Riana menerangkan satu persatu
syarat yang telah ditetapkan, program yang telah diatur buat Haziq dan Diana
selama tiga bulan sebelum mereka berumah tangga. Riana menangguhkan seketika majlis
perkahwinan mereka berdua sehingga segalanya selesai. Arman juga telah membawa seorang ustazah dan seorang ustaz
untuk mengajar kedua pasangan tersebut. Ilmu agama penting sebelum berumah
tangga. Lainlah kalau pasangan itu
memang sudah ada ilmu di dada. Ini kering kontang. Kalau ada tidaklah hidup
bergantung pada pendapatan isteri, dan seorang lagi tidaklah terpengaruh dan
termakan pujuk rayu.
“Belajar mengaji? Belajar agama? Rin dah gila ya?” bentak Haziq.
“Gila apanya belajar agama
sendiri? Abang agaknya yang hilang
akal? Dah pandai sangat ke? Sampai tak
nak menambah ilmu di dada? Tuntutan bang!
Tuntutan kita sebagai orang Islam, faham tak?” marah Riana. Adakah belajar agama dikatakan gila? Siapa yang gila sebenarnya?
“Kau Diana? Macam mana? Tak nak
juga?” Riana memandang wajah bakal
madunya yang masih kelihatan serba salah.
“Sss… sa… saya ikut sahaja,” ujar
Diana.
“Nanti-nantilah abang belajar!”
Haziq masih menolak.
“Tak ada nanti-nanti! Mulai esok kelas akan bermula. Abang bukan perlu ke tempat kerja. Ustaz akan datang ke mari mengajar. Kau Diana, ustazah akan datang ke rumah orang
tua kau, jangan culas dan jangan ponteng kelas.
Kedatangan akan diambil, perkembangannya akan saya pantau. Jangan
macam-macam. Ada ujian tau! Kalau markah
rendah, saya akan tambah lagi waktu belajar,” jelas Riana.
Dia memandang wajah kedua manusia yang telah menyakiti hatinya. Manusia yang curang terhadapnya. Sebak dadanya memikirkan nasib rumah
tangganya.
“Rin!” Haziq cuba membantah.
Riana menjegilkan mata.
Haziq menunduk perlahan. Jelas
kedengaran keluhan berat terlahir di bibirnya.
“Maafkan saya Puan Riana,” ucap Diana perlahan.
“Saya dah lama maafkan awak. Perkara sudah berlaku, nak buat macam mana? Awak sendiri yang gatal, layan suami
orang. Sampai terlanjur. Murah sungguh maruah awak ya? Awak tak belajar agama ke? Awak tak tahu malu? Bukan maruah awak sahaja tau, maruah saya,
maruah keluarga awak, keluarga saya, semuanya tercemar, gara-gara ikutkan
sangat kehendak syaitan! Kalau dah suka sama suka, nikah aje! Kalau dah suka
sama suka, kenapa tak kahwin dulu?
Kenapa mudah sangat menyerah?
Lelaki yang baik, takkan rosakkan maruah kita tau, kalau dia benar-benar
nak jadikan kita isteri, dia takkan sentuh kita, takkan minta kita berkorban,
atas nama cinta! Sudah terpampang di
akhbar, kes buang bayi, itu semua kerana cintalah! Waktu seronok, lupa
semuanya, bila dah mengandung, susahkan mak bapa!” bebel Riana, geram dan
marah. Kenapa susah sangat nak jaga
maruah dan harga diri? Kalau ikutkan
hati dialah, mahu sahaja penyepak naik ke muka.
Muka bukan main lagi nampak baik, tapi perangai macam iblis! Buat malu
keturunan Hawa sahaja!
“Saya memang malu puan, keluarga
saya tak habis-habis dihina oleh penduduk kampung sampai emak saya tak nak
keluar rumah. Semuanya salah saya. Mereka tidak buang saya, tapi melihat keadaan
mereka, buat hati saya sakit. Saya telah
lukakan hati mereka,” kata Diana
sebak.
“Itulah balasan yang kita dapat
Diana, kita hanya ingin berseronok. Tapi
yang menjadi mangsa atas perbuatan kita yang sebenar adalah keluarga kita.”
Riana mengeluh kesal. Penat lelah orang
tua menjaga sehingga dewasa, mudah sahaja dicemar oleh lelaki hidung belang
seperti Haziq yang tidak bertanggungjawab sesama Islam, tidak kiralah berlainan
jantina. Jagalah kesucian sesama
manusia. Yang dicemar bangsa sendiri, beragama Islam, yang malu juga bangsa
sendiri, agama Islam juga. Riana
mengeluh berat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan