“Kau
dah gila ke apa Rin?” tempelak Rafeah.
Riana hanya membisu. Dia
menyandarkan tubuhnya di kerusi sambil memusing-musingkannya kiri dan
kanan. Apalah dayanya. Hanya itu yang bermain difikiran.
“Kau nak aku buat apa, Feah?” Riana mengeluh berat, seberat masalah yang
sedang menghempap dirinya ketika itu.
“Habis tu? Kau bawa pula dia bekerja
semula di sini? Kau nak dia rosakkan
berapa ramai lagi pekerja kita?” marah Rafeah.
Riana terlalu berlembut dengan Haziq, lelaki yang tidak berguna
itu. Dari hidup merana biarlah hidup
tidak bersuami. Apa guna bersuami, kalau
hidup terseksa?
“Takkan aku nak suruh dia makan
tidur aje?” Riana memandang keluar
tingkap biliknya. Kenderaan yang bertali
arus, matahari bersinar cerah, namun hatinya tidak secerah cuaca di luar.
“Kau suruh ajelah dia jaga stor atau
pengawal keselamatan!” sindir Rafeah, geram.
Riana memandang wajah Rafeah,
sahabat dan merangkap rakan kongsinya itu.
“Kau jangan bimbang ya, tahulah aku
jaga diri,” pujuk Riana. Dia tahu Rafeah
risaukan dirinya. Rafeah sudah banyak
membantunya. Susah senang mereka bersama.
Biar bagaimana susah sekalipun, Rafeah tidak pernah meninggalkannya
sendirian. Tambahan Rafeah masih belum
berumah tangga biarpun mereka sebaya.
“Nanti yang susah kau juga! Aku tak
sanggup tengok kau menangis lagi Rin!” jerkah
Rafeah, menghaburkan rasa geram dan marahnya. Riana terlalu berlembut dengan Haziq, itu
sebab lelaki itu naik tocang. Langsung
tidak ada perasaan malu, masih lagi sanggup menjejakkan kaki ke syarikat
tersebut. Memang dasar lelaki mata duitan.
Jilat ludah sendiri pun sanggup!
“Feah!” Riana memandang wajah bengis
Rafeah. Dia faham benar, kenapa
sahabatnya itu marah.
“Aku bersama kau ketika kau susah
Rin. Sekarang kau hadapi perkara yang sama dengan makhluk bernama ‘lelaki’ tak berbaloi langsung!” Rafeah memeluk tubuh. Ikutkan rasa marahnya mahu sahaja dia
menghalau Haziq keluar dari syarikat itu.
“Setiap manusia ada kelemahannya
Feah, dia berhak diberi peluang kedua,”
jawab Riana tenang. Tenangkah
dia?
“Kau memang dah gila agaknya?” kata
Rafeah, marahnya masih ada, geramnya bersebab.
Hatinya panas membara. Riana
boleh pula tenang sahaja. Baru semalam dimaki dan dinista, dituduh macam-macam,
hari ini boleh pula menyambut lelaki itu dengan karpet merah. Sebaiknya lelaki seperti Haziq digulung
dengan karpet dan dibuang jauh-jauh di Laut China Selatan, atau Lautan Hindi
yang bergelora itu. Biar lenyap terus. Menyampah pula hatinya memikirkan lelaki
bernama Haziq yang telah menjadi suami sahabatnya itu. Dia menggeleng kekesalan.
Riana memandang sahaja Rafeah
meninggalkan biliknya dengan perasaan marah.
Dia tidak boleh salahkan Rafeah, wanita itu bersama-sama dengannya
ketika susah dahulu, sehinggalah sekarang, masih setia.
Rafeah terus ke bilik Arman, dia
perlu teman berbual. Geram dan marah
dengan kebaikan hati sahabatnya itu. Dia
mengetap bibir, terasa hendak menjerit sahaja. Melepaskan segala perasaan
amarah yang sedang menggila di hati.
Dasar lelaki tidak tahu malu, sudah diludah, dijilat semula. Semuanya kerana duit! Jerit Rafeah di dalam
hati.
Rafeah mengetuk pintu bilik
sepupunya yang sedang leka bekerja.
Tekun benar, rajin sangat-sangat, tidak sia-sia dia mengajak Arman
bekerja di situ.
“Kak Feah, masuklah,” pelawa Arman.
Dia berhenti mengemas kini akaun syarikat bulan itu. Dia menyandar di kerusi, memandang wajah
kelat kakak sepupunya itu.
“Kenapa kak? Wajah tak manis?” Arman mengerut dahi. Matanya masih menatap wajah manis kakak
sepupu yang sudah seperti kakaknya sendiri.
Rafeah menghempaskan punggungnya di
kerusi. Dia duduk menghadap Arman.
“Akak geram dengan Puan Riana, ada ke
dia terima suaminya balik! Semalam bukan
main bergaduh, alih-alih hari ini baik semula.
Akak tak fahamlah!” bentak Rafeah.
“Laa… pasal itu aje akak berwajah
kelat? Jaga kedut di muka kak,” usik Arman, sengaja mengusik kakak sepupunya
yang masih bersendirian. Dia tidak akan menyentuh soal jodoh Rafeah. Mungkin sepupunya itu punya sebab
tersendiri.
“Akak tengok sendiri kesusahan dia,
akak bersama-sama dengannya ketika jatuh dan sehinggalah sekarang. Akak nak tengok dia bahagia, hidup ceria,
sentiasa tersenyum. Buat apalah
berkahwin, hanya semata-mata ingin hidup merana? Rasa tidak berbaloi berkorban hanya kerana
cinta, sedangkan hati tercalar,” ulas Rafeah, meluahkan apa yang dirasa. “Lain orang, lain pendapat kak. Lain orang, lain rasa.” Arman tersenyum. Dia sendiri tidak
berpengalaman soal rumah tangga ini.
Dia sendiri masih berseorang, belum bertemu dengan gadis idaman.
“Puan Riana sudah ada
segala-galanya, dia tidak perlukan seorang lelaki. Dia dah ada dua orang anak, anak-anak pun dah
besar. Harta ada, apa lagi yang kurang?” bebel Rafeah masih tidak berpuas hati.
“Kak, apa pun keputusan Puan Riana,
akak kena bagi semangat padanya. Beri
dia kekuatan. Kita tak tahu hatinya,
mungkin dia ada sebab tertentu berbuat demikian,” pujuk Arman.
Rafeah terdiam seketika. Kata-kata Arman ada benarnya. Kenapa dia yang harus marah? Kenapa dia yang harus resah dan bimbang,
sedangkan yang menghadapi dan berhadapan dengan perkara tersebut adalah
Riana. Dia sepatutnya berada di belakang
sahabatnya itu. Memberi dokongan dan
semangat untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini.
Rafeah tersenyum.
“Terima kasih Arman,” ucap
Rafeah, hatinya tenang seketika.
Dia melepaskan keluhan, cuba menghilangkan rasa marah di hati.
“Sama-sama kak. Kita boleh jadi pendengar, tetapi bukan
pinggan nasi tambah yang mampu meruntuhkan masjid,” ujar Arman.
Rafeah mengangguk tanda faham. Riana sudah cukup dewasa untuk menentukan
arah tuju kehidupannya. Mungkin Riana ada sebab sendiri kenapa memilih untuk
terus bersama Haziq, biarpun lelaki itu
sudah menyakitkan hatinya sebagai seorang isteri. Dia mengeluh kekesalan. Tidak sudah-sudah
sahabatnya itu diuji. Semoga Riana terus
kuat dan tabah menghadapi ujian tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan