Suasana cuaca di luar diterangi
cahaya matahari yang berwarna keemasan.
Tenang dan mendamaikan. Di dalam
rumah banglo dua tingkat sepasang suami isteri sedang menikmati sarapan pagi
yang enak. Masing-masing tidak bersuara. Melayan perasaan sendiri sambil
menikmati makanan yang terhidang. Riana
menyapu bibirnya dengan tisu dan memandang wajah suaminya.
“Saya nak awak berkahwin dengan
Diana, hujung bulan ini,” beritahu Riana selamba dan dengan wajah yang serius.
“Apa?” Haziq tersedak, cepat-cepat mengambil gelas
yang berisi air dan meneguknya rakus.
Dia menepuk-nepuk dada. Hampir
tercekik makanan yang sedang dijamahnya itu.
Terlopong mulut Haziq mendengar
cadangan yang keluar dari mulut Riana, isterinya itu. Mengahwini Diana? Gila!
Haziq mengeluh berat. Wajahnya
kelat. Baru beberapa bulan dia cuba
bersikap baik, berlagak baik seperti seorang suami mithali, tiba-tiba diterjah
dengan berita yang mampu membunuh seluruh jiwa raganya. Diana? Bekas pekerja isterinya yang dilayan
demi kepuasan diri, bersuka-suka, hanya main-main mencari keseronokkan seorang
lelaki dan perempuan. Kalau hendak
dibuat isteri sudah tentu dia telah meminang gadis itu sebelum dirosakkan.
Hari ini, isterinya mengkhabarkan
berita yang meragut rasa ketenangan yang dirasakan beberapa hari ini, tiada
sebarang gangguan daripada gadis tersebut.
Entahkan masih hidup atau sudah mati.
“Bagaimana? Itu syarat saya jika abang hendak terus
tinggal di rumah ini,” ujar Riana serius.
“Awak nak suruh abang buat apa?
Ceraikan awak?” Haziq cuak. Tidak
mungkin Riana sanggup bermadu?
“Tidak! Saya masih isteri awak,”
ucap Riana selamba.
“Gila!” kata Haziq agak kasar.
“Saya benarkan awak berfikir
beberapa hari. Kalau awak masih hendak
tinggal di sini dan menjadi sebahagian daripada keluarga ini, awak harus
berkahwin dengan Diana,” kata Riana
sekali lagi. Serius wajahnya seserius
kata-kata yang keluar dari bibirnya.
Haziq mengetap bibir. Diana, gadis tinggi lampai, berkulit kuning
langsat. Bukan cantik sangat jika hendak
dibandingkan dengan Riana, entah kenapa dia menjebak gadis itu dengan mainan
cinta palsunya sehingga gadis itu mengandungkan anaknya. Sepatutnya dia gembira kerana dikurniakan
seorang anak, tetapi anak itu tidak sah, anak haramnya, tiada apa yang ingin
dibanggakan pun.
“Rin… tak boleh ke awak ubah
cadangan awak tu,” pinta Haziq.
Riana yang sedang menikmati sarapan
hanya menggeleng perlahan.
Haziq mengelap bibirnya setelah
selesai menjamah sarapan. Dia memandang
tajam wajah Riana yang masih tidak melakarkan sekuntum senyuman pun. Apa yang ada di dalam hati wanita yang tampak
tenang dan berwajah serius itu? Riana
sudah jarang bercerita tentang syarikat atau tentang dirinya. Biarpun mereka berdua berada dekat tetapi
bagaikan jauh, seolah-olah masing-masing adalah dua manusia asing yang tinggal
di satu kawasan kerana terpaksa atau dipaksa.
“Saya takkan kahwin dengan Diana!”
protes Haziq.
“Sewaktu awak rosakkan dia, ada awak
fikir? Maruah dia awak rentap mudah aje,
sekarang, awak kata tak nak kahwin dengan dia?”
Riana memandang tajam wajah Haziq.
“Dia yang rela, bukan paksaan pun!”
kata Haziq membela diri.
“Kalau awak tak goda dia, perkara
itu takkan terjadi.” Riana mencebik.
“Kalau dia tak mahu takkan
berlaku. Bertepuk sebelah tangan manakan
berbunyi,” kata Haziq masih membela
dirinya.
“Tak kisahlah! Kalau awak masih
ingin saya tanggung awak sepenuhnya, awak kena ikut cadangan saya,” kata Riana
agak kasar.
“Awak memang dah tak betul agaknya!”
jerkah Haziq.
Riana tersenyum sinis.
“Saya jadi tak betul kerana
awak!” tempik Riana geram.
“Rin, saya sayangkan awak. Cukuplah awak aje isteri saya,” ucap Haziq, cuba meyakinkan Riana.
“Saya dah buat keputusan. Keputusan
saya juga muktamad. Keluarga Diana saya kenal, kedua orang tuanya baik dengan
saya, dia dah seperti adik saya sendiri, awak sanggup buat tak senonoh dengan
pekerja saya?” kata Riana
geram. Bernanar hatinya ketika mendapat
tahu lelaki itu ada hubungan sulit dengan pekerjanya sendiri.
“Berapa kali saya nak katakan. Dia sendiri yang mendekati saya, takkan saya
nak tolak?”
“Kalau awak seorang lelaki yang
baik, awak tetap akan tolak!” Riana
memukul dada Haziq yang berdiri di sebelahnya.
Haziq menahan lengan Riana dari
terus memukulnya. Ingatkan rasa amarah
isterinya itu sudah ghaib, rupanya masih membengkak di hati. Dia mengeluh berat.
“Selama ini saya bersabar dengan
awak! awak guna duit syarikat untuk membeli barang-barang mewah! Awak guna duit
syarikat sesuka hati awak tanpa meminta izin daripada saya, saya lantik awak
jadi pengurus akaun dan menjaga harta saya kerana saya percayakan awak, awak
suami saya. Saya yakin awak takkan
khianati saya! Tapi rupanya!” Riana menahan pilu. Dia meluahkan perasaannya. Dia bingkas bangun dan berdiri menghadap
laman rumah yang terhias indah dengan pokok renek dan bunga-bungaan. Pandangan yang mendamaikan tetapi tidak
sedikit pun mendamaikan hatinya.
Haziq mati kata-kata. Wajajah garang
Riana dipandang sekali imbas. Nampaknya,
isterinya itu benar-benar marah.
“Saya bukan nak habiskan harta awak,
hanya ambil sedikit aje,” ujar Haziq. Dia
tersenyum.
“Sedikit pun, kalau sudah selalu,
boleh gulung tikar tau!” kata Riana garang.
“Maafkan abang. Abang janji takkan buat lagi!’ janji Haziq
sambil mengangkat kedua belah tangannya.
“Empat tahun kita berkahwin, awak
hanya tahu menghabiskan duit saya aje,” jelas Riana perlahan.
“Saya mengaku, saya bersalah pada
awak.” Haziq mendekati Riana. Cuba memegang bahu isterinya, namun ditolak
dengan kasar.
“Minggu hadapan, awak akan bernikah
dengan Diana, itu keputusan saya, segala borang kebenaran untuk awak bernikah
lagi telah pun saya sediakan, keluarga Diana serta Diana sendiri telah
bersetuju, awak hanya perlu datang sebagai pengantin lelaki pada hari
pernikahan nanti. Saya sudah aturkan
semuanya sekali,” kata Riana tenang
semula. Dia berlalu meninggalkan
suaminya di ruang makan itu sendirian.
Haziq menunduk seketika. Isterinya
memang sudah hilang akal sehingga sanggup memaksanya berkahwin lagi. Kalau
perempuan yang lain atau sememangnya sesuai dengan seleranya, pastilah dia
tidak menolak. Neelofa ke? Erra Fazira
ke? Uh! Citarasa tinggi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan