Malam itu selesai menunaikan solat isyak,
telefon bimbit Kamaruzaman berdering. Dia tersenyum senang. Dia dapat agak
siapa pemanggilnya. Ini disebabkan nombor yang digunakan itu adalah nombor
baharu. Tidak ada orang lain yang tahu selain Firdaus sekeluarga. Jadi,
Kamaruzaman memang tahu itu adalah panggilan dari mereka.
“Assalamualaikum
abah!” Suara Firdaus begitu lunak di hujung talian.
Hati Kamaruzaman berbuai
riang.
“Waalaikumussalam
Fir. Budak-budak
semua sihat, Fir?”
“Alhamdulillah. Abah macam mana?”
“Abah pun sama. Angin kampung telah
menguatkan jantung abah. Abah segar di sini. Bila Fir nak ke sini.
Buah-buahan tengah masak sekarang. Baik bawa budak-budak tu,” kata Ahmad Adham.
Sepi. Tidak ada
suara Firdaus menyambung kata.
“Kenapa Fir? Ada
yang tak kena?” tanya Kamaruzaman, curiga.
“Abah, tiap-tiap
hari Abah Adham dan Ibu Tina menelefon Fir. Fir dah tak sanggup nak berbohong dengan
mereka lagi. Fir kasihan dengan mereka, abah. Tambah-tambah lagi, mereka dah
keluar dari rumah itu.”
“Hah? Tapi kenapa?” Kamaruzaman
tersentak. Kencang denyutan jantungnya.
“Entahlah. Mereka kata mereka tak akan
balik ke rumah itu selagi Muhayat tak minta ampun dan berbaik dengan abah.
Keadaan semakin kelam kabut, abah.”
Kamaruzaman terdiam lama. Dia tidak
menduga begitu besar kasih Ahmad Adham dan Kartina kepadanya. Dia tidak
berharap mereka bertindak senekad itu. Kenapa mereka buat begitu?
“Abah, kita kena
selesaikan hal ini sebelum ia menjadi lebih melarat. Abah Adham kurang sihat.
Kata ibu, dia amat tertekan kerana tak dapat berhubung dengan abah. Dia rasa
bersalah sangat dengan kelakuan Muhayat pada abah,” sambung Firdaus lagi.
Kamaruzaman semakin
terharu. Lehernya rasa tercekik dan air matanya bergenang. Beberapa bulan dia
cuba melupakan semuanya. Dia berharap ketiadaannya akan menjernihkan suasana.
Rupa-rupanya, yang berlaku adalah sebaliknya.
“Mereka tinggal di
mana?”
“Sekarang, mereka
tinggal di hotel. Mereka kata...” Firdaus sebak. Suaranya tidak mampu
dikeluarkan.
“Fir, apa yang
mereka kata?” Kamaruzaman semakin bimbang dan cuak serta tidak sabar untuk
mendengar cerita seterusnya.
“Mereka akan pergi
jauh kalau tak dapat jumpa abah. Mereka nak berhijrah ke luar negara. Abah, tolonglah.
Jangan lari lagi dari keadaan ini. Mari kita selesaikan sama-sama.” Suara
rayuan Firdaus didengarnya amat bergetar dan bersungguh-sungguh.
“Abah tak pernah lari, Fir. Abah cuma nak
beri mereka hidup gembira seperti sebelum mereka jumpa abah,” tingkah Kamaruzaman.
“Tapi itu tak berlaku, abah. Keadaan
menjadi sebaliknya. Ibu Tina dan Abah Adham semakin bersedih. Tolonglah abah.
Beri peluang mereka jumpa abah.”
Akhirnya rayuan itu
meruntuhkan benteng hati Kamaruzaman. Dia lalu memberi izin kepada Firdaus
untuk memberikan nombor telefonnya dan memberitahu Ahmad Adham dan Kartina di
mana dia berada. Tidak sanggup dia membayangkan Muhayat hidup sendirian tanpa
ibu dan ayah angkatnya itu. Tidak sanggup dia memutuskan silaturrahim yang
sedia utuh itu.
Selepas perbualan
dengan Firdaus usai, Kamaruzaman merebahkan dirinya di atas katil. Fikirannya
kembali gelisah dan bercelaru. Persoalan Ahmad Adham, Kartina dan Muhayat
sedang berselirat dengan rasa simpatinya kepada nasib keluarga Pak Tahir.
Akhirnya,
Kamaruzaman terlena di celah-celah kegelisahannya.
Sepagi-pagi selepas usai solat subuh,
Kamaruzaman duduk di kerusi malas yang mengadap ke tingkap. Dia menyambung
menungannya. Dia masih melayan resahnya.
Dia terkenangkan Ahmad Adham dan
Kartina. ALLAH telah mengatur semuanya dengan yang terbaik. Kartina sudah
diberikan jodoh yang baik dengan Ahmad Adham. Muhayat sudah mendapat keluarga
yang bahagia. Namun, kenapa ALLAH masih mempertemukan mereka di saat-saat hari
tua mereka. Apakah hikmah yang sedang ALLAH tetapkan untuk semua itu?
Tiba-tiba telefonnya berdering. Tanpa
berlengah, dia menjawab dengan salam.
Diam. Senyap. Langsung tidak ada suara
dari hujung talian.
“Adham? Awakkah itu?” tanya
Kamaruzaman. Dadanya mula berdebar.
Tidak ada jawapan. Namun Kamaruzaman
tahu itu adalah panggilan dari Ahmad Adham. Nombor yang tertera adalah nombor
telefon Ahmad Adham.
“Saya tahu, itu awak. Adham, cakaplah
Adham.”
“Sampai hati awak, Zaman...” Tiba-tiba
suara Ahmad Adham kedengaran bergetar sebak.
“M... maafkan saya, Adham. Saya tak
berniat nak buat awak dan Tina bersedih. Niat saya tulus,” jawab Kamaruzaman,
ikut sebak.
“Awak tak perlu larikan diri dari kami.
Bukan awak penyebab semua yang berlaku. Awak tak bersalah. Hanya Muhayat yang
kurang sabar dan kurang periksa,” balas Ahmad Adham pula.
“Adham, jangan kata macam tu. Dia tak
salah.”
“Sudahlah Zaman. Kami tak nak fikirkan
hal itu lagi. Awak tak perlu buang kami dari hidup awak. Awak lupa janji kita
masa di Australia?”
“Maafkan saya. Saya memang tak pernah
lupa. Tapi...”
“Zaman, saya tak nak paksa awak. Kalau
benar awak dah bencikan kami berdua, tak apalah. Kami akan pergi jauh. Mungkin
itu lebih baik. Untuk awak dan Hayat,” potong Ahmad Adham dengan cepat.
“Adham, janganlah tinggalkan Muhayat
kerana saya. Dia masih mentah. Berikan dia peluang.”
“Kami memang sedang berikan dia
peluang, tapi awak? Awak langsung tak beri kami ruang dan peluang. Awak...”
Kali ini Ahmad Adham terhenti. Benar-benar dia dilambung rasa.
Kata-kata Ahmad Adham begitu mendera
Kamaruzaman semakin lara.
Dadanya bertambah gelora.
“Adham, saya minta maaf. Saya janji tak
buat lagi. Sampaikan salam saya pada Tina. Saya harap kita akan diketemukan
lagi,” kata Kamaruzaman, di celah esakan kecil.
“Saya akan datang ke sana. Kalau benar
awak jujur dengan kami, awak tak akan menolak kedatangan saya.”
“Datanglah. Bila-bila masa. Saya akan
tunggu awak. Dengan segala besar hati saya tunggu awak, Adham. Datanglah...”
kata Kamaruzaman bersungguh-sungguh. Dia memang berkata jujur.
Selepas talian dimatikan, hati Kamaruzaman
tiba-tiba mekar dengan rasa senang. Lalu dengan segera dia menelefon Firdaus.
Dia minta Firdaus uruskan kedatangan tetamu istimewanya itu.
Kemudian bibirnya menguntum senyuman.
Sangat senang.
“Abang nampak gembira ni, kenapa?”
tanya Rukiyah yang muncul di hadapan pintu.
“Ru, nanti kemaskan satu bilik. Abang
ada tetamu istimewa dari Ipoh.” Mata Kamaruzman bercahaya.
Rukiyah angguk. Namun dalam hatinya,
tertanya-tanya tentang siapakah gerangan yang istimewa itu. Mesti sangat
istimewa. Kalau tidak, takkan wajah Kamaruzaman begitu ceria gembira.
“Dia bekas isteri abang, Ru,” kata Kamaruzaman
dengan selamba.
Rukiyah tersentak.
“Isteri abang kan meninggal dunia.
Bekas yang mana pulak ni?” tanya Rukiyah, beranikan hati.
“Dia isteri pertama abang. Abang
ceraikan dia selepas berkahwin dengan isteri kedua. Masa tu abang masih muda.
Ikut darah muda. Buat keputusan ikut nafsu,” jawab Kamaruzaman, mengaku dengan
tulus.
Kali ini Rukiyah terlopong. Cerita ini
tidak pernah didengarnya sebelum ini.
“Kesian dia. Kerana saya dia bawa diri
hingga ke Ipoh.”
“Dia orang sini?”
“Ya. Orang Kota Tinggi. Tapi dia tak
ada keluarga. Dia dibesarkan oleh mak ciknya. Selepas kami kahwin, mak ciknya
meninggal. Kemudian abang pula aniaya dia,” jawab Ahmad Adham. Kali ini
suaranya perlahan. Dia menahan sebak.
“Ada anak?” Rukiyah semakin ingin tahu.
“Ada. Seorang anak lelaki. Sekarang dah
dewasa. Dah dua puluh lapan tahun. Saya baru saja kenal anak saya tu, Ru.”
Rukiyah semakin keliru. Memang sebelum
ini semua orang tahu, anak Kamaruzaman hanya Firdaus. Tidak pernah ada nama
lain selain itu.
“Maksud abang, sejak kecil abang tak
pernah jumpa dia?”
“Bukan saja tak pernah jumpa, malah
abang tak tahu pun abang ada anak. Ketika bercerai, rupanya Kartina mengandung.
ALLAH Maha Besar, sebelum abang tutup mata DIA ketemukan abang dengan anak
abang itu. Tapi...”
Wajah Kamaruzaman kembali muram.
Tiba-tiba kepiluan menjentik hati. Derap kaki kedengaran mendekat.
“Ada apa ni? Nampak serius saja?” Amin
masuk ke ruang tamu.
“Eh, kau naik apa Min? Tak dengar pun
bunyi enjin motor kau?” tanya Kamaruzaman cuba mengalihkan perhatian.
“Saya kayuh basikal bang. Motor saya
mogok. Ada di bengkel Wak Sam.”
“Eh, semalam abang nampak okey saja?”
“Malam tadi balik dari masjid dia
meragam sikit. Pagi ni, terus tak boleh hidup. Itu yang saya sorong ke bengkel
tu. Enjin dah tua, bang. Dah nak kena tukar Harley Davidson agaknya!” jawab
Amin dengan ketawa.
Kamaruzaman ikut ketawa. Semua kepiluan
yang baru menyentuh hati, relai.
“Apa yang abang dan Ru sedang bualkan?”
tanya Amin.
“Ada tetamu nak datang. Abang Zaman
minta Ru kemaskan bilik,” jawab Rukiyah.
Amin angguk. Dia nampak berpuas hati
dengan jawapan itu.
“Jadi ke rancangan kita nak ke rumah
Pak Tahir tu bang?” tanya Amin pula selepas lama berdiam.
“Eh, jadi. Kau dah cakap dengan mereka
kita nak datang?”
“Tak bang. Tak apa, kita pun belum
pergi sejak Pak Tahir keluar dari hospital.”
Hati Rukiyah tiba-tiba cuak. Bolehkah
hajat dan rancangan Kamaruzaman itu diteruskan selepas cerita yang baru
didengarnya itu?
KAMARUZAMAN duduk bersila
dengan selesa di lantai rumah papan itu. Di sebelahnya ialah Amin sementara Pak
Tahir dan Mak Jah duduk berdepan dengan mereka. Kemudian Siti Solehah keluar
dengan membawa sedulang minuman. Setelah meletakkannya dia masuk semula ke
dalam.
Mereka berbual santai. Minuman yang dihidang
juga dijamah dengan selera.
“Pak Tahir, kami datang ni ada hajat besar,”
kata Amin selepas segala gemuruh reda.
“Hajat apa, Min?” tanya Pak Tahir pula.
“Begini Pak Tahir. Abang Zaman ni cuba nak
bantu keluarga Pak Tahir. Dia kasihan tengok Siti yang terpaksa menoreh
sedangkan dia seorang yang pandai. Siti tak sepatutnya berada di kebun getah.
Dia sepatutnya ada di kampus,” jawab Amin.
“Benar tu Tahir. Abang simpati dengan nasib
keluarga ini dan masa depan Siti,” kata Kamaruzaman pula.
“Jadi?” Pak Tahir merenung semua tetamu.
Amin gelisah dan tidak berani meneruskan
kata-katanya. Dia menoleh kepada
isterinya Rukiyah. Masing-masing berpandangan. Kamaruzaman pula tunduk merenung
lantai. Dia juga sedang menahan kegugupan.
“Begini bang, kami datang kerana nak merisik
Siti,” kata Rukiyah, agak gugup.“Untuk siapa Ru?” tanya Mak Jah yang duduk
bertentangan dengan Rukiyah. Diam. Rukiyah menelan air liur.
Amin pula menahan debar di dada.
Kamaruzaman menatap wajah kedua-duanya dengan
mata mengharap.
“Untuk abang, Jah.” Kamaruzaman tahu memang
dia sedikit kurang ajar dan kurang adab dalam hal itu. Namun, dia terpaksa menutup
kegugupan Amin dan Rukiyah.
Pak Tahir dan Mak Jah saling berpandangan. Wajah
mereka mula berubah.
Amin dan Rukiyah menjadi gelisah. Debaran
jantung di dada masing-masing seperti ombak yang sedang membadai pantai di
musim tengkujuh. Kuat dan berhaburan!
Kamaruzaman pula cuba bertenang.
“Ru, Amin, apa maknanya semua ini? Kenapa
begitu sekali kamu berdua menghina kami... ” Tiba-tiba Mak Jah teresak. Esakan itu amat menyentuh tangkai
hati Rukiyah. Dia faham perasaan seorang ibu.
“Bukan macam tu Mak Jah. Kami tak ada niat nak menghina. Abang Zaman berniat jujur,” kata
Amin sambil membetulkan duduk. Dia rasa perlu membetulkan apa yang sedang
difikir oleh suami isteri itu. Tidak. Kamaruzaman tidak menghina. Dia ikhlas.
“Benar Jah. Abang jujur nak membantu. Tak ada niat lain selain membantu Siti,” kata
Kamaruzaman.
“Jujur yang macam mana? Siti tu baru 21 tahun!
Apa yang abang fikir? Siti tu macam anak abang
kan?” Suara Mak Jah meninggi. “Jah, dengarlah dulu,” kata Kamaruzaman pula.
“Nak dengar apa bang? Abang memang sengaja nak
hina kami. Mentang-mentang
kami miskin dan tak upaya, abang cuba ambil kesempatan.”
“Bukan macam tu, Jah. Sikitpun tak terniat di
hati abang nak buat macam tu,” balas Kamaruzaman, semakin tenang.
“Habis tu kenapa?” tanya Mak Jah semakin
kasar.
Kamaruzaman diam seketika. Dia tahu dia sedang
berhadapan dengan situasi sukar. Dia tahu dia perlu bermain dengan perasaan
seorang ibu.
“Abang buat ni semua demi rasa simpati dan tanggungjawab
sesama bangsa dan agama. Tidak ada cara untuk dia membantu keluarga ini.”
“Abang boleh bersimpati, tapi tak kan sampai
nak kahwin dengan Siti? Siti tu budak lagi, sedangkan abang...” Mak Jah tidak
sanggup menghabiskan ayatnya. Dia tunduk sebak. Dia rasa sedih dan terhina
sangat. Macamlah Siti itu barang yang boleh dibuat sesuka hati.
“Abang minta maaf, Jah. Tapi, Jah dengarlah
dulu cakap abang. Abang ada alasan yang logik dan dah fikir panjang sebelum
buat keputusan ini.”
Suasana sepi seketika. Pak Tahir, sejak tadi
hanya memerhati dan mendengar. Walaupun dia terkejut dengan permintaan
Kamaruzaman itu tetapi dia tidak tergesa-gesa menolak tanpa mendengar semuanya
hingga ke akhir bicara.
“Tahir, Jah, abang tahu kamu berdua mesti
terkejut dan anggap abang melampau. Sebenarnya, abang nak mengelak dari fitnah
orang. Abang nak Siti sambung belajar. Abang nak dia teruskan cita-cita dia.
Tapi, kalau abang nak bantu macam tu saja tentu Siti tak nak. Abang juga tak
nak ia jadi buah mulut dan fitnah orang. Jadi, lebih baik Siti jadi isteri
abang dulu. Kemudian dia baru sambung belajar. Abang janji tak akan aniaya dia.
Kalau dia dah berjaya, abang akan ikut apa yang Siti nak. Abang janji,” kata
Kamaruzaman bersungguh-sungguh.
Pak Tahir tunduk berfikir. Mak Jah mengesat air matanya.
“Betul tu Mak Jah. Siti sendiri tak nak terima pemberian tanpa
sebab. Betul kata Abang Zaman, kalau dia bantu begitu saja memang akan timbul
bermacam masalah dan fitnah orang. Tapi, kalau Siti menjadi isterinya hal itu
tidak akan berlaku. Abang Zaman nak Siti menyambung pelajarannya ke universiti.
Itu tujuan asalnya,” sokong Amin, sangat mengharap agar Pak Tahir dan Mak Jah
faham.
Mak Jah terdiam seketika. Apa yang difikirkan oleh Kamaruzaman
adalah logik. Namun, perlukah melalui perkahwinan? Apa kata masyarakat?
“Siapa kata tak ada fitnah, Min. Nanti mereka akan kata kami
menjual anak semata-mata nak cepat kaya. Satu kampung akan mengutuk dan mengata
kami,” kata Pak Tahir.
“Benar kata Pak Tahir kamu tu, Min. Kami akan semakin difitnah,”
kata Mak Jah pula.
“Kalau Mak Jah nak dengar cakap orang, sampai mati pun mereka tak
habis bercakap. Kalau kita senang pun mereka mengata, kalau susah mereka pun
tak tolong!” celah Rukiyah.
“Kami tak nak paksa Kak Jah terima lamaran ini. Berbincanglah
dengan Siti sendiri dan kami akan terima apa juga jawapannya,” kata Amin tidak
mahu mempertahankan hajat mereka.
“Benar Jah. Bincanglah baik-baik dengan Siti. Ini bukan hajat yang
mendesak. Ambillah berapa banyak masa.” Kamaruzaman menyampuk.
Siti Solehah mendengar semuanya dari sebalik pintu. Dia faham dan
tidak berkecil hati. Namun dia masih keliru dengan hajat Kamaruzaman itu.
Kenapa lelaki itu ingin membantunya? Apakah muslihatnya?
Beberapa hari hal itu senyap begitu sahaja. Mak Jah tidak
bersungut dan Pak Tahir pula tidak menyebutnya. Namun Siti Solehah masih
dilanda gelisah dan keliru.
Selepas sebulan, baru hal itu diperkatakan.
Malam itu, Pak Tahir berbaring sedangkan Mak Jah
mengurut-urut kakinya. Siti Solehah pula duduk di sebelahnya dengan tenang.
“Kita tak boleh nak biarkan orang tunggu keputusan kita.
Kita kena beri jawapan samada terima atau tidak,” kata Pak Tahir selepas
memberitahu Siti Solehah apa yang dihajati oleh Kamaruzaman.
“Kamu fikirlah Siti. Kami tak akan paksa kalau Siti tak
suka,” kata Mak Jah.
“Ayah memang tak nak Siti berkorban sejauh itu
untuk kami. Rasanya kami ni
melampau sangat jadi ibu bapa. Kalau kamu menolak pun kami tak akan marah dan
kecil hati. Fikirlah dulu.”
Siti Solehah hanya
tenang dan diam saja.
“Kita tolak saja
kalau Siti tak suka,” kata Mak Jah.
“Mak, berikan Siti
masa dulu. Banyak perkara yang Siti nak fikir. Nanti kalau Siti dah ada
jawapannya, Siti akan segera jawap.”
Akhirnya, Mak Jah
dan Pak Tahir terpaksa akur dengan permintaan Siti Solehah. Mereka tidak berani
memaksa. Tidak berani untuk membuat keputusan menerima dan menolaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan