Cuaca
terang di luar, matahari melemparkan cahaya keemasan. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Suara orang
mengaji menyapa telinganya. Biarpun agak tergagap-gagap tetapi tetap
bersungguh-sungguh menghabiskan bacaannya.
Riana menarik nafas lega. Suara
Haziq mengaji membuatkan dia tersenyum bahagia.
Alhamdulillah, ucapnya dalam hati.
Kejap lagi dia ada mesyuarat dengan Ustaz Harun dan Ustazah Mardhiah di
pejabatnya. Dia terus melangkah ke
tingkat bawah. Lega hatinya, jika
suaminya, Haziq benar-benar berubah.
Di
Butik Riana…
Rafeah menghidangkan kopi panas
bersama kek cawan yang berbagai hiasan di atasnya. Bau aroma kopi panas mampu menaikkan nafsu
makan untuk segera meneguknya. Rasa
manis dan pahit yang bergabung menjati satu terasa melekat di tekak.
Riana melangkah masuk sambil
melakarkan sekuntum senyuman buat Rafeah, Ustaz Harun dan Ustazah
Mardhiah. Mereka saling berbalas senyuman.
“Terima kasih kerana sudi datang
ustaz dan ustazah. Saya harap kedua insan yang sedang menuju redha Ilahi tidak
menyusahkan ustaz dan ustazah?” Riana memulakan bicara. Wajah kedua insan yang
tenang dan sejuk mata memandang itu dipandang seorang demi seorang.
“Alhamdulillah,
biarpun payah tetapi segalanya berjalan lancar.
En. Haziq sudah mampu membaca al-Quran, sudah tahu solat, serta serba
sedikit tentang hukum hakam. Puan Riana nak saya teruskan kelas atau
setakat ini saja? Saya dah pesan dengan
En. Haziq agar meneruskan apa yang sedang dipelajarinya, dia masih boleh
dapatkan khidmat saya atau boleh belajar dengan ustaz lain pula,” terang Ustaz
Harun.
“Diana
juga begitu, semakin rajin buat solat sunat dan mengamalkan doa-doa serta
amalan harian. Saya kagum dengan kesungguhannya,” cerita
Ustazah Mardhiah.
“Dia
akan terus belajar dengan saya, dia yang minta sendiri,” sambung Ustazah
Mardhiah.
“Alhamdulillah,”
jawab Riana dan Rafeah serentak.
“Lega
saya mendengarnya,” ujar Riana gembira.
“Tiada
yang mustahil Puan Riana, Cik Rafeah,”
kata Ustaz Harun lagi. Dia memandang
wajah Rafeah sekali imbas. Dia menunduk
seketika. Hatinya berdetik kencang. Dia beristighfar berkali-kali. Menarik nafas panjang dan melepaskannya
perlahan-lahan.
“Kalau
begitu, saya serahkan kepada ustaz dan ustazah, kalau mereka berdua masih ingin
teruskan pengajian, saya tiada
halangan. Bayaran seperti biasa,”
terang Riana.
“Baik
Puan Rian, kami akan teruskan kelas seperti biasa, tapi bukanlah setiap hari
seperti tiga bulan yang lepas. En. Haziq
juga mesti nak bekerja semula, begitu juga Diana,” mungkin hujung minggu saja ke?” kata Ustaz
Harun.
“Ya,
saya pun begitu. Mungkin kelas pada
hujung minggu atau di waktu malam. Siang saya ada kelas lain lagi,” ujar
Ustazah Mardhiah.
“Baiklah
saya bersetuju. Saya harap ustaz dan ustazah boleh bimbing kami semua di sini.
Saya bercadang nak buka kelas mengaji dan kelas agama pada staf-staf saya.
Harap ustaz dan ustazah tidak menolak. Beri waktu dan masanya, kami akan
usahakan agar kelas itu berjalan lancar,”
cadang Riana.
“Alhamdulillah,”
kata mereka serentak.
Senyuman
menguntum mekar di bibir Riana dan Rafeah.
Riana
bersandar dengan penuh kepuasan. Apa
yang diharapkan bakal berlaku. Adakah pintu hidayah sudah terbuka buat
suaminya? Dia menarik nafas lega jika
perkara itu benar-benar berlaku.
Apalah yang diinginkan sangat dalam hidup seorang isteri melainkan seorang suami yang baik yang mampu
menjadi imam dan membawanya ke syurga.
“Tak
payah nak berangan! Kita tak tahu lagi
jika suami mithali Rin tu dah benar-benar berubah,” kata Rafeah dengan muka selamba.
“Hish!
Cubalah doakan yang baik-baik,” tegur Riana.
“Kau
masih dengan keputusan kau nak Haziq nikah dengan Diana?” tanya Rafeah. Hati seorang perempuan
bukannya tetap, bila-bila masa sahaja boleh berubah. Apatah lagi jika perasaan
cemburu ada dalam diri. Rafeah berharap
Riana tidak meneruskan niatnya. Bukan
mudah berkongsi kasih.
“Kita
tengok macam mana, kalau ikutkan macam itulah.”
Riana mengeluh berat. Betulkah
keputusannya itu? Dia menyoal diri
sendiri. Sekali lagi bibir nipisnya melepaskan keluhan berat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan