Rabu, 10 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 23 - ASMAH HASHIM



“Diana, Din...” laung seorang lelaki yang berlari-lari anak mendekati Diana yang melangkah laju menaiki lif di sebuah pusat membeli belah. 
            Diana menoleh.  Dia memberhentikan langkah, menunggu lelaki itu merapatinya.  Dia tersenyum manis.
            “Bukan main laju awak berjalan, penat saya mengejar,” ujar Arman dengan wajah ceria tetapi tercunggap-cunggap kepenatan.
            “Awak dari mana? Nak kemana?” tanya Diana dengan wajah cukup ceria. 
            “Saya dari bank, selesaikan hal syarikat.  Awak nak ke mana?” tanya Arman kembali.
            “Saya dari rumah, hari ni Ustazah Mardhiah ada hal, jadi tiada kelas, saya ambil waktu beli barang dapur dan bersiar-siar, asyik terkurung dalam rumah, lemas juga,”  jawab Diana.
            Pintu lif terbuka, mereka berdua melangkah masuk.
            “Kita pergi minum dulu, tekak saya dah haus, kepenatan sebab kejar awak tadi,” gurau Arman.  Dia memandang wajah Diana yang cukup tenang.  Penampilan gadis itu juga sudah jauh berubah.  Bertudung labuh, berjubah dan tiada sebarang solekan di wajahnya.
            “Boleh juga,” jawab Diana. Dia perlukan teman untuk berbual.  Sudah berminggu dia tidak menghubungi Haziq, lelaki itu juga  seperti tidak sudi hendak berbual dengannya.  Mahukah lelaki itu mengahwininya? Persoalan yang sering bermain di mindanya.
            Mereka menuju ke salah sebuah restoran yang terdapat di bangunan pusat membeli belah tersebut.  Pengunjung pun tidak ramai kerana baru sahaja lepas waktu makan tengahari.  Mereka duduk di meja yang dekat dengan tingkap menghadap jalan raya yang bertali arus kenderaan melaluinya.
            Setelah memesan makanan dan minuman, mereka kembali berbual.
            “Macam mana dengan kelas agama?  Seronok belajar?” tanya Arman lembut.  Diana tidak memandang wajahnya, hanya memandang ke arah jalan.  Wajahnya tetap tenang seperti tadi.
            “Alhamdulillah, sepatutnya saya berterima kasih dengan awak dan Puan Riana, biarpun agak susah tetapi banyak perkara saya belajar tentang hidup.   Ustazah Mardhiah sering menasihatkan saya agar berubah menjadi muslimat yang sejati, anak yang baik dan isteri yang solehah,” kata Diana sambil menunduk.  Hiba mengamit tiba.  Apabila bercakap tentang dosa semalam, hatinya pasti diulit sedih dan pilu, terasa berdosa kepada keluarga dan masyarakat, terasa bersalah kepada Allah swt dan RasulNYA.
            “Alhamdulillah, semoga Allah memberi awak petunjuk dan hidayah,”  ucap Arman.  Bahagia dia melihat perubahan yang berlaku pada gadis itu. 
            “Kalaulah sedari  kecil, saya mengikut ajaran orang tua, mentaati agama yang saya anuti sejak lahir ini, tentu kehidupan saya jauh berbeza dari sekarang. Mungkin saya masih suci lagi, aurat saya terjaga daripada lelaki yang bukan suami saya.  Tapi saya kalah dengan permainan dan pujuk rayu syaitan, saya lemah, hanyut dengan nafsu sendiri. Tentu keadaan keluarga saya tidak jadi seperti hari ini,” kata Diana dengan linangan air mata.  Kesedihan yang tidak mampu ditahan-tahankan lagi.  Dosa semalam sering mengganggu hidupnya, biarpun taubat sering dipinta.  Rasa bersalah yang tidak pernah padam terutama kepada kedua orang tua yang turut menjadi mangsa atas perbuatanya.  Dia telah membunuh hati dan perasaan kedua orang tuanya tanpa disedari.
            “Inilah ujian namanya Diana, setiap orang ada ujiannya masing-masing.  Kita manusia yang lemah dan jahil, tidak pernah terlepas dari membuat dosa, tidak kira dosa kecil atau besar.  Allah masih sayangkan awak, itu sebab diujinya awak dengan ujian yang berat, maruah diri.  Awak kena yakin, setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.  Bersabar, berdoa dan bertawakal adalah kunci segala masalah.  Allah itu ada,” nasihat Arman. 
            “Terima kasih Arman, awak memang seorang yang baik.  Semoga awak dipertemukan dengan gadis yang baik juga yang mampu awak bimbing menjadi isteri dan muslimat sejati.”
            “Saya baik?  Saya membawa imej agama saya Diana.  Mengaku Islam tetapi tidak jaga kehormatanya.  Seorang lelaki Islam seharusnya menjaga kehormatan perempuan Islam juga.  Jaga,  jangan sampai di hina. Jaga, jangan sampai tercemar. Jaga, jangan sampai dihina. Jaga, jangan sampai terpalit kekotoran yang mampu mencemarkan agama Islam, agama Allah dan Rasul-Nya,” kata Arman  lalu tersenyum.
            Makanan yang dipesan telah pun berada di hadapan mata.  Sambil makan mereka terus berbicara lagi.
            “Islam itu indah rupanya,” kata Diana dengan mata yang masih berkaca.
`           “Terlalu indah sehingga tidak mampu dilukiskan dengan kata-kata,” jawab Arman.
            “Hidup saya jauh lebih bahagia sekarang ini, lebih tenang dan damai hati saya,” ujar Diana sambil menyeka air mata yang masih ada di pipinya.
            “Alhamdulillah, saya harap awak terus istiqamah dengan apa yang awak lakukan sekarang.  Jangan belajar agama hanya tiga bulan sahaja, lepas tu  tak nak belajar lagi, ilmu Allah luas, tujuh lautan pun tak habis kita belajar.”
            “Insya-Allah, Ustazah Mardhiah akan terus bimbing saya.  Saya juga berdoa agar Allah mengurniakan saya seorang suami yang soleh, yang mampu membimbing saya menuju syurga-Nya.” Sekali lagi dadanya sebab apatah lagi terbayangkan wajah Haziq yang but endah tak endah sahaja kepadanya sejak akhir-akhir ini.  Jangan-jangan lelaki itu tiada niat untuk berkahwin dengannya.  Bagaimana dengan lelaki yang berada di hadapannya ini?  Dia amat menyenangi dengan ketrampilan akhlak dan budi Arman, ciri-ciri seorang imam yang baik ada pada lelaki itu. Mahukah lelaki itu menikahi perempuan sepertinya yang pernah bergelumang dengan noda dan dosa?  Ah! terlalu tinggi angan-angannya, entah-entah lelaki itu sudah ada pilihan hati yang baik berjuta kali daripada dirinya yang sudah terpalit noda.
            “Suka saya dengar perkembangannya, awak  juga seorang yang baik Diana, tiada seorang pun manusia di dunia ini dilahirkan jahat.  Pilihan terletak di tangan kita sendiri, sekali tersalah langkah dan terjatuh lubang, jangan lalu jalan itu lagi ya?  Cari jalan yang tak berlubang,” gurau Arman, sekadar ingin menenangkan  Diana yang kelihatan resah.
            Diana tersenyum nipis.  Dia menghabiskan mee goreng yang dipesannya tadi.  Terasa selesa berada bersama Arman.  Jiwanya berasa tenang dan damai, kata-kata dan nasihat lelaki itu menusuk hatinya.  Ya Allah, kenapalah dia lambat mengenali Arman, kalaulah lelaki itu terlebih dahulu hadir dalam hidupnya, tentulah hidupnya tidak  jadi seperti ini.  Ah! usah dikesalkan apa yang telah berlaku, jangan disalahkan takdir, kerana apa yang berlaku adalah perbuatan khilaf sendiri.
            “Terima kasih kerana sudi layan saya berbual.  Bila saya dah lepaskan semua yang berbuku di hati, terasa lebih tenang.  Ustazah Mardhiah selalu mendengar cerita dan rintihan saya, dipujuk dengan sabar agar saya menerima takdir ini dengan hati yang lapang,” kata Diana perlahan.
            “Terima kasih kembali kerana sudi menerima pelawaan saya makan bersama.   Sejak awak keluar hospital, kita jarang bertemu dan bertembung.” Arman memandang wajah Diana sekali imbas, tidak baik merenung wajah seorang perempuan yang bukan muhrim, tidak pasal-pasal jadi dosa mata. 
            Hampir dua jam mereka bersembang.  Diana pulang dengan hati yang tenang. Arman kembali ke tempat kerja dengan hati yang puas melihat perubahan gadis itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan