Hampir setiap pagi, dia akan terjaga apabila muazin dari surau
berdekatan dengan rumah melaungkan azan subuh. Hari ini, tidak berkecuali. Dia
melangkah turun dari katil dan segera keluar dari bilik untuk mencari sedikit
haba kerana tidak tahan dengan suhu yang sejuk di dalam kamar tidur Johari.
Malam tadi, terlebih pula rasa sejuknya kerana hujan telah turun dengan lebat
membasahi bumi Subang Jaya.
Hujan yang turun,
mengingatkan dia dengan Sungai Simpang Kanan. Airnya pasti mengalir dengan
deras membawa bersama segala ranting-ranting kayu dan juga sampah sarap yang
dibuang dengan sewenang-wenangnya oleh penduduk sekitar. Pada musim hujan,
orang-orang kampung pula akan mengambil langkah berjaga-jaga kerana khuatir
banjir akan menyerang. Jika hujan lebat turun seharian, pasti anak-anak sudah
dikerah untuk menaikkan buku-buku sekolah dan pakaian ke atas almari yang
tinggi. Barang-barang elektrik juga akan dinaikkan di bahagian rumah yang agak
tinggi kerana akan musnah jika air naik mendadak. Di Subang Jaya ini, dia dan
Johari, mungkin Alice dapat tidur dengan lenyak kerana tidak perlu bimbang jika
hujan lebat turun tidak berhenti. Tidak perlu risaukan bencana banjir kerana
rumah Alice yang terletak di tingkat atas.
Seperti selalu, dia akan
mandi dan terus berwuduk. Walaupun air yang mengalir dari paip, sejuknya hingga
ke tulang sumsum namun itu tidak menjadi masalah kerana Alice telah memasang
alat pemanas air di dalam bilik air mereka. Jika di kampung, semasa dia masih
bersekolah, emak akan bangun pagi untuk merebus air di dalam periuk yang besar.
Air yang direbus itu buat dia, ayah dan adik beradiknya mandi air yang hangat.
Periuk itu biasanya dibuat merebus ketupat. Sekarang ini pun, ayah sudah
memasang pemanas air di dalam bilik air rumah mereka di kampung.
Sejak hari Sabtu yang
lalu, dia menunaikan solat subuh di ruang tamu. Bilik Johari memang luas namun,
kiblatnya mengadap katil. Tidak enak pula dia hendak rukuk dan sujud sambil
mengadap Johari yang berbungkus tidur dengan selimut tebal. Lagi pula, dia
tidak tahan dengan suhu sejuk di bilik Johari.
Hari ini, mungkin bakal menjadi hari
yang mengubah diari hidupnya. Pada pukul 9.30 pagi nanti, dia akan menghadiri
temuduga di pejabat Johari bekerja. Dia berdoa agar ALLAH memudahkan urusannya.
Walaupun Johari sudah mengesahkan yang dia pasti akan dapat bekerja di situ,
namun dia masih mahu tampil dengan penampilan yang terbaik. Dia tidak mahu
pihak pengurusan menyangka yang dia hanya melepaskan batuk di tangga. Pergi
temuduga dengan tidak bersedia dan dengan tangan kosong. Malam tadi, dia
mengemaskini segala dokumen penting yang perlu dibawa bersama. Sijil-sijil tamat
sekolah, SPM, Diploma dan sijil-sijil ko-kurikulum diletak kemas di dalam fail
plastik jernih.
Agak lama Adik berzikir dan berdoa
pagi itu. Dia mendoakan kesejahteraan emak dan ayah di kampung. Tidak lupa juga
dia mendoakan kesejahteraan adik-beradiknya, anak saudaranya yang amat dirindu,
Kak Nora, Faezah Hanim dan semua guru yang pernah memberi ilmu kepadanya.
Johari dan Alice masih diulit mimpi ketika Adik membancuh air Nescafe susu.
Masih awal lagi untuk dia menggerakkan Johari dan dia pasti, Johari pasti sudah
menetapkan waktu jam loceng di telefon bimbitnya.
Waktu baru menunjukkan jam enam
setengah pagi. Menurut Johari, mereka perlu keluar dari rumah seawal jam tujuh
empat puluh lima pagi. Walaupun jarak antara Subang Goodyear Court dan Sunway
itu, kurang dari lima belas kilometer, tetapi kerana kesesakan lalu lintas pada
hari-hari bekerja, memaksa semua penduduk kota keluar lebih awal. Sebenarnya,
mereka boleh sampai di kawasan Sunway tidak sampai setengah jam jika laluan trafik
berjalan lancar.
Adik sedang menggosok seluar palazo dan blaus merah berbunga ros
kecil-kecil warna putih ketika dia terdengar Johari membuka pintu bilik tidur
mereka.
“Dik...Dik...,” kedengaran suara
Johari memanggilnya.
“Hmmm...aku tengah gosok baju ni,”
jawabnya dari bilik ketiga. Bilik yang paling kecil dimana Alice meletakkan
kabinet baju yang bercermin dan majalah-majalah Vogue yang dilanggan. Bilik itu
juga dijadikan bilik untuk menggosok baju.
“Kau dah mandi?” Wajah Johari
tersembul di muka pintu bilik ketiga itu sambil dibahu kirinya tersangkut tuala
mandi. Johari menggenyeh matanya yang separa tertutup, separa terbuka. Masih
mengantuk barangkali.
“Dah...aku dah siap mandi,
sembahyang, minum air semua. Nak licinkan baju ni aje,” Adik menjawab dengan
panjang lebar.
“Oklah, aku mandi dulu. Hujan-hujan
ni, harus laa jem macam nak balik kampung masa raya. Aku siap aje, kita terus
keluar laa, Dik. Takut tak sampai ofis sebelum pukul sembilan.” Johari
memberitahu sebelum berlalu ke bilik air.
“Ok. Aku ikut aje. Kau nak aku
buatkan air tak?” Adik menawarkan diri membuatkan air untuk Johari sebelum
temannya itu menutup pintu bilik air.
“Boleh juga. Teh terik kencing
manissss please.”
Adik tersengih menggeleng-gelengkan
kepala sambil membongkok untuk menutup suis seterika. Johari itu, memang sejak
kecil suka makan makanan dan minuman yang manis-manis. Dia bukan tidak tahu
yang makanan atau minuman yang manis itu boleh menyebabkan diabetis. Puas sudah
Adik menasihatinya. Semalam pun, semasa makan di kedai makanan steamboat, Johari mengambil peluang
memesan aiskrim. Sebelum pulang pula, sempat dia singgah di pusat membeli-belah
di dalam Summit, USJ itu untuk membeli beberapa bungkus coklat dan air minuman
bergas.
“Untuk release stress,” kata Johari.
Seingat Adik, semasa mereka di
kampung, zaman sekolah, Johari memang paling suka jika Faezah Hanim mengajak
mereka berdua datang ke rumah. Cikgu Zakiah, ibu Faezah memang gemar membuat
kek, tetapi Cikgu Amir, suaminya, amat menjaga cara pemakanan. Faezah juga
begitu. Selalunya memang rezeki Johari dan dirinya jika datang ke rumah Faezah,
ada-ada sahaja kek yang dibuat oleh Cikgu Zakiah. Kek bakar jagunglah, kek
pandan, kek oren, kek batik dan bermacam-macam lagilah rezeki mereka untuk
dibawa pulang.
Setelah membancuh dan meletakkan teh
tarik permintaan Johari di atas meja, Adik segera masuk ke bilik untuk menukar
pakaian. Debaran di dada sudah kian terasa. Walau sudah diberi kepastian yang
dia akan dapat bekerja di situ, namun dia masih merasa gugup. Menurut Johari,
temuduga akan dibuat di dalam bahasa inggeris. Haruslah terbelit tergeliat
lidahnya untuk bertutur di dalam bahasa penjajah itu. Walaupun dia mendapat
keputusan cemerlang di dalam bahasa inggeris di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia dan MUET, dia akui, untuk menguasai sesuatu bahasa itu, adalah untuk
selalu mempraktiskannya. Dengan siapa pula dia hendak bercakap dengan bahasa
inggeris semasa di kampung? Emak dan ayah, sepatah haram tidak tahu bahasa
inggeris. Kak Nora, kata orang, cakap broken
english. Perkara yang boleh dilakukannya adalah dengan membaca novel-novel
romantik bahasa inggeris. Tetapi, harus juga dia akui yang dia lebih gemar
membaca novel-novel bahasa melayu, novel-novel dari Alaf 21 khususya.
Adik sedang menyikat rambutnya yang
sudah kering ketika Johari keluar berkemban dari bilik air. Sehelai tuala yang
lebih kecil digunakan untuk membungkus kepalanya. Dia segera memberikan laluan
kepada Johari untuk bersiap.
“Kau dah buatkan air aku, eh?” Tanya
Johari.
“Dah...aku dah letak atas meja tu
haa,” jawabnya sambil mengambil fail dokumen dan begnya lalu keluar dari bilik.
“Eh, Dik...kau tak touch-up sikit?”
Berkerut keningnya memandang
Johari,“ Nak touch-up apa pulak?”
“Iyalah...letaklah mekap nipis ke.
Takdelah pucat macam orang baru lepas beranak.”
Kening Adik berkerut memandang
Johari.
‘Biar betul Ri ni.’
Tadi dia sudah berbedak. Apa lagi
yang perlu dibubuh di wajahnya.
“Tak apa. Aku siap kejap. Nanti aku
tolong touch-up muka kau eh.”
Adik hanya mengangguk.
Semua ini, memang sungguh asing
baginya. Memanglah dia suka untuk berdandan kemas dan suka juga untuk bermekap.
Tetapi, selama ini, dia hanya membantu Kak Nora untuk memekapkan orang,
bukannya dia yang memakai mekap. Agak pelik dan janggal untuk dia bermekap
sebenarnya. Selama ini pun, cukuplah dia memakai bedak dan minyak wangi.
Adik sedang duduk di meja makan
ketika Johari memanggilnya masuk ke bilik. Ketika dia melangkah masuk ke bilik,
hidungnya terhidu bauan minyak wangi yang sungguh harum. Dia pasti Johari
memakai minyak wangi berjenama antarabangsa seperti Gucci Flora, Lancome,
Bvlgari yang harganya macam separuh gaji semasa bekerja sebagai promoter di
kampung. Jika memakai minyak wangi seperti itu, orangnya sudah keluar rumah
pun, bauan minyak wangi itu masih berlegar di sekitar rumah. Seketika, dia
terpana melihat sahabatnya begitu anggun dengan pakaian baju kurung warna biru
muda corak batik. Matanya tidak berkelip memandang Johari.
“Eh kau ni kenapa? Macam terserempak
dengan kak ponti aje! Sini, pandang aku...aku touch-up sikit muka kau,” soalan Johari mengejutkan dirinya yang
masih terkedu memandang Johari yang persis seorang wanita jelita.
“Cantik baju kau, Ri,” itu sahaja
yang terkeluar dari mulutnya.
Johari tersenyum lebar. Kembang bila
dipuji, “Ye ke? Kain sutera batik Terengganu ni, mahal tau. Tapi memang sedap
pakai. Sejuk aje rasa.”
Adik menelan air liur. Seingatnya,
ketika dia belajar di sekolah agama petang, ustaz dan ustazah selalu berpesan,
haram bagi seorang lelaki untuk memakai pakaian sutera dan memakai
barang-barang kemas yang diperbuat daripada emas. Dia hanya tersenyum hambar
memandang Johari. Agak jauh sudah Johari itu tersasar sedangkan dahulu, semasa
mereka masih kanak-kanak, itulah rakan dia mengaji bersama, pergi sekolah agama
bersama-sama. Johari juga adalah anak murid Pak Hassan yang tidak pernah
ponteng mengaji dan kelas agama yang Pak Hassan anjurkan di hujung minggu.
Johari mengenakan sedikit pemerah
pipi di pipi Adik. Dia juga meletakkan pembayang mata berwarna kemerahan sesuai
dengan warna blaus yang dipakai. Akhir sekali, di beri lip gloss pada Adik untuk dicalit di bibir. Johari tersenyum puas
melihat Adik dengan mekap nipisnya.
“Haaa...cantik pun kawan aku.
Barulah macam model!” Lebar senyuman Johari memandang wajah Adik yang cantik
dipandang. “ Dah, jom kita pergi, nanti tak sempat sampai ofis pulak,” Johari
bergegas menutup suis penghawa dingin dan lampu kamar.
Sebelum keluar, sempat Johari
meneguk air teh tarik yang dibuat Adik.
“Err...Ri...ada masalah laa,” ujar
Adik ketika Johari mengunci pintu hadapan.
“Ha? Apahal pulak? Kau nak terberak
ke?” Terbeliak mata Johari memandang Adik.
“Bukan...err...aku punya kasut, tak
sesuai dengan baju macam ni,” keningnya berkerut ketika memandang wajah Johari
sambil menunjukkan kasut hitam yang dibawa dari kampung. Kasut hitam itu memang
hanya sesuai untuk dipakai bersama kemeja dan seluar slack.
“Haah laaa...adoiii...kenapa aku tak
terfikir semalam eh? Kalau tak, boleh beli masa kita kat Summit malam tadi. Macam
mana ni eh? Takkan pakai palazo nak pakai kasut jantan! Ehhh...selisih
malaikat!!!Errr...kau pakai kasut saiz apa?”
“Sembilan atau sepuluh.”
“Kaki saiz mak gajah pulak tu!
Errr...aku saiz lapan. Amoy saiz sembilan. Tapi, kasut Amoy semua yang untuk
bawa masuk kelab. Terpelecuk pulak kalau kau tak biasa...macam mana ni eh?”
Adik menanti Johari yang ligat
mencari idea. Terkelip-kelip mata Johari memandang ke atas seperti idea itu ada
di bahagian siling.
Johari kemudian memerhati
kasut-kasut dan sandal-sandal Alice yang bersusun di rak kasut. Perlahan-lahan,
dia kemudian tersenyum. Dia terpandangkan sepasang sandal Alice yang selalu
digunakan untuk pergi membeli-belah. Sandal itu berwarna merah jambu. Johari
menunduk dan mengambil sandal itu lalu diberikan kepada Adik.
“Haa...kau pakai sandal Amoy ni.
Lagipun, kau dah cukup tinggi, boleh aje kau pakai sandal ni.”
Adik mengambil sandal yang
dihulurkan.
“Tak apa ke, Ri...pakai sandal Amoy
ni?” Adik ragu-ragu.
“Alah...tak kisah. Amoy tu jenis tak
berkira. Dia pun selalu pinjam skirt-skirt aku. Kita dah macam adik-beradik
dah.”
Dengan teragak-agak, Adik
menyarungkan sandal berwarna merah jambu itu ke kakinya. Johari tersenyum lagi.
Macam sandal Kak Nora pakai untuk pergi Ayer Hitam.
“Yes!
Perfect! Dah jom kita pergi.”
Kedua-dua sahabat baik itu dengan
segera menuju ke lif dan turun ke tempat parkir kereta. Inilah kali pertama
Adik menaiki kereta Johari. Sebuah kereta Pro Dua Kelisa yang berwarna merah.
Bauan buah lemon segar menerjah ke rongga hidungnya ketika dia melangkah masuk
ke dalam kereta itu. Ibu kota ini telah memberikan rezeki yang baik pada
Johari. Dia berharap, dia juga akan diberi rezeki untuk memiliki sebuah kereta.
Dapatlah dia bawa mak ayah dan Kak Nora jalan-jalan jika dia pulang ke kampung
nanti.
Johari memanaskan enjin kereta dalam
dua tiga minit. Dia kemudiannya memulas punat stereo memasang siaran radio
dengan frekuensi Lite FM. Lagu-lagu inggeris yang romantik dan membuai rasa
memberi kedamaian di halwa telinga dan hati Adik yang semakin gemuruh. Akhirnya
Johari keluar dari parkir kereta dan kedua-dua sahabat itu membelah jalanraya
menuju ke bandar Sunway.
Kluang.
Subuh Isnin.
Walaupun tubuhnya masih kepenatan,
digagahkan juga diri untuk bangun apabila jam loceng di telefon bimbit berbunyi
lantang. Sengaja dia memprogramkan nada bunyi ke bunyi paling maksimum supaya
dia akan terus terjaga. Matanya masih lagi kelat. Lambat-lambat dia bangun dari
katil dan mengambil tuala untuk ke bilik mandi. Jika boleh, ingin sahaja dia
mengambil cuti. Namun, dia tahu, Pengetua dan GPK pasti menanti berita gembira
darinya.
Semalam, setelah semuanya selesai di
Sekolah Menengah Kulai, dia dan dua orang lagi rakan guru membawa
pelajar-pelajar mereka pulang ke Kluang. Faezah Hanim yang awal-awal lagi sudah
berjanji akan menghantar setiap pelajarnya, menunaikan kewajipan seperti yang
dijanjikan. Sebelum pulang ke rumah masing-masing, mereka bersama-sama
menikmati makan malam untuk meraikan kejayaan mereka.Teringat lagi dia semasa
dia masih kecil, ayah dan ibunya juga begitu. Mereka akan membawa anak-anak
murid mereka untuk makan tengahari atau malam untuk meraikan sesuatu kejayaan.
Kini, dia mengulang kembali sejarah ayah dan ibunya. Faezah Hanim tersenyum
lebar melihat kegembiraan anak-anak buahnya. Terdetik rasa syukur dan bangga di
dalam hati dengan kejayaan mereka.
Setelah makan malam, seperti yang
dijanjikan dengan ibu bapa, ketiga-tiga guru muda itu menghantar
pelajar-pelajar mereka pulang ke rumah. Syukurlah kesemua pelajar duduk
berdekatan dengan sekolah. Akhirnya setelah semua pelajar selamat pulang ke
pangkuan keluarga mereka, Faezah Hanim, Cikgu Dila dan Cikgu Ina pulang ke
rumah masing-masing.
Siraman air sejuk di awal pagi
mengejutkan segala urat nadi yang sedang bermanja-manja di dalam tubuh yang
masih lagi ingin berbaring. Haruman syampoo Safi dan buih mandian Lux memberi
kesegaran kepadanya. Faezah Hanim pasti, jika dia dapat meneguk air Nescafe
susu, dia akan lebih segar. Sambil mengesat rambut yang sudah dibasuh, Faezah
Hanim menjeling jam di telefon bimbitnya. Terdapat satu pesanan SMS yang masuk.
‘Siapa pulak yang hantar SMS
pagi-pagi buta ni.’
Segera dia mengambil telefon bimbit
yang terletak di tepi bantal kepala untuk melihat siapa penghantarnya.
Assalamualaikum Hanim. Selamat menunaikan solat subuh dan selamat
mengajar.
Tatkala membaca Assalamualaikum Hanim sahaja, Faezah Hanim sudah tahu siapa
pengirimnya. Dia tersenyum. Awal pagi lagi Ilyas sudah menghantar SMS. Tetapi,
jauh di sudut hati Faezah, dia menanti kiriman SMS atau balasan SMS dari Arif. Dia sudah tidak ingat berapa banyak
kiriman SMS yang dihantar kepada Kamal Arif, namun satu pun tidak dibalas.
Faezah Hanim membiarkan SMS Ilyas tanpa membalasnya. Dia perlu segera
menunaikan solat subuh dan kemudian bersiap-sedia untuk ke sekolah. Pada hari
Isnin, sessi persekolahan akan bermula awal lima belas minit kerana adanya
perhimpunan mingguan.
Selesai bersolat, dia menyediakan
air Nescafe susu panas dan masuk semula ke kamarnya untuk menyalin pakaian.
Sedang dia menyarung tudung untuk meliputi rambutnya yang diikat kemas,
kedengaran telefon bimbitnya berdecit lagi menandakan masuknya pesanan SMS.
Faezah Hanim mengemaskan tudung yang dipakai dan segera mengambil telefon
bimbitnya.
Hati-hati memandu, Nim. Aku pasti, Pengetua mesti gembira dengan
kejayaan kau dan anak-anak buah kau. Aku pun dah nak ke sekolah dah ni. Take
care, Nim.
Faezah Hanim menggeleng-gelengkan
kepala dan tersenyum mengingatkan Ilyas.
Dia memang pernah menjadi sahabat karibnya di
UPSI dahulu dan sememangnya dia memang gemar menghantar SMS walaupun duduk
semeja di meja makan.
Hanim, senyum sikit. Jangan tenung burger tu
lama-lama, nanti jadi basi.
Faezah Hanim mengangkat kepalanya dan memandang Ilyas sambil tersenyum.
“Mengada-ngadakan kau ni! Duduk
depan-depan pun nak SMS ke, kan rugi?” Faezah Hanim menjeling Ilyas semasa
mereka duduk di meja makan di bawah pokok di sebuah warong dekat bandar Tanjung
Malim.
“Alah...sekurang-kurangnya
aku hanya perlukan sepuluh sen untuk buat kau senyum!” Ilyas tersenyum nakal
dan Faezah Hanim merengus marah lalu menjeling.
Faezah Hanim tersenyum
mengenangkan kenangan lama. Imbauan memori semasa di kampus tidak memaksa
Faezah Hanim berlama-lama di kamar. Dia perlu segera ke sekolah. Tidak mahu dia
terlambat menyampaikan berita gembira kepada Pengetua walaupun semalam lagi dia
telah memberitahu Pengetua dan Guru-guru Penolong Kanan yang lain. Dia terus
meletakkan telefon bimbitnya ke dalam beg tangan tanpa membalas SMS Ilyas yang
kedua. Biarlah, hari Isnin ini, dia ada banyak masa terluang selepas waktu
rehat. Nanti-nanti sahaja dia membalas SMS Ilyas. Dia hanya ada empat kelas
pada hari Isnin. Kesemuanya sebelum rehat.
Faezah Hanim tiba di
perkarangan sekolah tepat pada pukul 7.00 pagi. Segera dia mengkelek trofi
kemenangan yang diperolehi di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai ke pejabat
pentadbiran sekolah. Senyum lebar sahaja Faezah semasa menuju ke pejabat untuk
mengetik kad kedatangan bagi mengesahkan kehadirannya ke sekolah. Beberapa
orang rakan guru yang ditemui di sepanjang perjalanan mengucapkan tahniah.
Mungkin Cikgu Ina atau Cikgu Dila sudah mengkhabarkan berita gembira kepada
rakan-rakan guru yang lain.
Semasa guru pengacara
majlis mengumumkan berita gembira tentang kemenangan pasukan bola jaring, tepukan
gemuruh bergema di dalam dewan sekolah. Ucapan tahniah diberikan kepada Faezah
Hanim, Cikgu Dila, Cikgu Ina dan pemain-pemain bola jaring yang mewakili
sekolah. Pengetua melahirkan rasa bangga kepada semua pelajar dan guru yang
terlibat di dalam perlawanan peringkat negeri itu. Faezah Hanim mengucap syukur
di dalam hati dan hanya tersenyum sepanjang perhimpunan itu.
Entah kenapa, di dalam
gemuruh tepukan pelajar pelajar Sekolah Menengah Tinggi Kluang itu, terpercik
ingatannya kepada Kamal Arif. Di zaman remaja mereka, Kamal Arif dan Johari
adalah dua orang teman yang sentiasa memberikan dia semangat, dorongan dan juga
doa.
“Tahniah Faez...kita memang tahu
awak akan menang,” ucap Kamal Arif semasa dia memenangi Kejohanan Bola Jaring
bawah lima belas semasa di tingkatan tiga.
“Faez! Kita pun memang confirm dah awak menang dan awak akan terpilih jadi
pemain terbaik tau,” ucap Johari pula semasa mereka bertemu di rumah Kak Nora
semasa Faezah Hanim menghantar kek kukuh buah yang ditempah Kak Nora.
Kamal Arif dan Johari.
Iya, sesungguhnya, dia amat merindui
mereka. Hingga kini dia masih tertanya-tanya mengapa Kamal Arif tidak membalas
satu pun pesanan SMS darinya. Tidak sabar dia menanti hari Jumaat kerana dia
akan terus pulang ke Batu Pahat pabila tamat sahaja waktu persekolahan.
SMS dari Ilyas masuk lagi ketika dia
sedang menikmati sarapan pagi pada waktu rehat.
Cikgu Hanim tengah makan apa tu?
Faezah Hanim menggeleng kepala. Kali
ini, Faezah Hanim mengambil keputusan menelefon terus Ilyas yang sudah
menghantar tiga SMS kepadanya sejak subuh tadi.
Ilyas yang memang sedang memegang
telefon bimbit sambil menyedut air teh ais tersentak apabila telefon bimbitnya
berbunyi. Dia tersenyum lebar apabila melihatkan nombor dan nama Faezah Hanim
yang tertera di telefon Nokia N97 miliknya.
“Assalamualaikum Cikgu Ilyas.”
Ilyas berdehem beberapa kali sebelum
menjawab salam.
“Waailaikumus salam Cikgu Hanim. Apa
mimpi telefon ni?” Tanya Ilyas sambil tersengih-sengih. Hatinya berbunga ceria.
“Apa pulak aku yang mimpi? Kau yang
hantar SMS dari sebelum subuh sampai sekarang! Tak ada kerja, ke cikgu?”
Ilyas tersengih lagi. Memang Faezah
Hanim tidak pernah berubah. Gayanya masih lagi kasar sama seperti mereka di
kampus dahulu. Namun dia tahu, Faezah Hanim itu baik hati.
“Ada cikgu Hanim. Akukan cikgu macam
kau juga. Kerja kita sama aje. Cuma, sekarang dah tambah lagi satu kerja.”
“Kerja tambahan apa pulak? Jadi jaga
sekolah?”
“Bukan. Bukan jadi jaga. Jadi
penghantar SMS.”
“Heee...ngada-ngada. Dah pergi
habiskan sarapan kau tu. Kejap lagi loceng dah nak bunyi.”
“Iyalah. Terima kasih call aku, Nim. Berjaya jugak laa aku buat kau
telefon aku eh...hehe,” Ilyas tersenyum nakal.
“Heee...kau ni memang ngada-ngada
tau! Oklah...assalamualaikum.”
Klik.
Talian diputuskan.
Ilyas Kahar tersenyum. Dia terus
menyedut air teh ais yang berbaki. Sememangnya dia teruja menerima panggilan
telefon dari Faezah Hanim. Walau sudah beberapa tahun berlalu, entah kenapa,
Faezah Hanim masih lagi gadis yang bertakhta di hatinya walau dia tahu,
cintanya itu tidak berbalas. Tetapi, dia yakin, jika doanya dimakbulkan, dia
akan dapat juga memenangi hati Faezah Hanim.
Dia tidak tahu samada Faezah Hanim
itu mempunyai teman lelaki istimewa atau tidak semasa mereka di kampus. Jika
ada, dia pasti yang mereka akan mendirikan rumahtangga setelah bergelar
graduan. Tetapi, apabila dia menemui Faezah Hanim di Kulai, dia dapat merasakan
yang Faezah Hanim masih lagi bujang. Ini bermakna, dia masih punya peluang.
Ilyas meninggalkan meja kantin setelah loceng sekolah yang menandakan waktu
rehat telah tamat. Hatinya berbunga girang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan