupnya selain dari ayah,
emak, Abang Din, Kasih Alia, Tok Bidin dan nenek. Ketika ayah dan emak ke rumah
Atok, Adik akan tinggal dengan Kak Nora. Masa emak sakit-sakit masuk hospital
ketika mengandungkan adiknya si Kasih Alia, ayah akan minta Adik tinggal di
rumah Kak Nora kerana tidak mahu Adik dibuli dengan Khalid.
Ketika emak di dalam pantang
bersalin selepas melahirkan Kasih Alia, Kak Noralah yang tolong emak masakkan
ikan singgang, ikan bakar dan daging masak lada hitam. Masa zaman Adik dan
abang-abangnya lahir, arwah nenek dan Tok Temah masih kuat lagi untuk jaga emak
yang berpantang bersalin. Apabila Kasih Alia lahir, neneknya Tok Temah sudah
tidak kuat lagi. Jadi, Kak Noralah yang tolong emak memasakkan dia dan adik
beradiknya ketika emak di dalam pantang bersalin. Jasa dan budi Kak Nora tidak
boleh dibalas dengan wang ringgit, hanya ALLAH sahaja yang boleh balas budi
baik Kak Nora pada Adik sekeluarga. Sebab itu bila Kak Nora mengajak Adik
meneman dia untuk pergi mengandam, Adik akan temankan. Itulah yang Adik mampu
lakukan untuk balas budi baik Kak Nora yang tidak terhingga.
“Adik doakan Kak Nora
sihat dan panjang umur,” akhirnya Adik bersuara sambil tersenyum memandang
wajah manis Kak Nora.
“Macam itulah adik Kak Nora,” Kak
Nora membalas senyuman Adik.
“Eh Ri...yang kau mencebik-cebik ni
kenapa? ” tanya Kak Nora yang melihat kolam mata Johari bergenang dengan air mata.
“Kak Nora buat Ri sedih tau...Kak
Nora macam kakak Ri juga...kalau Kak Nora takde...,” Johari sebak,
kerongkongnya tersekat untuk berkata-kata
“Laa hau laa wala , kau ni macam
Neng Yatimah laa, Ri!” Adik segera mencubit peha Johari yang sedang bersimpuh
mengadap Kak Nora. Mereka bertiga akhirnya ketawa dengan jelingan Johari
terhadap Adik.
* * *
Lagu zapin Johor berkumandang dari sistem pembesar suara, dewan sekolah
SMDO. Johari, Adik dan enam pelajar lain bersungguh-sungguh membuat latihan
mereka pagi Jumaat itu. Tengahari nanti, kesemua penari-penari zapin akan
dibawa ke stadium Batu Pahat. Usai solat Jumaat, berlangsunglah majlis
pembukaan rasmi Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Batu Pahat (MSSD BP).
“Cek Bedah, cek Bedah mesti senyum
manis masa menari nanti tau! Jangan muka garang macam mak dara,” pesan Adik
kepada salah seorang rakan penari. Nama pelajar itu bukan Bedah sebenarnya. Namun
Adik dan Johari memang gemar menggelar nama-nama rakan-rakan perempuan mereka
dengan nama Bedah, Joyah, Timah atau Tipah.
“Haah, awak pun Joyah. Jangan masam
muka aje...senyum lebar sikit. Kalau boleh senyum sampai telinga biar VIP-VIP
dan atlet-atlet sukan semua terbeliak tengok muka awak, Joyah! Awak penari di
depan, orang semua tengok muka awak tau, ” Johari pula menokok tambah.
Kesemua penari kelab zapin duduk
berehat seketika. Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi. Sedari hari Isnin mereka
berlatih setiap petang. Bermula pada pukul 2.00 petang hingga ke pukul 4.00
petang. Oleh kerana hari ini hari terakhir sebelum persembahan, mereka semua
diberi pelepasan dari guru-guru kelas. Bukan sahaja penari kelab zapin yang
membuat persembahan, malah ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah juga membuat raptai
kawad lintas hormat.
“Eh...kita hendak mekap dimana eh?
Di sekolah atau di stadium?” tanya pelajar perempuan yang berpasangan dengan
Johari.
“Mekap di stadiumlah. Kalau mekap
dari sini, cair mekap kau nanti Joyahhh! Dahlah muka kau jenis berminyak macam
boleh goreng ikan!” Johari segera menjawab pertanyaan pasangannya. Kata-kata
Johari disambut dengan hilai ketawa penari-penari lain. Joyah mencebik dengan
kata-kata Johari namun tergelak juga dengan gaya pasangan tarinya itu.
“Haah, mekap di stadium aje. Kata Cikgu
Fizah, kita bertolak dari sini pukul 12.00 tengahari. Sampai di sana, kita
makan dulu, yang lelaki pergi sembahyang Jumaat. Majlis mula pukul 3.00
petang,” seorang pelajar perempuan yang berumur 15 tahun memberi kenyataan. Dia
pula dikenali sebagai Sis Julie...kerana kononnya wajahnya seperti pengarah
filem Julie Dahlan.
“Dik...awak mekapkan kita orang ke?”
tanya Sis Julie.
Adik mengangguk, senyum.
“Hamboi hamboi hamboi...senang aje
kau nak suruh Adik mekap, belanja la dia...makan ke, minum ke...takkan main free aje,” pantas sahaja Johari menjawab
bagi pihak Adik.
“Alah...nanti kita orang belanjalah Adik...di
stadium nanti, mesti ada jual burger...nanti, kita belanja makan burger, boleh,
Dik?” tanya Sis Julie.
“Boleh...apa-apa pun boleh, Sis,”
jawab Adik sambil tersenyum.
“Habis aku?” cepat Johari bertanya.
“Apa kena-mengena dengan kau pulak?”
tempelak Bedah.
“Eh Bedah...aku yang mengangkut beg
mekap dia, ok. Dari rumah, carrier
basikal akulah yang bawak beg mekap dia tu! Aku jugak yang buat tebal muka
pinjam beg mekap ni dari Kak Nora, jadi aku pun ada saham jugak!”
Kesemua penari tergelak besar dengan
gaya Johari bercakap persis seperti pelakon Jaafar Onn.
“Iyalah, iyalah...Sis belanja kau
juga, tapi sebab kau cuma bawa beg mekap, kita orang belanja kau makan burger
benjo aje eh!”
“Ahhh...Sis Julie melampau tauuuu!”
Johari menjeling teman seniornya itu.
Kesemua ahli kelap zapin yang
mengambil bahagian tergelak lagi. Memang jika ada Johari dan Adik, mereka semua
tidak kering gusi. Adik dan Johari, penyeri kelab zapin mereka yang terkenal di
Batu Pahat.
Kesemua penari zapin akhirnya
meninggalkan perkarangan sekolah ketika jam menunjukkan ke pukul 11.45 pagi.
Cikgu Amil tidak mahu berlengah-lengan ke stadium. Dia pasti, jalan akan sesak
kerana stadium Batu Pahat terletak betul-betul hadapan masjid Jamek Batu Pahat.
Pasti banyak kenderaan yang akan diparkir di kawasan stadium dan juga masjid
kerana akan ada dua majlis akan berlaku – solat Jumaat dan MSSD. Cikgu Amil dan
Cikgu Nurhafizah masing-masing membawa empat orang pelajar di dalam kereta
mereka. Dengan berhati-hati kedua-dua orang guru muda itu memandu kereta
mereka, bergerak menuju ke arah bandar Penggaram.
Memang benar telahan Cikgu Amil,
sudah banyak kereta yang diparkir di kiri kanan stadium malah di perkarangan
masjid juga sudah hampir penuh. Daerah Batu Pahat mempunyai lebih 10 sekolah
menengah dan lebih kurang 20 sekolah rendah. Bayangkan semua guru pengiring dan
atlet-atlet sekolah yang mengambil bahagian akan turut serta pada acara
pembukaan rasmi MSSD petang ini. Tentunya tempat parkir penuh sesak dengan
kereta, van dan bas sekolah yang membawa semua pelajar-pelajar yang mengambil
bahagian.
“Cikgu Fizah...cikgu jagakan beg
mekap saya ni ya. Ini beg mekap kakak angkat saya, jangan bagi hilang eh cikgu,”
pesan Adik kepada guru pengiringnya ketika dia memberi beg mekap berupa kotak empat
segi seperti peti simpanan alatan mekanik berwarna merah yang dipinjamnya dari
Kak Nora.
“Hah? Awak bawa beg mekap? Macam mak
andam aje awak ni, Arif, ” tegur Cikgu Fizah sambil menyambut beg mekap yang
besar itu dari tangan Adik.
“Takdelah cikgu...saya pinjam dari
kakak angkat saya. Dia memang mak andam. Kita mesti mekap budak perempuan
lebih-lebih cikgu, baru cantik!” ujar Adik sambil tersengih-sengih bangga.
“Haah cikgu...kita mesti mekapkan
muka budak perempuan lebih-lebih. Muka masing-masing macam bulan...kena guna
bedak selori nanti cikgu!” Johari sengaja menyakat rakan-rakan perempuannya
yang masing-masing sedang meletakkan beg mereka di lantai.
“Heee, Johari ni jahat tau! Dari
tadi dia buli kita orang cikgu!” Adu pelajar yang digelar Joyah kepada Cikgu Fizah.
“ Memang kenyataan Joyah, kau tak payah nak
kecik hati dengan aku! Muka aku lagi licin dari kau orang tau!”
Iyalah, muka kau ajelah yang cantik
berseri! Kalau macam itu, baik kau pakai baju kurung, pakai sanggul, biar aku
yang pakai baju melayu dengan samping!” Joyah menjawab sambil mencebik.
“ Ahh...ke situ pulak kau ni, Joyah!
Menyampah aku! Aku gurau ajelah!” Johari menjeling.
Cikgu Fizah menggeleng-gelengkan
kepala dengan gelagat anak-anak muridnya. Memang Johari seorang yang suka
menyakat. Gurauannya juga buat orang tidak kering gusi. Adik pula lebih santun.
Namun, jika dua-dua pelajar ini tidak ada, kelab zapin mereka seolah-olah
kehilangan seri.
“Eh...dah sudah, jangan nak
bergaduh. Budak-budak lelaki cepat ikut Cikgu Amil pergi sembahyang Jumaat.
Yang perempuan sudah boleh pakai baju. Nanti hendak letak sanggul lagi, takut
tidak sempat,” pesan Cikgu Fizah.
“Haa Bedah, awak reti tak hendak
buat sanggul? Rambut awak tu pendek,” tanya Adik.
Bedah menggeleng-geleng kepala.
“Habislah kau Bedah...mekap campur
ikat sanggul, maknanya kau kena belanja Adik burger dua bijik!” sempat lagi
Johari menyampuk sebelum bahunya sempat dicubit oleh Sis Julie. Johari segera
berlari-lari anak keluar dari bilik persalinan yang terletak di tepi stadium
menuju ke arah Cikgu Amil yang sedang menanti dia dan Adik.
“Tak apa, nanti kita tolong buatkan.
Awak semua siap-siap pakai bedak aje dulu. Habis sembahyang, kita mekapkan awak
semua eh,” ujar Adik yang menjadi jurumekap tidak rasmi kelab zapin mereka.
Sejak mengikut Kak Nora mengandam, kakak angkatnya itu ada menurunkan sedikit
demi sedikit ilmu persolekan kepada dia dan Johari.
Adik, Johari, Cikgu Amil dan dua
orang lagi pelajar lelaki mengambil air wuduk ketika matahari tegak terpacak.
Kedinginan air dari paip mesjid Jamek Batu Pahat menyegarkan wajah mereka.
Masuk sahaja ke dalam mesjid, Adik segera menunaikan solat sunat tahyatul
mesjid. Dia sentiasa ingat dengan pesanan guru mengajinya, Pak Hassan- “ masuk
sahaja ke dalam masjid, tunaikanlah solat tahyatul masjid. ”
Solat Jumaat berakhir ketika jarum
jam menunjukkan hampir ke pukul 2.00 petang.
Usai solat Jumaat, Adik, Johari dan dua orang
lagi kawan lelaki, penari zapin SMDO dengan segera berlari ke bilik persalinan
baju untuk menukar pakaian mereka. Adiklah yang paling tergesa-gesa kerana dia
perlu memekapkan rakan-rakan perempuannya. Dia segera menyarung baju melayu
Johor berwarna hijau pucuk pisang dan menyarung kain samping berwarna kuning
emas. Tangkas tangannya mengikat samping.
Adik kemudiannya segera membuka beg mekap Kak Nora
yang besar. Dia mengeluarkan bedak padat, pembayang mata, pemerah pipi dan
maskara. Nasib baiklah Cikgu Fizah sudah pun mengikat sanggul rambut Sis Julie,
Bedah, Joyah dan seorang lagi teman mereka. Wajah mereka juga sudah siap dibedak.
Adik sekadar meratakan bedak di wajah
mereka, membubuh pemerah pipi dan pembayang mata kepada teman-teman
perempuannya. Dia juga mengenakan maskara di alis mata keempat-empat gadis
penari zapin itu. Cikgu Fizah kagum melihat kepandaian Adik. Sangat seni dan
semulajadi. Di sekolah, memang Adik adalah antara pelajar yang sering dipanggil
untuk menolong guru seni untuk melukis mural di dinding-dinding bangunan
sekolah SMDO.
“Dik, letakkan blusher pada pipi aku jugak, dik,” arah Johari kepada Adik.
Adik menoleh kepada temannya itu
sambil mengerutkan kening.
“Eh, Johari, buang tebiat ke apa,
awak ni?” tegur Cikgu Fizah. Cikgu Fizah juga mengerutkan kening namun
tersengih dengan permintaan Johari.
“Alah cikgu...buat naik seri muka,
pucat laa muka saya, cikgu. Nasi bungkus tadi tak cukup untuk saya,” jawab
Johari selamba.
“Apa pulak kena mengena nasi
bungkus, muka pucat dengan blusher,
Johari? ” tanya Sis Julie selaku ketua kumpulan zapin mereka.
“Maksudnya, perut dia tak
kenyanglah, sis!Iyalah, nanti aku letakkan sikit,” Adik mengiakan sahaja
permintaan sahabatnya itu.
Cikgu Fizah dan kesemua rakan yang
lain tergelak besar dengan kenyataan Adik. Walau tubuh Johari itu agak kecil,
namun dia lebih kuat makan dan Adik yang tinggi lampai.
Setelah selesai memekapkan
keempat-empat teman perempuannya termasuk Johari, Adik pula menyiapkan dirinya
dengan mengikat kain samping kemas-kemas. Dia mengenakan celak mata. Celak mata
ini hadiah dari Mak Piah sepulangnya dari
mengerjakan umrah. Dia memakai songkok tinggi. Adik juga membantu dua
orang lagi pelajar lelaki mengikat samping mereka. Samping pula diikat
betul-betul supaya tidak terlondeh sewaktu menari nanti. Jika terlondeh atau
tertanggal semasa menari, buat malu kaum saja!
Majlis pembukaan rasmi MSSD Batu
Pahat bermula setelah pengacara majlis mengumumkan ketibaan Pengarah Pendidikan
Negeri Johor. Kumpulan kompang meriah memukul kompang bertalu-talu sambil
berselawat ke atas Nabi junjungan. Kompang di pukul sehingga Pengarah
Pendidikan Negeri mengambil tempat duduknya disamping Ketua Pendidikan Daerah
Batu Pahat, pengetua-pengetua sekolah menengah dan semua guru sekolah rendah
yang hadir. Majlis pembukaan rasmi dimulakan dengan bacaan doa.
Cikgu Amil segera mengarahkan anak
didiknya beratur di bahagian tengah stadium. Selepas sahaja bacaan doa,
pengacara majlis akan memulakan ucapan alu-aluan dan sebelum Pengarah
Pendidikan berucap, kumpulan zapin akan memulakan tarian mereka. Adik dan
Johari menarik nafas panjang. Begitu juga dengan enam rakan mereka yang lain. Mereka
cuba untuk bertenang. Walau mereka sudah selalu membuat persembahan dan
latihan, namun debaran di dada tetap ada pada setiap kali membuat pertunjukan.
“ Majlis pembukaan rasmi MSSD Batu
Pahat kali ini diteruskan dengan persembahan tarian zapin dan Sekolah Menengah
Dato Onn,” kata Pengacara majlis. Lagu zapin Johor terus bergema di stadium
Batu Pahat dan lapan penari zapin masuk ke tengah padang. Tepukan dari penonton
membuatkan Adik, Johari, Sis Julie, Bedah, Joyah dan rakan-rakan lain
bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik.
Persembahan zapin mereka berlangsung
selama lebih kurang lima belas minit. Basah baju kurung mereka dek peluh yang
berjujuran kerana matahari tegak terpacak ketika mereka membuat persembahan.
Sebelum sampai ke stadium, Cikgu Amil sempat membelikan mereka air isotonik
supaya mereka dapat menjaga stamina mereka. Bukan mudah untuk menari di
tengah-tengah padang sewaktu matahari memancarkan sinarnya. Stamina juga perlu
dijaga.
Tepukan gemuruh diberikan kepada
penari-penari kumpulan zapin SMDO. Ada juga kedengaran siulan-siulan nakal dari
para penonton. Semua penari hanya melemparkan senyuman kepada para penonton.
Ketika Adik dan rakan-rakannya bergerak masuk ke ruang tengah stadium,
kedengaran namanya dipanggil. Suara yang amat dikenalinya...
“ Arif! Arif! Ri! Johari!
Sini...sini...,” Adik dan Johari pantas menoleh ke kiri dan ke kanan stadium
untuk mencari dari arah manakah suara yang memanggil mereka.
Rupanya suara itu datangnya dari
seorang gadis remaja yang sedang duduk bersila di hadapan stadium bersama
dengan beberapa orang rakannya. Gadis itu berpakaian sukan dan rambutnya yang
paras bahu diikat tinggi macam perempuan baru lepas beranak. Gadis itu galak
melambai-lambaikan tangannya kepada Adik dan Johari yang sedang memasuki ruang
tengah stadium, tempat dimana mereka keluar tadi.
‘Faezah Hanim.’ Adik berkata di
dalam hati. Sekuntum senyuman diberikan kepada rakan karibnya sejak kecil.
Aku tahu perasaanmu padaku.
Aku tahu kau menyanyangiku.
Namun,
bagiku kau adalah sahabatku,
tidak lebih dari itu.
KAY
1994
Tiada ulasan:
Catat Ulasan