DIA
memandu mengikut kelajuan yang dibenarkan. Emak mertuanya sakit, kenapa dia
tidak boleh berada di sisi emak mertuanya? Kenapa dia disisihkan? Jangan
merajuk Aleeya, bertindak sahajalah. Dia terpaksa mengambil cuti kecemasan. Nasib
baik kerjanya sudah dibereskan lebih awal. Aleeya memandu pulang ke kampung
suaminya. Biarlah Nadia ada di sana sekalipun. Apa dia peduli. Dia yang lebih
berhak. Bukan perempuan itu. Pedulilah!
Sampai di laman rumah keluarga
mertuanya hampir tengah hari. Dia langsung tidak berhenti berehat. Janji cepat
sampai. Di laman rumah kampung itu berdereta kereta pelbagai jenis. Ramai
sungguh yang datang menziarahi emak mertuanya. Dia mematikan enjin kereta dan
melangkah keluar. Kereta suaminya juga ada di situ.
“Leya?” sapa kakak iparnya yang buat
muka terkejut.
“Kak long,” balas Aleeya. Dia
menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan kakak iparnya itu.
“Baru nak datang? Ingatkan nak
tunggu sampai mak meninggal baru datang!” bentak satu suara.
Aleeya memandang ke arah muka pintu.
Kakak ipar keduanya sedang mencekak pinggang memandangnya dengan mata
membuntang. Macamlah dia buat salah besar.
“Kak ngah! Leya baru aje sampai,
biarlah dia berehat dulu!” tegur kak long.
“Uh! Ingatkan adik kahwin lagi,
hidup boleh bahagia, tetapi lain pula jadinya!” lengking kak ngah lagi.
Semakin tidak keruan Aleeya jadinya.
Apa pula yang kakak ipar keduanya itu merepek ini? Suaminya tak bahagia ke
berkahwin dengannya? Galau seketika hatinya. Berdebar jantungnya.
“Dahlah, Leya... pergi masuk. Mak
ada di dalam bilik. Tak usah layan cakap kak ngah tu,” suruh kak long lalu
menarik Aleeya masuk ke dalam rumah.
“Kak long!” jerkah kak ngah.
“Apa bising-bising ni? Malu kat
tetamu,” tegur Haji Raub yang muncul tiba-tiba.
Kak ngah mencebik, menjeling tajam,
memandang Aleeya bagaikan pemangsa yang sedang menunggu masa untuk dibaham.
“Leya, masuklah. Mak ada kat dalam
bilik tu. Dah sedar pun. Kenapa susah-susah balik ni?” Haji Raub memandang
wajah menantunya yang kelihatan serba salah selepas disergah oleh anak
keduanya. Garang tidak bertempat si angah ni, bisik hati kecil Haji Raub.
“Ayah.” Aleeya menghulurkan tangan
dan bersalaman dengan bapa mertuanya.
Aleeya melangkah masuk. Ramai tetamu
berada di ruang tamu rumah itu. Dengan orang perempuan Aleeya menghulurkan
tangan untuk bersalaman. Dengan lelaki, dia hanya menunduk hormat. Uh! Matanya
tepat menikam wajah Nadia yang duduk di sisi emak mertuanya. Siap tolong
picitkan tubuh emak mertuanya. Mata mereka saling berpandangan. Aleeya
mengerling. Tidak mahu membina sengketa di rumah itu. Biarlah dipendam rasa
sakit di hatinya.
“Leya? Kenapa datang?” Ikmal menarik
tangan Aleeya dan menuju ke dapur.
Kak
long sedang membancuh air. Aleeya hanya melakarkan senyuman.
“Kenapa Leya tak boleh datang? Kan
mak tengah sakit?” Aleeya memandang suaminya. Apa yang tidak kena dengan
suaminya ini? Dia tidak boleh datang, tetapi bekas isterinya boleh pula? Erk…
bukan mereka ke yang datang meminang dia? Bukan dia yang terhegeh-hegeh hendak
berkahwin sangat. Kalaulah dia tahu akan jadi seperti ini, rela dia hidup
sendiri sehingga ke akhir hayat.
“Kan Nadia dan anak-anak ada sini,
kalau abang nak Leya datang, dari awal lagi abang bawak!” kata Ikmal tegas. Mukanya
merah padam. Pasti masalah baru akan muncul. Bertambahlah tiga bulan lagi. Uh!
Memang menyusahkan! Inilah padahnya jika tidak dengar arahan.
“Kalau dia orang ada, kenapa pula? Apa
salahnya?” Aleeya hilang sabar.
“Mereka tak suka Leya ada kat sini!
Takkan tak faham!” Ikmal mencekak pinggang.
“Lepas jengah mak, Leya akan terus
balik. Abang jangan risau!” Aleeya mengetap bibir. Hatinya tambah terluka dan
kecewa. Aleeya angkat kaki dan berlalu pergi. Dia terus masuk ke bilik
mertuanya. Pedulilah jika Nadia masih di situ. Itukan emak mertuanya dan hanya
bekas emak mertua Nadia. Siapa yang lebih berhak? Aleeya langsung tidak
memandang wajah Nadia yang menjegilkan mata merenungnya tajam. Lantaklah, kalau
tersembul pun, peduli apa dia! Kau punya mata, kau punya suka.
“Mak,” sapa Aleeya lembut. Dia duduk
di sisi emak mertuanya. Diraih tangan wanita itu. Dikucup perlahan.
“Leya, mak ingatkan tak sudi jenguk
mak,” kata Hajah Hanizahh, memandang wajah Aleeya dengan penuh kasih dan
sayang.
“Leya ada kerja sikit, tulah datang
kemudian. Ini pun terpaksa balik semula ke Kuala Lumpur. Ambil cuti separuh
hari aje,” kata Aleeya mereka cerita sendiri. Kalaulah dia jadi penulis seperti
penulis Aleya Aneesa penulis Alaf 21 bagus juga. Manalah tahu boleh terkenal. Nama
dia dan penulis itu pula kebetulan sama. Sudah popular baru bekas isteri
suaminya dan suaminya sekali tahu, siapa dirinya. Uh! Nak tulis surat cinta pun
susah, inikan nak karang dan reka cerita berkajang-kajang panjangnya. Tak
kuasalah.
“Mak dah sihat? Macam mana boleh pengsan?”
tanya Aleeya. Tangannya lembut memicit lengan emak mertuanya.
“Tekanan darah rendah, itu yang
pengsan,” jawab Hajah Hanizahh dan terbatuk-batuk kecil.
“Mak tak payahlah bersembang dan
bercakap. Mak rehat ajelah,” tegur Nadia. Matanya bagaikan sebilah pedang
menunggu waktu sahaja hendak memancung kepala Aleeya.
Aleeya memegeng lehernya sendiri. Uh!
Duduk menghadap Nadia bagaikan menghadap Jin berkepala tujuh saja. Seram pula
rasanya.
“Tak apa, batuk sikit aje Nadia.” Hajah
Hanizah cuba bangun dan bersandar di birai katil.
Aleeya membantu Hajah Hanizah duduk.
Nadia mencebik dan memuncungkan
bibirnya.
Lantak kaulah, Nadia!
Hampir sejam Aleeya duduk bersembang
dengan emak mertuanya. Cukup masa, dia meminta diri. Langsung tidak berpamitan dengan
suami tercinta. Dia memandu semula, pulang ke Kuala Lumpur. Hujan renyai di
luar, dia hujan di hati.
Sampai hati abang,
bisik hatinya yang sedang berlagu duka. Ikmal langsung tidak mahu memandang wajahnya
sewaktu dia memandang lelaki itu melalui dalam kereta. Jangan merajuk Aleeya,
semua ini dugaan semata-mata. Dia perlu bersabar dengan dugaan ini. Tidak boleh
lemah, tidak boleh mengalah. Kalau dia lemah dan mengalah, Nadia akan menang
dengan mudah. Dia tidak akan benarkan itu berlaku. Anak-anak tirinya juga langsung
tidak mahu bersalaman dengannya waktu dia menghulurkan tangan untuk bersalaman
dengan mereka. Jahat benar ke dia? Aleeya mengesat air mata yang mengalir laju.
Dia terus memandu laju, meninggalkan duka di kampung suaminya yang tercinta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan