HUJAN
renyai-renyai di luar restoran tempat pertemuan mereka. Mata Nadia asyik
memandang titisan hujan yang membasahi bumi. Wajah lelaki yang setia
merenungnya langsung tidak menarik minatnya. Air kopi yang terhidang langsung
tidak diusik. Terusik dengan kata-kata lelaki itu. Sudah berani menghalang
niatnya.
“Tolonglah, Nadia... tak usahlah
awak ganggu rumah tangga Ikmal dan Aleeya. Saya mampu menjadi pengganti Ikmal. Awak
sendiri dah lama kenal saya, kan? Awak tak percaya saya boleh jadi suami yang
baik buat anak-anak awak?” Amran mengeluh. Boleh tahan keras kepala juga
perempuan di hadapannya ini. Masih mempertahankan kehendak hatinya. Anak-anaknya
tidak akan berbapa tiri. Uh! Padanlah Aleeya marah-marah.
“Keputusan saya bulat, Amran. Saya
takkan berkahwin dengan sesiapa selain Ikmal. Tidak kisahlah macam mana cara
pun.” Tekad Nadia.
“Kasihankan Aleeya. Dalam soal ini,
dia tak bersalah. Lagipun dia berkahwin dengan Ikmal setelah kau orang
bercerai,” pujuk Amran.
“Awak ni kenapa? Saya tahulah Aleeya
tu kawan awak, konon... tapi, jangan paksa saya buat perkara yang saya tak suka. Saya tak nak
kahwin dengan awak. Saya takkan tukar keputusan saya, tak payah pujuklah,” kata
Nadia, tegas.
“Kenapa keras sangat hati awak ni? biarkanlah
Ikmal dan Aleeya hidup bahagia dan awak cari kebahagiaan awak sendiri.” Amran
benar-benar berharap Nadia sudi menerima dirinya. Soal ada cinta di hati itu
bukan masalah. Cinta boleh dipupuk selepas berumah tangga. Kasih dan sayang
akan datang sendiri.
“Maafkan saya, Amran,” jawab Nadia,
masih bertegas.
“Saya beri awak masa untuk fikirkannya.
Saya takkan paksa, tetapi awak boleh pertimbangkan cadangan saya ini.” Amran
terpaksa mengendur. Dia tidak mahu memaksa, boleh jadi perang besar nanti.
Biarlah Nadia bertenang dan memikirkannya. Bukan dia ada niat yang tidak baik
pun.
“Awak siapa nak tentukan hidup saya?
Saya nak balik dengan bekas suami saya, awak ada masalah ke? Soal Aleeya bukan
masalah saya.” Nadia mencebik. Kurang senang dengan unjuran Amran. Ikut suka
dialah.
“Memanglah saya ni hanya kawan awak,
tapi Aleeya juga kawan saya. Janganlah awak pentingkan diri sendiri, fikirkan
orang lain sama,” pujuk Amran.
“Saya tak pentingkan diri saya aje.
Saya fikirkan anak-anak saya. Masa depan mereka, awak apa tahu?” tengking
Nadia.
“Susah cakap dengan awak!” Amran
mengeluh keras.
“Kalau susah, tak payahlah cakap. Keputusan
saya bulat, bulat, bulat! Faham!” Nadia mencebik sekali lagi. Orang lelaki,
kalau bab memaksa serah kepada mereka. Hidup dia, dia punya pasallah. Siapa
yang dia pilih, itu hak dia.
“Saya simpati dengan Aleeya, dengan
Ikmal.” Amran mendengus kasar.
“Kalau simpati, awak suruh aje Ikmal
ceraikan Aleeya, berkahwin dengan saya dan awak, berkahwin dengan Aleeya,
selesai masalah. Saya dapat balik suami saya, anak-anak dapat semula ayah
mereka, awak pula dapat isteri yang manis menawan, adilkan?” cadang Nadia.
Amran menggeleng. Mudahnya menyusun
hidup orang. Ingat buat drama agaknya? Orang macam ini pun ada. Kalau dia
berkahwin dengan perempuan ini, tentu habis seumur hidupnya diatur oleh Nadia.
Uh, seramnya! Lebih seram daripada menonton cerita seram.
“Amboi! Macam pengarah drama pula
awak ya? Nadia, Nadia… mudah sungguh awak menyusun hidup orang lain. Kalaulah
hidup semuda itu, taklah terjadi penceraian awak dengan Ikmal dan hidup awak
jadi begini, merayu pada bekas suami untuk kembali bersama, sedangkan bekas suami
awak sudah ada isteri. Takkanlah dia nak ceraikan isterinya? Awak tak fikir ke
sebelum bercakap?” sindir Amran.
“Awak tak suka? Ada saya kisah?” Nadia
bingkas berdiri. Sakit pula hatinya mendengar butir bicara lelaki itu. Hilang
rasa hormatnya. Apa pun yang ingin dilakukan tiada kena-mengena dengan lelaki
itu.
“Aleeya sudah seperti keluarga saya.
Mana mungkin saya tengok dia hidup sengsara,” luah Amran. Berharap Nadia
memahami hati seorang perempuan. Bukankah Nadia juga perempuan?
“Itu bukan masalah saya,” kata
Nadia. Hembusan nafasnya semakin kuat, terasa sesak dadanya berhadapan dengan
Amran yang terus-terusan memaksanya melupakan niat untuk kembali ke sisi bekas
suaminya.
“Nadia, cuba awak berada di posisi
Aleeya, apa yang akan awak lakukan?” tanya Amran.
“Mudah, saya tinggalkan suami saya.
Biarkan dia kembali pada keluarga lamanya, selesai masalah, tamatlah cerita. Bahagia
selamanya. Saya pula pasang badan, cari suami lain, mudahkan?” Nadia ketawa
nipis.
“Uh! Itu cara orang tak ada
perasaan,” bentak Amran.
“Saya tak ada perasaan? Awak dan
Aleeya yang tak ada perasaan! Saya nak anak-anak saya hidup dengan ayah mereka
semula, apa salahnya? Berdosa ke saya? Cuba fikir masalah saya, cuba pandang
anak-anak saya, lima orang! Awak ingat, senang saya nak cari lelaki yang
sanggup mengambil saya dan anak-anak saya? Yang sanggup menyara mereka sehingga
habis belajar? Awak ingat sikit belanja? Ada ke lelaki sebaik itu? Awak? sanggup
ke awak nak bagi makan lima mulut yang bukan darah daging awak?” tempelak Nadia.
“Awak berfikir terlalu jauh, Nadia. Awak
tak cuba, mana awak tahu tak ada lelaki yang sanggup terima awak dan
anak-anak?” Amran mengeluh.
“Banyak sangat kes di luar sana
Amran, anak tiri dibuang, ibu anak-anak itu pula tidak mampu berbuat apa-apa
lantaran sudah menjadi isteri lelaki lain. Anak-anak terabai. Saya tidak mahu
anak-anak saya diabaikan!” Ada kawannya yang terpaksa meninggalkan anak kerana
suami baru tidak sanggup menjaga anak tiri. Dia tidak akan membiarkan perkara
itu terjadi. Berpisah dengan anak-anak? Tidak sama sekali.
“Kalau macam tu, tak payahkan
kahwin! Awak hidup dengan anak-anak, apa masalahnya? Kenapa harus ganggu rumah
tangga bekas suami awak?”
“Hidup sebagai janda tak semudah
yang awak nampak, Amran. Saya terpaksa berdepan dengan umpatan orang, ketakutan
kawan-kawan perempuan saya, jika saya berbual dengan suami mereka. Macamlah
saya ni gatal sangat nak rampas suami mereka. Asyik kena sindir aje, asyik
ditanya aje, bila nak berumah tangga semula. Penat Amran, penat!” luah Nadia.
Itulah yang dia rasakan. Itulah yang dia alami.
“Kalau dah tahu macam tu, kenapa
awak minta cerai?” tegur Amran.
“Itulah kesilapan saya, Amran!
Usahlah diungkit!” Nadia memandang ke arah lain. Tidak sanggup melawan renungan
tajam lelaki itu.
“Meminta cerai memang mudah, tetapi
melaluinya yang sukar. Jika benar rumah tangga tak mampu diselamatkan lagi dan
jalan dah tak sehaluan, penceraian adalah cara terbaik. Jika tak, semuanya akan
jadi sia-sia. Bukan semua perempuan bernasib baik, bahagia dengan rumah tangga
yang dibina. Semua yang berlaku ada sebabnya. Anak-anak juga yang menjadi
mangsa, hilang ayah dalam hidup mereka. Bercerai mati lain pula ceritanya. Saya
takkan paksa awak, tapi fikir-fikirkan kesannya kepada orang lain juga akan
tindakan awak tu,” nasihat Amran. Biarlah Nadia memikirkan hal itu. Bukan budak-budak
lagi, sudah cukup dewasa.
Nadia mengetap bibir. Keputusannya
muktamad, sukar untuk dia mengubahnya. Dia akan mengambil kembali hak
anak-anaknya. Ayah mereka! Dia memandang ke tengah jalan yang bertali arus
kenderaan melaluinya, pelbagai jenis dan bentuk. Berserabut melihatnya, sama
seperti berserabut hatinya sekarang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan