Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 27 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 14 - ASMAH HASHIM



“Kau dah gila ke apa Rin?” tempelak Rafeah.
            Riana hanya membisu. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi sambil memusing-musingkannya kiri dan kanan.  Apalah dayanya.  Hanya itu yang bermain difikiran.
            “Kau nak aku buat apa, Feah?”  Riana mengeluh berat, seberat masalah yang sedang menghempap dirinya ketika itu. 
            “Habis tu? Kau bawa pula dia bekerja semula di sini?  Kau nak dia rosakkan berapa ramai lagi pekerja kita?” marah Rafeah.  Riana terlalu berlembut dengan Haziq, lelaki yang tidak berguna itu.  Dari hidup merana biarlah hidup tidak bersuami.  Apa guna bersuami, kalau hidup terseksa?
            “Takkan aku nak suruh dia makan tidur aje?”  Riana memandang keluar tingkap biliknya.  Kenderaan yang bertali arus, matahari bersinar cerah, namun hatinya tidak secerah cuaca di luar.
            “Kau suruh ajelah dia jaga stor atau pengawal keselamatan!” sindir Rafeah, geram.
            Riana memandang wajah Rafeah, sahabat dan merangkap rakan kongsinya itu.
            “Kau jangan bimbang ya, tahulah aku jaga diri,” pujuk Riana.  Dia tahu Rafeah risaukan dirinya.  Rafeah sudah banyak membantunya. Susah senang mereka bersama.  Biar bagaimana susah sekalipun, Rafeah tidak pernah meninggalkannya sendirian.  Tambahan Rafeah masih belum berumah tangga biarpun mereka sebaya.
            “Nanti yang susah kau juga! Aku tak sanggup tengok kau menangis lagi Rin!” jerkah  Rafeah, menghaburkan rasa geram dan marahnya.  Riana terlalu berlembut dengan Haziq, itu sebab lelaki itu naik tocang.  Langsung tidak ada perasaan malu, masih lagi sanggup menjejakkan kaki ke syarikat tersebut. Memang dasar lelaki mata duitan.  Jilat ludah sendiri pun sanggup!
            “Feah!” Riana memandang wajah bengis Rafeah.  Dia faham benar, kenapa sahabatnya itu marah. 
            “Aku bersama kau ketika kau susah Rin. Sekarang kau hadapi perkara yang sama dengan makhluk bernama ‘lelaki’  tak berbaloi langsung!”  Rafeah memeluk tubuh.  Ikutkan rasa marahnya mahu sahaja dia menghalau Haziq keluar dari syarikat itu. 
            “Setiap manusia ada kelemahannya Feah, dia berhak diberi peluang kedua,”  jawab Riana tenang.  Tenangkah dia? 
            “Kau memang dah gila agaknya?” kata Rafeah, marahnya masih ada, geramnya bersebab.  Hatinya panas membara.  Riana boleh pula tenang sahaja. Baru semalam dimaki dan dinista, dituduh macam-macam, hari ini boleh pula menyambut lelaki itu dengan karpet merah.  Sebaiknya lelaki seperti Haziq digulung dengan karpet dan dibuang jauh-jauh di Laut China Selatan, atau Lautan Hindi yang bergelora itu. Biar lenyap terus. Menyampah pula hatinya memikirkan lelaki bernama Haziq yang telah menjadi suami sahabatnya itu.  Dia menggeleng kekesalan.
            Riana memandang sahaja Rafeah meninggalkan biliknya dengan perasaan marah.  Dia tidak boleh salahkan Rafeah, wanita itu bersama-sama dengannya ketika susah dahulu, sehinggalah sekarang, masih setia.
            Rafeah terus ke bilik Arman, dia perlu teman berbual.  Geram dan marah dengan kebaikan hati sahabatnya itu.  Dia mengetap bibir, terasa hendak menjerit sahaja. Melepaskan segala perasaan amarah yang sedang menggila di hati.  Dasar lelaki tidak tahu malu, sudah diludah, dijilat semula.  Semuanya kerana duit! Jerit Rafeah di dalam hati.
            Rafeah mengetuk pintu bilik sepupunya yang sedang leka bekerja.  Tekun benar, rajin sangat-sangat, tidak sia-sia dia mengajak Arman bekerja di situ.
            “Kak Feah, masuklah,” pelawa Arman. Dia berhenti mengemas kini akaun syarikat bulan itu.  Dia menyandar di kerusi, memandang wajah kelat kakak sepupunya itu.
            “Kenapa kak?  Wajah tak manis?”  Arman mengerut dahi.  Matanya masih menatap wajah manis kakak sepupu yang sudah seperti kakaknya sendiri.
            Rafeah menghempaskan punggungnya di kerusi. Dia duduk menghadap Arman. 
            “Akak geram dengan Puan Riana, ada ke dia terima suaminya balik!  Semalam bukan main bergaduh, alih-alih hari ini baik semula.  Akak tak fahamlah!” bentak Rafeah.
            “Laa… pasal itu aje akak berwajah kelat? Jaga kedut di muka kak,” usik Arman, sengaja mengusik kakak sepupunya yang masih  bersendirian.  Dia tidak akan menyentuh soal jodoh  Rafeah. Mungkin sepupunya itu punya sebab tersendiri.
            “Akak tengok sendiri kesusahan dia, akak bersama-sama dengannya ketika jatuh dan sehinggalah sekarang.  Akak nak tengok dia bahagia, hidup ceria, sentiasa tersenyum.  Buat apalah berkahwin, hanya semata-mata ingin hidup merana?  Rasa tidak berbaloi berkorban hanya kerana cinta, sedangkan hati tercalar,” ulas Rafeah, meluahkan apa yang dirasa.   “Lain orang, lain pendapat kak.  Lain orang, lain rasa.”  Arman tersenyum. Dia sendiri tidak berpengalaman soal rumah tangga ini.   Dia sendiri masih berseorang, belum bertemu dengan gadis idaman.
            “Puan Riana sudah ada segala-galanya, dia tidak perlukan seorang lelaki.  Dia dah ada dua orang anak, anak-anak pun dah besar.  Harta ada, apa lagi yang kurang?”  bebel Rafeah masih tidak berpuas hati.
            “Kak, apa pun keputusan Puan Riana, akak kena bagi semangat padanya.  Beri dia kekuatan.  Kita tak tahu hatinya, mungkin dia ada sebab tertentu berbuat demikian,” pujuk Arman. 
            Rafeah terdiam seketika.  Kata-kata Arman ada benarnya.  Kenapa dia yang harus marah?  Kenapa dia yang harus resah dan bimbang, sedangkan yang menghadapi dan berhadapan dengan perkara tersebut adalah Riana.  Dia sepatutnya berada di belakang sahabatnya itu.  Memberi dokongan dan semangat untuk meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini.
            Rafeah tersenyum. 
            “Terima kasih Arman,”  ucap  Rafeah, hatinya tenang seketika.  Dia melepaskan keluhan, cuba menghilangkan rasa marah di hati.
            “Sama-sama kak.  Kita boleh jadi pendengar, tetapi bukan pinggan nasi tambah yang mampu meruntuhkan masjid,” ujar Arman.
            Rafeah mengangguk tanda faham.  Riana sudah cukup dewasa untuk menentukan arah tuju kehidupannya.  Mungkin  Riana ada sebab sendiri kenapa memilih untuk terus bersama Haziq, biarpun lelaki itu  sudah menyakitkan hatinya sebagai seorang isteri.  Dia mengeluh kekesalan. Tidak sudah-sudah sahabatnya itu diuji.  Semoga Riana terus kuat dan tabah menghadapi ujian tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan