Selasa, 19 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 12 - ASMAH HASHIM



Haziq memandang dari kejauhan rumah yang pernah dihuninya beberapa hari yang lalu, begitu pantas isterinya bertindak menukar kunci rumah. Nampaknya api kemarahan  Riana benar-benar meletup.  Dia tidak akan tinggalkan lubuk emas itu. Haziq tersenyum sendiri.  Menanti dengan sabar kehadiran isteri tercinta.  Peduli apa jika dia dihalau sekalipun.  Dia akan memujuk Riana untuk menerimanya kembali.  Ops!  Mereka belum bercerai ya. 
            Sebuah kereta BMW sport berwarna putih dipandu masuk. Pintu pagar terbuka luas.  Dengan pantas Haziq mendekati kereta tersebut dan bersedia di belakang kenderaan itu. Haziq hanya menyengih.  Dia berjaya masuk akhirnya. 
            “Awak buat apa di sini?” Riana mencekak pinggang.  Dia memandang wajah  Haziq dengan hati yang geram.
            Haziq melangkah keluar dari kenderaannya.  Dia mengeluh perlahan.  Wajah dimaniskan, sesi memujuk akan bermula.
            “Jangan macam ni sayang, maafkan abang. Abang tersalah langkah.  Abang memang salah, abang mengaku. Abang janji takkan buat lagi.  Takkan Rin nak buang abang?” pujuk Haziq merayu simpati.
            Riana menjeling tajam.  Memang benar, biarpun hatinya sedang marah, tetapi rasa kasih dan cinta itu tetap bersisa lagi.
            Haziq menarik lembut tangan Riana, dibelai perlahan-lahan.
            “Jangan marah abang lama-lama, abang janji akan ubah sikap,” rayu Haziq dengan wajah sedih, kalah peminta sedekah di tepi jalan.  Matanya dikuyukan, hidungkan dikembangkan, nampaklah seperti orang yang ingin berubah.
            “Rin dah penatlah bang!”  Riana cuba menolak.  Dia tidak mahu hatinya terluka lagi.
            “Rin, dah empat tahun kita bersama, takkan tak boleh beri peluang kedua pada abang?” sekali lagi dia memujuk.
            “Tolonglah Rin, abang janji takkan buat perangai lagi! Pecayalah!”  janji Haziq bersungguh-sungguh sambil mengangkat kedua belah tangannya tinggi ke atas. 
            “Tapi!” Riana tidak pasti dengan hatinya sendiri.
            Haziq melutut.
            “Rin! Percayalah dengan abang! Tolonglah Rin, abang rayu,”  kata Haziq dengan wajah sedih dan sayu.
            “Mama, papa!” panggil satu suara dari dalam rumah.
            “Marlia!” Haziq mendekati anak tirinya.  Anak gadis itu ditarik dalam pelukan.
            Marlia meronta, tidak selesa dipeluk oleh Haziq biarpun lelaki itu adalah ayah tirinya.  Dia sudah berumur 15 tahun, tidak manis dilayan seperti anak kecil lagi. Apatah lagi ayah tiri pula itu.
            “Adik mana?” tanya Riana pada anak gadisnya yang semakin cantik dan jelita.  Wajahnya persis Raziq, bekas suaminya yang kacak, kalau tidak kerana najis dadah sudah pasti sehingga sekarang ini hidup mereka bahagia agaknya.  Ah! kisah lama usah dikenang.
            “Ada di dalam,” jawab Marlia sambil menjeling ke arah Haziq.  Sejak mamanya berkahwin dengan lelaki itu, dia tidak suka, tapi apakan daya, mamanya sudah jatuh hati pada lelaki itu.
            “Pergi masuk!” perintah Riana.
            Mata Marlia tidak lekang dari memandang wajah selamba ayah tirinya. Pasti bergaduh dengan mamanya lagi, sudah beberapa hari lelaki itu tidak kelihatan. Kalau berada di rumah asyik mendengar mereka bertekak sahaja.  Bosan mendengar suara mereka berkelahi.  Marlia mengeluh.  Terlalu kecil untuk memahami masalah orang dewasa. 
            “Rin, berilah abang peluang!” rayu Haziq setelah Marlia menghilangkan diri di sebalik pintu rumah.
            Riana memeluk tubuh, hatinya benar-benar serba salah.  Kalau Raziq dahulu berkali-kali dia memberi peluang agar lelaki itu berubah, akhirnya dia akur dengan ketentuan Ilahi. Menyerah kalah dengan takdir sendiri.  Kali ini Haziq pula, dia mengeluh kecewa. Apalah nasibnya, hidup berumah tangga tidak pernah bersulam gembira.  Ada sahaja yang melanda.
            “Nanti saya fikirkan.” Riana menolak dengan baik.  Hatinya masih terluka, masih marah. Biar masih ada cinta yang berbaki tetapi tidak sedalam dahulu.
            “Fikir? Habis, abang nak tidur mana malam ni?”  Haziq resah, duit di tangan sudah kering. Takkan nak tidur di dalam kereta?  Minyak kereta bagaikan air banjir, ada surutnya. Kalau tidak diisi, alamat, kena tolaklah.
            “Itu urusan abang, bukan urusan Rin.” Riana mencebik.  Pasti duit sudah tidak ada. Dasar kaki boros, ngomel Riana sendiri.
            “Rin, jangan buat abang macam ni, jadi tukang kebun rumah ni pun abang sanggup, asalkan masih lagi menjadi suami Rin,” rayu Haziq tanpa segan silu.
            “Ya ke? Sanggup jadi tukang kebun?”  sindir Riana. Dia hampir hendak ketawa, lelaki kalau sudah terdesak, apa sahaja sanggup dilakukan.
            “Erk… abang sanggup!”  kata Haziq bersungguh-sungguh.
            Riana tersenyum sinis. Dia memandang wajah Haziq. Memang terdesak sangatlah agaknya.
            “Baik, mulai esok, abang bekerja di bawah Pak Mat, dia akan jadi ketua abang,” kata Riana.  Malas dia hendak melayan kerenah Haziq. 
            “Tapi…” Haziq mendengus kasar. Jadi orang suruhan Pak Mat?  Lelaki itu sering menjadi tempat dia melepaskan kemarahannya.  Alih-alih dia disuruh bekerja di bawah selian orang tua itu. Memang tidak patut.
            “Ada tapinya lagi ke?”  Riana menjegilkan mata.
            “Rin, berdosa tau aniaya suami, tak bau syurga,”  kata Haziq.
            “Syurga?”  Riana tersenyum, perlahan-lahan dia ketawa.  Mahu pecah perutnya bercakap dengan lelaki yang pandai menyebut perkataan ‘syurga’
            “Abang, selama kita kahwin, abang solat pun tidak tau! Solat Jumaat pun tak pergi,” lengking Riana.  Puas dia memujuk dan menyuruh, ada sahaja alasan, akhir sekali berlaku pertengkaran.  Akhirnya, malas dia hendak memaksa.  Lantaklah, dosa kau tanggung sendiri.
            “Itu dulu… sekarang abang dah solat tau,” jawab Haziq yakin.
            “Alhamdulillah… solat subuh berapa rakaat?” tanya Riana. 
            “Hish! Takkan itu pun Rin tak tahu? Rinkan selalu solat.” Haziq menyengih.
            “Ya, berapa?” jerkah Riana, hatinya mula panas, letih berdiri di hadapan rumah sejak lima belas minit yang lalu.
            “Erk… tiga. Eh… empat. Hmm… dua kut,” jawab Haziq teragak-agak.
            Riana menggeleng. 
            “Pak Mat! Pak Mat!” laung Riana memanggil tukang kebunnya yang sedang menyiram pokok  bunga.
            “Ya puan,” jawab Pak Mat, perlahan-lahan mendekati Riana dan Haziq.
            Mata Pak Mat jatuh ke wajah Haziq yang selamba memandangnya.
            “Mulai esok, ini pembantu Pak Mat yang baharu. Dia akan bantu Pak Mat jaga laman rumah saya ini, kalau ada masalah dengan pekerja kita ni, Pak Mat beritahu saya terus ya,”  jelas  Riana dengan wajah serius.
            “Erk… tapi, inikan Tuan Haziq? Puan…”  Pk Mat kehairanan.
            “Dulu, sekarang dia dah jadi tukang kebun merangkap suami saya, itu pun kalau saya sudi,”  jawab Riana selamba. 
            “Abang nak tidur di mana Rin?” tanya Haziq cuak.
            “Buat sementara, tinggallahlah di rumah pekerja,”  suruh Riana.
            “Rin!!” jerit Haziq.
            Riana melangkah masuk ke dalam rumah. Memang berdosa menderhakai suami sendiri. Memang salah perbuatannya, tetapi adakah tindakan Haziq benar terhadap dirinya? Riana beristighfar berkali-kali.  Salah perbuatannya, memperhambakan suami sendiri, biar sebesar mana pun kesalahan yang dilakukan oleh suaminya itu. Ini adalah ujian buatnya.  Allah menguji, sepatutnya dia tabah, sabar dan kuat.  Bukan buat kerja gila yang mampu menjuruskan dirinya ke neraka. Ya Allah! Ya Allah! Detik hati kecilnya.  Biarlah semalaman  suaminya berasakan sedikit pengabaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan