alijah melabuhkan punggung di buaian berhampiran laman rumah.
Dia merenung taman mini yang telah dibina beberapa tahun dahulu. Bersih dan
kemas. Pandai juga tukang kebun yang diupah oleh menantu sulungnya itu. Entah
berapa gaji yang dibayar oleh menantunya itu. Keluhan demi keluhan mengalir
keluar. Sebal dan sesal.
Kalaulah
dia tidak meletakkan nama arwah anaknya sebagai pewaris tunggal harta-harta itu
pasti hidupnya tidak tertekan begini. Semakin dan bertambah benci dia kepada
menantu sulungnya itu. Ada menantu sampai dua orang tetapi satupun tidak mampu
mencuri hatinya. Dahulu yang kedua begitu disayangi, namun sejak-sejak akhir
ini yang kedua juga sering membakar api kemarahannya.
“Ibu!” laung Katrina.
Halijah menoleh. Dia menggeleng. Semakin hari terlihat kekasaran
menantunya itu. Alahai nasib. Asyik dapat menantu yang tidak menyenangkan.
Hendak suruh anaknya kahwin lain, arwah sudah tiada. Terpaksalah dia gigit
jari. Menahan rasa.
“Menantu ibu tu... dahlah sombong, berlagak pula tu,” adu
Katrina. Dia berdiri di tiang buian sambil mencebik. Kelat di wajah sudah tahu
merajuk tidak habis-habis.
“Dah tahu begitu, buat apa menerjah arus? Nanti tenggelam,
ibu tak mahu tolong!’ Halijah memberi amaran. Nampak gayanya Mastura sukar
mempercayai dirinya dan Katrina. Mungkin pengalaman telah mengajar menantu
sulungnya itu lebih berhati-hati.
“Cuba nasib, mana tahu dapat. Buat muka kasihan dan meraih
simpati. Tak salah mencuba,” selamba Katrina menuturkannya.
“Apa rancangan Rina sekarang? Ibu tak dapat bantu,” keluh
Halijah.
“Nak buat macam mana? Terpaksalah cari kerja,” jawab
Katrina. Apa dayanya lagi? Ada ibu mertua tidak boleh membantu. Ada orang tua
sudah hampir muflis. Bukan sahaja tidak boleh menolongnya. Hendak tolong diri
sendiri pun orang tuanya tidak mampu. Malah meminta lagi daripadanya. Maaflah,
dia hendak cekau di mana duit ratusan ribu itu? Tidak mungkin mencuri? Mencuri
di mana? Di bank? Rompak bank? Pandai sangatlah. Silap hari bulan dia meringkuk
di dalam penjara. Adrian? Lelaki tidak boleh diharap itu. Sedang mengatur
rancangan mendekati janda kaya yang sedang meriah hidupnya. Siapa lagi, kalau
bukan madunya itu. Geram terus-terusan bercambah di hati, menjalar disetiap
pelusuk tubuhnya.
Sudah berhari-hari panggilan daripada orang tuanya tidak
dijawab. Bukan tidak hormat atau tidak merindui mereka tetapi panggilan
daripada mereka buat hatinya risau keterlaluan. Daripada menanggung kepayahan
perasaan sendiri, lebih baiklah dia mendiamkan diri. Pandai-pandailah mereka
hendak hidup.
Selama ini pun bukan dia yang menyara mereka. Mereka yang
menyara dirinya. Sejak harta habis berjoli inilah kehidupan mereka begitu perit
mencengkam dirinya. Dirinya dijadikan umpan untuk mendapatkan apa yang mereka
inginkan. Tetapi tidak kesampaian lantaran suaminya pergi terlalu awal sebelum
masanya. Langsung tidak sempat menikmati apa yang sepatunya diperoleh. Jangan
fikir yang bukan-bukan ya, hartalah. Itulah yang menjadi idamannya dan idaman
kedua orang tuanya. Hampas sahaja yang tinggal. Santannya sudah dirembat oleh
madunya awal-awal lagi.
Apa yang bermain di benaknya, bagaimana suaminya boleh
menukar wasiat dalam masa yang singkat? Sebelum meninggal atau selepas?
Kemusykilan yang tidak mampu dijawab. Jawapan yang hanya ada pada suaminya dan
juga peguam arwah. Ya, peguam arwah. Kenapa dia tidak memikirkan perkara itu
sebelum ini? Bukan hendak tunjuk atau berlagak jadi penyiasat tetapi dia hanya
ingin mendapatkan semula haknya.
“Ke mana kau merayap?” tegur ibu mertuanya.
Katrina menyengih. Terlalu jauh dia membawa diri, memikirkan
untung nasib. Mencari jalan memperbaiki kehidupan sendiri.
“Ibu tak ada jalan ke nak singkirkan perempuan tu?”
Kartina mencuit lengan ibu mertuanya yang memandang kosong ke arah taman mini,
menikmati desiran air dan kembangan yang sedang berbunga mekar.
“Bunuh aje dia. Habis cerita.” Halijah mencebik. Bunuh?
Bunyinya macam mudah, tetapi siapa yang akan melakukannya? Siapa berani? Kalau
hendak mengupah pembunuh upahanpun memerlukan belanja yang besar. Jika dia
berduit seperti dahulu, mungkin mudah. Dia ingatkan jika dia meletakkan harta
itu di bawah nama anaknya, kehidupannya akan menjadi lebih baik. Lain yang
dipinta, lain yang mendatang.
“Bagus juga idea tu, ibu. Biar hilang di dunia, taklah
semak mata.” Katrina menyengih.
“Ha’ ah... kalau dia mati, tak apa. Kalau hidup, tak
pasal-pasal kita ke tali gantung atau penjara seumur hidup.” Halijah menggeleng
kemudian. Idea mudah tetapi tidak bijak.
Dia memandang Katrina sekali imbas. Bersiap bukan main,
bersolek 24 jam. Memasak tidak pandai, mengemas jauh sekali. Baru sekarang
perasan apabila sudah serumah. Menantu yang seorang lagi, sedikit degil dan
kalau hati sudah tidak suka, kebaikan di hadapan bagaikan pasir di dalam mata.
“Kita kena cari jalan juga, ibu. Takkan nak hidup dengan
pendapatan RM1500 sebulan? Mana cukup?” omel Katrina.
“Nanti ibu cari jalannya. Yang Rina masih tidak tukar baju
lagi ni kenapa? Takkan nak pakai macam ini di rumah? Solekan punyalah tebal,”
tegur Halijah. Tidak pernah sekali pun dia melihat Katrina tidak bersolek.
Hampir setiap masa. Tidak salah ingin kelihatan cantik sepanjang masa tetapi
tidaklah wajah itu disolek macam hendak buat pertunjukan pentas. Sudah bagaikan
wayang Cina pun ada juga. Dia tersenyum dalam hati.
“Kejap lagilah. Ibu, kita pergi jumpa peguam arwah Abang
Ashraf nak? Macam ada tak kena aje. Rina nak tanya waktu bila arwah tukar
wasiat tersebut? Ibu tak rasa? Tiba-tiba sahaja arwah tukar wasiat, sedangkan
kita tahu harta-harta itu sudah diserahkan kepada ibu dan Rina,” cadang
Katrina.
“Molek juga tu. Ibu pun setuju. Kejap. Ibu ambil beg .
Kita ke pejabat peguam tu.” Halijah bersetuju. Dia turun dari buaian dan
melangkah ke dalam rumah. Namun langkahnya terhenti lalu menoleh ke arah
Katrina. “Alamat ada ke? Ibu dengar dia dah tukar pejabat baru,” tanyanya.
Setahunya, mereka tidak ada ambil apa-apa daripada peguam tersebut.
“Tak ada.” Laju gelengannya. Katrina menyengih.
Halijah tepuk dahi Tidak mungkin dia akan meminta daripada
Mastura. Nanti banyak pula soalan. Buat sakit kepala dan minda untuk
menjawabnya. Dapat menantu langsung tidak boleh harap. Laju langkahnya menuju
ke dalam biliknya sendiri.
Pintu dikunci. Dia mencapai telefon bimbit dan mendail
nombor seseorang. Terpaksa. Kalau ikutkan dia tidak mahu buat begini. Tapi
kalau diri sudah tercabar, mendiamkan diri bukan caranya.
“Jumpa aku esok, petang. Di tempat biasa,” katanya agak
tegas. Namun masih mengawal nada suara. Takut didengari oleh orang lain. Dia
tidak akan membiarkan dirinya jadi papa kedana. Susah payah dia mendapatkan
harta itu untuk arwah anaknya. Sekarang senang-senang jatuh ke tangan orang
lain.
Dia tidak akan mendiamkan diri. Dia ada matlamat dan
keinginan. Penat lelahnya selama ini tidak akan dibiarkan ghaib begitu sahaja.
Kalau Mastura ingin berperang, dia sedia mengangkat senjata. Ketakutan tiada
dalam diari kehidupannya. Dia tidak takut kepada sesiapa. Sesiapa sahaja akan
disanggah jika melibatkan harta. Suami sendiri pun dia sanggup hancurkan,
inikan pula hanya seorang menantu.
Kalau Mastura penghalang dia menjadi pemilik mutlak harta
tersebut. Dia akan hapuskan perempuan itu selama-lamanya. Mastura tidak tahu
siapa dirinya? Mendiamkan diri tidak bermakna dia kalah. Permainan belum
bermula. Tunggu dan lihat. Hendak sangat tengok ibu mertua yang brutal dan samseng,
nantikanlah. Dia menyengih sendirian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan