Kampung Peserai
Pantai,
Isnin, 8.00 pagi.
Bunyi enjin motor Abdul Ghani mengejutkan Nora yang sedang lenyak tidur
di kamarnya. Matanya dibuka perlahan. Dia masih lagi mengantuk walau
seingatnya, dia tidur awal malam tadi.
‘Apalah Abang Ghani
prung prang prung prang subuh-subuh ni. Takkanlah nak ke surau pun naik motor.
Selalunya jalan kaki aje.’ Getus Nora di dalam hati.
Nora berpusing ke kanan dan memeluk
bantal peluk. Dia masih mahu bermalas-malas di atas katil. Dia pasti yang dia
akan terjaga ketika azan subuh berkumandang. Bukan jauh sangat surau kampung
dengan rumahnya. Jika Abdul Ghani sudah bersedia hendak ke surau berdekatan,
pasti subuh akan menjelang tidak lama lagi. Ketika Nora berpaling ke kanan, di
sebelah kanannya adalah tingkap rumahnya yang ditutupi dengan tirai. Dari
celah-celah dedaun tingkap itu, Nora dapat melihat pancaran cahaya menyimbah
masuk cuma disebabkan kain tirai yang tebal, kamar Nora masih kelihatan gelap. Matanya
terbuka luas dan dengan pantas dia mengiring ke kiri, melihat jam yang ada di
atas meja soleknya.
‘Subhanallah…dah pukul lapan pagi!
Gila betul ubat ni. Kesiangan aku. Subuh pun tidak.’
Nora bingkas bangun dan
mengikat rambutnya. Segera dia ke bilik air, membersihkan diri dan berwuduk.
Kemudian dia mengqada`kan solat subuhnya. Oleh kerana, waktu sudah menunjukkan
pukul 8.30 pagi, Nora mengambil kesempatan untuk menunaikan solat dhuha. Memang
sudah banyak ceramah yang Nora ikuti mengatakan tentang fadhilat solat dhuha.
Rutin pagi untuk
Salimah dan Fidah sejak kelahiran Khairul Naim, boleh dikatakan sama sahaja
setiap hari. Selesai bersolat, Salimah akan menyiapkan sarapan. Fidah juga akan
menolongnya jika Khairul Naim masih belum terjaga. Mereka akan menanti Abdul
Ghani pulang untuk sarapan bersama. Sambil menyediakan sarapan, Salimah akan
mencuci pakaian di mesin basuh. Selepas bersarapan, Salimah akan membantu Fidah
untuk memandikan Khairul Naim. Fidah adalah ibu muda yang masih perlukan
bantuan orang yang lebih tua untuk menyiapkan bayinya. Abdul Ghani pula, akan
ke pasar atau melawat kedua orang tuanya yang sudah tua benar. Begitulah rutin
harian keluarga Salimah.
Mungkin rutin ini akan berubah jika
Fidah ingin kembali bekerja. Salimah berharap dan berdoa yang Fidah akan
meninggalkan Khairul Naim dengannya jika menantunya itu bercadang untuk kembali
bekerja. Tidak sanggup rasanya dia berpisah dengan cucunya yang seorang itu.
Berkali-kali juga Salimah menyatakan pada Fidah agar terus tinggal di rumahnya
walaupun Fidah sudah naik kerja nanti. Tidak manis rasanya untuk Fidah pulang
ke kampung halaman. Sebenarnya, Salimah malu dengan tindak-tanduk Khalid
meninggalkan Fidah dan anak mereka tanpa rasa tanggungjawab.
Salimah amat memahami perasaan
Fidah. Menantunya itu mungkin tidak selesa tinggal dengan keluarga mentua.
Tetapi oleh kerana si Khalid sudah meletakkan Fidah di rumah mereka, Fidah
terpaksa akur. Pandai pula Khalid bercakap-cakap pasal nusyuz kepada Fidah jika
isteri keluar dari rumah. Tetapi, tanggungjawabnya sebagai suami, diabaikan
begitu sahaja. Oleh kerana, Salimah dan Abdul Ghani merasa, merekalah yang
perlu memikul tanggungjawab menjaga menantu dan cucu mereka, kerana Khalid itu
anak mereka, mereka menerima Fidah seadanya. Salimah dan Abdul Ghani pula cuba
sedaya upaya untuk melayan dan membuat Fidah seperti anak mereka sendiri.
Sebagai ibu mentua, dia tidak mahu Fidah mengalami tekanan perasaan. Abdul
Ghani sentiasa berpesan, “Jaga
perasaan Fidah, kita takut dia meroyan.”
Salimah sedang menyiang sayur ketika
Nora tersembul di muka pintu bahagian dapur rumahnya.
“Assalamualaikum Kak Uda.” Nora
memberi salam, melepaskan selipar jepun yang tersepit di ibu jari kaki lalu
terus masuk ke dalam rumah.
“Waalaikumus salam. Kau kesiangah eh
Nora? Tak nampak kain baju bersidai tadi?”
“Iyaaaa Kak Uda. Eh...teruk betullah
ubat hospital tu, kak. Saya kadang-kadang, bila minum petang, asar atau maghrib
terbabas. Bila minum malam, subuh terbabas,” Nora mengadu sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya, sesal. Dia kemudian melabuhkan punggungnya di
sebuah kerusi berhadapan dengan Salimah yang sedang memotong sayur-mayur.
“Badan kau tu tak biasa dengan ubat
hospital. Sebab itulah agaknya jadi macam tu. Tapi, macam mana batuknya, dah
kurang?” Tanya Salimah sambil memandang Nora. Dia memang mengambil berat
tentang Nora yang sudah dianggap seperti adik kandung.
“Macam tak kuranglah Kak Uda. Itulah
yang saya risau. Masuk hari ini, kira dah enam hari saya makan ubat tu. Doktor
kata, kalau tak kurang, kena datang hospital lagi.”
“Ye ke? Hmmm...kalau macam tu, pergi
lagilah Nora. Selalunya, akak ke, abang Ghani ni, kalau makan ubat batuk warna
hitam tu, dua tiga hari dah baik dah,” berkerut kening Salimah memandang Nora
yang juga berwajah serius pagi itu. Dari raut wajahnya, kelihatan yang dia
bimbang.
“Kena pergi klinik kesihatan lagi
agaknya eh Kak Uda? Nora bukannya tahu sangat,” tanya Nora jujur. Dia memang
amat jarang ke hospital atau klinik kerajaan.
“Haah, kita kena pergi ke klinik kesihatan
dulu. Lepas tu, mungkin doktor akan rujuk kita ke hospital. Kalau Nora terus
nak ke hospital besar kat Taman Soga tu pun boleh juga. Beritahulah dengan
doktor kat hospital yang kamu dah makan ubat dari klinik tapi dah seminggu tak
baik-baik,” jelas Salimah dengan panjang lebar kepada Nora. Jirannya itu hanya
mengangguk-angguk tanda faham.
Nora memang jarang benar ke
hospital. Seingatnya, dia tidak pernah ke hospital. Jika pergi ke klinik pun,
mungkin setahun sekali. Itupun jika dia mengalami demam panas yang teruk atau
sakit tekak. Jika cirit-birit, Nora lebih rela meminum air rebusan daun pucuk
jambu atau minum air teh kelat. Jika panas badan, Nora akan minum air kelapa
dan berendam dalam air lama-lama. Nora memang tidak arif hal-hal untuk buat
pemeriksaan di hospital. Tetapi, kali ini, Nora tidak ada pilihan lain. Dia
perlu ke hospital. Batuknya, tidak kurang dan adakalanya, di waktu malam, Nora mengalami
sakit dada yang teruk.
Global Telco Network,
Bandar Sunway,
Isnin ini, sudah dua minggu dia
menjalani rutin yang sama. Bangun seawal lima setengah pagi. Mandi, berwuduk
lalu segera menunaikan solat. Dia kemudian membuat air minuman untuk dirinya
dan Johari. Selesai mengacau nescafe dan teh tarik untuk Johari, barulah dia
bersiap-siap berpakaian untuk pergi bekerja. Betapa berbeza hidupnya kini dan
dua minggu sebelum ini. Jika di kampung, bangun pagi, selepas bersolat, dia
akan menolong emak menyidai baju, menjirus pokok-pokok dan bersarapan dengan
emak juga ayah. Pukul 9.00 pagi, ayah akan menghantarnya ke tempat kerja
ataupun dia akan menanti bas Simpang Lima di tepi jalan masuk ke kampung untuk
ke Bandar Batu Pahat. Masuk kerja pukul 10.00 pagi dan tamat kerja pula pada
pukul 10.00 malam.
Emak selalunya akan menanti dia
pulang. Dia akan menikmati air milo panas dengan roti bakar ataupun biskut
sambil mendengar celoteh emak. Hujung minggu pula, dia akan menolong Kak Nora.
Kadang-kadang, cuti tahunan diambil kerana membantu Kak Nora memasang pelamin.
Adik yakin, hujung minggunya di kota, pasti akan meneman Johari ke pusat-pusat
membeli-belah. Mereka mungkin akan menonton filem dan window shopping.Kini, semua kenangan di kampung, hanyalah memori
semalam. Dia akan menjalani kehidupan sebagai warga kota. Tidak ada lagi Sungai
Simpang Kanan, tidak ada lagi alunan suara Pak Hassan di waktu subuh, tidak ada
lagi masakan emak, tidak ada lagi celoteh Kak Nora. Semuanya sudah ditinggalkan
dan hanya ALLAH yang maha mengetahui, bila dia akan kembali.
Hari ini, dia akan
memulakan tugasnya sebagai eksekutif khidmat pelanggan Global Telco Network.
Debaran didada tetap ada kerana dia akan berkomunikasi dengan
pelanggan-pelanggan kad kredit dari serata dunia. Bahasa inggeris adalah bahasa
pengantara antara eksekutif khidmat pelanggan dan pelanggan yang menelefon.
Menurut fasilitator yang memberi latihan teori padanya minggu lepas, pelbagai
ragam pelanggan yang akan menelefon mereka. Ada yang baik, ada yang suka bertanya,
ada yang marah-marah dan ada yang mahu cepat. Ada juga yang bersifat perkauman
jika mereka tahu yang pusat khidmat pelanggan ini terletak di negara Asia.
Namun menurut Johari, Kajol dan Diana, apa yang penting, dia perlu tenang.
Jangan terlalu menurut emosi ketika menghadapi pelanggan yang marah-marah.
Patutlah antara topik kursus yang diikuti minggu lepas adalah Kawalan Emosi
atau Anger Management.
Terdapat lima pekerja
baharu termasuk dirinya yang akan akan memulakan tugas hari ini. Dua orang berbangsa
melayu, dua orang cina dan seorang india. Adik diberikan tempat duduk
bersebelahan dengan Johari. Johari tersenyum ketika Adik menarik kerusi di
sebelahnya. Siapa sangka, takdir ALLAH tertulis yang Johari ini, dari kecil,
mengaji bersama. Kemudian, di alam persekolahan, Johari adalah rakan sekolah
yang duduk bersebelahan dengannya di dalam kelas. Johari juga adalah rakan yang
menganggotai Kelab Zapin bersama-samanya. Kini, setelah mereka dewasa dan
bekerja, sekali lagi takdir ALLAH menjadikan Johari itu menjadi rakan serumah
dan rakan sekerja.
Adik diberikan alat dipanggil headset. Terdapat sebuah alat yang
menyerupai telefon terletak di setiap meja dan juga sebuah komputer. Menurut
penolong pengurus jabatan, di dalam dua tiga hari ini, Adik hanya perlu duduk
bersama dengan seorang senior untuk memahami dengan lebih lanjut apa yang perlu
dilakukan. Mereka perlu mendengar dan membuat pemerhatian tentang sistem-sistem
yang perlu digunakan. Kakitangan dari jabatan teknologi maklumat pula akan
datang kepada setiap pekerja baharu untuk menyediakan akaun emel dan sistem-sistem
yang perlu digunakan. Memang berbeza sungguh dengan kerja sebagai promoter
pakaian sebelum ini.
Sedang asyik mendengar
Johari melayan panggilan seorang pelanggan dari Australia, “Excuse
me, I am from I.T.,” satu suara garau menegur Adik yang sedang asyik memerhati
Johari membuat kerja sambil jari-jemari Johari tangkas mengendali sistem-sistem
di dalam komputer.
Adik menoleh. Matanya
tidak berkelip. Bermimpikah dia?
‘Eh...ini angkasawan
Malaysia ni.’ Bisiknya di dalam hati.
“Cik ni Kamal Arif ke?”
Tanya pemuda yang memperkenalkan diri bahawa dia dari jabatan teknologi
maklumat.
“Iii...iii...iya,”
jawab Adik. Gugup.
“Saya Syed Zakri dari I.T team. Nak setkan email dan sistem pc
ni,” jejaka yang bertubuh seperti seorang model dan memiliki wajah iras bakal angkasawan
negara yang pertama, Doktor Sheikh Muzaffar memperkenal diri.
“Ohh...errr...ok...,”
Adik hanya mampu mengangguk dan bangun dari kerusi untuk memberi ruang kepada
Syed Zakri untuk membuat kerjanya. Syed Zakri kemudian mengambil tempat yang
diberikan dan memulakan tugasnya. Adik masih lagi gugup. Dia masih tidak
percaya yang ‘Dr.Sheikh Muzaffar’ itu di hadapannya. Sebenarnya, dia amat
meminati Doktor Sheikh Muzaffar. Seorang doktor yang terpilih untuk mengikuti
program angkasawan Malaysia.
“Is there anything else that I can check for you, Sir? Ok...ok...no
problem and thank you for calling global network services, sir,” Johari
menamatkan panggilan dari pelanggan dengan menekan satu suis di alat yang
berupa telefon itu. Dia kemudiannya menoleh ke arah Syed Zakri dan tersenyum
lebar. Kelihatannya, Johari juga seperti teruja dengan kedatangan Syed Zakri.
“Eh Zek...lama tau tak
nampak you,” tegur Johari sambil
senyumannya sampai ke telinga.
“Hai cik Julia. Saya sibuk
cik Julia. Ramai budak baru masuk. So,
you faham-faham sajalah, kalau budak baru masuk, orang I.T mesti sibuk,”
jawab Syed Zakri sambil jari-jemarinya tangkas mengendalikan sistem-sistem di
dalam komputer di hadapannya.
“Iya...I understand. By the way, dia ni kawan I dari kampung tau, Zek,” jelas Johari
tanpa ditanya.
“Oh ye ke? Baguslah
macam tu. Nanti cik Julia ada kawan. Kak Dee dengan Kajol bukan selalu dapat
jumpa, kan?” Jelas dari kenyataan Syed Zakri ini yang dia amat mengenali
rakan-rakan Johari. Adik hanya diam membatu, berdiri di belakang kerusi
memerhati jari-jemari Syed Zakri yang tangkas menaip format yang dia langsung
tidak faham.
“Err...kawan cik Julia
ni, nak panggil apa?” Tanya Syed Zakri sambil menoleh sekilas memandang Adik.
Belum Adik sempat
menjawab, Johari segera menyampuk.
“Panggil dia Kamelia,”
jawab Johari sambil menjeling ke arah Adik yang mengerutkan kening memandang ke
arahnya penuh dengan tanda tanya.
‘Kamelia?’ Bisik Adik
di dalam hati.
Sekolah Menengah Tinggi, Kluang.
Dia bersyukur kerana
selamat sampai ke sekolah sebelum loceng untuk perhimpunan berbunyi. Walau ayah
dan ibunya menasihatkan yang dia sepatutnya pulang malam semalam, tetapi Faezah
Hanim bertegas mahu pulang ke Kluang pada awal pagi. Liat benar dia mahu pulang
bertugas. Dia mahu berlama-lama dengan ayah dan ibu. Seawal jam lima setengah
pagi, setelah bersalaman dengan ayah dan ibu barulah Faezah Hanim meninggalkan
kampung. Dia berhenti di sebuah surau di kawasan Air Hitam untuk menunaikan
solat subuh dan kemudian meneruskan perjalanannya ke sekolah.
Di dalam perjalanannya
ke Kluang, Faezah Hanim sebenarnya asyik memikirkan Kamal Arif. Dia akui, dia
amat berkecil hati. Ada perasaan marah kerana rakannya itu terus sepi tanpa
memaklumkan apa-apa seolah-olah Faezah Hanim ini tidak wujud di dunia.
‘Sekurang-kurangnya, beritahulah
nak pergi kerja KL. Ini, terus tinggal macam itu saja. Dah lupakan aku
agaknya.’
Sepanjang perjalanan
Faezah Hanim bermonolog sendirian. Walaupun Kak Nora cuba memujuknya, namun dia
memang amat terkilan. Apalah sangat jika Kamal Arif menghantar satu pesanan SMS
yang mengatakan dia dapat kerja di KL? Susah benarkah untuk menaip satu SMS
ringkas?
Faezah Hanim sedang
duduk di hadapan pelajar-pelajar semasa perhimpunan sekolah sambil mendengar
ucapan dari Pengetua, ketika telefon bimbitnya berdecit. Dia kemudian tersenyum
sendirian. Dia sudah tahu siapa pengirim SMS itu. Ingin sahaja dia membalas SMS
dari Ilyas kala itu, namun sebagai seorang guru yang menjadi contoh kepada
pelajar-pelajar lain, Faezah Hanim membiarkan sahaja SMS itu. Dia hanya akan
membalasnya apabila tamat perhimpunan sekolah. Tidak molek rasanya dia
menggunakan telefon bimbit ketika Pengetua sedang berucap.
Di dalam perjalanan
menuju ke kelas masing-masing, Faezah Hanim mengambil kesempatan memeriksa
pesanan SMS dari Ilyas.
Assalamualaikum dan selamat pagi, Nim. Mesti kau tengah dalam
perhimpunan kan? Aku akan ke Melaka hari ni. Ada mesyuarat perlawanan bola
sepak zon selatan. Kalau sempat, aku belikan kau belacan melaka eh.;-)
Faezah Hanim
tersengih-sengih dan menggeleng-gelengkan kepala. Ilyas itu memang nakal dan
gemar berjenaka sejak dari awal perkenalan mereka. Jika ada Ilyas, maka
rakan-rakan yang berdekatan dengannya pasti tidak kering gusi.
Cikgu Dila yang berjalan beriringan
dengannya, mencuit pinggang Faezah Hanim yang sedang asyik membalas SMS dan
berjalan lambat-lambat.
“Kak Faez, cikgu yang akak jumpa di
Kulai tu, bagi SMS ya?”
Tengkuk Faezah Hanim terus menjadi
panas. Dia tersipu malu dan tidak menyangka yang Cikgu Dila memerhatikan
gelagatnya. Sebenarnya, dia tidak perasan pun yang Cikgu Dila sebenarnya
berjalan di sebelahnya selepas tamat perhimpunan sebentar tadi.
“Eh...takdelah. SMS dari ayah, tanya
dah sampai ke belum,” dia berbohong. Walaupun perbuatannya itu salah, namun dia
malu untuk mengakui.
“Kak Faezzzz...janganlah tipu saya.
Takkanlah baca SMS dari ayah muka akak glowing
macam orang terima surat cinta?” Cikgu Dila mengerling Faezah Hanim yang
serba-salah.
Dia memang tidak patut menipu rakan
sekerjanya itu. Tapi entah kenapa, dia malu. Dia tidak mahu Cikgu Dila
menyangka yang dia punya hubungan istimewa dengan Ilyas. Mereka hanya sahabat
karib sejak dari kampus, tidak lebih dari itu.
“Sorry laa Dila. Errr....ermm, memang Cikgu Ilyas yang SMS. Maaf
akak tipu Dila. Tak baik kan, tipu kawan pagi-pagi Isnin ni, tak berkat hidup,”
Faezah Hanim membetulkan kesilapannya. Dia membuat mimik muka tanda minta maaf.
“Hmm...saya dah agak dah,”
Cikgu Dila tersenyum lebar, “Sejak balik dari Kulai tu, saya perasan, kalau
saya duduk sebelah akak masa rehat atau dalam bilik guru, mesti ada SMS masuk.
Takkanlah ayah akak asyik SMS akak, kan?” guru muda itu kemudiannya tersengih
dan mengangkat keningnya memandang Faezah Hanim.
Faezah Hanim juga
ketawa kecil dengan sindiran Cikgu Dila.
“Cikgu Ilyas memang macam tu. Dia
memang suka bagi SMS. Masa di kampus pun, duduk depan-depan pun, dia bagi SMS,”
dia cuba menerangkan tabiat Ilyas kepada Cikgu Dila. Dia masih tidak mahu yang
rakannya itu memikirkan yang bukan-bukan.
“Eh Kak Faez...baguslah
lelaki macam itu. Itu tandanya dia ambil berat dengan kita...dan mungkin juga,
dia jatuh cinta dengan kita,” kata-kata terakhir dari Cikgu Dila sebelum mereka
masuk ke kelas masing-masing membuatkan Faezah Hanim terpaku seketika.
Iya, Faezah Hanim akui
yang Ilyas memang mengambil berat ke atas dirinya. Sejak dari kampus, memang
itulah perangai Ilyas. Jika Faezah Hanim jatuh sakit, cepat sahaja Ilyas
mengirimkan panadol kepada teman sebiliknya. Jika dia mendapat tahu yang Faezah
Hanim kena sakit perut, dihantar pula pil cina, chi kit teck aun. Jika hendak
pulang ke Batu Pahat, memang Ilyas akan memastikan yang Faezah Hanim selamat
sampai di perhentian bas Batu Pahat sebelum dia menaiki bas untuk pulang ke
Johor Bahru. Tiket bas pun akan dibeli oleh Ilyas seminggu lebih awal untuk
memastikan yang mereka akan mendapat tempat duduk untuk pulang ke kampung.
“Assalamualaikum
cikgu,” ucapan salam dari para pelajar melontar Faezah Hanim ke dunia realiti.
Ditinggalkan kata-kata Cikgu Dila yang bermain di kotak fikiran.
“Waalaikumus salam
kelas,” Cikgu Faezah Hanim menyambut salam dari pelajar dan bersedia untuk
memulakan tugas pada hari Isnin itu.
Global Telco Network, Bandar Sunway.
“Kamelia...mmm...sedap
nama tu,” Syed Zakri tersenyum dan mengangguk.
Adik tersipu-sipu.
‘Ri ni nak kena ni. Bila masa pulak
nama aku jadi Kamelia? Jaga dia balik ni! Aku letak julap dalam air nescafe dia!’
“Terima kasih,” jawab Adik kerana
Syed Zakri memuji nama barunya itu.
“Tapi akaun emel, saya kena letak
nama betul ya, cik Kamelia,” jelas Syed Zakri sambil menjeling Adik dengan ekor
matanya.
Rasanya mahu gugur jantungnya dengan
jelingan Syed Zakri.
“Err...ya, ya...saya faham,” Adik
mengangguk-angguk macam orang Jepun memberi tanda hormat. Entah kenapa, gugup
benar dia dengan Syed Zakri ini.
Johari yang tadinya asyik memerhati
Syed Zakri terpaksa menjawab panggilan pelanggan yang masuk. Dia membuat mimik
muka yang tidak puas hati. Adik pasti, Johari mahu berbual dengan Syed Zakri.
“Ok...saya sudah sediakan emel cik
Kamelia -
KamalArif@globalnetwork.com.”
“Ya, ya...terima kasih encik Syed.”
“Panggil saya Zek saja, cik Kamelia,”
Syed Zakri memandang Adik dan melemparkan senyuman yang pasti menggugurkan
setiap gadis yang melihat.
‘Gentleman
betul Syed Zakri, anak siapalah agaknya?’
“Allright,
all done. Semua sistem dah siap. Kalau ada apa-apa, tak boleh guna sistem
ni atau sistem ni hang or stuck, cik
Kamelia telefon I.T department lah
ya,” ujar Syed Zakri sambil bangun dan meninggalkan Adik dan Johari yang baru
menamatkan panggilannya.
“Alah...dah pergi pulak budak Zek
ni...aku baru nak berbual dengan dia,” rungut Johari, “handsome eh Dik pak arab celup tu?”
Adik mengangguk. Iya, dia akui yang
Syed Zakri memang kacak. Memang banyak agaknya darah arab yang mengalir di
dalam tubuhnya. Hidungnya mancung. Bulu kening yang tebal, alis matanya lentik,
tubuh badannya tegap tinggi. Teringat Adik dengan beberapa rakan di Batu Pahat
yang berasal dari Kampung Arab. Memang wajah mereka seperti orang-orang dari negara
Timur Tengah.
“Julia...you nanti tunjuk ajar Kamal ya.” Kata-kata dari penolong pengurus mengejutkan
Adik dari leka. Penolong pengurusnya itu seorang berbangsa tiong-hua. Dia
berhenti seketika di antara meja Adik dan Johari.
“Iyalah, don’t worry la bos. Kawan I maa,
mestilah I akan ajar dia,” pantas
Johari menjawab.
“ Tapi, I mahu pesan, jangan ajar kawan you
marah customer,” sempat penolong
pengurus muda itu berpesan.
Johari tersenyum namun memberi
jelingan kepada ketuanya, “ Alah bos ni, takkanlah I nak ajar kawan I marah customer pulak...melampau tau you ni.”
Maka bermulalah kehidupan Adik
sebagai eksekutif khidmat pelanggan. Dia berdoa, dengan rutin hidup yang baru
ini, dia akan dapat melupakan peristiwa paling pahit yang dialami. Biarlah
peristiwa itu menjadi luka yang nanti akan menjadi parut di dalam jiwanya.
Kisah itu terlalu pahit untuk diingat-ingat. Kerana fitnah itu, dia rela
meninggalkan tanah kelahiran yang dikasihi. Kerana fitnah itu, dia rela
mendiamkan diri dari Faezah Hanim dan Kak Nora. Biarlah dia membawa diri.
Biarlah dia meninggalkan kampung. Dia terlalu menyayangi Kak Nora. Jirannya itu
sudah dianggap sebagai kakak kandungnya. Dia tidak mahu Kak Nora malu. Dia
tidak mahu maruah Kak Nora tercalar. Cukup-cukuplah Kak Nora itu dipandang
serong hanya kerana dia seorang janda. Dia tidak mahu menambah kisah luka dalam
album kehidupan Kak Nora. Biarlah hanya dia, ALLAH, Johari, orang yang
menyebarkan fitnah dan Abang Khalid sahaja yang tahu kisah paling pahit dalam
hidupnya itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan