MESEJ
masuk dibaca seketika dan paling mengejutkan adalah kiriman gambar sepasang
teruna dara sedang berbual mesra di sebuah restoran mewah. Bukan main lagi,
tersenyum, tersengih, saling bergurau senda. Aleeya kenal Amran ke? Bila? Di
mana? Wah, isterinya sudah berani keluar dengan lelaki yang tidak dikenalinya! Main
kayu tiga ke? Mentang-mentang dia tidak pedulikan Aleeya sebulan dua ini,
isterinya sudah pandai keluar dengan lelaki lain? Nadia pula, macam mana boleh
dapat gambar ini? Apa sudah jadi ini?
Ikmal mengeluh berat. Hilang tumpuannya
pada kerja yang sedang dia lakukan. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia balik
ke rumah, sekarang juga. Dia inginkan penjelasan daripada isterinya itu. Bengkak
hatinya. Sakit matanya. Entah apa yang mereka bualkan sehingga terbit rasa
gembira di wajah masing-masing. Macam sudah kenal lama. Takkanlah kot? Ikmal
gelisah. Aleeya tidak pernah bersikap begitu sebelum ini. Isterinya itu sering
menjaga hubungannya dengan rakan sekerja, terutama lelaki. Kalau nak keluar
juga dengan rakan sekerja yang lelaki, Aleeya akan hantar gambar atau mesej
memberitahu dia. Tetapi tidak kali ini. Uh! Tak boleh jadi. Telefon sahaja
tidak cukup, suara boleh berbohong dan berlakon. Dia ingin tahu daripada mulut
Aleeya sendiri.
Ikmal pulang awal ke rumahnya setelah menghantar Nadia dan anak-anak pulang
ke rumah mereka. Dia tidak menghiraukan ajakan Nadia untuk keluar makan bersama
anak-anak. Malah, dia mengapi-apikan Ikmal dengan membuat pelbagai tuduhan
terhadap Aleeya yang keluar bersama Amran.
Kalau ikutkan hati mahu sahaja dia cekik orang yang menghantar berita
itu, tetapi memikirkan anak-anak yang akan kehilangan ibunya, dia biarkan
sahaja bekas isterinya membebel di dalam kereta. Bercerita itu ini. Lantaklah
kau. Dia akan dapatkan penjelasan daripada Aleeya sendiri. Tidak perlu dengar
sangat cerita orang ketiga. Bukan dia tidak tahu Nadia bermusuh dengan
isterinya itu. Tidak mungkinlah dia mendengar cerita musuh isterinya. Mungkin
betul dan tidak mustahil itu sekadar fitnah.
Dia tidak boleh terburu-buru. Amran boleh tahan kacaknya. Cemburu juga
hatinya. Manalah tahu jika Aleeya terpikat pada lelaki itu, habislah dia.
Sampai di rumah. Aleeya seperti
biasa, sedang memasak, menyediakan makan malam. Dia makan atau tidak, Aleeya
tetap akan masak. Jika tidak terusik atau tidak habis, isterinya akan simpan
dan panaskan keesokan harinya buat sarapan pula. Kadang-kadang dia bawa ke
pejabat. Tidaklah membazir.
Ikmal duduk di meja makan sambil
memandang Aleeya yang sedang tekun memasak. Hampir siap. Atas meja makan sudah
terhidang sejenis lauk sejenis sayur dan buah potong. Bau ikan goreng
membuatkan perutnya terasa lapar.
“Abang? Kenapa tak beri salam. Tak
dengar pun bunyi enjin kereta abang,” tegur Aleeya. Dia menghidang ikan goreng
yang sudah siap dimasak. Usai semuanya, dia menutup lauk-pauk dengan tudung
saji. Selalunya, mereka makan selepas solat isyak.
“Leya ke mana siang tadi?” tanya
Ikmal. Wajahnya serius, matanya tepat memandang wajah Aleeya.
Aleeya membalas pandangan suaminya. Nadia
bagitahu ke? Apa agaknya cerita Nadia? Perempuan itu bukan boleh dipercayai. Pandai
memutar-belitkan cerita.
“Tak ke mana-mana, ada di tempat
kerjalah!” jawab Aleeya. Tidak mungkin dia bercerita hal yang sebenar.
“Jangan nak bohong! Ini apa?” Ikmal
meletakkan telefonnya di hadapan Aleeya. Terpampang gambar Aleeyda dan Amran
yang sedang makan dan minum di sebuah restoran.
“Mana abang dapat gambar ini?” tanya
Aleeya.
“Mana abang dapat, tak perlu tahu.
Leya tipu abang ya? Siapa lelaki tu dengan Leya?” jerkah Ikmal. Hilang sabar
melihat sikap sambil lewa Aleeya. Langsung tidak menghiraukan kemarahannya.
“Abang kenalkan lelaki ni?” tanya
Aleeya.
“Itu tak penting! Leya buat apa
dengan dia? Mana Leya kenal dia? Apa hubungan Leya dengan lelaki ini?”
Bertalu-talu soalan keluar daripada mulut Ikmal.
“Amran, kawan sekampung Leya. Sahabat
dan seluruh keluarga Leya kenal dia. Salah ke Leya jumpa dia? Kami berjumpa
secara tak sengaja. Dah lama kami tak berjumpa. Bukan Leya keluar di tempat yang sunyi. Leya
jumpa dia di tempat awam, ramai saksi, semua orang nampak,” bentak Aleeya. Dia
pantang orang cuba menuduhnya berbuat sumbang.
“Ooo… kawan sekampung? Tiba-tiba
jumpa, kan? Mesra pula tu,” sindir Ikmal, geram.
“Dia sahabat Leya, abang ada masalah
dengan tu ke?”
“Lelaki dan perempuan tidak boleh
bersahabat, Leya. Melainkan ada sesuatu di hati.” Sinis kata-kata Ikmal.
“Ikut suka abanglah. Rasanya abang
kenal Amran tu, kan? Bolehlah abang tanya dia sendiri, apa hubungan kami. Jangan
nak serkap jarang atau percaya dengan fitnah yang ditaburkan oleh bekas isteri
abang yang memang nak runtuhkan rumah tangga kita!” Aleeya sebal. Sudah
hilangkah rasa kepercayaan di hati mereka berdua? Saling tidak percaya, saling
tuduh-menuduh, akan bahagia ke?
“Sendiri buat salah, jangan nak
tuduh orang lain pula?” Ikmal mendengus kasar.
“Siapa tuduh siapa? Mana abang dapat
gambar-gambar tu? Siapa yang kirim? Kami minum di kafe tempat bekas isteri
abang mengajar. Siapa lagi yang nak hantar kalau bukan si Nadia tu!”
“Leya! Jangan nak kurang ajar!”
marah Ikmal. Dia tidak suka isterinya meninggikan suara padanya. Kurang ajar
namanya.
“Siapa yang kurang ajar dulu, bang? Leya
atau bekas isteri abang tu? Dia tahu apa hubungan Leya dengan Amran. Dia tahu
kami berdua saling kenal. Tiada hubungan istimewa antara kami.” Aleeya sebak.
Ikmal terdiam. Jadi, Nadia tahulah
Amran kenal Aleeya? Hmm… nampak sangatlah bekas isterinya sengaja hendak
melaga-lagakan dia dengan Aleeya. Ikmal duduk di sofa. Memandang wajah Aleeya
yang basah dengan air mata. Simpati pula dibuatnya. Sepatutnya dia bertanya
dengan baik, bukan terus mengamuk macam orang gila. Main tuduh sahaja, akhirnya
sendiri yang rasa bersalah. Nak pujuk atau tidak ini? Silap hari bulan teruklah
dia kena bebel nanti. Aduhai! Pening, masalah tidak selesai-selesai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan