Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat.
Sabtu pagi.
Salimah mengebas kain-kain pelikat Abdul Ghani dan kain batik miliknya
sebelum menyangkutnya dengan penyepit di tempat menyidai baju. Suasana pagi di
kampung Peserai Pantai itu masih lagi sunyi. Anak-anak yang masih di bangku
sekolah, mungkin masih lagi lena tidur kerana hari ini hari minggu. Salimah
menjengah pintu dapur rumah Nora yang masih bertutup rapat. Tempat Salimah
menyidai baju itu terletak diantara rumahnya dan rumah Nora.
Waktu baru menunjukkan ke pukul 8.00
pagi. Setelah selesai menunaikan solat subuh, Salimah turun ke dapur untuk
menyiapkan sarapan pagi. Tetapi hasratnya terhenti apabila melihatkan
menantunya Fidah sudah pun menyediakan nasi goreng untuk mereka bertiga. Sedang
Salimah membancuh kopi susu untuk suaminya, kedengaran tangis Khairul Naim di
dalam bilik. Disuruhnya Fidah melihat anak kecil itu sementara Salimah menyediakan
meja makan untuk Abdul Ghani bersarapan apabila pulang dari surau nanti.
Setelah bersarapan
bersama-sama, Abdul Ghani pergi ke rumah ayah dan ibunya. Menghantar nasi
goreng dan kemudian akan terus ke pasar. Khairul Naim pula sudah siap dimandikan
dan sekarang mungkin sedang menyusu. Sedang Salimah menyidai baju-baju kecil
cucunya, kedengaran pintu belakang rumah Nora berkeriuk dan kemudian terbuka. Tersembul
muka Nora sambil di tangan kanannya mengangkat sebaldi baju yang sudah siap di
basuh. Dia berjalan ke arah Salimah sambil batuk-batuk kecil seperti cuba
melegakan kerongkongnya.
“Hah Nora...lambat kau menyidai hari
ni? Selalunya pagi-pagi lagi kau dah siap sidai baju,” tegur Salimah kepada
Nora yang mula mengambil pakaian pertamanya untuk disangkut pada penyidai baju.
“Nora kesiangan kak.
Subuh terbabas,” Nora menjawab dengan nada kesal.
“Dah terlanjur qada`kan subuh, Nora buat sekali solat dhuha. Itu yang
lambat menyidai ni,” terang pula.
“Ohh...kau tidur lambat
sangat agaknya. Kita dah berumur ni, Nora, kalau tidur lewat sikit, memang
jawabnya kesianganlah.”
“Nak kata lewatlah tu,
taklah juga Kak Uda. Berita pukul dua belas belum habis, saya dah terlelap
rasanya. Sedar-sedar, dah pukul dua, tv terpasang lagi. Bangun tutup suis tv
dan terus sambung tidur semula. Nora makan ubat batuk agaknya, tu yang tak
sedarkan diri tu.”
“Eh, kau ni, dah lama
akak rasa kau asyik cakap makan ubat batuk. Batuknya tak baik-baik ke Nora?”
Tanya Salimah runsing. Seingatnya, sedari Khairul Naim lahir, jirannya itu
mengadu yang dia batuk-batuk.
“Haah Kak Uda. Memang
dah lama jugaklah saya batuk tak baik-baik. Dah macam-macam saya cuba. Madu
dengan dengan buah lemon. Limau nipis dengan kicap. Ubat batuk Woods. Tadi malam, saya dah makan ubat
batuk cap ibu dan anak. Kurang jugaklah sikit. Bolehlah saya buat tidur. Nanti
karang, datang lagi. Tapi malamlah yang teruk Kak Uda. Siang ni, kurang sikit,”
jelas Nora dengan panjang lebar perihal sakitnya kepada Salimah yang berkerut
kening mendengarnya.
“Kalau dah lama sangat
macam ini, pergilah jumpa doktor, Nora. Risau pulak akak. Kau tu, jarang sakit.
Orang kata, orang yang jarang sakit ni, sekali sakit menyerang, terus macam nak
tumbang,” Salimah menyarankan.
Segala sakit pening Nora itu sudah
menjadi tanggungjawabnya juga untuk diambil tahu kerana Nora hidup sendiri.
Semua saudara-maranya jauh dari Batu Pahat. Salimahlah insan yang paling dekat
dengannya.
“Saya rasa memang kena
jumpa doktor jugaklah Kak Uda. Makan pun dah pantang. Kacang tak makan, benda
sejuk-sejuk, saya tak ambil. Bila batuk, dada saya macam rasa sempit sangat.
Macam susah hendak bernafas,” adu Nora.
Salimah mendengar
dengan khusyuk. Dia memang sayangkan Nora yang dianggap seperti adik sendiri.
“Rabu minggu depan, si Fidah ni kena
bawa Naim pergi klinik kesihatan untuk cucuk umur sebulan. Kau ikut Kak Uda
sekalilah ke hospital eh. Abang Ghani kata, dia nak sewa kereta Sahak.”
“Ohh...hmm, boleh
jugalah Kak Uda, sekali jalan eh. Nanti Nora tolong bayarkan minyak,” Nora
tidak berfikir panjang dan terus bersetuju. Sejak akhir-akhir ini, dia tidak
suka keluar bersendirian. Dia lebih suka berteman. Sebelum-sebelum ini, Adiklah
yang menemankannya.
“Eh apalah kau nak
menuangkan minyak pulak? Ikut sajalah,” Salimah berkerut kening memandang Nora.
Nora ini memang tidak pernah berkira dan sentiasa banyak memberi kepada
keluarganya.
“Iyalah, Abang Ghani
dan bayar sewa kereta, biarlah saya tuang minyaknya, Kak Uda. Akak dengan abang
banyak nak guna duit. Nak buat belanja Alia di KL, buat belanja rumah lagi.
Akak dah ada cucu dengan menantu sekarang ni,” Nora mengingatkan. Dia tahu
susah senang Salimah dan Abdul Ghani. Bukan sehari dua mereka berdua berjiran.
Salimah memandang Nora.
Terasa sayu dia dengan sikap keprihatinan Nora kepada keluarganya. Nora ini
memang tidak pernah berkira sejak dari kecil hinggalah dia digelar janda kaya.
Anak-anaknya terutama sekali Adik dan Kasih Alia itu memang selalu makan minum
malah tidur baring di rumah Nora.
Sedang Salimah
menyiapkan tugasan menyidai baju-baju ahli keluarganya, kedengaran di halwa
telinga mereka bunyi enjin motor Khalid diberhentikan di hadapan rumah.
“Kalau tak salah, itu
macam bunyi enjin motor Khalid tu, Kak Uda,” Nora yang juga sudah menyiapkan
sidaiannya menangkap bunyi enjin motor Khalid yang membingitkan telinga.
“Haah Nora. Panjang
umur dia. Dah seminggu tak tahu nak jenguk anak bini,” getus Salimah. Dadanya
berombak kencang menahan marah. “Akak masuk dululah eh Nora. Nanti, kau tak
payah masak tengahari Nora, makan sini aje. Akak masakkan singgang halia eh. Kau
batuk waktu malam tu, sejuk agaknya.”
“Eh, tak payah
susah-susahlah Kak Uda. Akak banyak benda lain lagi nak buat. Nanti Nora masak
sendiri,” tingkah Nora dengan nada lembut. Dia tahu Salimah sibuk dan banyak
perkara lain yang perlu diuruskan.
“Mana ada susahnya?
Akak memang nak masak singgang untuk si Fidah. Nak memberi kau ikan sekeping
dua, tak luaknya, Nora.” Salimah masih tetap dengan pelawaannya.
“Terima kasih Kak Uda,”
Nora terharu dengan pelawaan Salimah. Salimah itu juga sudah dianggap sebagai
saudara sendiri. Jika dia sakit pening, Salimah dan suaminya lah yang
membelikan ubat atau meminta Kasih Alia menemankan dia tidur di rumah.
Salimah sudah bergerak untuk masuk
ke rumah ketika Nora memanggilnya dan membuatkan dia berpaling.
“Kak Uda...akak jangan marah-marah
kat si Khalid tu, kak. Takut melenting pulak dia.” Sempat Nora berpesan dalam
nada yang perlahan. Dia amat mengenali sikap dan perangai anak sulung Salimah
itu. Panas baran dan cepat melenting. Bukan sehari dua dia mengenali Khalid.
Sejak anak itu kecil sudah nampak panas barannya.Yang menjadi mangsa bulinya
adalah Adik. Nora kenal sangat.
Salimah mengangguk perlahan. Dia
sedikit pun tidak merasa kecil hati dengan pesanan Nora itu. Tetapi sebenarnya,
jika diikutkan kata hati, Salimah memang mahu mengamuk. Mahu dibasuh Khalid
cukup-cukup. Kalau boleh, mahu saja dirotan-rotan Khalid itu walaupun dia sudah
besar panjang.
Besen biru tempat dia meletak
pakaian basuhan itu disandarkan di tepi pintu bilik air. Salimah terus ke peti
sejuk. Membuka pintu peti sejuk itu dan mengeluarkan sayur, halia, kunyit dan beberapa
keping ikan parang yang terletak di tempat simpanan sejuk beku. Kemudian
Salimah mengambil pula beberapa biji bawang merah, bawang putih dan bawang
besar. Dia tidak kuasa hendak menyapa Khalid yang pada pengamatannya sedang berada
di bilik. Sejak enjin motor dimatikan, dia sedikit pun tidak mendengar Khalid
memberi salam. Mesti anak itu terus sahaja masuk ke rumah.
Entah dimana silap dia dan Abdul
Ghani, Salimah tidak tahu. Mengapa lain benar perangai anak sulungnya itu?
Mengapa Khalid tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya?
Kadang-kadang, Salimah merasakan yang Kamaruddin anak keduanya itu yang
bertindak sebagai anak sulung. Kasih Alia yang bongsu dan anak perempuan
tunggal itu pun nampak lebih bertanggungjawab dari Khalid.
“Mak...ayah mana?” tanya Khalid
ketika menuruni tangga untuk turun ke bahagian dapur. Salimah yang sedang
mengupas bawang-bawang, memandang wajah Khalid dengan pandangan yang tajam.
Dibiarkan pertanyaan Khalid tidak berjawab.
‘Bukan tahu hendak beri salam. Salam
cium tangan kita pun tidak.’ Getus Salimah di dalam hati.
Khalid kemudiannya menarik kerusi
yang berhadapan dengan Salimah setelah mengambil sebiji pinggan dan sebutir
gelas. Dia membuka tudung saji dan menyenduk nasi goreng yang digoreng
isterinya pagi tadi. Salimah masih belum menjawab pertanyaan Khalid dan
meneruskan kerjanya. Hatinya panas. Khalid duduk makan di hadapannya
seolah-olah tidak ada benda salah yang dibuatnya.
“Ayah mana mak?” Tanya Khalid lagi.
“Pergi pasarlah. Kalau dia tak
pergi, nak suruh kita orang ni kebulur?” Jawab Salimah dengan nada marah.
“Eh, yang mak nak marah-marah ni
kenapa? Orang Cuma tanya ayah pergi mana. Itu pun salah ke?”
“Tak...tak salah. Apa yang kau buat
semuanya tak salah Khalid!”
“Eh mak ni kenapa ? Saya baru balik, tengah
nak makan, mak marah-marah pulak ?” Khalid menentang mata Salimah yang
tepat memandang wajahnya.
Salimah seakan tidak boleh lagi
mengawal api
kemarahannya. Dadanya berombak kencang.
“Senang aje hidup kau eh Khalid? Kau
balik rumah lepas kau hilang entah kemana nak dekat seminggu. Tinggalkan anak
bini kau bontang kat sini. Kau pergi mana? Lepas tu, kau balik, kau buat macam
tak ada apa benda berlaku! Senang eh hidup kau?” Salimah meluahkan perasaan
amarahnya pada Khalid yang menolak pinggan makannya. Khalid memalingkan
wajahnya memandang ke arah luar dari pintu dapur yang terbuka. Nasi didalam
mulut dikunyah laju.
“Kau dah jadik bapak budak tau
Khalid. Sedarlah diri kau tu sikit. Kau bukan bujang lagi tau. Senanglah kau...tinggalkan
anak bini kau suruh mak ayah yang tak lama lagi nak mati ni yang jaga? Mana
pergi tanggungjawab kau?” Salimah menyambung leterannya. Sudah lama benar dia
memendam perasaan amarahnya kepada Khalid. Kali ini, Khalid memang sudah
melampau. Jika dahulu, dia masih bujang. Kali ini, Khalid sudah bergelar suami
dan ayah.
“Saya kerjalah mak. Mak tahu-tahu
nak marah aje. Takde usul periksa. Tuduh saya bukan-bukan,” Khalid membela diri
sambil berkerut kening memandang Salimah yang memandang wajahnya dengan
perasaan amarah. Seleranya terbantut. Silap dia kerana menolak pelawaan
rakan-rakannya untuk bersarapan di kedai mamak pagi tadi.
“Kerja apa tak balik rumah seminggu?
Kau tidur kat mana? Tidur kat kilang? Atau kau kerja kat luar negeri sampai tak
boleh balik rumah langsung? Berapa ribu kau bawa balik untuk anak bini kau?”
Salimah menyindir sinis. Pisau yang berada di tangan, diletakkan di meja. Dia
berhenti dari mengupas bawang.
“Iyalah! Saya ni tak kaya macam
anak-anak mak yang lain tu!” Khalid menjawab kasar sambil menolak pinggan nasi
goreng yang masih berbaki. Nafasnya turun naik.
“Anak siapa yang kaya? Anak mak mana
yang dah duduk banglo? Cakap! Hah cakaplah!”
“Saya ni memang anak yang
menyusahkan mak, kan?” Khalid bangun dari kerusi dan pergi menuju ke tangga
dapur. Dia melabuhkan punggungnya ke tangga batu yang dicat biru. “Buah hati
mak memanglah anak mak yang bertiga tu!”
“Eh, Khalid...kalau mak tak
sayangkan kau, mak dengan ayah tak akan kahwinkan kau tau! Buat majlis kahwin
untuk kau. Selit sepit pinjam duit Kak Nora, pinjam duit adik-adik kau,”
Salimah memberitahu perkara sebenar kepada Khalid. Hatinya panas. Dijegilkan
mata memandang Khalid.
“Iyalah...terima kasihlah mak. Nanti
saya ada duit, saya bayarlah duit mak janda dengan anak-anak mak tu!” Khalid
menjawab dan membuatkan hati Salimah semakin membara.
“Eh...mak bukan nak mintak bayar
tau. Kak Nora dengan adik-adik kau pun tak minta bayar...yang mak minta, kau
bertanggungjawab dengan anak bini kau!”
“Mak ni, tadi mengungkit-ungkit, ini
kata tak payah bayar. Entah apa-apa laa. Itu yang malas nak balik rumah ni.
Asyik membebel aje. Nak makan pun tak susah!”
“Bukan mengungkit. Kau juga yang
cakap mak sayang adik-adik kau aje. Yang mak dengan ayah berkorban, tebalkan
muka meminjam sana-sini buat majlis yang elok-elok untuk kau, kau tak nampak?
Salah kau, kau nak tutupkan. Yang kau nampak, salah orang!”
“Ingatkan anak kesayangan mak dah
berambus, boleh tenang bila balik rumah ni, sama juga!”
Papp!
Salimah menghentak meja dengan
tangan kanannya.
“Kau tak habis-habis nak membuat
musuh dengan adik kau! Orang tu belanja pampers, belanja susu untuk anak kau,
kau tak perasan?”
Khalid bangun dan terus memanjat
tangga dapur itu lalu menuju ke ruang tamu. Semasa menaiki tangga, kakinya
sengaja dihentakkan kuat-kuat tanda protes.
Air mata Salimah sudah mula bergenang.
Dadanya terasa sempit. Fidah yang diam di dalam bilik memasang telinga mendengar
pertengkaran suami dan ibu mentuanya. Air matanya juga mengalir. Dia memerhati
Khairul Naim yang sedang nyenyak tidur. Hatinya luluh. Fidah menanam tekad yang
dia akan kembali bekerja setelah habis pantang. Dia tidak mahu menyusahkan ayah
dan ibu mentuanya. Jika Khalid lepas tangan, Fidah yakin, dengan wang gajinya
setiap bulan, dia boleh menyara Khairul Naim. Jauh di sudut hati, dia terasa
menyesal kerana menjadi isteri Khalid. Namun, salahnya jua kerana terlalu
terpesona dengan pujuk rayu Khalid hingga maruahnya tergadai.
Mungkin, inilah kifarah dosa yang
perlu Fidah tanggung. Air matanya terus laju mengalir. Mujurlah ayah dan ibu
mentuanya insan yang sangat baik hatinya. Adik-adik iparnya juga baik hati. Ada
juga pertolongan ALLAH kepada insan yang menumpang sepertinya. Jika diikutkan
hati, dia ingin pulang ke kampung. Pulang ke pangkuan ayah dan ibunya sendiri,
namun Khalid melarang. Khalid tidak sebulu dengan abang-abang Fidah. Khalid
sememangnya seorang lelaki yang tinggi egonya.
Abdul Ghani pulang ketika Khalid
sudah siap memakai topi keledar dan bersedia hendak meninggalkan rumah. Sedikit
pun dia tidak menegur ayahnya yang baru pulang dari pasar. Abdul Ghani pula,
memang kebiasaannya terus menunggang motor hingga dekat dengan pintu dapur di
bahagian belakang rumah mereka. Setelah enjin motor dimatikan, dia mengambil
barang-barang pasar yang dipesan Salimah. Ketika dia melepaskan selipar
jepunnya dan mula melangkah masuk ke dalam dapur rumah, dia sudah nampak wajah
isterinya yang basah dek air mata. Abdul Ghani menggeleng-gelengkan kepala. Mangkuk
yang berisi bawang-bawang, tidak terusik dan dibiarkan oleh Salimah.
Salimah hanya memerhati suaminya
masuk ke rumah. Abdul Ghani meletakkan barang-barang yang dibeli di pasar Jalan
Ibrahim itu dekat dengan sinki dapur. Dia kemudian datang kepada isterinya.
Ditarik kerusi di kepala meja.
“Kenapa Mah?” Tanya Abdul Ghani
lembut. Dipandangnya wajah tua Salimah yang sudah banyak kedutnya.
Isterinya itu hanya tersedu-sedan.
Salimah hanya duduk tersandar. Bawang-bawang yang berada di dalam mangkuk,
hanya separuh yang baru dikupas.
“Tadi si Khalid balikkan? Dah tu,
pergi mana lagi dia?” Abdul Ghani masih mahu bertanya walau soalan pertama
kepada isterinya tadi masih belum berjawab.
Salimah hanya mengangkat bahu.
“Dahlah Mah. Pedulikanlah dia. Kalau
awak fikirkan sangat, nanti awak sakit. Sakit dada, sakit hati. Nanti kalau Fidah
tahu, susah hati pulak dia,” Abdul Ghani memujuk.
Air mata Salimah masih lagi
mengalir. “Dia tak terima saya tegurkan dia tak balik-balik. Kalau bukan nak
menjenguk kita pun, jenguklah anak bini. Macam tak ada ayah saja si Naim tu,”
Salimah akhirnya bersuara. Kesal.
“Saya dah kata, pedulikan. Kalau
awak asyik fikirkan, awak yang sakit. Dia macam itu juga,” pujuk Abdul Ghani.
“Iyalah...ini masa kita ada lagi,
bang. Kalau kita dah tak ada? Macam mana si kecik tu dengan Fidah?”
Abdul Ghani diam. Dia juga
sebenarnya memikirkan hal si Khalid walau tidak menunjukkannya kepada Salimah.
Dia cuba bersikap tenang. Di dalam solatnya, dia berdoa agar anak sulungnya itu
berubah. Selebihnya, dia bertawakkal kepada ALLAH swt. Apa lagi yang mampu
Abdul Ghani lakukan. Kalau boleh, mahu ditambat saja si Khalid itu. Tetapi,
Khalid bukan lembu yang boleh ditambat di pangkal pokok. Khalid lelaki yang
sudah dewasa, sudah besar panjang.
“Dahlah Mah. Jangan dilayan perasaan
awak tu,” Abdul Ghani masih cuba memujuk. Dia menjeling jam di dinding dapur.
Hampir ke pukul 10.00 setengah pagi.
Salimah dengan perlahan-lahan
mengambil semula pisau yang terletak di atas meja lalu mengambil sebiji bawang
dan mula mengupasnya. Dia menarik nafas panjang dan beristigfar beberapa kali.
“Hmm...baiklah awak mula memasak.
Nanti karang, si Fidah tu, tak boleh makan lewat, masuk angin perutnya nanti.
Saya tolong awak bersihkan ayam dengan ikan-ikan tadi eh.” Lembut tutur kata
Abdul Ghani. Salimah yang masih menahan sebak, mengangguk perlahan dan
memberikan senyuman hambar kepada suaminya.
Selepas pencen dan selepas menerima
seorang cucu, Abdul Ghani memang banyak membantu Salimah di dapur. Walaupun dia
tidak tolong memasak, dia akan membantu Salimah membersihkan ayam atau ikan
sebelum diletakkan di dalam peti sejuk.
Dia bersyukur kerana ALLAH mengurniakan dia seorang suami yang penyayang
dan bertanggungjawab. Khalid sahaja yang entah salah acuan. Dimana silapnya,
Salimah tidak tahu.
Jika dilihatkan pada
bapa mentuanya, Pak Bidin Kopral Pencen dan adik iparnya di Melaka, kedua-dua
darah daging Abdul Ghani ini, sampai ke tua bertanggungjawab kepada keluarga.
Pak Bidin itu nampak sahaja garang, namun orang tua itu seorang ayah mentua
yang baik hati. Anak-anak Salimah itu diberi macam-macam- kasih sayang, wang
ringgit dan perhatian. Entah kenapa Khalid tidak mengikut jejak langkat atuk
dan ayah saudaranya, Salimah tidak tahu. Mungkin inilah dugaan untuk Salimah.
ALLAH swt telah mengurniakannya dengan suami yang baik, ayah mentua yang
penyayang dan dua orang anak lelaki yang yang bertanggungjawab, ALLAH tarik
sedikit nikmat dengan memberi ujian kepadanya dengan perangai anak lelaki
sulungnya.
Sambil mengupas bawang,
Salimah terus berzikir di dalam hati. Dia memohon supaya ALLAH memberikan dia
ketenangan. Janganlah hanya memandang kepada ujian dan dugaan ALLAH. Dia perlu
juga mengingatkan diri sendiri yang ALLAH telah mengurniakannya dengan nikmat
yang tidak terhingga. Kamaruddin seorang jurutera, Kamal Arif seorang anak yang
baik hati serta penyayang. Suaminya Abdul Ghani itu seorang yang setia dan
bertanggungjawab. Kasih Alia pula bakal menjadi seorang peguam. Salimah sebak
lagi semasa mengupas bawang-bawang perencah masakannya. Dia beristigfar lagi.
Kadang-kadang, apabila amarah menguasai diri, manusia adakalanya lupa dengan
nikmat yang ALLAH kurniakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan