Malek
membimbit beg kecil yang berisi beberapa barang peribadi. Tubuhnya masih lagi sasa biarpun usianya
sudah menjangkau 50-an. Kerutan di dahi
menahan panahan mentari. Di luar sudah
menunggu anak sulongnya yang sentiasa hadir menziarahinya sejak usia anaknya
itu berumur 17 tahun. Memikirkan
sikapnya yang tidak bertanggungjawab dahulu, tidak sepatutnya dia dilayan
sebaik itu. Sikap dan perangainya waktu
muda buat orang marah, benci dan sakit hati.
Berpuluh tahun menjadi penghuni penjara telah banyak mengubah
dirinya. Banyak perkara dia pelajari
ketika berada di tempat yang mampu mengubah manusia. Biarpun bukan semua
berubah tetapi sekurang-kurangnya ada juga.
“Ayah,” sapa Zakuan yang sudah
bersedia menunggu.
Malek hanya menundukkan kepala. Dia terus masuk ke dalam perut kereta.
“Kita pergi makan dulu, lepas itu
baru kita balik rumah,” ajak
Zakuan. Dia cuba menceriakan
suasana. Selalu datang ziarah ayahnya
tetapi bila berhadapan, berdua sahaja terasa lainnya. Bagaikan orang asing antara mereka
berdua.
“Kenapa tak terus balik rumah saja,
mak kau tak izinkan ayah tinggal dengan kau orang?” Malek mencuri pandang wajah
anak sulongnya yang saling tak tumpah wajah bekas isterinya. Bekas isteri.
Sebak menyebut perkataan itu. Dia
menarik nafas panjang. Tidak mahu kelihatan sedih berada di hadapan anak
sulongnya itu. Biarlah rasa sedih, tersimpan kemas di hati.
“Eh! Tak adalah, saja nak raikan
kepulangan ayah. Kita cari tempat makan
yang sedap sikit.” Zakuan tersenyum. Memang dia ingin meraikan kepulangan
ayahnya itu. Mungkin sudah lama ayahnya
tidak merasakan makanan yang ada di luar ini. Makanan di penjara tidak akan
sama dengan makanan yang ada di dunia luar dari jeriji besi. Apatah lagi makanan yang dimasak oleh ahli
keluarga sendiri. Tentulah jauh bezanya.
“Ayah nak makan apa? Wan belanja.”
Wajah garang ayahnya dipandang sekali imbas, dia masih lagi memandu.
“Hmm… terasa nak makan apa ya?” Malek berkira-kira. 25 tahun terkurung, makan
apa sahaja yang ada, kalau istimewa sikit pun ketika hari raya atau ada
kunjungan orang besar di penjara itu.
Seleranya sudah sebati dengan makanan di dalam penjara. Sehinggakan terlupa enaknya makanan yang
berada di luar ini.
Usai makan, mereka terus pulang ke
rumah. Hati Zakuan berdebar-debar. Dia tidak memberitahu ibunya tentang ayahnya
yang keluar penjara hari ini. Lelaki itu
akan tinggal di bilik stor yang berada di luar kawasan rumah. Dia sudah bersih
dan menyediakan kemudahan seperti sebuah bilik sewa. Semoga ayahnya selesa. Hanya sementara sahaja
ayahnya akan tinggal di situ. Kebetulan
hari ini ibu dan adiknya pergi ke rumah abang ibunya di Segamat. Mereka akan bermalam di sana selama tiga
hari. Bolehlah ayahnya tinggal selesa
tanpa gangguan sehari dua ini.
“Ini bilik ayah. Ayah tak bolehlah tinggal di dalam
rumah. Ayah dan ibukan dah bercerai?”
kata Zakuan mengingatkan.
Malek menunduk seketika. Memikirkan
hal tersebut membuatkan hatinya sebak dan sakit. Khilaf dirinya meragut kebahagian bersama keluarganya. Dia memandang wajah
Zakuan yang sibuk membuka tingkap bilik tersebut. Bilik stor yang dijadikan
bilik untuknya.
“Wan, terima kasih. Tidak sepatutnya ayah dilayan seperti ini,
setelah apa yang telah ayah lakukan.
Maafkan ayah,” ucap Malek. Dia sudah tua untuk menjadi manusia kejam
seperti dahulu. 25 tahun terkurung, terasa peritnya. Kealpaan dan kejahilan menghancurkan seluruh
hidupnya. Dia masih bernasib baik kerana
Zakuan masih sudi menziarahi dan menerimanya kembali.
“Tak perlulah ayah cakap macam tu.
Wankan anak ayah. Buruk macam mana pun ayah, ayah tetap ayah Wan, dunia dan akhirat. Darah yang mengalir di tubuh ini, adalah
darah ayah,: ujar Zakuan. Siapa yang tidak malu digelar sebagai anak
perompak dan perogol. Siapa yang tidak
malu setiap hari dicerca dan dicaci oleh jiran sekeliling. Nasihat daripada guru kaunseling dan ustaz di
sekolah membuatkan dia tidak menyimpan
dendam terhadap lelaki itu. Biarlah, yang lepas jangan dikenang.
“Wan!” Malek mengeluh kesal. Terasa
malu dengan anak sendiri. Sepatutnya
orang sepertinya dibuang terus dari keluarga.
Ini tidak, anaknya yang seorang ini, bersungguh-sungguh mengambil berat
akan dirinya. Bertambah rasa bersalah di hati.
“Mak dan adik kau mana?” tanya Malek, sejak dia sampai tadi,
bayang bekas isteri dan anak bongsunya tidak kelihatan.
“Mereka ke rumah pak ngah, ada
kenduri. Lusa baru balik,” terang
Zakuan.
“Cantik bilik ayah, terima kasih
Wan.” Malek memandang keadaan dalam bilik yang besarnya 12 kaki x 12 kaki, agak
luas. Ada sebuah katil bujang, almari
baju dua pintu. Rak buku, kusyen
panjang, meja empat segi dengan dua kerusi. Ada juga televisyen dan ruang untuk
dia membancuh air untuk minum sendiri. Peti sejuk kecil. Cukup lengkap. Bilik air juga disediakan di dalam bilik
tersebut. Apa lagi yang dia inginkan
lagi.
“Biasa saja ayah. Wan nak ayah selesa tinggal di sini. Nanti
Wan tanyakan kawan-kawan jika ada kerja kosong yang sesuai dengan ayah. Taklah ayah bosan duduk rumah. Lagipun ayah bukan tua sangat untuk tidak
bekerja, kan?”
“Wan, terima kasih
banyak-banyak. Ayah sudah menyusahkan
Wan pula.” Terasa malu sendiri. Sejak anaknya itu lahir, tidak pernah dia ambil
tahu akan kisah keadaan anaknya itu. Dibiarkan bekas isterinya menguruskan
segalanya. Dia hanya tahu berfoya-foya
di luar dan langsung tidak mengambil tahu urusan keluarganya. Dia menjadi lelaki yang tidak
bertanggungjawab.
“Ayah, Wan harap kali ini ayah
benar-benar insaf. Janji dengan Wan, ayah takkan kembali pada kawan-kawan ayah,
buat kerja terkutuk itu,” pinta Zakuan
dengan penuh mengharap.
“Insya-ALLAH, Wan. Ayah harap Wan boleh bantu dan bimbing ayah, ya. ” Malek memandang jauh ke dalam mata anak
sulongnya itu. Bagaimana pula wajah anak
bongsunya? Hanya gambar yang ditatap
sebelum ini, itu pun dibawa oleh Zakuan waktu melawatnya.
Zakuan mengangguk perlahan. Wajah ayahnya yang telah dimamah usia masih
segak seperti dahulu, tidak banyak berubah.
Semoga ayahnya benar-benar telah insaf dan ingin memulakan hidup
baharu.
Dia sudah bersedia menunggu
kepulangan ibu dan adiknya. Pasti akan
timbul sengketa, dia akan cuba pertahankan selagi mampu. Ayahnya perlu diberi
ruang dan peluang. Manusia tidak
sempurna, jika kejahilan terdahulu mendekati diri, sudah tentu kejahatan yang
dicari. Dia beruntung, biar kepayahan
yang bertandang, ibunya tidak pernah alpa memberi pelajaran dunia dan
akhirat. Itu sebab, adik dan dirinya terdidik
dengan baik, tahu menghormati orang lain apatah lagi ayah sendiri. Dia tidak mampu membuang perasaan marah ibu
terhadap ayahnya. Itu urusan mereka
berdua, biarlah mereka yang selesaikannya. Ayah kena yakinkan ibu bahawasanya
dia sudah benar-benar berubah. Tidak
akan kembali lagi ke dunia jenayah. 25
tahun banyak mengajar ayahnya erti hidup yang sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan