Sabtu, 6 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI- BAB 19 - ASMAH HASHIM



           


            Haziq tidak terkata apa-apa, terasa seperti orang bodoh, belajar agama setelah berusia dewasa?  Belajar mengaji? Baca alif ba ta?  Riana sengaja ingin menjatuhkan maruahnya. Menyakitkan hatinya.  Terkial-kial dia membaca Iqra tadi.  Sejam belajar mengenal huruf sahaja.  Sudah lama dia tidak memegang al-Quran apatah lagi membacanya. Tidak pernah terfikir pun untuk membacanya.  Baginya sudah belajar sewaktu kecil dahulu, selesailah.  Kenapa  harus baca setelah dewasa?  Hari pertama yang membosankan.  Mahu atau tidak dia terpaksa laluinya.  Ada janji yang telah dibuat oleh Riana jika dia tidak tuang kelas agama yang diatur oleh isterinya itu.  Haziq tersenyum bahagia.  Ah!  ikutkan sahaja. Tiada salahnya.  Bukan kena buat pun selepas berkahwin nanti.  Yang penting imbuhan yang dijanjikan oleh Riana. 
            “En. Haziq, kenalah ulangkaji sendiri. Puan Riana nak En. Haziq pandai mengaji  pada hari pernikahan nanti,” ujar Ustaz Harun. 
            “Ya, ustaz,”  jawab Haziq.
            “Sebagai orang Islam, kenalah jawab, Insya-Allah.  Setiap pergerakan kita dengan izin Allah,”  ujar Ustaz Harun sambil tersenyum.
            Haziq menyengih.  Sebelum ini jarang benar dia mengucapkan kalimah itu. Maksudnya pun dia kurang faham.  Bantai sahajalah.  Bukan rugi apa-apa mengucapkannya, detik hati kecil Haziq.
            “Insya…  Insya-Allah,” ucap Haziq.
            Ustaz Harun mengangguk. Dia mengeluh perlahan.
            “Lepas ini kita belajar apa ustaz?”
            “Belajar kenal Allah, ilmu tauhid,” kata Ustaz Harun sambil membuka beg sandangnya dan mengeluarkan sebuah buku Sifat 20.
            “Sifat 20? Sifat siapa? Hanya 20?”  soal Haziq.
            “Tak pernah belajar ke?”  Ustaz Harun memandang wajah Haziq yang masih membelek buku yang tidak begitu tebal itu.
            “Bahasa jawi?  Rumi tak ada ke ustaz?” tanya Haziq tanpa menjawab soalan Ustaz Harun.
            “Ada, untuk En. Haziq saya belikan yang  rumi.” Sebuah buku diserahkan kepada Haziq.
            “Boleh tahan juga tebalnya walaupun hanya ada 20 sifat.”  Haziq mengeluh berat.  Susahnya!
            “En. Haziq, belajar agama tidak susah, kalau kita minat, ikhlas dan rasa bertanggungjawab mengenal agama kita sendiri.  Apa guna kita jadi manusia tetapi tidak mengenal  Dia yang telah mencipta kita?” kata Ustaz Harun.
            Haziq mengerut dahi, macam tahu sahaja dia mengeluh, ada ilmu ghaib agaknya ustaz ini?  Haziq menyengih.
            “Boleh kita mula sekarang?”  tanya Ustaz Harun setelah meletak buku tersebut di atas papan rihal yang besar di hadapannya.
            Haziq mendengar sahaja apa yang diterangkan oleh Ustaz Harun akan sifat-sifat Allah.  Satu persatu. 
            “Allah itu wujud bermaksud ada.  Bagaimana hendak mengetahui Allah ada?  Dengan adanya Alam dan dirinya, kita dapat melihat kapal terbang, sudah tentu kapal terbang itu ada penciptanya.  Kita ada rumah, sudah pasti yang membina rumah itu ada orangnya. Begitulah dengan alam ini dan seisinya.  Sudah tentu kita ada pencipta, iaitu Allah swt,”  terang Ustaz Harun ringkas dan mudah. 
            Haziq tenang-tenang sahaja.  Kalau tidak dengar betul-betul, langsung dia tidak faham. Bukan senang rupanya, dia perlu lakukan demi sesuatu yang diidam-idamkan selama ini.  Diana?  Biarlah masa yang menentukannya. 
         Hari yang benar-benar membosankan dan memenatkan.  Haziq mengeluh berat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan