Dia tidak inginkan perpisahan, dia
tidak ingin hidup sebagai janda. Gelaran
yang amat ditakutinya. Pandangan
masyarakat dan keluarga perlu diambil kira.
Sehingga ke hari ini dia tidak berani memberitahu keluarganya mahupun
keluarga mertuanya akan penceraiannya dan suami. Bukan sengaja merahsiakannya tetapi dia tahu,
jika diberitahu kepada mereka pasti ramai yang menghalang. Biar hidup bersuami dari hidup sebagai janda. Itulah
anggapan mereka. Mereka tidak
tahu apa yang dia alami dan terpaksa hadapi.
Cahaya matahari memancar terik,
hembusan angin terasa membahang di
kulitnya. Setelah membayar jumlah duit
tebus talak yang diminta, bekas suaminya terus menghilangkan diri. Dia terpaksalah mendaki kaki tangga bas untuk
pulang ke rumah. Keretanya sudah pun
dijual untuk membayar duit tebus talak tersebut. Dia juga tidak meminta duit nafkah untuk
anak-anaknya. Razif tidak bekerja, mana
mungkin mampu membayar duit nafkah tersebut.
Biarlah. Semoga bekas suaminya itu akan berubah satu hari nanti. Itulah harapannya. Biar buruk perangai sekalipun sikap dan
perbuatan Razif, tidak boleh dinafikan lelaki itu tetap ayah kepada
anak-anaknya. Dia tidak akan memutuskan
hubungan itu. Hubungan sehingga ke
akhirat.
Riana mengeluh. Sukar juga untuk bergerak jika tiada
kenderaan sendiri. Dia perlu
bersabar. Dia perlu bangkit membina
kehidupan baru dia dan anak-anak. Tidak
mahu mengalah dengan takdir yang telah ditentukan untuknya. Reda dan bersabar dengan dugaan yang sedang
ditempuhinya. Semoga ALLAH SWT memberi
kehidupan yang baik buatnya di masa hadapan.
Langkahnya mati di muka pintu ketika
terpandangkan wajah kelat Marlia. Serba salah jadinya. Tidak tahu apa yang harus diterangkan kepada anak
gadisnya yang sedang meningkat dewasa.
Masih memerlukan perhatian dan bimbingan serta didikan daripadanya. Dengan nafas yang memberat di dada, Riana
melangkah masuk. Dia menapak mendekati
Marlia yang duduk berpeluk tubuh di sofa yang semakin usang warnanya. Keluhan dilepaskan perlahan. Kenapa pula Marlia tidak ke sekolah hari ini?
Tadi dia sudah tinggalkan pesan dengan jiran sebelah untuk tengok-tengokkan
Marlia. Iqmal masih di sekolah.
“Kenapa Marlia tidak ke sekolah?”
tanya Riana sambil tanganya mengulas lembut rambut anak gadisnya yang separa
bahu. Tidak berikat dan dibiarkan
mengerbang. Wajah itu ditenung lama,
berkerut, muram dan suram.
“Mama dan ayah dah bercerai?” tanya
Marlia keras.
“Kenapa?” soal Riana.
Dia tahu Marlia tahu apa yang berlaku, dia tahu Marlia juga tahu sikap sebenar Razif. Dia tidak marahkan anaknya jika kasih sayang
yang telah terbina sejak dalam kandungan tidak mampu dinyah pergi. Marlia
berhak menyayangi Razif sehingga ke akhir hayatnya. Itu hak Marlia. Sebagai seorang ibu yang bijak tidak
sepatutnya memisahkan hubungan anak dan ayah.
Cuma dia berharap Razif tidak mempengaruhi Marlia untuk turut terlibat
dalam anasir jahat dan pemusnah kehidupan itu.
“Kenapa mama sanggup berpisah dengan
ayah? Marlia tidak suka hidup tanpa
seorang ayah! Marlia tidak suka keluarga
kita pincang!” jeritnya. Bergema suaranya memenuhi ruang rumah itu.
“Marlia! Mama buat bersebab, kenapa
tidak mahu memahami masalah mama? Tak
nampakkah apa yang berlaku dengan ayah?
Kenapa Marlia bersikap kurang ajar dengan mama? Mama tidak pernah ajar semua ini!”marah Riana
dengan mulut celupar Marlia.
Dia
menarik nafas dan melepaskannya perlahan.
Tidak sepatutnya dia bersikap seperti itu. Apalah Marlia faham tentang kehidupan orang
dewasa. Masalah yang terbeban tidak mungkin terbayang di fikirannya. Dia tidak
salahkan Marlia jika bersikap seperti itu.
Cuma dia tidak suka Marlia meninggikan suara. Itu bukan caranya seorang anak bercakap
dengan seorang ibu atau orang tua.
Hormat tetap kena hormat, biar bagaimana keadaan sekalipun. Tiada kompromi dalam hal ini.
“Marlia nak ayah! Marlia malu dengan
kawan-kawan kalau tidak ada ayah!” kata Marlia dengan mata berkaca. Menahan duka di dalam hati.
“Marlia…
ayah tidak bertanggungjawab terhadap kita. Kenapa Marlia tidak faham? Cubalah
belajar memahami orang lain. Terutama mama Marlia sendiri!” Ada ketika boleh hilang sabar dengan sikap
degil anak sulongnya itu.
“Kalau cikgu tanya, mana ayah? Apa Marlia nak jawab? Marlia malu! Malu!” Marlia menangis teresak-esak.
Riana pantas memeluknya erat. Cuba menenangkan perasaan anak gadisnya
itu. Dia mengeluh berat. Berat beban yang terpaksa ditanggung
olehnya. Berat lagi masalah yang bakal
mendatang. Janganlah Marlia menyimpan
dendam terhadap dirinya. Dia juga tidak
mahukan perpisahan ini, tapi sampai bila?
Sudah tidak tertangung olehnya.
Sudah tidak tergamak melihat perbuatan bekas suaminya itu di hadapan
mata. Malu pada jiran tetangga, malu
pada diri sendiri. Dia tidak mampu
mengubah apa-apa. Hanya Razif yang mampu
mengubah dirinya sendiri.
“Biar mama beritahu pada cikgu,
Marlia jangan bersikap seperti ini. Masa
hadapan Marlia masih jauh dan berliku.
Pelajaran penting untuk menentukan masa hadapan yang baik. Orang yang
berilmu lebih dihormati. Marlia tidak
perlu berduka. Apa yang berlaku dengan
ayah dan mama, bukan masalah Marlia dan bukan kehendak kita juga,” terang Riana
mengharapkan pengertian daripada Marlia.
Pengertian yang amat bermakna buat dirinya. Buat mereka sekeluarga.
Marlia memandang wajah Riana dengan
mata membulat, air mata mengalir laju, esakan terdengar perlahan seperti
menahannya. Bibirnya bergetar. Marlia menolak tangan Riana dan berlari masuk
ke dalam bilik.
“Marlia!” Riana cuba menahan namun
tidak mampu. Dia hanya mampu
mengeluh. Tidak mahu terlalu
mendesak. Biarlah Marlia bertenang
sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan