Sakit
kepala sering pula menyerang sejak akhir-akhir ini. Urusan di Mahkamah Syariah sudah selesai
dengan baik. Razif sudah dapat apa yang
dia kehendaki. Riana berdoa dalam hati
semoga bekas suaminya itu akan berubah satu hari nanti. Kata-kata penghinaan daripada keluarga
sebelah Razif ditelan bulat-bulat. Apa
dayanya untuk menghalang mereka bercakap atau mengutuknya. Biarlah.
Tidak luak sedikit pun. Terluka
di hati, bukan ada sesiapa yang nampak.
Ahli keluarganya pula tidak seorang
pun menampakkan muka. Mungkin mereka
juga marah dengannya. Dia tidak boleh
berkecil hati. Mereka punya hak untuk
mengenepikan dirinya. Dalam keluarganya
belum pernah ada penceraian. Hanya
dia…
Pagi-pagi lagi dia sudah ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, mencari stok
tudung yang akan dijual secara dalam talian dan kepada jiran berdekatan. Rafeah juga sudah berjanji untuk membawa stok
tudung yang baru nanti ke Kilangnya.
Riana berharap usahanya ini akan berjaya. Kereta tiada, terpaksalah dia mendaki kaki
tangga komuter. Itu sahaja pengangkutan
yang mudah baginya. Kalau teksi pula
tentulah mahal tambangnya. Kalau bas
terpaksa ditukar berkali-kali. Lebih
mudah dengan Komuter atau LRT.
Kenderaan bertali arus, begitu
dengan manusia yang berpusu-pusu ke tempat kerja masing-masing. Kedai-kedai di Jalan TAR kebanyakkan pukul
9.00 pagi sudah memulakan perniagaan mereka.
Langkah Riana perlahan, memerhati dan mencari tudung yang sesuai, yang
cantik dan murah. Kebanyakkan
pelanggannya mereka yang berpendapatan sederhana. Dia tidak boleh menjual terlalu mahal, takut tak
lakulah pula. Dia membelek satu persatu
kain tudung yang tergantung dan dipamerkan.
Cantik-cantik berlaka. Dia perlu
membeli yang mampu menarik hati
pelanggannya. Hampir tiga jam dia
berada di situ, memilih, membelek dan membeli sehingga puas hati.
Di rumah lauk-pauk untuk
anak-anaknya sudah siap di masak.
Tinggal mereka menjamahnya sahaja.
Dia juga menitip pesan kepada jiran sebelah menyebelah bagi memerhati
anak-anaknya. Takut mereka buat yang
bukan-bukan jika tidak berada di hadapan mata. Dia tidak boleh mengalah dalam
hidup ini. Berjuang meneruskan hidup
sehingga nyawa berpisah dari badan.
Membesarkan anak-anak itulah tumpuan utamanya. Memberi mereka pendidikan dunia dan
akhirat. Melihat mereka membesar menjadi
manusia berguna. Pendidikan agama adalah
perkara yang paling akan
ditekankan. Marlia semakin menginjak
remaja. Kebimbangan tetap bersarang di
dada. Takut memikirkan kehidupan
anak-anaknya di dunia yang semakin
mencabar fikiran dann fizikal. Semua orang berkejar-kejar mencari kesenangan
hidup. Kekayaan adalah matlamat utama,
sehingga mengenepikan sifat
kemanusiaan. Saling jatuh
menjatuhkan. Saling hina menghina dan
benci membenci. Hidup bagaikan tiada
peraturan. Diredah sahaja selagi mampu
memberi kejayaan kepada diri sendiri.
Hidup bernafsu-nafsi, kepentingan diri sendiri tajuk utama. Hal orang lain perkara kedua yang difikirkan
jika perlu.
Riana melangkah laju dengan barangan
yang penuh di tangan kiri dan kanan. Dia
menahan sebuah teksi. Lebih mudah
menaiki teksi dengan barangan yang penuh di tangan. Dia menarik nafas lega kerana semua barang
yang dicari dapat dibeli semuanya. Dia
berharap sangat semua barangan yang
dibeli tadi habis terjual. Dia tahu,
ramai yang menjual tudung, berbagai jenis material kain dan corak, cantik dan
menawan. Dia tidak boleh mengaku kalah
sebelum berjuang. Senjata sudah ada,
hanya tentukan bentuk peperangannya.
Riana menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Dia harus berani dan yakin dengan diri
sendiri. Tidak boleh cepat
mengalah. Ramai sudah membuktikan
seorang ibu tunggal boleh berjaya jika berusaha. Jangan kenal putus asa. Tidak boleh cepat melatah atau takut dengan
dugaan yang mendatang. Kekuatan minda
dan fizikalnya harus mantap dan teguh.
Demi masa hadapannya dan anak-anak.
Tidak perlu berpaling ke belakang lagi.
Tinggalkan kenangan yang melukakan hati.
Usah dikenang apa yang berlaku.
Semua itu bagaikan asam garam kehidupan sebelum berjumpa jalan yang
mampu membahagiakan. Usah dipeduli
katanya orang. Bukan mereka yang memberi
rezeki kepadanya. Dia tidak akan
berpaling lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan