MAK
JEHA menyambut kedatangan Nadia dan anak-anaknya dengan wajah gembira. Tetamu
datang, perlulah disambut. Bukankah tetamu yang datang membawa rezeki?
Kebetulan Nadia datang sewaktu dia sedang menyediakan makanan tengah hari,
bolehlah dijamukan pada tetamu. Kebetulan suaminya, Haji Mansor ke bandar ada
urusan kerja. Tinggalkan dia sendirian di rumah.
“Saya datang ni bawa hajat, mak
cik.” Nadia memulakan bicara. Sesekali matanya menyinggah pada anak-anak yang
duduk di sisinya, berhimpit mereka berenam.
“Hajat? Hajat apa, Nadia?” tanya Mak
Jeha kehairanan.
“Nadia nak minta tolong mak cik
pujuk Aleeya agar benarkan Ikmal bernikah semula dengan Nadia, demi anak-anak,
mak cik...” pinta Nadia tanpa rasa segan. Buat apa segan dan malu? Bukan dia
minta kahwin dengan lelaki bujang, tetapi dengan bekas suaminya sendiri, salah
ke? Kalau ada yang tidak setuju, duduk diam-diam! Ini soal keluarga dia, soal
masa depan anak-anaknya.
“Hah?” Mak Jeha terkejut. Dia menekup
mulut. Dia ingatkan masalah sudah selesai. Pernah Aleeya memberitahunya, tapi
dia buat tak faham dan tidak mahu masuk campur urusan rumah tangga anak menantunya.
Nanti dikata jadi penyibuk pula. Aleeya pula tidak kata apa-apa pun tentang
Nadia dan Ikmal. Kehadiran Nadia tengah hari ini membawa ceritanya sendiri.
“Mak cik janganlah terkejut. Saya
nak minta tolong ni, kasihankan anak-anak saya, mereka perlukan ayah mereka,”
rayu Nadia.
“Kenapa minta tolong dengan mak cik?
Berbincanglah dengan Ikmal.” Mak Jeha mengerut dahi. Hairan benar dia dengan
sikap Nadia. Kenapa datang ke mari? Kenapa minta tolong daripadanya? Kenapa
tidak jumpa Ikmal terus.
“Sebab dah bincanglah saya minta
tolong dengan mak cik. Dia tak nak berbaik dengan saya kembali. Dia nak hidup
bersama Aleeya aje. Saya dan anak-anak macam mana? Kalau dia tak fikirkan saya
pun, fikirkan anak-anak kami ni.”
“Kalau dia tak nak, takkan mak cik
mampu pujuk dia?” Mak Jeha mengeluh berat.
“Tolonglah mak cik, saya rayu
sangat-sangat ni,” kata Nadia dengan penuh mengharap.
“ALLAH! Mak cik nak buat macam mana,
Nadia?” Mak Jeha serba salah. Ini melibatkan rumah tangga anak menantunya juga.
Ikmal adalah suami anaknya. Berani Nadia datang bertemu dengannya.
“Kenapa Nadia buat macam ni? Apa
pula kata Aleeya nanti?” Mak Jeha kurang senang dengan tindakan Nadia. Bagaimana
dengan rumah tangga anak menantunya? Takkan dia nak tengok anak perempuannya
dimadukan? Rasanya Aleeya tidak mngkin bersetuju.
“Demi masa depan anak-anak saya, mak
cik... cubalah mak cik tengok mereka. Anak saya ramai, mana ada lelaki yang
sudi menjaga mereka? Saya tak sanggup tengok mereka membesar tanpa seorang
ayah,” luah Nadia dengan mata berkaca.
“Kenapa dulu tak nak fikir semua ni?
Dah bercerai baru nak fikir? Tak pasal-pasal orang lain menjadi mangsa sama,” bebel
Mak Jeha.
“Saya minta tolong dengan mak cik
pujuk menantu mak cik tu berbalik dengan saya, bukan suruh marah saya.” Nadia
kurang senang dengan teguran Mak Jeha.
“Mak cik bukan marah, tapi Nadia
kena fikirkan juga nasib anak perempuan mak cik. Jangan fikir diri sendiri
aje,” bentak Mak Jeha.
“Saya datang secara baik, mak cik...
bukan suruh mak cik bentak-bentak saya,” kata Nadia agak marah.
“Mak cik takkan bantu Nadia. Biarlah
Ikmal buat keputusannya sendiri. Mak cik tak nak masuk campur urusan rumah
tangga mereka,” jelas Mak cik Jeha. Bukan urusannya. Lagipun untuk apa? Kalau
Aleeya tidak mahu dimadukan, bagaimana? Takkanlah dia nak suruh Aleeya dan
Ikmal bercerai pula? Mustahil! Dia tidak akan membiarkan rumah tangga anaknya
runtuh begitu sahaja.
“Mak cik tak kasihan ke dengan
anak-anak saya?”
“Kalau kau fikirkan anak-anak kau,
kau tak mintak cerai dulu. Kenapa baru sekarang kau nak fikir? Kau nak susahkan
hidup orang lain ke?”
“Susahlah nak cakap dengan mak cik
ni. Saya minta tolong aje, bukan suruh nasihat saya semula. Saya tahulah salah
saya… tolonglah mak cik,” rayu Nadia tidak berputus asa.
“Pergilah balik, Nadia! Mak cik kena
fikirkan juga masa depan anak mak cik.” Mak Jeha mendengus kasar.
“Mak cik!” Nadia hampa. Dia mengeluh
kesal. Wajah anak-anak dipandang seketika.
“Nenek, tolonglah… bantulah kami
dapatkan ayah kami kembali,” rayu along memohon simpati.
“Along, bukan nenek tak nak tolong. Kenapa
along tak nak cuba hidup dengan Ibu Leya, mungkin along dan adik-adik boleh
serasi dengan dia. Along sepatutnya beri
peluang pada ibu Leya agar menjadi seorang ibu yang baik untuk kau orang, bukan
menjauhkan diri daripadanya,” jelas Mak Jeha. Wajah cucu-cucu tirinya dipandang
seorang demi seorang. Mereka masih kecil lagi, apalah yang mereka tahu.
“Sepatutnya, Nadia benarkan mereka
mengenali Aleeya, bukan memburukkan anak mak cik tu. Itukan tak bagus? Aleeya
juga ibu mereka, biar pun bukan Aleeya yang melahirkan mereka. Takkan itu pun
Nadia tak faham. Aleeya punya hak untuk bersama anak-anak tirinya. Berilah dia
peluang untuk menjadi seorang ibu yang baik pada mereka,” kata Mak Cik Jeha. Dia
berharap Nadia lembut hati membenarkan Aleeya hidup bersama anak-anak tirinya. Bukan
Aleeya tidak sayang, tetapi tidak pernah diberi peluang.
“Langkah mayat saya dulu! Mereka
anak-anak saya! Tak semudah itu saya nak beri pada orang lain,” tolak Nadia.
“Bukan orang lain, ibu mereka juga!”
“Maafkan saya, mak cik!” Nadia
mendengus kasar.
“Maafkan mak cik juga. Tak mungkin
mak cik menghancurkan rumah tangga anak mak cik sendiri. Nadia pandai-pandailah
pujuk Ikmal. Mak cik takkan masuk campur!”
“Mak cik kejam!” kata Nadia. Air
mata berjujuran mengalir. Dia sebak. Harapannya tinggi sewaktu dia melangkah ke
rumah itu. Dia sanggup memandu jauh demi merealisasikan impiannya dan anak-anak
untuk kembali ke pangkuan Ikmal. Harapannya kini hanyalah bekas mertuanya. Dia
berharap mereka berjaya memujuk Ikmal untuk kembali bersamanya.
“Pergilah balik! Mak cik tak nak
berlaku kejam pada anak mak cik sendiri,” luah Mak Jeha.
“Uh!” Nadia mendengus berat. Dia
menarik tangan anak-anaknya keluar dari rumah itu. Hatinya bernanar pilu. Bertalu-talu
rasa kesal terlahir di hatinya. Resah memikirkan masa depan anak-anaknya. Kesilapan
masa lalu yang meranapkan kehidupannya sendiri. Air matanya mengalir laju. Rasa
sebak di dada menekan berat di hati. Sesal mula bersarang di jiwa. Kekesalan
yang tiada penghujungnya. Harapannya berpaut kepada bekas mertuanya. Semoga
mereka berjaya memujuk Ikmal. Semoga impian dan harapan anak-anaknya termakbul.
Semoga dia dapat menebus kembali kesilapan yang telah dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan