Jumaat, 15 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 8




            Fail-fail akaun yang tersusun di atas mejanya telah siap dikemas kini. Alhamdulillah, tugasan yang diberi mampu dilakukan dengan baik.  Sudah seminggu dia bekerja di Syarikat Riana Collections, pemilik butik tudung dan jubah yang terbesar di negara ini.  Nama syarikat itu amat dikenali.   Beroperasi di sebuah bangunan empat tingkat di tengah bandaraya Kuala Lumpur memudahkan orang ramai datang membeli di situ.  Malah harga yang ditawarkan juga tidak terlalu mahal.  Arman menegangkan urat di leher dan tubuhnya, sudah berjam duduk menghadap skrin komputer dan fail-fail tersebut.  Terasa lenguh segala urat saraf. 
            “Arman… dah siap akaun bulan lepas?” tanya Rafeah yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu bilik sepupunya itu.
            “Dah Kak Fea, akak nak sekarang ke?” Pandangannya ditepatkan ke arah Rafeah yang melangkah masuk.
            “Ya, Puan Besar nak tengok, cepatnya kau buat, baru kerja seminggu dah siap semuanya?”  Rafeah membelek beberapa buah fail yang terdapat di atas meja adik sepupunya itu.  Dia tersenyum bangga. Tidak sia-sia dia memaksa adik sepupunya itu bekerja di syarikat  kawan baiknya itu.
            “Ala kak, saya bawa balik rumah, siapkan satu persatu, kacang aje kak,” jawab Arman penuh yakin. Dia bukan ada sesiapa yang nak ganggu, orang bujang. Boleh buat kerja 24 jam tanpa henti.
            “Bagus! Kalau macam ni, akak boleh rekomen kenaikan gaji,”  janji Rafeah.
            “Ait! Baru kerja seminggu dah nak naik gaji? Murah rezeki akak dan bos besar nanti.” Arman tersenyum.
            “Puan besar pemurah orangnya, janji kerja jujur dan rajin, adalah imbuhannya./ Okeylah, akak keluar dulu.”  Setelah mengambil beberapa buah fail, Rafeah terus keluar.
            Arman memerhatikan sahaja langkah kakak sepupunya itu. Rafeah tua beberapa tahun sahaja daripada dirinya, emak Rafeah dan emaknya adik-beradik. Mereka tingggal di kampung yang sama. Janji emak  Rafeah akan menjengok emaknya membuatkan dia mengikut sahaja kehendak Rafeah dan emaknya agar dia bekerja makan gaji. Apa yang penting baginya, ada orang yang boleh menjengok emaknya sekali sekala.    
Di bilik Pengarah Urusan Riana Collections…
            Riana tersenyum melihat hasil kerja pegawai akaunnya yang baru. Cepat dan cekap.  Tidak salah dia mengambil pemuda itu bekerja dengannya.  Rafeah tidak salah memilih.  Sesekali dia memandang wajah sahabatnya yang setia sehingga sekarang. 
            “Bagus adik sepupu kau ni, seminggu dah siap akaun untuk beberapa bulan?  Bagus, aku suka cara kerjanya,” puji Riana.  Dia meneliti unjuran akauan bulan lepas. Keuntungan berganda sebab promosi jualan murah yang diadakan dan koleksi edisi terhad menarik hati para pembeli jubah dan tudung jenama Riana.
            “Dia memang budak yang baik Rin, nak ajak ke mari pun, jenuh aku dan emak aku kena yakinkan dia.  Tak nak langsung tinggalkan emaknya.  Takut sangat emaknya kesunyian, sedangkan saudara mara tinggal berdekatan. Tahulah mereka nak jaga adik beradik sendiri,” jelas  Rafeah tentang adik sepupunya itu.
            Riana terangguk-angguk mendengar cerita sahabatnya itu.  Dia pasti tidak salah memilih.  Sebelum ini suaminya yang uruskan kauan syarikat.  Sejak akauan asyik tidak sama sahaja, dia tekad mengambil pegawai akaun yang baru.  Duit syarikat di dalam akaun asyik menyusut, siapa yang tidak bimbang. 
            “Rin! Kau tukar pegawai akauan?  Habis tu abang nak kerja kat mana?” tempelak satu suara yang muncul tiba-tiba di sebalik pintu yang tertutup rapi. 
            Tersentak keduanya.
            “Hai, dah tak pandai beri salam ke?” soal Riana acuh tak acuh.  Hatinya berbekam marah melihat wajah lelaki yang sudah empat tahun dikahwininya itu.  Sudah seminggu menghilangkan diri, tiba-tiba muncul hari ini.
            “Kau beri jawatan abang pada  orang lain?” marah Haziq menyinga.  Terasa dirinya dibuang begitu sahaja.
            “Saya cari orang yang layak jaga akaun syarikat saya,” jelas Riana tanpa memandang wajah suaminya itu. Riana membetulkan tudung bertingkat ciptaannya sendiri yang terasa senget di kepala.  Jubah labuh berbunga ros merah hati, bertanahkan warna hitam  cukup cantik ditubuh langsingnya.  Air mukanya tenang, biarpun ketika itu hatinya berpusing ligat bagaikan putting beliung, menahan rasa marah, geram dan sakit hati dengan sikap acuh tak acuh suami sendiri melakukan kerja yang diamanahkan.
            “Kenapa? Abang tak layak? Rin nak cakap abang tak layak jaga akaun syarikat isteri sendiri? Begitu?” Haziq mencebik. 
            “Dua bulan lepas abang keluarkan RM10k dari akaun syarikat.  Bulan lepas RM15k abang ambil. Abang tak bagitahu  Rin pun?  Duit itu abang buat apa? Gaji yang Rin beri tak cukup lagi ke?  Segalanya Rin sediakan, duit kereta Rin yang bayar. Abang buat apa dengan duit tersebut?”  Riana mengetap bibir.  Biarpun ini syarikat sendiri tetapi pengeluaran duit harus juga berhati-hati.  Biar keuntungan besar mana pun, tidak bolehlah membazir.  Belanja kenalah berhemah.  Dia sendiri berhati-hati dalam berbelanja.  Beli apa yang perlu sahaja, tidak mahu membazir, bukan mudah untuk dia berada di tahap sekarang ini.  Dibayar dengan kudrat dan air mata. Bersengkang mata untuk berjaya.
            “Inikan syarikat kita, takkan nak berbelanja lebih sikit tak boleh?”  Haziq terus melabuhkan punggungnya di sofa kulit berwarna krim yang tersusun kemas di dalam pejabat isterinya itu. Wajahnya cemberut, rambutnya diusap berkali-kali.  Berbaju kemeja berwarna unggu muda, berseluar slack hitam.  Hidung mancung, pipi bersih dari sebarang jerawat.  Kacak orangnya.  
            “Syarikat saya, bukan syarikat kita!” tegas Riana.
            Rafeah yang masih berada di dalam bilik itu berasa kurang selesa.
            “Aku minta diri dululah Rin, ada apa-apa kau panggil aku ya.” Rafeah segera melangkah keluar.  Dia sempat menjeling ke arah Haziq yang duduk bersilang kaki. Menyampah! Jenis buaya makan hasil titik peluh isteri sendiri!  Dia mengeluh kesal.
            Riana hanya menggangguk.  Dia mengeluh. Penat menjaga hati seorang lelaki yang bergelar suami tetapi tidak pandai menghargai dirinya sebagai seorang isteri. 
            “Abang ke mana seminggu ni? Hari ini baru balik? Saya telefon langsung tak berjawab?” soal Riana.  Dia bingkas bangun mendekati suaminya yang duduk santai di sofa.
            “Sesekali aku nak juga bercuti, asyik bekerja aje,” luah Haziq.
            “Kerja apa yang abang buat?  Akauan syarikat pun abang suruh budak kerani yang buatkan, abang ingat saya tak tahu? Mana tanggungjawab abang.  Tahunya ambil duit syarikat aje, gaji saya beri pada abang bukan sikit tau, kata pandai buat akauan, ada kelayakan, selama empat tahu abang membantu saya, semua kerja tu budak kerani aje yang buat, kan?” tempelak Riana, geram. Dia sudah lama bersabar dengan sikap lelaki yang berada di hadapannya itu.  Riana meraup wajahnya.  Kalaulah talak di tangannya dia rela bergelar janda lagi. Entah kenapalah nasibnya, asyik bertemu dengan lelaki yang tidak berguna sahaja.  Suami pertama penagih dadah. Suami sekarang asyik berpoya dan menghabiskan duit sahaja.
            “Ala! Setakat nak tulis duit keluar masuk, apa susahnya?  Rin saja nak cari salah abang kan?” Haziq bingkas bangun dan mencekak pinggang.  Dia tersenyum sinis. 
            “Cakap senanglah! Ada abang buat?” Riana memeluk tubuh.  Degup jantungnya semakin bergetar ligat.  Melonjak rasa amarahnya.  Hilang rasa hormat terhadap lelaki yang sekian lama bergelar suami kepadanya. 
            “Apa yang Rin marahkan sangat ni?  Dah lingkup ke syarikat Rin?”
            “Belumlah lagi, kalau dibiarkan abang bermaharajalela ambil duit syarikat, lama-lama boleh lingkup tau!” marah Riana.
            “Kedekut!” kata Haziq sepatah.
            “Kedekut? Abang tahu tak betapa susah Rin nak berada di tahap ini?  Rin bersengkang mata siang dan malam, tak kira hujan, ribut atau apa sahaja, semua Rin redah demi mencari rezeki untuk anak-anak Rin, sampailah Rin berjaya bina empayar Rin sendiri.  Rin kahwin dengan abang pun ingatkan abang seorang lelaki yang jujur dan bertanggungjawab, rupanya abang berpura-pura sahaja.  Abang nak rampas hak Rin, kan?”  marahnya meledak.  Terlalu lama dia menyimpan perasaan itu. Terlalu lama dia memendam rasa.
            “Ungkitlah! Ungkit!”  marah Haziq pula. Laju dia melangkah keluar meninggalkan Riana mengamuk sendiri.
            Riana mengenggam erat jari jemarinya.  Kenapalah ada lelaki seperti ini dilahirkan ke dunia ini?  Kenapalah dia termakan pujuk rayu dan janji palsu lelaki seperti Haziq, sepatutnya pengalaman yang lalu telah banyak mengajarnya agar berhati-hati dan tidak mudah jatuh cinta lagi.  Kali ini dia melakukan kesilapan lagi. Kesilapan yang mampu menjahanamkan hidupnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan