Muhayat pulang dari ofis dengan lesu. Hari itu
dia rasa amat penat. Fikirannya pula amat bercelaru. Kenapa sejak akhir-akhir
ini, begitu banyak masalah yang tidak dapat diselesaikan dengan baik? Kenapa
dia selalu tidak tenang dan sering pula keletihan?
“Bik! Bawakan saya
jus oren,” katanya kepada Bik Suratmi yang taat membuka pintu.
Wanita Indonesia itu
patuh ke dapur. Tidak lama dia keluar dengan segelas jus oren. Dia meletakkan
di hadapan Muhayat.
“Bik, saya dengar
Mursyid dah balik. Mana dia, bik?”
“Tuan muda sudah keluar.
Dia bilang mungkin dia tidak pulang malam ini,” jawab Bik Suratmi sambil
berlalu.
Muhayat meneguk jus
oren. Kerongkongnya yang kehausan rasa sedikit lega. Dia menekan remote TV.
Kemudian dia menyandar dengan selesa di sofa.
Dia tahu Mursyid dan
Marsyila semakin renggang dengannya. Sejak Kamaruzaman keluar dari rumah itu,
diikuti dengan Ahmad Adham dan Kartina yang merajuk lalu keluar dari rumah itu
semuanya menjadi hambar.
Marsyila sengaja
larikan diri. Mursyid pula sering mengelak dari bertembung dengannya. Tidak ada
lagi ketawa mesra dan gurau senda. Hilang semuanya. Sekelip mata sahaja,
semuanya musnah!
“Awak kena pergi
minta ampun dari mereka. Awak kena betulkan semua dan jernihkan keadaan. Hanya
awak!” kata Asyikin setiap kali bertemu.
Dia termenung lama.
Dia mencari-cari sebab bermula semuanya. Benarkah dia yang bersalah? Benarkah
dia yang menghuru-harakan keadaan seperti apa yang diucapkan oleh Asyikin.
Dia tidak pernah
menghalau sesiapa. Mereka yang keluar meninggalkannya. Dan malam tadi, abahnya
menelefon.
“Abah Zaman nak
kahwin. Abah nak kita semua berkumpul. Syila dan Syid pun dah setuju nak
datang. Datang ya Hayat. Nanti abah berikan alamatnya.” Itu kata
abahnya.
Dia semakin bingung
dengan apa yang sedang mereka rancang. Lelaki yang muncul mengaku ayah
kandungnya, datang ke rumah itu dan cuba menggoda ibunya. Kemudian sekarang
abahnya sanggup tinggalkan rumah itu dan pergi tinggal dengan lelaki itu.
Sekarang, lelaki itu akan berkahwin dan mereka menjemputnya untuk memeriahkan
majlis.
“Huh! Tak sedar diri
betul. Dah tua-tua pun masih nak kahwin!” rungutnya dengan geram.
Dia cuba membuang semua
ingatan. Matanya cuba dipejamkan. Dia berharap wajah ketiga-tiganya tidak
mengganggu mindanya.
Hampir tengah malam,
telefonnya berdering. Panggilan dari Mursyid.
“Assalamualaikum abang.
Syid cuma nak beritahu. Abah masuk ICU. Kami dalam perjalanan ke
Johor. Terserahlah abang nak datang atau tidak. Tugas Syid hanya menyampaikan,
bukan memaksa abang. Abang orang cerdik pandai yang tahu berfikir. Fikirlah,”
kata Mursyid tanpa menunggu dia menjawab salam.
Kemudian suara Mursyid hilang!
Muhayat terpinga-pinga. Dia terkedu dan
bingung. Persoalan yang muncul dalam fikirannya ketika itu ialah: pergi atau
tidak.
“Bik!” panggil Muhayat.
Bik Suratmi terkocoh-kocoh keluar dari biliknya.
“Tuan nak makan ke?”
“Tak. Saya nak beritahu. Abah masuk
hospital. Ada di wad ICU.”
“Ya ALLAH! Tuan
besar sakit lagi?” Wajah Bik Suratmi berubah gusar.
Muhayat tunduk diam.
Fikirannya masih bercelaru.
“Tuan tak mahu
pergi?” Bik Suratmi cuba menduga. Dia sedia maklum akan krisis yang sedang
berlaku di rumah besar itu. Dia juga sedia faham sikap keras hati Muhayat yang
tidak mahu mengalah.
“Bik, patutkah saya ke sana?” tanya
Muhayat. Dia rasa perlu berkongsi keresahannya dengan wanita itu. Walaupun dia
hanya seorang pembantu rumah, tetapi mereka sekeluarga tidak pernah menganggapnya
begitu. Bik Suratmi sebahagian dari keluarga itu. Abah dan ibunya sangat
sayangkan Bik Suratmi.
“Memang tuan kena
pergi. Ajal maut
kita tak tahu. Tuan dah selalu sakit, tapi ALLAH belum nak ambil nyawanya. Mana
tahu kali ini...” Bik Suratmi tidak berani untuk menghabiskan ayatnya. Dia mula
sebak. Semua kebaikan majikannya tidak terucap dengan kata-kata.
“Bik...” Muhayat merintih. Ketika itu air
matanya kelihatan mula berlinangan.
Hati Bik Suratmi tersentuh. Akhirnya dia
dapat melihat wajah sebenar Muhayat sebagai seorang anak.
“Saya sangat
sayangkan ibu dan abah. Saya tak sanggup nak bayangkan saya kehilangan mereka
untuk selama-lamanya.”
“Kalau macam tu,
tuan harus segera ke sana sebelum terlambat.”
“Bik, saya tahu saya
anak yang jahat, bik. Ibu terlalu baik dan banyak berkorban untuk saya. Abah
saya pula sangat mengasihi saya hingga saya tak rasa dia tu bukan darah daging
saya. Namun, kenapa hati saya begitu kejam melukakan hati dan perasaan mereka.
Kenapa bik?” Muhayat menutup mukanya dengan kedua telapak tangannya. Tidak lama
tangisan Muhayat pecah seperti deburan ombak memecah di pantai. Sangat menyayat
hati.
“Tuan, jangan
menangis begini. Sepatutnya tuan menyerah diri kepada ALLAH dan berdoa agar
kedua orang tua tuan berada dalam keadaan baik,” kata Bik Suratmi tanpa melihat
ke arah Muhayat. Dia tidak sanggup melihat Muhayat dalam keadaan begitu. Dia
kenal kebaikan budi Muhayat sebelum berlaku semua perselisihan faham itu.
“ALLAH pun sudah
benci kepada saya bik. Saya anak derhaka! Saya anak yang tak mengenang budi... saya
anak yang jahat...” rintih Muhayat dengan tangisan yang semakin mendayu.
“Tuan, jangan bilang
begitu. Jangan sekali-kali berprasangka buruk kepada ALLAH. Kita ini hanya
hamba yang lemah dan tidak berdaya. ALLAH Yang Memiliki segalanya. DIA
Yang Maha Tahu dan Maha Mengasihani.
Mintalah ampun pada DIA, tuan.”
Nurani Bik Suratmi
amat tersentuh. Rintihan dan air mata Muhayat dilihat amat tulus dan menggugat
kerinduannya.
Dia teringat kepada
anaknya Agus di Surabaya. Muhayat sebaya Agus. Cuma Agus hanya pemuda
desa yang kerjanya bertani. Dari zaman kanak-kanak Agus sudah berkawan dengan
matahari. Kini Agus sudah menjadi seorang ayah kepada tiga orang anak.
Melihat air mata
Muhayat mengalir kerana merindukan ibunya, Bik Suratmi terasa seolah-olah Agus
yang sedang merintih dan memanggilnya pulang.
‘Oh Agus anakku...’ getus hati Bik
Suratmi. Namun dia segera sedar. Dia harus memadamkan rindunya.
Dia datang untuk mencari rezeki. Dia perlu membantu Agus membina masa depannya.
“Bik, mahukah mereka
terima saya selepas derhaka kepada mereka?” Muhayat merenung mata Bik Suratmi,
mencari jawapan yang jujur.
“Anak adalah harta
ibu bapa. Sejahat mana pun seorang anak, ibu bapa tidak akan membuangnya dari
hati mereka.”
Muhayat termenung. Dia memang begitu
kebingungan. Dia seperti baru tersedar dari tidur yang lena.
"Belum terlambat
untuk tuan pergi minta ampun dari mereka. Tuan Adham, Nyonya
Kartina dan Tuan Kamaruzaman itu orang baik dan alim. Mereka tak akan lakukan
perkara yang ALLAH tak suka. Sebab itu syaitan sangat bencikan mereka,” kata
Bik Suratmi, tulus.
“Apa maksud bibik?”
“Syaitan menghasut
tuan agar benci kepada ibu bapa sendiri. Syaitan masuk ke dalam hati tuan agar
berdendam dan bermusuhan dengan ibu yang melahirkan tuan. Lalu ALLAH murka
kepada tuan dan syaitan ketawa kerana tuan akan bersama-samanya ke neraka.”
Jawapan Bik Suratmi
itu seperti menampar pipinya. Muhayat benar-benar rasa kesakitan.
“Istighfarlah tuan.
Halau semua iblis dan syaitan yang ada dalam diri tuan. Pergi minta ampun
kepada ibu bapa tuan sebelum ALLAH lebih murka dan menjatuhkan hukuman-NYA,”
sambung Bik Suratmi, tenang.
Muhayat kagum dengan
kata-kata pembantu rumahnya. Bik Suratmi sebaya ibunya, Kartina. Dia seorang yang rajin, amanah dan beriman.
Sebab itu, memandang wajahnya seperti melihat satu cahaya yang menyejukkan
mata.
“Saya akan ikut cakap bibik. Saya akan
pergi sekarang. Terima kasih bik, kerana menjadi ibu ketika saya perlukan
nasihat dan kasih sayang ibu saya,” kata Muhayat. Dia bangun dan membetulkan
dirinya. Dia nampak bersemangat.
“Saya doakan tuan dirahmati ALLAH. Kirim
salam saya kepada tuan besar dan nyonya. Katakan, saya tunggu mereka balik.
Rumah ini sunyi tanpa mereka,” balas Bik Suratmi dengan senyum senang. Dia rasa
sangat gembira kerana berjaya memujuk Muhayat. Dia terbayang wajah gembira
Kartina kalau tahu Muhayat sudah berubah.
Muhayat segera masuk ke bilik. Tangannya
dengan cepat menarik beberapa helai baju dan memasukkan ke dalam sebuah beg
kecil. Dia menekan nombor telefon Asyikin.
“Saya nak ajak awak ke Johor malam ini
juga,” kata Muhayat.
“Kenapa?”
“Abah saya sakit tenat. Kita perlu segera ke
sana. Saya tak berani nak pandu sendirian dalam saat macam ni. Tolong temankan
saya.”
“Baiklah. Datang
ambil saya. Saya bersiap sekarang!” kata Asyikin memberi kata setuju.
Muhayat mematikan
talian. Dia tahu Asyikin gadis yang baik dan tidak akan membiarkan dia menghadapi semua situasi yang bakal dihadapi,
sendirian. Lantaran itu, cintanya kepada Asyikin tidak pernah berubah walaupun
berbagai dugaan dan cabaran datang mengganggu hubungan mereka.
Ketika Muhayat dan
Asyikin sampai di Hospital Pontian, hari sudah menjelang subuh. Dia tidak mahu
berlengah. Tidak mahu menunggu siang.
“Kita tunggu siang,”
kata Asyikin.
“Tidak. Kita mesti
masuk sekarang. Saya tak
nak bertangguh lagi. Dari jauh saya datang sebab nak ucapkan kata maaf ini.
Saya nak bersihkan diri saya dari dosa. Mari, kita masuk sekarang!” Muhayat
menarik tangan Asyikin.
Asyikin akur. Dia mengikut langkah
kekasihnya itu dengan hati yang senang dan bahagia. Beberapa bulan hubungan
mereka menjadi renggang dan tidak keruan kerana sikap Muhayat. Sekarang,
semuanya akan berakhir.
Ahmad Adham sedang tidur lena. Kartina juga terlena
di sebelah katilnya. Namun ketika pintu ditolak, Kartina segera membuka mata. Kepalanya
diangkat. Berkali-kali dia menenyeh mata. Dia seperti tidak percaya dengan
matanya.
“Hayat ke tu?” tanya
Kartina dengan curiga.
Muhayat tidak menjawab.
Sebaliknya dia terus berlari ke arah Kartina dan duduk memegang lutut ibunya.
“Ya ALLAH! Anak
ibu... akhirnya kau datang juga!”
“Ibu, ampuni Hayat.
Tolong ampuni anak derhaka ini... tolong ibu...” kata Muhayat dengan pilu. Tiba-tiba
tangisan mengiringi ungkapan kata-katanya.
Hati Kartina
tersentuh. Luluh seluruh rasa kecil hatinya sejak berbulan-bulan. Dengan cepat
tubuh anak itu ditarik ke dalam pelukannya. Air matanya menitik.
“Sungguh lama ibu
tunggu saat ini. Rindunya hati ibu hanya ALLAH Yang Tahu. Kenapa lambatnya
Hayat datang? Ibu hampir putus asa... ibu ingat ibu tak akan jumpa Hayat
lagi...”
“Ampuni Hayat...”
tangis Muhayat lagi.
Tangisan itu semakin
mendayu dan tangisan itu menyentuh kuping telinga Ahmad Adham. Dengan perlahan
dia cuba membuka matanya. Walaupun amat berat, namun dia berjaya juga.
“H... Hayat...” bisik Ahmad Adham dengan
bibir yang terketar.
Muhayat terus mendekat. Tangan Ahmad
Adham dicium dan dia merebahkan dirinya ke dalam pelukan abahnya.
“Hayat minta ampun, abah. Hayat memang
anak yang tak mengenang budi! Abah, ampunkan anakmu yang derhaka ini,” rintih
Muhayat.
Ahmad Adham membalas pelukan Muhayat dan
mengusap-usap kepalanya.
“Abah tahu, Hayat anak yang baik. Abah
tahu Hayat pasti akan datang. Abah dah ampunkan Hayat dah. Tak pernah pun abah
simpan di hati,” kata Ahmad Adham dengan suara berbisik.
“Ibu, hukumlah anakmu yang biadap ini,”
kata Muhayat mendongak kepada Kartina.
“Abah, ampunkan Hayat... Hayat lalai
seketika dalam menilai kasih sayang abah.”
Tangis Muhayat mula
reda. Dia mengesat air mata yang merembes dan duduk dengan tenang.
“Abah, kita pindah
hospital ya. Kita balik ke Ipoh,” kata Muhayat. Tangannya masih menggenggam
tangan Ahmad Adham.
“Hayat, abah akan
tetap di sini. Pernikahan Abah Zaman kamu minggu depan. Abah nak hadiri majlis
itu. Kita semua akan raikan dia,” balas Ahmad Adham.
Muhayat termenung.
“Hayat, dia akan mulakan hidup baru. Kita kena beri
sokongan pada dia,” sambung Ahmad Adham.
Muhayat masih diam,
termenung.
“Kenapa Hayat
termenung? Hayat tak nak ke majlis tu? Hayat tak nak minta ampun
pada Abah Zaman?”
“T... Tak. Bukan macam
tu. Tapi nak ke Abah Zaman maafkan Hayat?”
“Dia abah kandung
Hayat. Berilah dia peluang untuk merasai kasih sayang Hayat. Dia tak ada anak
yang lain selain Hayat. Itu permintaan abah,” ucap Ahmad Adham, perlahan.
Muhayat masih termenung dan berwajah
keliru. Kartina menggenggam tangan anaknya. Dia cuba memberikan kekuatan dan
menghapuskan semua kekeliruan itu.
Kamaruzaman datang selepas Kartina
menghubunginya. Ketika dia menolak pintu, matanya terpaku melihat Muhayat
sedang menyuapkan air ke mulut Ahmad Adham sambil rancak berbual. Kartina di
sebelahnya kelihatan sangat riang dan gembira. Suasana itu sangat mesra dan
sungguh ceria.
Kamaruzaman cuba berundur langkah. Dia
tidak mahu mengganggu suasana itu.
“Zaman! Awak nak ke mana? Marilah. Dari
tadi saya tunggu awak. Anak kita dah datang ni.” Tiba-tiba suara Ahmad Adham
memanggil.
Langkah Kamaruzaman terhenti. Dia menoleh
dan melambai tangan.
“Saya tunggu di luar. Maafkan saya,”
katanya, cuba tersenyum. Tanpa menunggu lama, dia terus menutup pintu dan
berjalan jauh dari bilik itu.
Dadanya sebak. Kerongkongnya perit.
Air matanya mula bergenang.
Dia gembira kerana
Ahmad Adham dan Kartina gembira bertemu Muhayat. Dia bahagia melihat mereka
bahagia. Lalu dia berjanji tidak akan merosakkan kebahagian mereka lagi. Lalu
dia mengambil keputusan untuk duduk di ruang menunggu, jauh dari bilik rawatan
Ahmad Adham. Dia akan menunggu dan melepaskan sebaknya di situ.
Lama dia tunduk. Lama dia mencari kekuatan untuk dirinya.
“Assalamualaikum,
a... abah...” Satu suara memberi salam. Kamaruzaman segera mengangkat muka. Dia
terpaku. Matanya bertembung dengan mata Muhayat. Seluruh tubuhnya kaku. Dia
tunduk semula, cuba melarikan resah yang membadai.
“Begitu besar dosa
Hayat kepada abah, hingga abah langsung tak sudi memandang wajah Hayat.”
Dada Kamaruzaman
bergemuruh. Dia semakin tunduk seolah-olah dia takut untuk mendongak.
“Apakah dalam hati
abah, langsung tak pernah ada nama Hayat?”
Hati Kamaruzaman
retak pilu.
“Mungkin Hayat ni
anak yang tak diharapkan. Sebab itu, sejak lahir sampai kini abah tak mahu
memandang Hayat. Abah biarkan Hayat mengasihi orang lain ketika abah perlukan
kasih Hayat. Abah relakan orang lain yang membelai Hayat di saat seorang anak
perlukan kasih sayang dan belaian ayahnya....” Rintihan Muhayat tenggelam
bersama rasa sebaknya.
Tubuh Kamaruzaman
mula menggigil. Dia cuba menahan getaran hatinya. Namun, saat itu dia sudah tidak
mampu lagi. Akhirnya rasa pilu menjadi badai yang menghempas pantai hatinya.
Dia menangis. Dia teresak-esak. Kemudian dia mengongoi.
Muhayat segera
memeluk tubuh Kamaruzaman. Dia melepaskan tangisnya di bahu Kamaruzaman. Mereka
bertangis-tangisan. Mereka lupa keadaan sekeliling.
“Maafkan ayah yang
tak guna ini, Hayat. Maafkan ayah yang tak bertanggungjawab ini...” rintih
Kamaruzaman di celah esakannya.
“Ampuni juga anak
yang biadap ini. Ampuni anak derhaka ini. Hukumlah anak yang tak guna ini,
abah. Hukumlah...” kata Muhayat pula.
Pelukan mereka
bertambah erat. Kamaruzaman melepaskan rindunya yang tersimpan lama. Muhayat
pula menerimanya dengan rasa bahagia yang melimpah. Air mata menjadi saksi
untuk pertemuan itu.
Kamaruzaman
melonggarkan pelukannya. Dia menyapu wajah Muhayat yang basah.
“Maafkan abah. Abah
nak Hayat percaya pada satu perkara.”
“Apa dia, abah?”
“Bahawa abah memang
benar-benar tak tahu Hayat lahir ke dunia ini. Kalau abah tahu, dah lama abah
cari Hayat dan ibumu.”
Muhayat tersenyum.
Dia menarik tangan Kamaruzaman dan
mengucupnya.
“Kamu mesti tak
percaya dan ingat abah dah tipu kamu kan?” tanya Kamaruzaman, sambil merenung
wajah Muhayat.
“Hayat percaya,
abah. Syukurlah. Biarpun kita terlambat bertemu tapi tak terlambat untuk kita
mulakan hidup baru. Sekali lagi Hayat minta maaf kerana mencurigai abah dan
ibu. Hayat dirasuk iblis!” jawab Muhayat.
“Tak apa. Abah tahu
kamu tak berniat begitu.” Kamaruzaman mengusap kepala Muhayat. Dia
teringat kepada Firdaus. Semasa kecil Firdaus sangat manja dengannya
dan sering minta diusap kepalanya.
“Abah, mari kita ke bilik Abah Adham. Dia
dah lama tunggu sahabatnya ini,” kata Muhayat sambil memimpin Kamaruzaman
bangun.
Dengan senang hati, Kamaruzaman akur.
“Apa khabar awak hari ni Adham?” tanya
Kamaruzaman ketika masuk ke bilik Ahmad Adham.
“Saya dah baik. Saya nak balik hari ni.
Banyak benda yang saya nak buat,” jawab Ahmad Adham dengan senyum, ceria dan
sangat gembira.
“Eh, awak ni.
Rehatlah dulu di sini. Biar awak benar-benar sihat dulu baru kita balik,” balas
Kamaruzaman.
“Nanti saya tak
sempat nak beli baju baru yang sedondon dengan Tina,” kata Ahmad Adham.
“Nak buat apa baju
sedondon tu bang?” tanya Kartina dengan hairan. Rasanya dia tidak
merancang apa-apa program.
“Tina, awak lupa ke? Kita kan nak jadi pengapit pengantin minggu depan?”
Kartina ketawa
mengekek.
Wajah Kamaruzaman
berubah merah padam. Dia rasa sangat malu. Terutama kepada Muhayat yang sedang
merenungnya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan