Sabtu, 16 Julai 2016

ADUH, PENING - BAB 47



HUJAN renyai-renyai di luar restoran tempat pertemuan mereka. Mata Nadia asyik memandang titisan hujan yang membasahi bumi. Wajah lelaki yang setia merenungnya langsung tidak menarik minatnya. Air kopi yang terhidang langsung tidak diusik. Terusik dengan kata-kata lelaki itu. Sudah berani menghalang niatnya.
            “Tolonglah, Nadia... tak usahlah awak ganggu rumah tangga Ikmal dan Aleeya. Saya mampu menjadi pengganti Ikmal. Awak sendiri dah lama kenal saya, kan? Awak tak percaya saya boleh jadi suami yang baik buat anak-anak awak?” Amran mengeluh. Boleh tahan keras kepala juga perempuan di hadapannya ini. Masih mempertahankan kehendak hatinya. Anak-anaknya tidak akan berbapa tiri. Uh! Padanlah Aleeya marah-marah.
            “Keputusan saya bulat, Amran. Saya takkan berkahwin dengan sesiapa selain Ikmal. Tidak kisahlah macam mana cara pun.” Tekad Nadia.
            “Kasihankan Aleeya. Dalam soal ini, dia tak bersalah. Lagipun dia berkahwin dengan Ikmal setelah kau orang bercerai,” pujuk Amran.
            “Awak ni kenapa? Saya tahulah Aleeya tu kawan awak, konon... tapi, jangan paksa saya  buat perkara yang saya tak suka. Saya tak nak kahwin dengan awak. Saya takkan tukar keputusan saya, tak payah pujuklah,” kata Nadia, tegas.
            “Kenapa keras sangat hati awak ni? biarkanlah Ikmal dan Aleeya hidup bahagia dan awak cari kebahagiaan awak sendiri.” Amran benar-benar berharap Nadia sudi menerima dirinya. Soal ada cinta di hati itu bukan masalah. Cinta boleh dipupuk selepas berumah tangga. Kasih dan sayang akan datang sendiri.
            “Maafkan saya, Amran,” jawab Nadia, masih bertegas.
            “Saya beri awak masa untuk fikirkannya. Saya takkan paksa, tetapi awak boleh pertimbangkan cadangan saya ini.” Amran terpaksa mengendur. Dia tidak mahu memaksa, boleh jadi perang besar nanti. Biarlah Nadia bertenang dan memikirkannya. Bukan dia ada niat yang tidak baik pun.
            “Awak siapa nak tentukan hidup saya? Saya nak balik dengan bekas suami saya, awak ada masalah ke? Soal Aleeya bukan masalah saya.” Nadia mencebik. Kurang senang dengan unjuran Amran. Ikut suka dialah.
            “Memanglah saya ni hanya kawan awak, tapi Aleeya juga kawan saya. Janganlah awak pentingkan diri sendiri, fikirkan orang lain sama,” pujuk Amran.
            “Saya tak pentingkan diri saya aje. Saya fikirkan anak-anak saya. Masa depan mereka, awak apa tahu?” tengking Nadia.
            “Susah cakap dengan awak!” Amran mengeluh keras.
            “Kalau susah, tak payahlah cakap. Keputusan saya bulat, bulat, bulat! Faham!” Nadia mencebik sekali lagi. Orang lelaki, kalau bab memaksa serah kepada mereka. Hidup dia, dia punya pasallah. Siapa yang dia pilih, itu hak dia.
            “Saya simpati dengan Aleeya, dengan Ikmal.” Amran mendengus kasar.
            “Kalau simpati, awak suruh aje Ikmal ceraikan Aleeya, berkahwin dengan saya dan awak, berkahwin dengan Aleeya, selesai masalah. Saya dapat balik suami saya, anak-anak dapat semula ayah mereka, awak pula dapat isteri yang manis menawan, adilkan?” cadang Nadia.
            Amran menggeleng. Mudahnya menyusun hidup orang. Ingat buat drama agaknya? Orang macam ini pun ada. Kalau dia berkahwin dengan perempuan ini, tentu habis seumur hidupnya diatur oleh Nadia. Uh, seramnya! Lebih seram daripada menonton cerita seram.
            “Amboi! Macam pengarah drama pula awak ya? Nadia, Nadia… mudah sungguh awak menyusun hidup orang lain. Kalaulah hidup semuda itu, taklah terjadi penceraian awak dengan Ikmal dan hidup awak jadi begini, merayu pada bekas suami untuk kembali bersama, sedangkan bekas suami awak sudah ada isteri. Takkanlah dia nak ceraikan isterinya? Awak tak fikir ke sebelum bercakap?” sindir Amran.
            “Awak tak suka? Ada saya kisah?” Nadia bingkas berdiri. Sakit pula hatinya mendengar butir bicara lelaki itu. Hilang rasa hormatnya. Apa pun yang ingin dilakukan tiada kena-mengena dengan lelaki itu.
            “Aleeya sudah seperti keluarga saya. Mana mungkin saya tengok dia hidup sengsara,” luah Amran. Berharap Nadia memahami hati seorang perempuan. Bukankah Nadia juga perempuan?
            “Itu bukan masalah saya,” kata Nadia. Hembusan nafasnya semakin kuat, terasa sesak dadanya berhadapan dengan Amran yang terus-terusan memaksanya melupakan niat untuk kembali ke sisi bekas suaminya.
            “Nadia, cuba awak berada di posisi Aleeya, apa yang akan awak lakukan?” tanya Amran.
            “Mudah, saya tinggalkan suami saya. Biarkan dia kembali pada keluarga lamanya, selesai masalah, tamatlah cerita. Bahagia selamanya. Saya pula pasang badan, cari suami lain, mudahkan?” Nadia ketawa nipis.
            “Uh! Itu cara orang tak ada perasaan,” bentak Amran.
            “Saya tak ada perasaan? Awak dan Aleeya yang tak ada perasaan! Saya nak anak-anak saya hidup dengan ayah mereka semula, apa salahnya? Berdosa ke saya? Cuba fikir masalah saya, cuba pandang anak-anak saya, lima orang! Awak ingat, senang saya nak cari lelaki yang sanggup mengambil saya dan anak-anak saya? Yang sanggup menyara mereka sehingga habis belajar? Awak ingat sikit belanja? Ada ke lelaki sebaik itu? Awak? sanggup ke awak nak bagi makan lima mulut yang bukan darah daging awak?” tempelak Nadia.
            “Awak berfikir terlalu jauh, Nadia. Awak tak cuba, mana awak tahu tak ada lelaki yang sanggup terima awak dan anak-anak?” Amran mengeluh.
            “Banyak sangat kes di luar sana Amran, anak tiri dibuang, ibu anak-anak itu pula tidak mampu berbuat apa-apa lantaran sudah menjadi isteri lelaki lain. Anak-anak terabai. Saya tidak mahu anak-anak saya diabaikan!” Ada kawannya yang terpaksa meninggalkan anak kerana suami baru tidak sanggup menjaga anak tiri. Dia tidak akan membiarkan perkara itu terjadi. Berpisah dengan anak-anak? Tidak sama sekali.
            “Kalau macam tu, tak payahkan kahwin! Awak hidup dengan anak-anak, apa masalahnya? Kenapa harus ganggu rumah tangga bekas suami awak?”
            “Hidup sebagai janda tak semudah yang awak nampak, Amran. Saya terpaksa berdepan dengan umpatan orang, ketakutan kawan-kawan perempuan saya, jika saya berbual dengan suami mereka. Macamlah saya ni gatal sangat nak rampas suami mereka. Asyik kena sindir aje, asyik ditanya aje, bila nak berumah tangga semula. Penat Amran, penat!” luah Nadia. Itulah yang dia rasakan. Itulah yang dia alami.
            “Kalau dah tahu macam tu, kenapa awak minta cerai?” tegur Amran.
            “Itulah kesilapan saya, Amran! Usahlah diungkit!” Nadia memandang ke arah lain. Tidak sanggup melawan renungan tajam lelaki itu.
            “Meminta cerai memang mudah, tetapi melaluinya yang sukar. Jika benar rumah tangga tak mampu diselamatkan lagi dan jalan dah tak sehaluan, penceraian adalah cara terbaik. Jika tak, semuanya akan jadi sia-sia. Bukan semua perempuan bernasib baik, bahagia dengan rumah tangga yang dibina. Semua yang berlaku ada sebabnya. Anak-anak juga yang menjadi mangsa, hilang ayah dalam hidup mereka. Bercerai mati lain pula ceritanya. Saya takkan paksa awak, tapi fikir-fikirkan kesannya kepada orang lain juga akan tindakan awak tu,” nasihat Amran. Biarlah Nadia memikirkan hal itu. Bukan budak-budak lagi, sudah cukup dewasa.
            Nadia mengetap bibir. Keputusannya muktamad, sukar untuk dia mengubahnya. Dia akan mengambil kembali hak anak-anaknya. Ayah mereka! Dia memandang ke tengah jalan yang bertali arus kenderaan melaluinya, pelbagai jenis dan bentuk. Berserabut melihatnya, sama seperti berserabut hatinya sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan