Tinggal beberapa hari sahaja
lagi, umat Islam akan meraikan Hari Kemenangan, hari menyambut kemenangan
melawan nafsu, mencegah diri dari makan dan minum di waktu siang, Menawan gelora hawa nafsu melakukan dosa,
mata, telinga dan mulut.
Semakin berusia kita, semakin
kurang semangat kita menyambut bulan yang mulia, jiwa dan hati kita lebih
kepada melakukan ibadat semata-mata, berusaha mencari redha Allah dan
mendapatkan rahmatNYA selagi ada nyawa di badan.
Saya masih ingat lagi beberapa
kenangan sewaktu saya masih bersekolah rendah.
Emak saya seorang peniaga goreng pisang di kaki lima tepi jalan,
berpuluh tahun dia berniaga di kaki lima kedai dobi, di Jalan Bangsar, sekarang
sudah ada Speed Mart. Rasanya ramai
rakan-rakan sekolah dan jiran-jiran sekampung masih ingat lagi.
Waktu saya dan adik-adik masih
dikecil, emak rajin buat kuih raya, seperti bahulu, putu kacang, sagun dan kuih
sepit. Makanan kegemaran kami adik beradik.
Terutama kuih sepit. Arwah
abahlah yang akan membakarnya, emak cuma mengadunkan bahannya sahaja. Setiap kali arwah abah membakar kuih sepit,
kami akan duduk di tepi dapur minyak tanah dan masing-masing akan cakap,
“Hangit,
hangitlah, hangitlah!”
Selalunya kuih sepit yang hangit,
arwah abah akan bagi kami makan, masa itu tak pandai lagi nak berpuasa penuh,
maklumlah masih darjah satu. Sebungkus
tepung beras, hanya dapat setengah tin
biskut sahaja, emak yang balik dari berniaga, tentulah naik angina. Betapa nakalnya kami waktu itu.
Waktu zaman saya, biskut raya
tidak sebanyak hari ini, yang ada hanya biskut kana, biskut mentega kacang dan
biskut sampret atau dahlia. Kalau jumpa
biskut tersebut di rumah jiran tetangga yang saya dan kawan-kawan pergi beraya,
pasti berebut menghabiskannya. Enaknya
bukan main, maklumlah emak saya tak berapa pandai buat dan malas melayan biskut
yang dikatakan agak moden pada tahun awal 80-an itu.
Lama kelamaan, emak semakin tidak
suka buat kuih atau apa sahaja jenis kuih untuk menyambut hari raya. Emak sibuk berniaga. Katanya orang
bukan makan sangat. Sebagai anak, kita
akurkan sahajalah, kan? Dalam hati berasa malu sebab kawan-kawan di sekolah
sudah mula bercerita tentang biskut raya yang dibuat oleh emak mereka. Rasa kecil diri tau.
Masih saya ingat lagi, waktu itu
Hari Raya Haji, emak memanglah tak buat
apa, sehari sahaja dia bercuti berniaga, hari kedua dia sudah sibuk berniaga
semula. Kebetulan hari kedua Hari Raya
Aidul Adha jatuh hari sabtu, kawan-kawan sekelas entah kenapa beria-ia hendak
berjalan raya, termasuklah ke rumah saya.
Ketika itu tiada apa yang hendak dihidangkan. Rasa malu menebal dalam hati. Alamak! Apa harus saya lakukan? Menggelabah
gila. Tutup semua tingkap dan pintu
rumah, malu kawan datang, tiada apa yang
hendak dihidangkan. Emak memang tak buat
apa-apa pun. Adik-adik semuanya sudah
merayap entah ke mana. Arwah abah tolong
emak berniaga. Tinggal saya seorang di
rumah. Fikir punya fikir, akhirnya saya
menyorok di dalam bilik air sambil mengintai kawan-kawan yang datang dan
memberi salam. Lama juga mereka menunggu
di laman rumah. Sampailah kawan-kawan
balik, barulah saya menarik nafas
lega.
Hari Isnin, pergi ke sekolah
seperti biasa, tentulah ditanya pelbagai soalan oleh rakan-rakan sekelas. Macam-macam alasan saya bagi.
“Kau
teruklah Asmah, kami nak rasa kuih raya kat rumah kau!” kata kawan saya Siti
Rohani.
“Ala…
aku lupa, esok aku bawa kuih raya kat kau orang ya,” kata saya beria-ia.
Memanglah ada kuih raya yang
dibekalkan oleh nenek saya, import dari kampung. Demi menjaga hati kawan-kawan, saya bungkus
kuih yang diberi oleh nenek untuk diberikan kepada kawan-kawan sekelas saya.
Biarpun bukan semua yang dapat, sekurang-kurangnya mereka gembira dan tidak
bertanya lagi tentang kuih raya daripada saya.
Paling seronok waktu hadirnya
Ramadhan adalah pemberian kad hari raya.
Setiap kedai buku seminggu selepas raya sudah tersusun kemas di rak yang mereka sediakan
untuk menjual kad ucapan tersebut. Ada
untuk guru, kawan, sahabat, kekasih, ibu bapa, adik beradik. Seronok bukan main, harga paling murah
sepuluh sen, kata-kata yang terdapat di dalam kad tersebut begitu menarik
hati. Waktu itu mana tahu nak menulis
kata-kata pujangga dan madah seloka setakat pantun PECAH KACA PECAH GELAS,
SUDAH BACA HARAP BALAS. Yang lain pinjam kata-kata indah yang terdapat di dalam
kad ucapan Hari Raya yang terjual.
Bila dapat balasan, suka bukan
main. Saya ada juga menghantar kad
ucapan kepada artis pujaan saya, bertambah gembira bila mendapat balasan. Tayang pada kawan-kawan, saling bersembang
pasal hal tersebut. Seronok bukan
main. Kenangan yang tidak mungkin
dilupakan.
Duit raya pula paling sedikit
sepuluh sen, paling banyak 50 sen.
Paling banyak terkumpul dapatlah dua puluh ringgit lebih. Duit tersebut digunakan untuk belanja
sekolah. Seronok pergi beraya bersama
kawan-kawan. Setiap rumah yang disinggah, kalau tak minum sahaja, kami akan
jamah seorang sedikit, maklumlah kalau sudah rumah ke sepuluh, bayangkanlah,
mahu meletup perut. Kampung Paya yang
terletak di antara Kampung Haji Abdullah Hukum dan Kampung India di Jalan Bangsar memang puas berjalan, banyak
rumah. Setiap rumah yang kami singgah, akan berhenti sejenak untuk mengira
jumlah duit yang berjaya terkumpul.
Kalau seminggu cuti, seminggulah kami berhari raya.
Kini, duit hari raya tetap diberi
tetapi jumlahnya sudah berubah, lebih banyak dan anak-anak juga sudah pandai
demand. Tidak mengapa, kita gembirakan
hati mereka, seperti mana kita digembirakan oleh orang tua kita dahulu.
Makanan kegemaran saya adalah
lontong serta ketupat nasi dimakan dengan kuah kacang atau rendang daging air
tangan emak memang sedap. Selalunya emak
buat rendang tahan sebulan, sehingga jadi seperti serunding. Biarpun sudah pandai membuatnya sendiri, tapi
masakan emak tetap di hati.
Banyak kenangan hari raya sewaktu
zaman kanak-kanak yang kita tidak akan lupakan sampai bila-bila. Memilih baju, kasut juga begitu. Biasanya arwah abah akan ukur kaki kami adik
beradik dengan tapi rapia sebelum dibawa ke kedai kasut yang terletak
berhampiran rumah sahaja. Di Jalan Bangsar ketika itu apa yang tiada? Kalau baju raya pula, emak akan bawa kami adik beradik pergi ke Petaling
street atau Chow Kit atau Jalan Tuanku Abdul Rahman, itulah tempat membeli
belah yang paling canggih manggih bagi kami dan banyak pilihan. Kalau musim
raya, orang punyalah bersesak. Baju yang
dibeli selalunya dua pasang seorang.
Sehelai baju kurung, dan sehelai lagi skirt atau seluar panjang dipakai
bersama blaus atau t-shirt. Kasut pula, saya memang jenis kaki melawa, nak
pakai kasut tumit tinggi, bila berjalan kan berdetup berdetap bunyinya, terasa
macam model pula.
Seronokkan hari raya ketika zaman
kanak-kanak? Bagaimana dengan
kawan-kawan? Tentu ada pengalaman sendiri.
Semoga kita tetap gembira menyambut Hari Raya tidak kira di mana kita
berada. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan