“Diana,
Din...” laung seorang lelaki yang berlari-lari anak mendekati Diana yang
melangkah laju menaiki lif di sebuah pusat membeli belah.
Diana menoleh. Dia memberhentikan langkah, menunggu lelaki
itu merapatinya. Dia tersenyum manis.
“Bukan main laju awak berjalan,
penat saya mengejar,” ujar Arman dengan wajah ceria tetapi tercunggap-cunggap
kepenatan.
“Awak dari mana? Nak kemana?” tanya
Diana dengan wajah cukup ceria.
“Saya dari bank, selesaikan hal
syarikat. Awak nak ke mana?” tanya Arman
kembali.
“Saya dari rumah, hari ni Ustazah
Mardhiah ada hal, jadi tiada kelas, saya ambil waktu beli barang dapur dan
bersiar-siar, asyik terkurung dalam rumah, lemas juga,” jawab Diana.
Pintu lif terbuka, mereka berdua
melangkah masuk.
“Kita pergi minum dulu, tekak saya
dah haus, kepenatan sebab kejar awak tadi,” gurau Arman. Dia memandang wajah Diana yang cukup
tenang. Penampilan gadis itu juga sudah
jauh berubah. Bertudung labuh, berjubah
dan tiada sebarang solekan di wajahnya.
“Boleh juga,” jawab Diana. Dia
perlukan teman untuk berbual. Sudah
berminggu dia tidak menghubungi Haziq, lelaki itu juga seperti tidak sudi hendak berbual dengannya. Mahukah lelaki itu mengahwininya? Persoalan
yang sering bermain di mindanya.
Mereka menuju ke salah sebuah
restoran yang terdapat di bangunan pusat membeli belah tersebut. Pengunjung pun tidak ramai kerana baru sahaja
lepas waktu makan tengahari. Mereka
duduk di meja yang dekat dengan tingkap menghadap jalan raya yang bertali arus
kenderaan melaluinya.
Setelah memesan makanan dan minuman,
mereka kembali berbual.
“Macam mana dengan kelas agama? Seronok belajar?” tanya Arman lembut. Diana tidak memandang wajahnya, hanya
memandang ke arah jalan. Wajahnya tetap
tenang seperti tadi.
“Alhamdulillah, sepatutnya saya
berterima kasih dengan awak dan Puan Riana, biarpun agak susah tetapi banyak
perkara saya belajar tentang hidup.
Ustazah Mardhiah sering menasihatkan saya agar berubah menjadi muslimat
yang sejati, anak yang baik dan isteri yang solehah,” kata Diana sambil
menunduk. Hiba mengamit tiba. Apabila bercakap tentang dosa semalam,
hatinya pasti diulit sedih dan pilu, terasa berdosa kepada keluarga dan
masyarakat, terasa bersalah kepada Allah swt dan RasulNYA.
“Alhamdulillah, semoga Allah memberi
awak petunjuk dan hidayah,” ucap
Arman. Bahagia dia melihat perubahan
yang berlaku pada gadis itu.
“Kalaulah sedari kecil, saya
mengikut ajaran orang tua, mentaati agama yang saya anuti sejak lahir ini,
tentu kehidupan saya jauh berbeza dari sekarang. Mungkin saya masih suci lagi,
aurat saya terjaga daripada lelaki yang bukan suami saya. Tapi saya kalah dengan permainan dan pujuk
rayu syaitan, saya lemah, hanyut dengan nafsu sendiri. Tentu keadaan keluarga
saya tidak jadi seperti hari ini,” kata Diana dengan linangan air mata. Kesedihan yang tidak mampu ditahan-tahankan
lagi. Dosa semalam sering mengganggu
hidupnya, biarpun taubat sering dipinta.
Rasa bersalah yang tidak pernah padam terutama kepada kedua orang tua
yang turut menjadi mangsa atas perbuatanya.
Dia telah membunuh hati dan perasaan kedua orang tuanya tanpa disedari.
“Inilah ujian namanya Diana, setiap
orang ada ujiannya masing-masing. Kita
manusia yang lemah dan jahil, tidak pernah terlepas dari membuat dosa, tidak
kira dosa kecil atau besar. Allah masih
sayangkan awak, itu sebab diujinya awak dengan ujian yang berat, maruah
diri. Awak kena yakin, setiap yang
berlaku pasti ada hikmahnya. Bersabar,
berdoa dan bertawakal adalah kunci segala masalah. Allah itu ada,” nasihat Arman.
“Terima kasih Arman, awak memang
seorang yang baik. Semoga awak
dipertemukan dengan gadis yang baik juga yang mampu awak bimbing menjadi isteri
dan muslimat sejati.”
“Saya baik? Saya membawa imej agama saya Diana. Mengaku Islam tetapi tidak jaga
kehormatanya. Seorang lelaki Islam
seharusnya menjaga kehormatan perempuan Islam juga. Jaga,
jangan sampai di hina. Jaga, jangan sampai tercemar. Jaga, jangan sampai
dihina. Jaga, jangan sampai terpalit kekotoran yang mampu mencemarkan agama
Islam, agama Allah dan Rasul-Nya,” kata Arman
lalu tersenyum.
Makanan yang dipesan telah pun
berada di hadapan mata. Sambil makan
mereka terus berbicara lagi.
“Islam itu indah rupanya,” kata
Diana dengan mata yang masih berkaca.
` “Terlalu indah sehingga tidak mampu
dilukiskan dengan kata-kata,” jawab Arman.
“Hidup saya jauh lebih bahagia
sekarang ini, lebih tenang dan damai hati saya,” ujar Diana sambil menyeka air
mata yang masih ada di pipinya.
“Alhamdulillah, saya harap awak
terus istiqamah dengan apa yang awak lakukan sekarang. Jangan belajar agama hanya tiga bulan sahaja,
lepas tu tak nak belajar lagi, ilmu
Allah luas, tujuh lautan pun tak habis kita belajar.”
“Insya-Allah, Ustazah Mardhiah akan
terus bimbing saya. Saya juga berdoa
agar Allah mengurniakan saya seorang suami yang soleh, yang mampu membimbing
saya menuju syurga-Nya.” Sekali lagi dadanya sebab apatah lagi terbayangkan
wajah Haziq yang but endah tak endah sahaja kepadanya sejak akhir-akhir
ini. Jangan-jangan lelaki itu tiada niat
untuk berkahwin dengannya. Bagaimana
dengan lelaki yang berada di hadapannya ini?
Dia amat menyenangi dengan ketrampilan akhlak dan budi Arman, ciri-ciri
seorang imam yang baik ada pada lelaki itu. Mahukah lelaki itu menikahi
perempuan sepertinya yang pernah bergelumang dengan noda dan dosa? Ah! terlalu tinggi angan-angannya,
entah-entah lelaki itu sudah ada pilihan hati yang baik berjuta kali daripada
dirinya yang sudah terpalit noda.
“Suka saya dengar perkembangannya,
awak juga seorang yang baik Diana, tiada
seorang pun manusia di dunia ini dilahirkan jahat. Pilihan terletak di tangan kita sendiri,
sekali tersalah langkah dan terjatuh lubang, jangan lalu jalan itu lagi
ya? Cari jalan yang tak berlubang,”
gurau Arman, sekadar ingin menenangkan
Diana yang kelihatan resah.
Diana tersenyum nipis. Dia menghabiskan mee goreng yang dipesannya
tadi. Terasa selesa berada bersama
Arman. Jiwanya berasa tenang dan damai,
kata-kata dan nasihat lelaki itu menusuk hatinya. Ya Allah, kenapalah dia lambat mengenali
Arman, kalaulah lelaki itu terlebih dahulu hadir dalam hidupnya, tentulah
hidupnya tidak jadi seperti ini. Ah! usah dikesalkan apa yang telah berlaku,
jangan disalahkan takdir, kerana apa yang berlaku adalah perbuatan khilaf
sendiri.
“Terima kasih kerana sudi layan saya
berbual. Bila saya dah lepaskan semua
yang berbuku di hati, terasa lebih tenang.
Ustazah Mardhiah selalu mendengar cerita dan rintihan saya, dipujuk
dengan sabar agar saya menerima takdir ini dengan hati yang lapang,” kata Diana
perlahan.
“Terima kasih kembali kerana sudi
menerima pelawaan saya makan bersama.
Sejak awak keluar hospital, kita jarang bertemu dan bertembung.” Arman
memandang wajah Diana sekali imbas, tidak baik merenung wajah seorang perempuan
yang bukan muhrim, tidak pasal-pasal jadi dosa mata.
Hampir dua jam mereka
bersembang. Diana pulang dengan hati
yang tenang. Arman kembali ke tempat kerja dengan hati yang puas melihat
perubahan gadis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan