Dia memandang wajah sahabatnya tidak
berkelip. Kewarasannya bagaikan tidak
mampu mencerna keinginan sahabatnya itu.
Wajah yang serius memandangnya tajam, menikam jantung hatinya. Galau
seketika perasaannya. Hembusan angin
petang meraba perlahan wajah gebunya.
Sudah berhari-hari dia dipujuk dan dirayu. Hanya orang yang hilang kewarasannya sahaja
yang sanggup menyerahkan sesuatu yang amat berharga dan disayangi. Resah di hati buat senyuman tidak mampu terlakar
di bibirnya yang berwarna merah jambu.
Cuba menenangkan diri, mencari kekuatan agar tidak nampak kegugupan atau
keresahan yang menjalar dalam diri.
“Kau dah fikir habis?”
tanya Nisa, dia menikam kembali pandangan mata sahabatnya itu.
“Kita sudah berkawan, bukan baharu semalam. Sejak kecil.
Aku amat mengenali hati budimu.
Kau berkorban meninggalkan agamamu, memeluk agama Islam. Akidahmu perlu dipelihara agar kautidak
tersasar daripada landasan kehidupan seorang muslimah yang sejati. Aku takut kau bertemu dengan lelaki yang
tidak mampu membimbingmu. Nisa…
tolonglah! Terimalah permintaaku
ini,” terang Hanum dengan mata penuh
harapan. Bukan dia seorang yang gila,
atau sudah hilang kewarasannya.
“Kerana aku sahabatlah, maka aku tidak akan mampu
mengguris hatimu!” Nisa menolak dengan
baik. Mana mungkin dia berkongsi kasih
dengan sahabatnya sendiri? Layakkah
dia? Nanti apa pula kata orang
sekeliling, terutama keluarganya.
Bagaimana pula dengan keluarga Hanum?
Dia mengenali seluruh keluarga Hanum, mereka amat rapat. Malah keluarganya tidak pernah membantah jika
dia hendak bermalam di rumah sahabatnya itu.
Malah, ketika dia memeluk agama Islam juga, keluarganya langsung tidak
membantah. Mereka menerimanya dengan hati yang terbuka. Apa pula pandangan mereka, jika dia menerima
kehendak dan keinginan sahabatnya itu.
“Jika tiada lelaki yang sesuai, kurela membujang sehingga
ke akhir hayat. Soal itu jangan kau
risaukan. Kau jagalah diri dan keluargakau,”
pesan Nisa sebelum dia meninggalkan sahabatnya sendiri di dalam bilik
pejabat yang berhawa dingin itu.
Berkaca matanya melihat langkah gadis berkulit putih
bersih itu. Gadis tinggi lampai persis
seorang model, bertudung separas pinggang, berjubah labuh menutup kecantikan
tubuh seorang wanita dambaan
lelaki. Hanum mengeluh berat.
***
Kunyahannya terhenti seketika, lepat pisang yang menjadi kegemarannya bagaikan tidak mampu ditelan. Ribut apakah yang melanda isterinya itu? Bercakap bagaikan orang yang sedang berada di alam mimpi sahaja. Wajah serius itu dipandang lama. Mencari kejujuran dan keikhlasan yang terbit daripada hati. Tidak mungkin mengejar payung emas, itu bukan cara isterinya yang sudah berbelas tahun dikahwini. Dirasa dahi isterinya, manalah tahu terkena demam panas yang memakan di dalam.
“Hanum tak demamlah!”
Hanum menolak tangan Haikal. Dia
mencebik. Kenapa Nisa dan suaminya tidak
percaya akan keinginannya? Dia bukan
main-main. Dia serius!
“Awak tahu tak, berapa ramai wanita yang makan hati
berulam jantung kerana suami berkahwin lagi… tapi awak?” Haikal mengeluh berat. Sesak nafasnya mendengar permintaan
isterinya yang bukan-bukan itu. Ini
perkara serius bukan main-main.
Melibatkan seisi keluarga, masyarakat juga.
“Saya yang rela, apa masalahnya?” Hanum melepaskan keluhan berat. Sukar betul hendak bercakap dengan
suaminya. Dipelawa, tidak mahu pula.
“Bukan mudah hidup berkongsi kasih dengan dua orang
perempuan. Abang takut tidak mampu
berlaku adil. Hanum nak tengok abang
jalan senget di akhirat nanti ke?”
terang Haikal. Kalaulah lelaki lain sudah tentu melonjak gembira, tetapi
bukan dirinya. Bukan mudah menjaga hati
seorang wanita, inikan pula hendak menjaga hati dua orang wanita. Takut dia tidak mampu membahagiakan mereka.
“Ala… saya bantulah abang berlaku adil,” ucap Hanum.
Haikal menepuk bahu isterinya. Jari jemari yang runcing itu diusap
lembut. Betapa dia amat menyayangi
wanita yang setia di sisinya itu.
Sejak hari itu, hampir setiap hari dia mendengar rayuan
isterinya. Memujuk dan meyakinkan
dirinya untuk mengambil Nisa sebagai isteri keduanya. Mana mungkin dia
melakukannya? Dia belum cukup kuat untuk
menjadi ketua kepada dua buah keluarga.
Biarpun dia seorang yang pandai dalam bidang agama. Dalam soal hati dan perasaan bukan mudah
untuk menanganinya.
***
Suaminya bukan orang biasa, seorang pensyarah dan ustaz
yang berkaliber, tawaduk, lembut dalam mendidiknya, bertanggungjawab dan jujur orangnya. Hanya suaminya yang dirasakan mampu menjaga
dan mendidik Nisa, sahabatnya yang baharu beberapa bulan memeluk agama
Islam. Apa salahnya dia berkorban? Menyerahkan sesuatu yang amat disayangi,
bukankah kita memberi sesuatu kepada orang lain, benda yang amat kita
sayang. Bukan barang yang hendak dibuang
atau tidak berguna lagi.
“Nisa!” panggil Hanum sewaktu wanita itu melalui meja kerjanya. Kebetulan mereka bekerja di syarikat yang
sama. Hubungan yang terjalin sejak
kecil, usianya panjang sehingga kini.
“Aku sibuk sangat ini, nanti sahaja kita sembang,
ya?” Nisa hanya mengenyitkan mata dan
berlalu pergi.
Kecewa hati Hanum, rusuh jiwanya. Wanita itu seperti menjauhkan diri
daripadanya. Hiba pula hatinya. Niatnya
baik, kenapa tidak dipedulikan? Bukan
dia yang menolak atau melarang, dia yang meminta, kenapa sukar sangat hendak
memberi persetujuan? Berbagai persoalan
bermain dibenaknya. Atau… Nisa tidak mahu hidup berkongsi suami?
Mungkin juga. Hanum mengeluh lagi.
Tangan sahabatnya ditarik kuat.
“Hanum!” Nisa cuba menolaknya, semakin dia ingin
melepaskan diri, semakin kuat genggaman Hanum.
.
.
“Jom kita pergi minum!” ajak Hanum.
“Kalau ya pun, lepaskan dulu genggaman awak ini!” pinta
Nisa.
“Kalau saya tak paksa, awak takkan ikut saya,” kata Hanum agak kasar. Wajahnya cemberut.
“Yalah… saya ikut,”
ucap Nisa mengalah. Sahabatnya
itu kalau tidak ikutkan, mahu meroyan di situ.
Kedegilan dan ketegasan Hanum tidak pernah berubah. Suka memaksa, nanum hatinya baik. Itu sebab dia kekal berkawan dengan Hanum
sehingga kini. Berpuluh tahun mereka
menjadi sahabat, setia sehingga ke hujung nyawa, Insya-ALLAH semoga kekal sehingga
ke syurga juga.
“Nisa… aku sudah buat persediaan agar majlis perkahwinan
kau dan Abang Haikal berjalan seperti yang telah aku rancang,” cerita Hanum
dengan senyum simpulnya.
“Hah?” Nisa
terkejut.
“Hanum, kau sedar tak apa yang sedang kau lakukan?” Hampir sahaja dia menengking Hanum yang duduk
gembira di hadapannya. Minuman yang
dipesan langsung tidak disentuh.
“Kenapa susah sangat kau nak menerima suami aku? Kau tak mahu hidup berkongsi ke?” tanya Hanum.
“Bukan macam tu,
aku tidak pernah berfikir atau kisah dengan soal jodohku. Aku berserah sahaja kepada ALLAH, tetapi
berkahwin dengan suamikau? Tidak mungkin
Hanum!” Nisa tetap menolak. Menghancurkan perasaan sahabatnya itu samalah
dia menghancurkan perasaannya sendiri.
Dia perempuan, Hanum juga perempuan, perasaan cemburu seorang perempuan
sukar di duga. Mungkin sekarang
sahabatnya itu tidak kisah, merelakan sahaja, tetapi esok lusa bagaimana? Dia tidak mahu hubungan baik mereka musnah
begitu sahaja lantaran cemburu yang beraja di hati.
“Kenapa? Cuba kau
beri alasan yang kuat,” pinta Hanum.
Matanya mengecil, dia memandang wajah Nisa yang tidak keruan duduknya
itu.
“Hish, kau ni… soal kahwin pun main paksa?” Nisa mencebik. Dia memeluk tubuh. Pandangannya dialihkan ke arah lain. Perutnya
yang lapar terasa kenyang. Kehausan yang dirasai ketika awal tadi, menghilang
begitu sahaja.
“Bolehlah… suami aku pun dah beri persetujuan,” cerita Hanum gembira.
“Ustaz Haikal?
Setuju?” Sukar untuk dia
mempercayainya. Haikal seorang lelaki
yang setia, bertanggungjawab. Dia kenal
hati budi lelaki itu. Tidak mungkin
lelaki itu sanggup menduakan Hanum.
“Kenapa? Tidak percaya?”
Hanum menyengih.
“Bukan tidak percaya… tak percaya dengan kerja gila kau
ini.” Nisa menggeleng kesal. Apalah yang
sudah merasuk diri sahabatnya itu. Orang
lain mempertahankan rumah tangga yang ada, dia pula sanggup menyerahkan suami
yang baik dan penyayang itu. Bukan dia
tidak biasa bergaul dengan keluarga Hanum, mereka sudah seperti
keluarganya. Apatah lagi sejak dia
memeluk Islam, Ustaz Haikallah yang banyak memberi tunjukajar. Dia amat hormati suami sahabatnya itu. Mana mungkin dia menghancurkan kebahagian
pasangan suami isteri itu. Berat untuk dia memberi persetujuaan. Kenapalah
sukar benar sahabatnya hendak memahami perasaannya.
“Nisa… aku tidak mahu kehilangan kau sebagai sahabat, apa
salahnya aku berkongsi seseorang yang amat aku sayang, kerana kasihku pada kau
sama seperti mana aku menyayangi suamiku.
Biarlah kami membimbing kau menjadi muslimah yang sejati. Banyak perkara perlu kau pelajari. Bukankah selama ini suamiku yang membimbing
kau?” pujuk Hanum, tidak pernah berputus
asa. Dia yakin, jodoh suami dan
sahabatnya itu ada.
Nisa terdiam seketika.
Memang benar, sebagai seorang saudara baharu, dia memerlukan bimbingan
dan tunjukajar yang tidak pernah putus.
Banyak perkara yang perlu dipelajari, amal ibadatnya juga tidak sempurna
lagi. Dia memerlukan seseorang yang
mampu membimbingnya sehingga ke syurga.
Hanum meraih tangan Nisa.
Dia memegang dengan lembut.
Memerhati wajah putih bersih itu.
Dia faham, kenapa Nisa menolak.
Mana ada seorang perempuan yang sanggup berkongsi suami? Berbagai kisah hitam hidup berpoligami
membuatkan ramai yang takut. Tidak kurang juga yang berani mencuba. Konon,
mampu melawan gejolak di jiwa. Konon
mampu melawan naluri seorang perempuan yang tinggi rasa cemburunya.
“Setujulah!” rayu Hanum sekali lagi.
Tiada jawapan yang diperolehi. Mereka berpisah tanpa ada
kata putus yang terlahir. Jawapan Nisa,
ringkas sahaja, biarlah dia meminta petunjuk daripada ILAHI. Jangan ikut rasa, takut binasa, jangan ikut
hati, takut mati. Biarlah kepada ALLAH
dia memohon petunjuk. Apa sahaja
keputusan akan diterima dengan hati terbuka. |
Hanum tidak terkata apa-apa. Jika itu sudah keputusan
sahabatnya. Kegusaran di hati tidak
pernah padam, bila melihat sahabat yang seusianya yang hampir mencecah lewat 30-an membuatkan hatinya tidak betah
melihat. Bukan sahaja dia ingin
menyelamatkan akidah sahabatnya itu, dia juga ingin menyelamatkan agar
sahabatnya itu tidak menjadi andartu. Sedang
dia mengulam bahagia, sahabatnya bersendirian melayar kehidupan. Tidak mungkin dia melihat sahaja, entah
bagaimana perasaan Nisa ketika dia bercerita tentang keluarganya, sedangkan
wanita itu masih sendiri. Biar tidak
kelihatan kerisauan di wajah itu, tetapi hati yang tersembunyi tiada siapa yang
tahu.
***
Haikal mengetap bibir.
Borang kebenaran berkahwin lagi sudah berada di hadapan mata. Nampaknya, isterinya tidak main-main. Wajah tenang Hanum mengusik hatinya. Biar betul?
Jangan-jangan isterinya terkena sampuk agaknya. Tidak gusarkah di hati Hanum jika Nisa berubah
menjadi tamak dan tidak mahu berkongsi dirinya dengan Hanum? Tidak terfikirkah perkara itu kemungkin
berlaku? Mula-mula setuju, kemudian mula
berubah hati bila cemburu datang menerjah.
Jangan main-main dengan perasaan sendiri, belum cuba, belum tahu. Sudah cuba, takut terasa peritnya. Waktu itu menyesal kemudian sudah tidak
berguna lagi.
“Hanum sudah tekadkah? Muktamad?” tanya Haikal.
Ingin benar dia mengorek jantung isterinya dan melihat sendiri
keikhlasan di hati perempuan yang sudah lama menjadi suri hatinya.
“Abang ini, bertanyakan soalan lagi. Borangnya sudah ada di hadapan mata, isi
sahajalah!” kata Hanum, dia menjeling manja.
Haikal mengeluh perlahan.
Bukan dia tidak bersetuju, tetapi dia amat takut sekali. Mampukah dia
berlaku adil? Mampukah dia
membahagikan masa untuk dua orang isteri?
Anak-anak lagi. Penat dia
memikirkan hal itu. Sejak isterinya
menyuarakan hasrat hati, sejak itulah dirinya terus didesak agar menerima
perkahwinan yang dirancang oleh isterinya itu.
“Pernikahan abang dan Nisa, hujung bulan ini. Jangan tidak-tidak tahu bang,” pesan Hanum
dengan senyuman terlakar manis.
“Ya ALLAH, Hanum!”
Hampir gugur jantung Haikal mendengar cerita isterinya. Adakah Nisa sudah memberi persetujuan,
sehingga isterinya beria-ia benar.
Takkanlah Nisa menerima bulat-bulat keputusan Hanum? Haikal mengeluh berat. Hanya senyuman yang terlakar di wajah
Hanum, borang itu sudah siap terisi, hanya meminta tandatangannya sahaja.
***
“Ini jemputan untuk majlis perkahwinan kau dan Abang Haikal,
kami akan tunggu kau di masjid berhampiran rumah aku. Kau harus datang tahu,” pesan Hanum.
“Hanum!” Nisa
menggeleng laju. Tekad benar sahabatnya
itu. Bantahannya langsung tidak
didengari. Sekali lagi keluhan berat
dilepaskan. Tiada pamitan Hanum terus
berlalu. Mungkin tidak mahu mendengar
alasannya lagi. Kenapalah kau buat
begini Hanum? Bisik Nisa di dalam hati.
Air mata mengalir tanpa dipinta. Dadanya sebak, kakinya
lemah, terasa payah untuk digerakkan.
Mampukah dia berkongsi suami dengan sahabatnya sendiri? Bolehkah dia duduk sebumbung dengan lelaki
yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri? Kenapa sukar benar Hanum hendak
memahami? Kenapa terus mendesak diri ini.
Nisa terkedu seketika. Dia
menyandar di kerusi kerjanya. Apa yang
akan diberitahu kepada kedua orang tuanya?
Adakah mereka mampu menerimanya, keluarga Hanum pula bagaimana?
Memikirkan hal tersebut membuatkan kepalanya mula berdenyut. Persoalan demi persoalan berlegar
difikiran. Penat dia memutarkan
pertanyaan itu pada dirinya sendiri.
Kedegilan Hanum tidak mampu disangah lagi. Hanya nama ALLAH menjadi sebutan di
bibirnya. Biar tenang dan damai
hatinya.
***
Hanum sibuk menguruskan majlis perkahwinan suaminya sendiri. Dia menempah dewan, katering, jemputan pula
hanya mereka yang rapat sahaja.
Keluarganya tidak dilupakan. Biar apapun yang akan bermain di
telinganya. Akan dianggap sebagai
pemanis sahaja. Tidak perlu gusar,
keputusannya muktamad. Dia pasti Nisa
tidak akan berubah hati. Dia yakin suaminya akan tetap bertanggungjawab
kepadanya dan Nisa serta anak-anak. Tiada kerisauan di hati. Tiada rasa cemburu di jiwa.
Dia sudah menikmati kebahagian yang amat-amat didambakan selama ini. Seorang suami yang penyayang, baik dan bertanggungjawab. Seorang sahabat yang setia, jujur dan tidak pernah meninggalkannya baik ketika susah dan senang. Kedua-dua insan ini adalah orang terpenting dalam hidupnya selepas kedua orang tuanya. Kehidupannya juga cukup sempurna. Dia ada pekerjaan tetap, malah bergaji besar, rumah tangganya bahagia, anak-anak pula bijak dan pandai. Semuanya serba sempurna di matanya. Apalah salahnya jika dia berbuat sesuatu untuk agamanya sendiri. Nisa baharu sahaja memeluk Islam dan memerlukan bimbingan, suaminya adalah orang yang terbaik dan mampu membimbing sahabatnya itu. Biarlah apa pun orang akan kata dan bercerita, dia buat semua ini kerana agamanya. Bukan mendambakan payung emas. Apa sahaja yang akan diberi ALLAH SWT nanti, dia terima dengan hati yang terbuka. Senyuman manis sekali lagi terlakar di bibirnya. Kepuasan yang tidak terucap dengan kata-kata bila melihat sahabat dan suaminya itu bersatu dalam ijab dan kabul. Semoga impiannya tercapai hendaknya.
Dia sudah menikmati kebahagian yang amat-amat didambakan selama ini. Seorang suami yang penyayang, baik dan bertanggungjawab. Seorang sahabat yang setia, jujur dan tidak pernah meninggalkannya baik ketika susah dan senang. Kedua-dua insan ini adalah orang terpenting dalam hidupnya selepas kedua orang tuanya. Kehidupannya juga cukup sempurna. Dia ada pekerjaan tetap, malah bergaji besar, rumah tangganya bahagia, anak-anak pula bijak dan pandai. Semuanya serba sempurna di matanya. Apalah salahnya jika dia berbuat sesuatu untuk agamanya sendiri. Nisa baharu sahaja memeluk Islam dan memerlukan bimbingan, suaminya adalah orang yang terbaik dan mampu membimbing sahabatnya itu. Biarlah apa pun orang akan kata dan bercerita, dia buat semua ini kerana agamanya. Bukan mendambakan payung emas. Apa sahaja yang akan diberi ALLAH SWT nanti, dia terima dengan hati yang terbuka. Senyuman manis sekali lagi terlakar di bibirnya. Kepuasan yang tidak terucap dengan kata-kata bila melihat sahabat dan suaminya itu bersatu dalam ijab dan kabul. Semoga impiannya tercapai hendaknya.
Kak Asmah, bermadu lagi kak? Kencing manis la, kalau asyik bermadu saja...hahaha..cobaann.
BalasPadamhik hik hik, sebenarnya, akak ada buat cerita seperti ini dan diterbitkan oleh majalah URTV, tajuknya Rela Bermadu hik hik hik, hilang dalam simpanan, itu yang buat lain, serupa tapi tak sama. Baca ajselah uhuhuh...
BalasPadam