Zara
mencuka, berita yang baru diterima benar-benar menggugat perasaannya.
Menghancurkan jiwanya yang tenang dan damai selama tidak mendengar nama lelaki
itu disebut. Pandangannya menjunam ke
arah abangnya yang duduk tenang di kerusi hadapan meja makan. Ibu pula bermuram durja. Bercakap bagaikan orang putus asa.
“Kenapa abang berjanji yang bukan
bukan?” bentak Zara. Baru sahaja terasa kurang tekanan yang
diterima.
“Dia ayah kita Zara, kalau tak boleh
tinggal di sini, mungkin boleh tinggal dengan Zara. Zarakan tinggal seorang di
rumah sewa itu,” pujuk Zakuan. Memohon simpati adiknya pula. Dengan ibunya tiada lagi rayuan kedua,
keputusan muktamad sudah dibuat. Dia tidak mampu mengubahnya.
“Apa? Abang sudah gila agaknya? Dia baru keluar penjaralah bang! Takkan nak
suruh tinggal dengan Zara? Tak mungkinlah!” jerit Zara terkejut mendengar
cadangan tidak betul abangnya. Satu-satunya abang yang dia ada.
“Habis itu, abang nak tempatkan ayah
di mana?” Zakuan tergaru-garu
kepala. Minggu hadapan ayahnya yang
keluar dari penjara. Dia sudah berjanji
akan menjemput ayahnya dari penjara.
“Lain kali jangan memandai, kan sudah
susah!” kata Zara dengan muka sebal. Dia
memeluk tubuh. Baju kurung yang
tersarung ditubuhnya dibetulkan kedudukannya, sudah senget benget jadinya.
“Ibu!” Zakuan mencuba sekali lagi.
“Tak payah! Ibu bukan isteri ayah
lagi,” bantah Zara.
“Kau diam!” marah Zakuan.
“Zara hairan, kan? Kenapa abang nak
baik sangat dengan ayah? Dia bukan ayah yang baik pun,” sanggah Zara.
“Baik atau tidak, darah yang
mengalir di tubuh engkau itu tetap darah dia tahu!” jerkah Zakuan. Tidak senang
dengan kata-kata adiknya itu. Biar siapapun lelaki itu, dia tetap ayah kandung
mereka.
“Wan!” tegur Sarimah.
“Jangan kerana lelaki itu kita
bergaduh anak beranak!” marah Sarimah.
Sudah lama mereka tinggal dalam keadaan aman damai, tiada sengketa,
sebut sahaja nama lelaki itu pasti rasa
marah merasuk dalam hati. Geram bertali-tali.
“Wan tahu ayah jahat, Wan tahu hidup
kita terseksa, tapi dia sudah berubah ibu, Zara. Berilah dia peluang kedua,”
pujuk Zakuan. Pihak penjara sendiri yang
meyakinkannya. Mereka memanggilnya untuk
buat persediaan menerima kembali kehadiran ayahnya itu. Keluhan terlahir di bibirnya.
“Kalau sudah tahu kenapa nak pungut
dia balik? Apa pula kata jiran
tetangga. Penatlah bang dengar sindiran
dan cacian mereka,” luah Zara.
“Orang hanya tahu bercakap, membantu
tak nak,” ujar Zakuan tidak mahu mengalah.
Kalau ikut orang cakap, sampai bila-bila pun tak boleh buat apa-apa.
“Kita hidup bermasyarakatlah Wan,
kena ambil tahu juga apa mereka cakap.
Kita ada telinga, kita ada maruah dan harga diri,” kata Sarimah, masih
tidak bersetuju dengan cadangan anak sulongnya itu. Biarlah lelaki itu cari tempat lain, bukan di
rumah ini. Bukan di sini. Dia tak mahu dan dia tak sudi.
“Ibu, mana lagi ayah nak
pergi?” soal Zakuan
“Dia kan sudah dewasa, carilah
kawan-kawan seangkatan dia, kenapa nak menyusahkan kita?”
“Sebab hanya dengan pertolongan kita
sahajalah dia boleh terus berubah, ibu,” pujuk Zakuan lagi.
“Tidak! Keputusan ibu
muktamad!” Sarimah berlalu dengan hati
yang panas. Hari-hari Zakuan memujuk dan
merayunya. Hatinya masih tidak terbuka
hendak menerima bekas suaminya itu.
Biarlah kosong stor tersebut daripada diberi kepada manusia yang pernah
menyakitkan hatinya. Merobek kepercayaannya.
“Ibu!” laung Zakuan.
“Abang! Sudah,sudahlah pujuk ibu tu.
Kalau ibu tak setuju, biarlah. Tak payah nak paksa,” tegur Zara. Dia sendiri
kurang senang. Kerana status ayahnyalah
beberapa orang lelaki yang datang meminang tidak jadi meneruskan hajat
mereka. Itulah yang paling menyedihkannya. Kenapa dia tidak jadi seperti anak-anak orang
lain, yang ayah mereka baik dan tidak lakukan jenayah.
“Kenapa kita tak nak beri ayah
peluang? ALLAH sentiasa membuka pintu
taubat untuk hamba-hambaNYA, kita pula sebagai manusia tidak mahu memaafkan
orang yang sudah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.” Zakuan memandang wajah adiknya. Waktu ayahnya dipenjarakan, adiknya masih dalam kandungan. Zara tidak kenal ayah mereka dan tidak
pernah berjumpa pun. Dia pula berumur empat tahun ketika itu. Melihat ibunya bersendirian meneruskan
hidup. Ibunya dihina, dipanggil dengan
pelbagai gelaran lantaran perbuatan ayahnya.
Bukan dia tidak ingat, tetapi dia ingin memberi peluang kepada ayahnya.
“Zara tak berani nak cakap apa-apa,
nanti ibu bising pula. Kita kena hormat
keputusan ibu,” kata Zara. Dia tidak membenci tetapi dia takut dengan
pandangan masyarakat sekeliling. Perasaan ibu juga kena fikirkan. Hati ibu sudah terlalu terluka.
“Kalau Zara sokong cadangan abang,
ibu takkan bantah,” kata Zakuan masih tidak berputus asa.
“Zara tak beranilah bang. Ibu kalau mengamuk lain macam sikit.” Ucap Zara.
Dia menyandar di kusyen.
“Tolonglah abang,” rayu Zakuan. Dia tidak boleh berputus asa. Stor belakang rumah yang sudah tidak
digunakan terbayang di matanya. Hanya
itulah tempat yang sesuai untuk ayahnya buat sementara waktu. Sehingga ayahnya dapat kerja dan bilik atau
rumah sewa. Bukanlah terus tinggal di rumah itu. Hanya sementara.
“Maafkan Zara, kalau ibu tak kisah,
Zara pun sama. Zara ikut ibu,” jelas Zara. Dia tidak mahu abangnya tersilap
fikir tentang dirinya. Memanglah dia tidak pernah bertemu ayah kandungnya
itu. Tiada rasa kasih pun. Tetapi, dia tidak membenci lelaki itu. Cuma,
kurang setuju jika ayahnya kembali ke sini.
Nanti timbul masalah dengan jiran tetangga yang memang kenal dengan
ayahnya. Tahu sangat sikap ayahnya dahulu.
“Zara!” Zakuan kecewa. Kalau kedua-duanya degil, bagaimana? Apa yang
harus dia lakukan lagi. Uh! Usah fikir
panjang, bawa sahajalah ayahnya pulang. Perlahan-lahan ayahnya cubalah meraih
kasih ibu dan adiknya. Dia tersenyum
memikirkan ideanya sendiri. Keputusannya muktamad, ayahnya akan dibawa pulang
ke rumah juga. Kalau dengar cakap orang,
tidak ada manusia yang akan maju. Dia
perlu memberi peluang pada ayahnya.
Selamat berkarya terus Kak Asmah... :)
BalasPadamTerima kasih Ct Nurza...
Padam